Tuesday, November 01, 2011

Pastikan suruhanjaya tenaga berfungsi

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air diseru memastikan Suruhanjaya Tenaga melaksanakan fungsi-fungsi yang sepatutnya supaya dapat melindungi kepentingan setiap lapisan pengguna elektrik di negara ini.
Seruan tersebut dibuat ekoran rundingan semula PPA masih berlarutan tanpa kesudahan disebabkan jalan buntu di antara permintaan kerajaan, Penjana Bebas (IPP) dan Tenaga Nasional Berhad.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, adakah penyelesaian berpaksikan rakyat (people centric) dapat dimeterai seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri dan adakah IPP akan terus mencabar janji Perdana Menteri?

Menurutnya, dalam sektor tenaga elektrik, kerajaan dan perunding yang dilantik terlalu risau bagaimana peniaga (IPP) akan terjejas disebabkan rundingan semula.
Katanya, sebenarnya IPP generasi pertama telahpun mendapat balik pulangan pelaburan mereka pada kadar kurang daripada 10 tahun.
"Sekarang kerajaan dan perunding yang dilantik sepatutnya lebih risau tentang jumlah pelaburan lain yang kita akan hilang jika IPP masih dilindungi dan kadar tarif masa depan kekal tidak kompetitif," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.
Seorang peniaga, menurut beliau, tahu bagaimana untuk berniaga, dengan  rundingan semula adalah sebahagian daripada perniagaan, sehingga menjadikan peniaga kompeten dan beretika.
"Awer telah mencadangkan model rundingan semula yang lebih munasabah di laporan kami yang bertajuk ‘Perjuangan – Masa Depan Industri Elektrik Negara’ yang telah dilanjutkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk tindakan mereka pada bulan Jun tahun ini," katanya.

Selain itu, jelasnya, Awer turut memberikan contoh rundingan semula untuk industri perkhidmatan air di Johor, dengan pelaksanaan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006, bagi membolehkan rundingan semula dilaksanakan dengan cepat dan mengelakkan kenaikan tarif yang tinggi.
"Ini telah dicapai pada tahun 2009. Ini adalah rundingan semula yang dilaksanakan dalam masa 1 tahun dan tiada apa-apa rungutan mengenainya," ujarnya.

Awer, tegasnya, berdiri teguh dengan tarikh luput yang telah dicadangkan kepada perunding PPA bagi proses rundingan semula PPA, dengan 30 November 2011 sepatutnya adalah tarikh terakhir proses rundingan semula.
"Jika tiada keputusan yang konkrit dan berpaksikan kepada rakyat dicapai melalui rundingan semula PPA, kami menyeru Suruhanjaya Tenaga untuk memulakan bidaan terbuka bagi loji janakuasa yang baru mulai 1 Disember 2011.
"Rakyat tentu tidak mahu mendengar alasan-alasan seperti tidak cukup masa pembinaan atau proses bidaan yang dikompromi atau keputusan-keputusan yang tidak berpaksikan rakyat selepas ini," katanya.

Ketelusan dalam penetapan tarif dan memecahkan struktur pengebilan adalah penting, katanya, dan ini adalah proses yang mudah untuk dilaksanakan kerana ia hanya melibatkan pengurusan pangkalan data (database management).
"Pemecahan kos elektrik telahpun dilaksanakan oleh negara jiran kita seperti Filipina dan Thailand. Kami tidak faham mengapa terdapat keengganan yang tinggi oleh sesetengah pihak untuk melaksanakan perkara ini," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air melaksanakan Incentive Based Regulation (IBR) dengan pindaan yang dicadangkan (untuk mengawalselia sektor penjanaan) dengan kadar segera.
"IBR dirangka untuk memastikan kecekapan dalam perkhidmatan dan penetapan tarif yang saksama, sama seperti penstrukturan semula industri perkhidmatan air," tegasnya.

Di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), jelasnya, Suruhanjaya Tenaga telah diberikan kuasa luas untuk mengawalselia industri tenaga elektrik.
"Seksyen 4 akta ini yang mentakrifkan fungsi-fungsi Suruhanjaya Tenaga telah memberikan penerangan jelas mengenai mandat ini melalui subseksyen (b), (c), (d),(l), (la) and (m)," ujar beliau.

No comments: