Tuesday, October 23, 2012

Pakatan Rakyat bersedia tawan Pahang

KUANTAN: Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) Negeri Pahang 2012 dengan tema ‘Ubah sekarang selamatkan Pahang’ yang berlangsung di sini semalam menzahirkan iltizam untuk menawan negeri Pahang.
Dalam penyataan bersama oleh ketiga-ketiga parti komponen di penghujung konvensyen itu, iltizam ketika-tiga parti itu dicerminkan daripada persetujuan bersama dasar dan polisi yang menguntungkan rakyat di kala kerajaan BN Pahang terbukti gagal mentadbir urus negeri Pahang dengan efisyen, telus dan amanah.

Penyataan yang dibaca oleh Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man itu, memperakui janji untuk menawarkan dasar yang benar-benar berpaksi kepada kebajikan rakyat dalam menguruskan khazanah negeri, menjaga dan melestarikan alam sekitar serta membela masa depan peneroka Felda dan mengembalikan hak-hak Orang Asli.

[Gambar (Dari kiri) Leong, Tuan Ibrahim dan Fauzi menandatangani perisytiharan bersama sambil diperhatikan pimpinan Pakatan.]

Menurut penyataan itu lagi, pendekatan PR berasaskan keadilan dan kesaksamaan kepada semua tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit, juga meraikan partisipasi (penyertaan) wanita dalam pembangunan negeri.

“Menyedari bahawa rakyat negeri Pahang khasnya dan Malaysia keseluruhannya telah ditipu oleh BN selama 55 tahun yang telah menyebabkan kualiti hidup, ekonomi dan integrasi antara kaum-kaum bukan sahaja merudum malah berada di tahap yang kritikal, maka PR Pahang menzahirkan komitmen untuk melakukan islah bagi kesejahteraan serta mengangkat martabat rakyat bagi menikmati keadilan dan kekayaan negeri.

“Demikian itu, kami memberikan komitmen dan aku janji untuk merealisasikan segala tawaran kepada rakyat seperti yang dipersetujui bersama bagi menyelamatkan Pahang,” kata Tuan Ibrahim.

Penyataan bersama tersebut kemudiannya ditandatangani oleh beliau, Ketua Perhubungan PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Pengerusi DAP negeri Leong Ngah Ngah.

Kenyataan tersebut erupakan rumusan dan intipati daripada tiga kertas kerja yang dibentangkan sebelum itu.

Kertas kerja pertama dibentangkan oleh Timbalan Presiden Anak Aris Fezul Ismail berkaitan isu-isu Felda dan diulas oleh Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda dan Orang Asal PKR Haji Suhaimi Said.

Kertas kerja kedua dibentangkan oleh Timbalan Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Tengku Puji berkaitan isu-isu tanah di Pahang, diulas oleh Pengerusi Badan Bertindak Rakyat Pahang Syed Ali Badaruddin Syed Othman dan wakil Orang Asli.

Sementara kertas kerja ketiga berkaitan ekonomi negeri Pahang dibentangkan oleh Ketua DAP Cabang Indera Mahkota Lee Chean Chung dan diulas oleh Ahli jawatankuasa PAS Pahang Hassanuddin Salim.

Seramai 700 perwakilan ketiga-tiga parti dari seluruh Pahang hadir.

Sementara itu Tuan Ibrahim dalam ucapan penggulungannya sebelum itu menyeru semua ahli dan penyokong PR Pahang agar memfokuskan iltizam untuk merampas negeri Pahang daripada BN.

“Justeru jangan terganggu dengan soal-soal remeh-temeh sebaliknya tumpukan kepada isu-isu besar. Selepas daripada itu, rujuklah kepimpinan jika berlaku sebarang permasahan,” katanya.

No comments: