Wednesday, August 22, 2012

Komunis ada kerajaan, mengapa Islam tidak boleh?

KOTA  BHARU: Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata terdapat anggota masyarakat terpesona dengan ‘permainan’ Barat menyebabkan terpengaruh dengan dakwaan ‘agama lain, politik lain’.

Bahkan Islam dianggap mampu mengawal manusia dalam aspek ibadat dan urusan keluarga saja sedangkan Kerajaan Islam lebih mustahak ditegakkan di muka dunia.

“Dunia ini bukan Arab yang buat, bukan Melayu yang buat, tetapi diciptakan Allah swt.

“Namun oleh kerana kita lena dengan ‘permainan' Inggeris, Peranchis, Itali dan sebagainya, maka ada rakyat biasa atau golongan terpelajar, bahkan di kalangan tuk guru sendiri terasa bahawa dakwaan ‘agama suku, politik suku’ itu betul,” katanya.

Malahan menganggap agama hanya untuk  menjaga manusia dalam aspek ibadat dan urusan kekeluargaan saja.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata demikian semasa menyampaikan khutbah Hari Raya Aidilfitri di Masjid Pulau Melaka dekat sini, semalam.

“Sesungguhnya dalam perkara ‘urusan agama’ dan ‘politik’ mestilah selari.

'“Itulah perbezaan di antara hidup 'beragama’ dengan hidup 'berdemokrasi’ yang tidak disebut Eropah,” katanya.

Beliau berkata, kalau komunis ada kerajaan, demokrasi ada kerajaan, maka kenapa ‘Islam’ tidak boleh ada kerajaan, selaras dengan bumi dan manusia serta segala benda di dunia ini dijadikan Allah.

Justeru, kata Nik Aziz, Kerajaan Islam lebih mustahak didirikan di muka dunia ini.

Bahkan dalam perkara agama, sangat penting bagi manusia mengikuti jalan Nabi-Nabi termasuk dalam urusan rumah tangga, peperangan dan lain-lain.

Beliau menambah terdapat manusia yang sibuk dengan ‘kebangsaan’ dan ‘Melayu’.

Justeru secara sinis beliau meminta golongan itu supaya mencari ‘Nabi Melayu’.

“Ini kerana Nabi Muhammad bukan orang Melayu tetapi orang Arab.

"(Oleh itu) carilah Nabi Melayu, jangan cari Nabi Arab.

Mengulas sambutan hari raya Aidilfitri 1433 Hijriah, beliau mencadangkan untuk tahun hadapan, kad ucapan Selamat Hari Raya ditambah ‘dunia akhirat’ pada rangkaian ucapan  ‘Selamat  Hari Raya, Maaf Zahir Batin’.

Ini penting bagi membolehkan semua kaum mengingati apa itu ‘akhirat’.

“Melayu baca teringatkan akhirat, Cina baca teringatkan akhirat.  Orang putih baca, teringatkan akhirat.

“Ini membolehkan kita berdakwah apabila mereka bertanya apa itu ‘akhirat’,” ujarnya.

Tuan Guru menambah, selepas manusia mati dihidupkan semula, mereka akan ditanya diberi Al-Quran sama ada membacanya atau tidak, diberi telinga sama ada mendengar nasihat Al-Quran atau tidak.

Demikian juga diberi kaki sama ada digunakan pergi ke masjid, diberikan tangan sama ada menggunakan untuk mengundi ke arah mendaulatkan Islam atau menjahanamkan manusia.

No comments: