KOTA BHARU: Gabungan Profesional Menuntut Royalti,
Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) menuntut kerajaan negeri
supaya mendesak Jabatan Audit negeri dan Ketua Audit Negara segera
melakukan siasatan ke atas kehilangan wang yang didakwa berjumlah RM12.3
juta.
Surat kepada pihak Kerajaan Negeri berkatian kes itu telah pun dihantar pada 12 Disember 2012 yang lalu.
Presiden Royalti (‘R’), Nazri Deraman dalam satu kenyataan media
mendakwa dalam perkembangan terbaru membabitkan ‘Wang Ehsan’ oleh pihak
Kerajaan Malaysia terdapat perbezaan angka perbelanjaan yang serius
berbanding angka dikeluarkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri
Mustapa Mohamed.
Perbezaan ketara juga adalah pada jumlah dikeluarkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein.
Nazri mendakwa, Menteri Kewangan Malaysia mengeluarkan kenyataan
perbelanjaan sebanyak RM49.1 juta sedangkan Mustapa serta Jabatan
Perdana Menteri ialah sebanyak RM61.4 juta.
Menteri Kewangan Malaysia Datuk Seri Najib ketika menjawab soalan
lisan Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen pada
23 November 2012 yang lalu mendakwa Kelantan sehingga 30 September 2012
sudah menerima (wang ehsan) sebanyak RM49,186,529.
“Justeru penyelewengan telah berlaku, lesap sebanyak RM12.3 juta,” dakwa Nazri.
Nazri mendakwa, menurut iklan dikeluarkan Kementerian Penerangan,
Komunikasi dan Teknologi Maklumat Malaysia pada 2010, Perdana Menteri
Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mendakwa Kelantan layak mendapat
Wang Ehsan sebanyak RM20 juta setahun, manakala Timbalan Menteri
Kewangan Malaysia Datuk Dr Awang Adek (pada kenyataan medianya 29 Julai
2012) mendakwa Kelantan menerima wang ehsan sebanyak RM24 juta setahun,
dan tiga tahun menjadi RM72 juta.
Sementara Mustapa pada kenyataan media 5 Ogos 2012 mendakwa Kerajaan
Pusat sudah menyalurkan ‘Wang Ehsan' sebanyak RM61.4 juta (RM20.467
setahun) sejak 3 tahun lalu.
“Dalam perkembangan terbaru ini, ‘R’ mendesak supaya Laporan Kewangan
Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Kelantan khususnya
membabitkan pengurusan perbelanjaan ‘Wang Ehsan’ mestilah diaudit
segera.
“Ini penting bagi mempastikan ketelusan perbelanjaan wang rakyat
khususnya apabila berlaku ketirisan didakwa berjumlah RM12.3 juta wang
rakyat,” ujarnya.
Nazri mendakwa, ‘R’ menyedari bahawa penyelewengan, ketirisan dan
ketidaktelusan didakwa berlaku dalam ‘skandal wang ehsan’ itu lantaran
pengurusannya membelakangi saluran perundangan.
No comments:
Post a Comment