Thursday, October 25, 2012

Kelantan juga tangguh pemasangan AES

KOTA BHARU: Bersama-sama negeri Pakatan Rakyat yang lain, Kerajaan Negeri Kelantan juga hari ini memutuskan untuk menangguhkan penggunaan sistem Penguatkuasaan Automatik AES di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Takiyuddin Hassan berkata sehingga kini pihak kerajaan negeri tidak menerima sebarang maklumat dari pemegang konsesi pemasangan Kamera AES tersebut.

“Kita sehingga kini masih lagi belum menerima apa-apa maklumat berkaitan dengan pemasangan Kamera AES ini dan mengikut undang-undang, pihak kerajaan negeri mempunyai hak ke atas jalanraya negeri.

"Oleh itu kita bercadang untuk menangguhkan terlebih dahulu pemasangan kamera tersebut,” ujar beliau.

Takiyuddin berkata demikian selepas mesyuarat Exco hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pagi ini.

Kerajaan negeri juga ujarnya telah mengarahkan Setiusaha Kerajaan Negeri untuk memanggil pihak dari Kementerian Pengangkutan bagi memberi taklimat terlebih dahulu kepada kerajaan negeri dalam hal pemasangan kamera AES tersebut.

Beliau juga berharap pihak konsesi alatan tersebut dapat memberi taklimat terlebih dahulu kepada kerajaan negeri agar ia tidak menimbulkan kekeliruan terhadap rakyat.

“ Memang tidak dinafikan terdapat beberapa pilihan untuk menjaga keselamatan rakyat, namun dengan penggunaan AES ini ia boleh menimbulkan kesulitan kepada rakyat.

"Kita difahamkan alat ini akan dipasang di kawasan 30km/j hingga 70km/j dan kebanyakkannya melibatkan jalan kerajaan negeri” katanya.

Menurut beliau, kerajaan tidak menentang pemasangan kamera AES ini tetapi ia mestilah mempunyai mekanisma terbaik terlebih dahulu dan tidak bersifat menyusahkan rakyat.

Sebelum ini, selain Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah juga membuat pendirian serupa iaitu menangguhkan dahulu pemasangan AES di negeri masing-masing sehingga satu kajian menyeluruh dibuat.

No comments: