Saturday, January 22, 2011

Katakan Tak Nak Pada UMNO

Tiga fokus utama Cikgu Mala

LABIS, 22 Jan - Pertama, beliau akan menyuarakan masalah rakyat Dun Tenang. Kedua, beliau akan menyuarakan masalah kaum hawa di sini dan yang ketiga mewakili suara majoriti guru di Labis.

Normala pada sidang media selepas SPR mengumumkan calon layak bertanding memberitahu, sekurang-kurangnya tiga fokus utamanya jika dipilih sebagai wakil rakyat.

Tambah Normala lagi, beliau yakin pengundi Tenang akan berani membuat perubahan dengan memilih calon PAS sebagai wakil rakyat mereka.

Pegawai pengurus pilihan raya, Md Asri Amir pagi tadi mengumumkan pilihan raya kecil Tenang pada Ahad depan akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS. Normala Sudirman mewakili PAS dan Mohd Azahar Ibrahim mewakili BN.

Ketua Pembangkang Dun Johor Dr Boo Cheng Hau, dari DAP sewaktu penamaan calon pagi tadi berkata "Kami tunggu kehadiran Cikgu Mala bersama kami di Dun Johor". Beliau bersama pimpinan DAP lain turut turun padang menyokong kempen calon PR itu.

Sekitar Hari Penamaan Calon Dun Tenang, Johor















 Puluhan ribu penyokong Pakatan banjiri Labis

LABIS, 22 Jan: Berpuluh-puluh ribu penyokong Pakatan Rakyat terutama dari PAS membanjiri pekan Labis untuk mengiringi calon mereka, Cikgu Normala Sudirman ke pusat penamaan calon Pilihan raya Kecil Tenang.

Mereka berkumpul di sana sejak sebelum subuh bagi menyertai majlis solat hajat di tanah lapang yang disewa khas oleh PAS untuk digunakan sepanjang kempen pilihan raya ini.

Mereka dikatakan menerima arahan agar terus ke kawasan yang terletak di perkarangan markas besar PAS itu kerana beberapa masjid yang berdekatan dikatakan dikunci sejak malam tadi.

Perarakan calon bermula seawal jam 8.20 pagi menuju pusat penamaan calon yang terletak di Dewan Majlis Daerah Labis yang terletak kira-kira 2 km dari situ. Ketika itu, kira-kira 5,000 orang menyertainya.

Perarakan itu menjadi semakin besar apabila kumpulan kecil sepanjang jalan menyertai mereka.

Perarakan yang diketuai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya, Nasharudin Mat Isa, naib-naib Presiden Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub turut disertai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Presiden PKR, Datuk Sri Dr Wan Azizah Ismail dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menunggu di tepi jalan menyertai perarakan itu kira-kira jam 8.50 pagi.

22 Januari 2011 Penamaan Calon Dun Tenang

Forum BERSIH 2.0 - Balai Islam, Lundang Kelantan












Dun: Umno putar belit tafsir undang-undang?

KUALA LUMPUR, 21 Jan: Umno disifatkan sengaja memutarbelit tafsiran undang-undang apabila mengatakan Speaker Dun Selangor, Datuk Teng Chang Khim tidak mempunyai kuasa untuk mengumumkan kerusi Dun Pelabuhan Klang kosong.

Sebaliknya, speaker Dun negeri sememangnya mempunyai kuasa untuk mentafsir undang-undang berhubung dengan dewan yang diketuainya dan berhak mengisytiharkan kekosongan sesuatu kerusi Dun jika menepati tafsiran undang-undang.

Semalam, Penasihat Undang-Undang Umno, Datuk Hafarizam Harun dalam reaksinya mengatakan Teng tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi Dun Pelabuhan Klang. Sebaliknya, yang berhak menentukan kekosongan kerusi itu adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut beliau, Speaker Dun Selangor hanya bertanggungjawab untuk memaklumkan kekosongan kerusi Dun secara bersurat.

Oleh itu, beliau berpendapat, tindakan Speaker Dun Selangor yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Dun Pelabuhan Klang itu sebenarnya adalah cubaan untuk membawa kes Kota Seputeh, Kedah untuk diguna pakai dalam hal di Pelabuhan Klang.

Pakar perundangan, Prof A. Aziz Bari dalam ulasannya bagaimanapun berkata, dari segi prinsip undang-undang, speaker sememangnya mempunyai kuasa untuk mentafsir undang-undang berhubung dengan dewan yang diketuainya.

Sebaliknya, SPR tidak wajar mentafsir status kerusi tersebut memandangkan secara tradisinya menjadi hak dan tanggungjawab seorang speaker untuk menentukan kekosongan sementara sesebuah kerusi pilihanraya.

"Tetapi mengambil kira perkembangan di Perak dan Kedah, apabila keputusan speaker dibawa ke mahkamah dan diputuskan oleh SPR, masih awal untuk meramalkan status kerusi Pelabuhan Klang.

"Dengan itu, kita perlu menunggu apa yang akan berlaku seterusnya di Selangor," katanya kepada wartawan.

Dalam hubungan ini, katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, yang diisytiharkan hilang kerusinya itu semalam, berhak untuk membawa pertikaian tersebut ke mahkamah jika merasakan keputusan Teng Chang itu sebagai tidak sah.

Menurutnya, buat masa sekarang pertikaian adalah antara speaker dan wakil rakyat berkenaan. Jika Badrul Hisham tidak berpuas hati dengan keputusan Teng, dia boleh membawanya ke mahkamah.

“Badrul boleh membawa perkara itu ke mahkamah sebab dia merupakan pihak yang terlibat dalam kes ini. Speaker sebagai ketua dewan dan pengerusi dewan bertanggungjawab untuk menentukan status seseorang wakil rakyat dan kerusi dewan," katanya.

Di Perak, keputusan (Speaker) V. Sivakumar mengosongkan tiga kerusi Adun yang melompat parti, dipertikai oleh SPR dan kemudian disahkan oleh mahkamah.

Berdasarkan kes mahkamah terhadap Adun Behrang dan dua yang lain di Perak, kuasa untuk menentukan kekosongan kerusi itu terletak pada SPR.

“Di Kedah pula, keputusan speaker yang melaksanakan peruntukan perlembagaan terhadap kerusi Dun Kota Seputeh sebagaimana di Selangor semalam, masih tergantung.

"Tema pokok dalam semua kes-kes itu, meskipun isu dan faktanya berbeza; yakni pilihan raya perlu dielakkan. Inilah yang menyedihkan kerana ini bukan kerja mahkamah. Ia juga bukan kerja SPR. Kerja SPR ialah menjalankan pilihan raya bila berlaku kekosongan, tetapi ini kerja speaker,” tegas Aziz.

Friday, January 21, 2011

Adun Merlimau meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 8.10 malam ini.

Beberapa portal berita sejak petang tadi sedang mengikuti rapat perkembangan kesihatan Allahyarham selepas ada laporan mendakwa beliau telah meninggal dunia petang tadi.

Mohamad Hidhir dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada minggu lepas bagi menjalani pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat pada 13 Jan lalu.

Beliau pada mulanya ke hospital itu untuk mendapat rawatan mengenai ketidakselesaan perutnya sejak kembali dari Taiwan pada 10 Januari lepas, dan ujian mendapati arterinya tersumbat.

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat bagi menentukan satu lagi Pilihan Raya Kecil dalam masa terdekat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 Mac 2008, Mohamad Hidhir yang mewakili BN menewaskan calon PAS, Mejar (B) Jasme Tompang dengan Majoriti 2,154 undi.

Mohamad Hidhir mendapat 4,981 manakala Jasme Tompang mendapat 2,827.

Thursday, January 20, 2011

Pakatan Rakyat jumpa SPR 24 Januari

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan khas dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 24 Januari ini di ibu pejabat SPR di Putrajaya, jam 3 petang, bagi membincangkan lima perkara penting.

Perkara-perkara yang akan dibincangkan itu termasuklah cadangan undi proksi oleh SPR, persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi kerusi Parlimen dan Dun, isu-isu lalu yang belum selesai termasuk undi pos dan pendaftaran pemilih.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjelaskan, selain itu, dalam pertemuan itu juga akan turut dibincangkan tentang penubuhan kem askar wataniah seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi dan peraturan-peraturan baru bagi perjalanan pilihanraya yang akan diperkenalkan oleh SPR.

Menurut beliau, perkara-perkara itu perlu dibincangkan bagi melahirkan perjalanan pilihanraya yang telus, adil dan bebas menepati prinsip demokrasi yang diamalkan di negara kita.

"Pertemuan itu adalah susulan dari surat yang telah saya hantar kepada SPR pada 17 Januari lalu bagi mewakili Pakatan Rakyat. Surat saya itu telah dijawab oleh SPR dan pertemuan itu pula tetap ditetapkan sendiri oleh pihak SPR pada hari dan waktu itu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Menurut beliau, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP akan diwakili 2 orang wakil setiap parti, manakala PAS akan diwakili oleh beliau sendiri dan Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Perbincangan tentang undi proksi seperti yang dicadangkan oleh SPR, katanya, perlu diadakan kerana ia dilihat boleh mengganggu perjalanan pilihan raya yang telus, adil dan bebas seperti yang kita ingini dan disebut oleh SPR sendiri.

"Undi adalah rahsia. Tapi bila buat proksi atau wakil, ia tidak lagi menjadi rahsia. Selain itu, proksi itu pula mungkin bukan orang sebenar, tetapi yang menerima upah. Dibimbangi juga kalau-kalau undi proksi itu pengundi hantu. Jadi, banyak pihak yang tak senang dengan cadangan untuk adakan undi proksi.

"Bagi pihak Pakatan Rakyat, Pakatan Rakyat sememangnya menolak undi proksi kerana ia sebenarnya bercanggah dengan demokrasi," katanya.

Perbincangan tentang persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi kerusi Parlimen dan Dun, menurut beliau, perlu diadakan kerana persempadanan semula kawasan pilihanraya sudah lama tidak diadakan iaitu sejak tahun 2003, terutama bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

"Sedangkan mengikut peraturan, persempadanan semula patut dilakukan sehingga tempoh 8 tahun. Jadi, ini merupakan suatu perkara penting yang perlu diambil tindakan oleh SPR yang akan turut kami bangkitkan dalam pertemuan itu nanti," jelasnya.

Menyentuh tentang isu-isu lalu yang belum selesai, antara lain, beliau akan memberikan pandangan kepada SPR agar pihak SPR melakukan pendaftaran secara langsung terhadap pemilih, dengan kaedah perhubungan langsung antara SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Dengan cara itu bukanlah bermaksud memaksa orang mengundi, tetapi memudahkan mereka mengundi kerana dapat mengatasi masalah para pengundi yang berkelayakan menjadi pengundi tercicir dari daftar pemilih.

Katanya, perbincangan tentang cadangan Datuk Zahid untuk menubuhkan kem askar wataniah pula perlu dilakukan bagi mengelakkan parti pembangkang menjadi mangsa.

"Ini kerana kewujudan kem itu mungkin akan turut melahirkan undi pos yang lazimnya menguntungkan BN sendiri," tegasnya.

Kini, jelas beliau, turut kedengaran cadangan dari SPR untuk melaksanakan beberapa peraturan baru bagi pilihanraya termasuk pada pilihanraya kecil Dun Tenang 30 Januari ini.

"Kita ingin tahu apakah peraturan-peraturan baru yang ingin diperkenalkan oleh SPR itu. Dengan itu bolehlah kita bincangkan dengan lebih jauh untuk kepentingan semua pihak," katanya.

Speaker isytihar kerusi Dun Pelabuhan Klang kosong

SEJURUS kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, diisytiharkan kosong semalam, beberapa nama diperkatakan bagi merebut kerusi itu meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menerima makluman rasmi daripada Speaker DUN.

Bagi pihak Barisan Nasional (BN), antara nama yang disebut-sebut ialah Ketua UMNO Klang, Datuk Mazlynoor Abdul Latiff, berikutan usahanya membantu penduduk di kawasan itu menerusi pembukaan pusat khidmat yang berfungsi seperti pusat khidmat wakil rakyat.

Khidmatnya amat diperlukan penduduk setempat sebagai mewakili BN apabila kerusi berkenaan sebelum itu dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diwakili Badrul Hisham Abdullah.

Sebagai orang lama, Mazlynoor dipertanggungjawabkan menjaga kawasan yang ketika itu 'dimiliki' pakatan pembangkang, sebelum Badrul Hisham keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas, sebelum menyertai UMNO pada April 2010.

Tidak mustahil juga Badrul Hisham akan dipertaruhkan mengekalkan kerusi yang didudukinya sejak 8 Mac 2008 berikutan beliau sudah menyertai UMNO.

Namun, tindakan itu boleh dikatakan sebagai mengambil risiko besar kerana imej Badrul Hisham memang sudah tercalar, sejak sebelum meninggalkan PKR lagi. Tindakannya meninggalkan PKR menyebabkan pelbagai cerita tidak sedap didengar bertiup termasuk beliau dikatakan mengalami masalah mental.

Spekulasi mengenai pilihan raya kecil di DUN berkenaan mula bertiup sejak ura-ura Badrul Hisham akan meninggalkan PKR pada September 2009.
Apatah lagi apabila nama Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin, disebut-sebut bakal dipertaruhkan untuk merebut semula kerusi yang terlepas ke tangan Barisan Nasional (BN) sejak Badrul Hisham menyertai UMNO.

Jika Mazlynoor dan Badrul Hisham adalah ahli perniagaan, Faekah pula seorang peguam. Faekah yang memulakan kerjaya sebagai peguam pada 1991 sehingga pernah membuka firma guaman sendiri bersama seorang rakan kongsi, adalah bekas Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, sebelum dilantik ke jawatan sekarang.

Sebagai seorang veteran dalam perjuangan PKR, tidak hairan jika Faekah bakal dipertaruhkan untuk merebut kembali kerusi DUN Pelabuhan Klang.

Semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Badrul Hisham dikatakan gagal menghadiri sidang DUN Selangor selama lebih setengah tahun. Badrul Hisham memenangi kerusi Pelabuhan Klang pada pilihan raya umum 2008 di bawah tiket PKR dengan majoriti 4,407 undi.

Beliau mendapat 12,397 undi berbanding calon BN yang diwakili oleh Roselinda Abd Jamil (UMNO) yang mendapat 7,990 undi dan calon Bebas Nazir Mansor, mendapat 580 undi. Selain itu, Roselinda yang juga menantu bekas ADUN Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md Derus berpeluang bertanding semula bagi menebus kekalahannya.

Monday, January 17, 2011

Normala dapat sokongan akar umbi

LABIS, 17 Jan: PAS meletakkan calon wanita dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang kerana mendapati wujudnya keperluan untuk membawa suara wanita di negeri Johor.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan PAS Johor mengenai keperluan meletakkan calon wanita dan ianya mendapat sokongan akar umbi parti.

"Ini keperluan bagi negeri Johor dan kita melihat pandangan PAS Johor dan kita melihat golongan wanita juga adalah pengundi, bukan sahaja lelaki. Jadi mereka juga perlu suara di Dewan Rakyat dan Dun.

"Kita lakukan kaji selidik di peringkat bawah dan kita dapati calon kita mendapat sokongan akar umbi parti di samping mempunyai pengaruh kerana pernah berkhidmat di kawasan Dun Tenang," kata beliau dalam sidang media selepas mengumumkan calon PAS di Dataran Wayang Pacak, dekat sini malam tadi.

Normala Sudirman, 38, (gambar) dipilih sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding di Dun Tenang, 30 Januari ini.

Berucap dalam majlis pengisytiharan calon sebelum itu, Abdul Hadi berkata, PAS memilih Normala sebagai calon kerana yakin dengan kemampuan beliau berkhidmat kepada masyarakat di kawasan tersebut selain kesungguhan yang ditunjukkan untuk berkhidmat kepada parti.

"Puan Normala tak minta jadi calon tapi kami (PAS) yang minta beliau jadi calon.

"Beliau telah meletakkan jawatan bukan kerana nak jadi calon tapi letak jawatan guru kerana nak aktif sepenuhnya dalam parti dan masyarakat.

"Ini merupakan kesungguhan beliau untuk bersama dalam perjuangan," katanya di hadapan lebih 1,000 rakyat yang hadir bagi mengetahui siapakah calon yang dipilih PAS.

Abdul Hadi juga berkata, ini bukan kali pertama PAS meletakkan wanita sebagai calon setelah mendapati sejarah pemerintahan Islam sendiri mengiktiraf wanita sebagai pemimpin.

"Mengapa PAS pilih calon wanita? Sejarah Islam menunjukkan permulaan membina negara pada awal 1470 tahun dulu.

"Apabila Nabi Muhammad s.a.w mengajak pemimpin-pemimpin Aus dan Khazraj yang datang dari Madinah untuk mengadakan bai'ah janji setia bagi menguatkan sebuah pemerintahan yang adil, di antara yang diminta melafazkan janji setia ialah dua orang wanita.

Menurutnya juga, dalam al-Quran sendiri ada menyebut hak wanita untuk terlibat dalam urusan pemerintahan negara.

"Islam telah memulakannya seribu tahun dahulu. Kalau kita membaca sejarah, penglibatan dalam menegur dan menasihati pemerintah bukan sahaja melibatkan lelaki tapi juga wanita.

"Apabila khalifah Umar Al-Khatab menyampaikan ucapan yang dipandang oleh wanita sebagai ucapan yang memperkecilkan mereka, seorang wanita bangun di dalam majlis dan menegur Umar.

"Allah bagi hak kepada wanita di dalam al-Quran tetapi berani ketua negara membatalkan hak menyebabkan Umar menarik balik apa yang diucapkan," katanya.

Katanya, PAS juga pernah menghantar calon wanita pertama ke Parlimen, Khatijah Sidek pada tahun 1960.

"Dalam sejarah PAS, PAS telah menghantar ahli Parlimen yang pertama selepas merdeka pada tahun 1960 dan berjaya memenangkan calon ketua muslimat, Khatijah Sidek. Jadi ini bukan kali pertama kita letak calon muslimat," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, beliau juga menyeru seluruh petugas Pakatan Rakyat agar bertugas dengan berhemah sepanjang proses pilihan raya berlangsung dan tidak terpengaruh dengab sebarang provokasi pihak lawan.

"Dalam menghadapi pilihan raya Dun Tenang, saya menyeru kepada petugas Pakatan Rakyat supaya bekerja dengan tenang, jangan gelojoh, jangan melampau, menjaga keamanan, menjaga ketenteraman dan menjaga perturan pilihan raya dengan baik," katanya.

Tambahnya, Pakatan Rakyat perlu menerima hakikat bahawa pilihan raya sering kali berlangsung dalam suasan yang tidak adil, dengan Umno BN mendapat segala kelebihan untuk berkempen.

"Bukan senang nak menang kerana kita menghadapi pilihan raya dalam lapangan yang tidak sama rata. BN akan guna media perdana, stesen televisyen, radio untuk berkempen ke setiap rumah.

"Ini pilihan raya yang berbeza dengan amalan demokrasi moden dan pilihan raya yang tidak adil. Kita diberi peluang yang terhad, ceramah yang terhad dan penerangan yang terhad," katanya.

Namun beliau meminta petugas parti tidak cepat berputus asa kerana Pakatan Rakyat sudah beberapa kali menang dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini.

"Jangan risau kerana kita telah buktikan kita boleh menang dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini dan kita percaya kita boleh lakukan kali ini," katanya

Normala Sudirman calon PAS di Tenang


LABIS, 16 Jan: Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Normala Sudirman (gambar) diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, 30 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di majlis pengisytiharan calon di Dataran Wayang Pacak, dekat sini, malam ini.

Normala, 38 merupakan seorang guru lulusan Maktab Tuanku Bainun, Pulau Pinang sebelum meletakkan jawatan pada akhir 2010 kerana mahu menumpukan sepenuh masa kepada tugas parti.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Serom 3, Muar Johor ini merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik.

Bapanya, Sudirman Suratman merupakan bekas ketua peserta Felcra dan juga pengerusi koperasi Felcra Sekijang manakala ibunya Mukmini Yahya juga merupakan peneroka Felcra.

Beliau yang mesra di kalangan penduduk setempat dengan panggilan Cikgu Mala, mendirikan rumah tangga dengan Makrof Abd Mutalib dan mempunyai tiga orang anak.

Normala mula bergiat aktif dalam PAS selepas tamat pengajian di maktab pada tahun 1997.

Pada tahun 2000 beliau dilantik sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Labis.

Selain Ketua Muslimat Johor, beliau juga merupakan Exco Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Kini beliau menumpukan kepada usaha membantu masyarakat Labis setelah dipertanggungjawabkan sebagai penyelia pusat aduan rakyat Dun Tenang.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad, Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin, Ketua Wanita DAP, Chong Eng dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.




Sunday, January 16, 2011

PAS doakan kemenangan rakyat Tunisia

KUALA LUMPUR, 15 Jan: “PAS mendoakan kemenangan rakyat di Tunisia dan akan mendapat perlindungan Allah SWT,” kata Pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad.

Katanya, PAS mengikuti dengan teliti perkembangan di Tunisia dan melahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh rakyat Tunisia yang telah menggulingkan rejim Ben Ali yang merupakan rakan akrab Amerika Syarikat dalam menentang 'terroris Islam'.

“Kekejaman berpuluh-puluh tahun rejim Ben Ali dengan membunuh serta memenjara ribuan para ulama serta para cendekiawan adalah kemuncak kezaliman rejim yang mendapat sokongan kuasa Barat ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, rakyat Tunisia dinafikan hak bersuara, kebebasan dan keadilan sepanjang pemerintahan 'kuku besi' Ben Ali.

“PAS yakin dengan kebangkitan rakyat ini akan menjadi pengajaran kepada mana-mana rejim yang zalim dengan menafikan hak serta kebebasan termasuk di Malaysia dan kepada setiap suara rakyat,” ujarnya.

Hasrat Nik Aziz berundur tidak tercapai

KUALA LUMPUR, 15 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memaklumkan, hasrat beliau untuk berundur dari jawatan menteri besar Kelantan sehingga kini tidak tercapai.

Ada sahaja, katanya, rintangan yang menghalang hasratnya itu dan kini beliau telah melebihi 20 tahun memegang jawatan itu.

Beliau berkata demikian di majlis ramah mesra dan dialog dengan bloggers di sebuah hotel dekat ini.

Majlis itu mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pengamal media alternatif khususnya.

Turut berada di pentas terdiri daripada Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob, Speaker DUN Kelantan, Datuk Nasruddin Daud dan lima Exco Kerajaan Negeri; Datuk Husam Musa, Datuk Takiuddin Hassan, Wan Ubaidah Omar, Haji Abdullah Che Nawi dan Datuk Dr Fadzli Hassan selaku penganjur majlis.

Tuan Guru di dalam ucapannya menceritakan seawal 1967, beliau menceburkan diri di dalam bidang politik dengan kewajipan memperjuangkan Islam sebagai dasar perjuangan siasah selama ini.

Menurutnya, dengan rasa kesedaran dan kewajipan tinggi berada di dalam tanggungjawabnya menyebabkan hasrat beliau untuk berundur diri, sehingga kini tidak dapat dilakukan.

Sebarkan kebaikan


Beliau mengingatkan semua bloggers agar menulis dan menyebarkan kebaikan di mana sahaja dengan rasa tanggungjawab tinggi untuk menyampaikan Islam.

(Gambar: Penulis Azizi Haji Abdullah antara yang turut memberikan soalan dan pandangan)

Sepatah akhir Tuan Guru menegaskan, menyebarkan Islam bakal memasuki Syurga dan tidak melaksanakan kewajipan itu akan masuk neraka.

Sebelum beliau bangun berucap, Dr Fadzli menyatakan, Tuan Guru mempunyai program di Terengganu dan terus berkereta ke Kuala Lumpur untuk memenuhi jemputan bersama bloggers.

Sebaik Tuan Guru selesai berucap, majlis dibuka kepada penyertaan peserta yang terdiri daripada 200 bloggers yang berlegar di seputar berbagai isu berbangkit dan semasa.