Saturday, November 05, 2011

Salam Aidiladha 1432H Daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan Machang

Main Futsal Bersama Anak Muda Machang




Kalau tiada bantahan, BN biarkan Seksualiti Merdeka?

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan adakah polis tidak mengharamkan program Seksualiti Merdeka jika tidak dibantah dan dikecam pelbagai pihak.

"Walaupun tindakan polis disambut baik, tetapi nampak sangat polis hanya bertindak apabila program tersebut dibantah dan dikecam pelbagai pihak dalam negara ini.

"Kalau tidak ada bantahan dan kecaman, adakah kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) berdiam diri sahaja?" kata beliau sambil membangkitkan program Seksualiti Merdeka telah diadakan sejak 2008 lagi tanpa sebarang tindakan pengharaman oleh kerajaan.

Mahfuz menyifatkan apa yang berlaku itu menunjukkan kerajaan tidak ada keupayaan untuk memikirkan buruk dan baik.

"Kerajaan tidak tahu mana satu yang buruk dan mana satu yang baik.

"Sebab itulah tindakan hanya dibuat selepas ada bantahan dan kecaman sedangkan sejak 2008 lagi program tersebut diadakan tetapi kerajaan tidak bertindak kerana waktu itu ramai yang tidak sedar kewujudan program itu dan bantahan tidak lantang," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menolak tanggapan kononnya kerajaan tidak bertindak sebelum ini kerana ia tidak sedar kewujudan program itu.

"Kalau benar kerajaan atau polis tidak sedar kewujudan program itu sejak 2008 lagi, ia membuktikan kerajaan sangat lemah sehingga tidak tahu apa yang berlaku dalam negara yang ditadbirnya ini sejak bertahun-tahun lalu.

"Mustahil kerajaan mahu mengakui kelemahannya dan oleh kerana itu, kerajaan sedar mengenai program Seksualiti Merdeka tetapi sengaja tidak mahu mengambil tindakan kerana tidak ada bantahan," kata Mahfuz.

Beliau juga mempersoalkan motif pihak-pihak yang tidak bermoral mempertikaikan program itu.

"Bantahan umumnya didorong oleh kesedaran agama dan moral. Tetapi, jika ada pihak-pihak yang tidak bermoral membantah program itu, apa tujuan mereka?

"Ramai yang menyifatkan mereka sebagai pengemis-pengemis habuan politik dan apabila mereka kononnya marah sangat kepada program itu, ramai yang menyifatkan perkara itu didorong oleh kepentingan habuan politik mereka semata-mata dan tidak ada kaitan dengan kesedaran agama dan moral," katanya.

Makhfuz mempersoalkan di mana suara pengemis-pengemis habuan politik itu apabila kerajaan Umno BN mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membatalkan saman ke atas mereka yang ditahan di Zouk Club pada tahun 2005 dahulu.

Malah, katanya lagi, apa yang berlaku dalam peristiwa-peristiwa seperti campur tangan kabinet selepas serbuan di Zouk Club dan tindakan ke atas ulama selepas tiga gadis Melayu ditangkap kerana menyertai pertandingan ratu cantik di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya menunjukkan sikap sebenar kerajaan Umno BN terhadap persoalan moral.

"Sebab itulah, apa yang hendak dihairankan apabila program seperti Seksualiti Merdeka dianjurkan?

"Dan, sebab itulah juga kerajaan hanya bertindak selepas program itu dibantah dan dikecam," katanya.

Tuntutan Royalti Kelantan










Kelantan serah poster ucapan Tun Razak di parlimen

KOTA BHARU, 4 Nov: Pemimpin Kerajaan Kelantan akan ke Parlimen pada 10 November ini untuk membawa poster ucapan pemimpin terdahulu termasuk Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak berhubung royalti petroleum bagi mengingati ulang tahun ucapan allahyarham pada 12 November 1975.
Kunjungan yang akan disertai anggota Exco kerajaan negeri, Adun, anggota Parlimen, Gegar termasuk Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum, Datuk Husam Musa akan menyerahkan himpunan risalah Tun Abdul Razak serta beberapa pemimpin lain kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Husam pada sidang media semalam memberitahu, risalah tersebut mengandungi ucapan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Yaacob, Pengerusi Pertama Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah dan lain-lain agar pimpinan kerajaan Persekutuan hari ini sedar Kelantan berhak mendapat royalti petroleum.
“Memandangkan hari Sabtu Parlimen tidak bersidang, jadi kita memilih hari yang paling hampir dengan tarikh tersebut, iaitu 10 November untuk menyerahkan risalah serta amanat ayahanda kepada Perdana Menteri sekarang berhubung perkara itu,” ujarnya.
Husam berkata, risalah atau poster tersebut akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri sekiranya Perdana Menteri tidak hadir.
“Sekiranya kedua-duanya tidak ada, risalah tersebut akan diserahkan kepada mana-mana menteri atau timbalannya,” ujarnya.
Sehubungan itu juga, menurutnya himpunan kata-kata rasmi pimpinan terdahulu yang terkandung dalam risalah itu akan diedarkan kepada orang ramai pada hari berkenaan.
Antara yang terkadung dalam risalah itu ucapan Tun Abdul Razak pada tahun 1975, ketika menjawab pertanyaan Lim Kit Siang dalam sidang Dewan Rakyat ketika itu menyebut mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai sama ada kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut.
Selain itu, risalah tersebut turut mengisi ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Kasitah Gaddam yang menyokong kerajaan berhak mendapat hasil royalti petroleum.

Muhyiddin patut bertanggungjawab pada siswazah

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap masalah siswazah yang tidak dibuka peluang pekerjaan untuk mereka, kata Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu.

"Semua pihak tahu masalah kekurangan guru masih tidak diatasi dan tindakan Muhyiddin menyuruh siswazah-siswazah yang dilatih dalam bidang perguruan mancari kerja lain mendedahkan Muhyiddin kepada tuduhan tidak bertanggungjawab," kata beliau.

Kelmarin, hampir 1,000 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan demonstrasi berikutan kenyataan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengarahkan graduan UPSI "cari kerja lain".

Kenyataan berkenaan telah menimbulkan kemarahan ribuan graduan dan bakal graduan di UPSI dan kampus-kampus lain.

"Untuk apa latih mereka dalam bidang perguruan tetapi disuruh cari kerja setelah mereka dilatih dan mendapat ijazah dalam bidang itu?

"Adakah tidak ada penyelarasan di antara universiti-universiti dan kementerian di bawah Muhyiddin dan adakah universiti melahirkan graduan yang tidak ada tempat dalam pasaran kerja?

"Kalau perkara itu berlaku, ia adalah kelemahan kerajaan dan jangan mangsakan siswazah-siswazah itu," kata Mohamad.

Beliau juga meminta Muhyiddin mengambilkira beban dari segi kewangan dan sosial yang dihadapi oleh siswazah-siswazah itu.

"Mereka berhutang kepada PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan saya mesti difahamkan hutang mesti dibayar dalam tempoh tidak sampai setahun selepas mereka tamat belajar.

"Apa akan jadi jika mereka diburu PTPTN selepas ini?" katanya.

Dari segi sosial pula, kata Mohamad, beliau diberitahu tentang pelajar-pelajar yang menghadapi "deraan masyarakat".

"Ada yang dituduh belajar tidak lulus kerana masih tidak berkerja atau melakukan pekerjaan tidak sepadan dengan kelulusan seperti berkerja di kedai kain selepas mendapat ijazah kerana peluang hendak berkhidmat sebagai guru ditutup rapat oleh kementerian Muhyiddin," katanya.

Ada di antara siswazah yang berdemonstrasi itu mengangkat sepanduk dengan luahan "Kami berhutang, kami nak kerja!!!"

Mohamad juga mendesak PTPTN menghentikan tindakan memburu siswazah-siswazah yang belum berkerja untuk menuntut hutang, jika perkara itu berlaku.

"Saya difahamkan banyak sekatan ke atas siswazah yang masih belum membayar hutang PTPTN.

"Jika mereka mempunyai sebab yang munasabah, sekatan tersebut mestilah dilonggarkan atau ditarik balik," kata beliau.

Kekurangan guru terlatih masih lagi merupakan masalah yang meruncing di negara ini.

Sebelum ini dilaporkan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja mengakui Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhadapan dengan masalah guru, antara lain disebabkan sesetengah guru memutuskan untuk meninggalkan ibu negara disebabkan kos hidup yang tinggi.

Menurut mereka, masalah itu yang disebabkan kos hidup tinggi bukan sahaja berlaku di ibu negara, tetapi juga di Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Kelantan beri RM85 ribu kepada Red Warriors

KOTA BHARU, 3 Nov: Di atas keperihatinan serta sokongan penuh kepada pasukan bolasepak Kelantan, kerajaan negeri hari ini memberikan RM85 ribu untuk diagihkan kepada semua pemain dan pengurusan The Red Warriors.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut hadir exco negeri Abdul Fattah Mahmood dan Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman di jamuan makan meraikan pemain hari ini. 

Sementara itu rombongan The Red Warriors pula diketuai oleh Pengurus Pasukan yang juga Setiausaha Agung KAFA Azman Ibrahim.

Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,Belia, Sukan dan NGO ketika menyampaikan ucapan berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau perjalanan pasukan The Red Warriors.

Walaupun tahun ini gagal ke final Piala Malaysia, namun kejayaan memiliki dua piala iaitu Piala Presiden dan Piala Liga Super sudah cukup memberangsangkan.

“Saya berharap pemain yang menerima sumbangan ini menjadikannya sebagai perangsang untuk meneruskan perjuangan dalam musim akan datang”ujar beliau.

Abdul Fattah juga berkata sebelum ini kerajaan hanya bercadang untuk memberi RM60 ribu tetapi di atas keperihatinan Menteri Besar Tuan Guru , peruntukkan tersebut ditambah menjadi RM84 ribu dan sumbangan peribadi sebanyak RM1 ribu dari Tuan Guru disumbangkan kepada tabung kebajikan pemain.

Sementara itu Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata Islam tidak pernah melarang mana-mana umatnya menyertai sukan atau dikenali sebagai Riadah.

“ Dalam Islam, kita boleh lakukan apa sahaja namun ia ada batas-batas tersendiri dan dalam bersukan juga ada batasannya,oleh itu saya berharap pemain The Red Warriors ini sentiasa mematuhi kehendak agama agar tidak terjerumus dalam perkara yang tidak elok”ujar beliau.

Nik Aziz juga mengimbau kembali yang beliau pernah bermain bolasepak di zaman era penjajahan Jepun lagi dan sehingga kini kenangan tersebut masih segar.

“ Saya amat meminati sukan bola sepak ni, sebab tu saya sanggup hadir menonton sendiri perlawanan di peringkat akhir ketika Kelantan layak dulu” ujar beliau.

Bagi Pengurus pasukan The Red Warriors, Azman Ibrahim pula ketika ditemui berkata sumbangan kerajaan negeri kepada pemain ini adalah satu lagi tanda keperihatinan kerajaan kepada sukan bolasepak Kelantan.

“Saya yakin dengan sumbangan yang pemain terima hari ini, mereka akan lebih bersemangat lagi pada musim hadapan dan diharapkan kerajaan akan sentiasa menyalurkan pelbagai bantuan demi pembangunan sukan bolasepak negeri ini,” katanya.

Tuesday, November 01, 2011

Kuliah Tarbawi 2011 : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat







Pastikan suruhanjaya tenaga berfungsi

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air diseru memastikan Suruhanjaya Tenaga melaksanakan fungsi-fungsi yang sepatutnya supaya dapat melindungi kepentingan setiap lapisan pengguna elektrik di negara ini.
Seruan tersebut dibuat ekoran rundingan semula PPA masih berlarutan tanpa kesudahan disebabkan jalan buntu di antara permintaan kerajaan, Penjana Bebas (IPP) dan Tenaga Nasional Berhad.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, adakah penyelesaian berpaksikan rakyat (people centric) dapat dimeterai seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri dan adakah IPP akan terus mencabar janji Perdana Menteri?

Menurutnya, dalam sektor tenaga elektrik, kerajaan dan perunding yang dilantik terlalu risau bagaimana peniaga (IPP) akan terjejas disebabkan rundingan semula.
Katanya, sebenarnya IPP generasi pertama telahpun mendapat balik pulangan pelaburan mereka pada kadar kurang daripada 10 tahun.
"Sekarang kerajaan dan perunding yang dilantik sepatutnya lebih risau tentang jumlah pelaburan lain yang kita akan hilang jika IPP masih dilindungi dan kadar tarif masa depan kekal tidak kompetitif," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.
Seorang peniaga, menurut beliau, tahu bagaimana untuk berniaga, dengan  rundingan semula adalah sebahagian daripada perniagaan, sehingga menjadikan peniaga kompeten dan beretika.
"Awer telah mencadangkan model rundingan semula yang lebih munasabah di laporan kami yang bertajuk ‘Perjuangan – Masa Depan Industri Elektrik Negara’ yang telah dilanjutkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk tindakan mereka pada bulan Jun tahun ini," katanya.

Selain itu, jelasnya, Awer turut memberikan contoh rundingan semula untuk industri perkhidmatan air di Johor, dengan pelaksanaan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006, bagi membolehkan rundingan semula dilaksanakan dengan cepat dan mengelakkan kenaikan tarif yang tinggi.
"Ini telah dicapai pada tahun 2009. Ini adalah rundingan semula yang dilaksanakan dalam masa 1 tahun dan tiada apa-apa rungutan mengenainya," ujarnya.

Awer, tegasnya, berdiri teguh dengan tarikh luput yang telah dicadangkan kepada perunding PPA bagi proses rundingan semula PPA, dengan 30 November 2011 sepatutnya adalah tarikh terakhir proses rundingan semula.
"Jika tiada keputusan yang konkrit dan berpaksikan kepada rakyat dicapai melalui rundingan semula PPA, kami menyeru Suruhanjaya Tenaga untuk memulakan bidaan terbuka bagi loji janakuasa yang baru mulai 1 Disember 2011.
"Rakyat tentu tidak mahu mendengar alasan-alasan seperti tidak cukup masa pembinaan atau proses bidaan yang dikompromi atau keputusan-keputusan yang tidak berpaksikan rakyat selepas ini," katanya.

Ketelusan dalam penetapan tarif dan memecahkan struktur pengebilan adalah penting, katanya, dan ini adalah proses yang mudah untuk dilaksanakan kerana ia hanya melibatkan pengurusan pangkalan data (database management).
"Pemecahan kos elektrik telahpun dilaksanakan oleh negara jiran kita seperti Filipina dan Thailand. Kami tidak faham mengapa terdapat keengganan yang tinggi oleh sesetengah pihak untuk melaksanakan perkara ini," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air melaksanakan Incentive Based Regulation (IBR) dengan pindaan yang dicadangkan (untuk mengawalselia sektor penjanaan) dengan kadar segera.
"IBR dirangka untuk memastikan kecekapan dalam perkhidmatan dan penetapan tarif yang saksama, sama seperti penstrukturan semula industri perkhidmatan air," tegasnya.

Di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), jelasnya, Suruhanjaya Tenaga telah diberikan kuasa luas untuk mengawalselia industri tenaga elektrik.
"Seksyen 4 akta ini yang mentakrifkan fungsi-fungsi Suruhanjaya Tenaga telah memberikan penerangan jelas mengenai mandat ini melalui subseksyen (b), (c), (d),(l), (la) and (m)," ujar beliau.

Ijtima' Tarbawi 2011 : Perasmian YB Salahuddin Ayub







Perasmian Ijtimak Tarbawi 2011 : Ucapan Ketua Pemuda Ust Nasrudin Hassan Tantawi



Perasmian Ijtimak Tarbawi 2011 : Ucapan Aluan Oleh Ust Nik Abduh Nik Abdul Aziz

Monday, October 31, 2011

Laporan audit petanda ikan busuk di kepala

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan masalah yang berlaku tetap sama, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

“Kita boleh andai sebelum Laporan dikeluarkan, antaranya harga kerajaan bayar beratus kali ganda daripada harga pasaran, projek tidak siap, belanja lebih,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Ini, katanya adalah skema yang ada kepada urus tadbir kerajaan BN selama ini, walaupun Perdana Menteri bercakap soal transformasi tetapi tidak ada penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN.

“Kenapa pegawai kerajaan yang dituding jari?

“Adakah mereka berani lakukan jika tidak ada arahan,” soalnya.

Justeru, ujarnya adalah tidak elok kalau hendak menyalahkan pegawai kerajaan sahaja, sedangkan bapa menteri boleh tidur lena.

Menurutnya, musibah yang menimpa kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad dalam kes tuduhan pecah amanah wang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), patut diambil iktibar.

Beliau berkata, Dr Aziz terpaksa turun naik ke mahkamah sedangkan menteri tidak diapa-apakan, hanya kereta menteri sahaja yang dirampas.

“Patutlah Laporan Audit 2010 diberi lewat kepada ahli Parlimen, sehingga selepas didesak. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu,” katanya.

Tambahnya, Laporan Audit Negara telah tenggelam bajet gula-gula pilihanraya.

Menurutnya lagi, jika Laporan Audit 2010 mengekalkan rekod yang sama, apalah yang hendak diharapkan dengan Belanjawan 2012.

Baginya, pemimpin BN cuba hendak bermain silap mata, dengan kenyataan yang keras supaya diambil tindakan terhadap penyelewengan.

Inilah juga, katanya kenyataan yang dikeluarkan setiap tahun selepas laporan audit dikeluarkan untuk meredakan kemarahan rakyat.

Tambahnya lagi, tabiat buruk kerajaan BN bukan perkara baru, ia sudah menjadi darah daging di dalam pentadbiran.

“Jika kita mengimbau kembali Laporan Audit Negara 2006, bagaimana Kementerian Pertahanan boleh membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta (hampir RM1 bilion) walaupun tanpa baucer.

Katanya, ini satu misteri sedangkan pegawai kerajaan yang mahu buat tuntutan perjalanan yang berharga RM100 tidak diluluskan jika tanpa resit rasmi.

Katanya lagi, kerajaan menghabiskan wang rakyat untuk membayar set pen yang berharga RM1146 sedangkan harga pasaran RM60, lebihan RM986.

Begitu juga, ujarnya jek kereta harga pasaran RM50, tetapi kerajaan membayar sebanyak RM1,664, lebihan RM1,614.

Begitu juga, katanya dengan laporan audit untuk kerajaan negeri Pahang pada tahun 2009 di mana minyak kereta kerajaan ada yang diisi RM100 untuk satu liter.

“Macam mana Proton Perdana kapisiti tangki hanya untuk 64 liter tapi kereta Perdana kerajaan Pahang boleh diisi 130 liter, apakah tangki kereta jenis stokin yang boleh kembang?” soalnya.

Beliau berkata, laporan juga ada menyebut kereta yang sudah lupus tetapi kad untuk isi minyak masih digunakan.

“Ini hanya contoh-contoh kelakar Laporan Audit Negara.

“Persoalannya, kenapa masih tidak ada penambahbaikan, apakah ini transformasi Datuk Seri Najib?” tanya beliau lagi.

Katanya, sebab apa berlaku demikian, jawapannya ikan busuk di kepala.

Audit: PAS kemuka petisyen kepada Agong

KUALA LUMPUR, 31 Okt: PAS akan mengemukakan satu petisyen kepada Majlis Raja-Raja dan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pembaziran dan salah urus kewangan negara seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, petisyen itu merupakan suara bantahan dari rakyat yang akan dikumpul melalui satu laman web yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

"Kita akan lancarkan petisyen dalam internet...dalam tempoh seminggu dua lagi.

"Kita akan kumpul nama-nama rakyat dan bawa kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata petisyen itu bagi memberi maklum kepada Tuanku dan bagaimana baginda boleh bertindak atas bidang kuasa baginda untuk menasihatkan kerajaan.

"Audit ni macam buku laporan murid sekolah la. Kalau tengok banyak merah tentu mak ayah kecewa. Sama la dengan rakyat yang kecewa dengan prestasi kerajaan dalam laporan audit itu.

"Sebab itu perlu ada satu tindakan dari Yang Dipertuan Agung. Pendedahan ini sangat berat," katanya merujuk kepada kepincangan pengurusan wang negara yang didedahkan oleh laporan audit itu.

Ditanya tuntutan petisyen itu sampai ke tahap mana, Mahfuz berkata sehingga "PM lepaskan jawatan, kerana ini satu kegagalan seorang PM".

"Kalau dalam syarikat korporat, jika berlaku kerugian, CEO mesti bertanggungjawab dan perlu melepaskan jawatan tukar orang lain," tambahnya.

Peserta Ijtimak Tarbawi bersiap hadapi PRU 13

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia di atas kejayaan menganjurkan Ijtimak Tarbawi 2011 yang bermula pada 28 Oktober sehingga 30 Oktober di Dewan KUIZM, Taman Melewar dengan kehadiran ribuan peserta yang terdiri daripada para pemuda PAS di semua peringkat jentera parti.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga melahirkan rasa syukur dan bangga kerana dapat memberikan kerjasama di dalam menjayakan penganjuran ini bersama-sama Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan,” kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan.

Tambahnya, lebih-lebih lagi ijtimak itu telah dapat menghimpunkan tokoh-tokoh Gerakan Islam Antarabangsa seperti Mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Sheikh Dr. Mehdi Akif, pemikir Ikhwanul Muslimin, Dr. Kamal Al Helbawi dan wakil Hamas, Palestin iaitu Syeikh Ahmad Najjar.

Tidak ketinggalan juga, katanya Al Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang turut sama meraikan program ini dengan memberikan kuliah ilmu dan taujihat tarbiyyah yang telah mencetuskan motivasi semangat jihad dan perjuangan kepada para peserta ijtimak.

Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mengucapkan tahniah kepada seluruh peserta ijtimak yang hadir daripada seluruh negara yang terdiri daripada para pemuda PAS di semua peringkat selain penglibatan muslimat yang sangat dahaga dan mendambakan ilmu tarbiyyah gerakan Islam.

“Semoga program pentarbiyyahan yang dilalui dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan akan dapat memberikan kesan dan membekas di jiwa peserta bagi menghadapi segala cabaran dan dugaan di dalam menelusuri perjuangan gerakan Islam ini,” katanya.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan misi Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui ijtimak tarbawi kali ini dengan tema “Mantapkan Tarbiyah Menangi Pilihan raya” telah mencapai matlamat penganjurannya dan berkeyakinan bahawa seluruh peserta ijtimak telah bersedia sepenuhnya dari segi jasmani dan rohani untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang mendatang.