Thursday, December 06, 2012

Umno hidupkan kembali budaya samseng era 1969

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan masih lagi mengingati aksi ganas kumpulan samseng yang dinamakan Pemuda Tahan Lasak digunakan Umno bagi menghalang kemaraaan PAS di Kelantan.

Kumpulan samseng tersebut digunakan secara meluas terutamanya di Rantau Panjang sehingga mereka menghalang penduduk mahu keluar mengundi dengan membakar sebuah jambatan.

Penduduk veteran di kampung tersebut memberitahu mereka terpaksa dikawal anggota tentera untuk balik daripada mengundi di Gual Periuk pada 1969.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, situasi yang pernah berlaku di sini pada 1960-an kini seperti mahu dihidupkan kembali pihak terbabit.

“PAS ada banyak pengalaman pada 1969 apabila Umno dalam keadaan hampir kalah pilihan raya mereka mencetuskan budaya samseng bagi mewujudkan suasana takut dalam kalangan rkayat.

“Tanda-tanda Umno kehilangan kuasa semakin jelas sehingga mereka melakukan sesuatu seperti orang hilang pedoman. Mereka terlalu takut dengan kekalahan.

“Rakyat mesti menolak parti yang mengamalkan budaya politik samseng termasuk mengganggu ceramah-ceramah Pakatan Rakyat,” katanya di sini.

Malam semalam sekumpulan samseng yang sebahagiannya membawa bendera BN dilaporkan mengganggu ceramah Pakatan di Dataran Sharuddin, Batu 8 Gombak sehingga ada penyokong parti yang cedera.

Mohd Amar yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, sindrom takut dan rimas Umno terbawa-bawa kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Abdul Razak sehingga was-was bagi mengisytiharkan pilihan raya umum ke-13.

“Ini perkara luar biasa yang berlaku di negara kita sekarang. Ia menimbulkan persoalan besar kepada masyarakat. Tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia pilihan raya lewat macam ini,” ujarnya.

Hancurkan kuasa Umno BN jalan terbaik hapus rasuah


KUALA LUMPUR: Menghancurkan kuasa Umno Barisan Nasional (BN) adalah satu-satunya jalan untuk menghapuskan rasuah di negara ini, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Tidak ada dua jalan, hanya itu sahaja satu-satunya cara untuk mengurangkan rasuah ke tahap minimum di negara ini, iaitu dengan menghancurkan kuasa Umno BN," kata beliau ketika menyatakan kebimbangannya tentang laporan terbaru mengenai rasuah yang kian kronik di negara ini.

Pengerusi Transparency International-Malaysia, Datuk Paul Low Seng Kuan mendedahkan maklumat kaji selidik yang menunjukkan separuh dari syarikat yang beroperasi di Malaysia melaporkan bahawa mereka kehilangan kontrak atau peluang perniagaan kepada pesaing mereka akibat rasuah sejak setahun lalu.

"(Bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri yang mengingatkan kita bahawa Umno sudah jadi parti perasuah.

"Apa yang dilaporkan oleh Transparency International-Malaysia tentang betapa kroniknya rasuah di negara itu ternyata adalah akibat langsung dari pemerintahan Umno BN," kata Mahfuz sambil menyifatkan pemerintahan Umno BN adalah pemerintahan untuk rasuah, demi rasuah dan dengan rasuah.

Serentak dengan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menolak rayuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat supaya jangan menukar kerajaan dengan alasan "jangan kerana marah kepada nyamuk, kelambu dibakar".

"Pelik sungguh Najib. Dia tak tahukah rakyat bukan nk bakar kelambu, tapi nak tukar tilam dan katil?

"Kalau paksa juga diri tidur atas tilam dan katil yang reput dimakan anai-anai, bila katil itu runtuh, dengan kita sekali sama-sama melingkup.

"Sebelum melingkup, baik rakyat buang jauh-jauh katil dan tilam Umno yang busuk dan reput, barulah selamat dari melingkup dan tidak lagi sakit belakang," kata Mahfuz yang turut memberikan tamsilan.

Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kedah esok


KUALA LUMPUR: Himpunan Kebangkitan Rakyat terus bersemarak lagi esok, 7 Disember bertempat di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar, Kedah.

Himpunan Kebangkitan Rakyat bagi peringkat negeri Kedah ini akan dimulakan seawal jam dua petang dengan segmen Bicara Wanita Pakatan Rakyat.

Kemudian diikuti persembahan kebudayaan, konvoi dan pidato kira-kira jam tiga petang, dan seperti biasa segmen kuliah perdana Ustaz Azhar Idrus dijadualkan jam lima petang.

Tujuh malam, para peserta himpunan bersolat Mahgrib, diikuti munajat perdana dan solat Isyak berjemaah.

Selepas itu, sesi ceramah oleh pimpinan Pakatan Rakyat diadakan jam sembilan malam.

Antara mereka yang akan menyampaikan ceramah pada malam itu, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak.

Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kedah merupakan siri keempat selepas di Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor.

Bajet agama naik 300%: MCA tuduh DAP menuju Islamisasi


PULAU PINANG: Pengerusi MCA Pulau Pinang, Teng Chang Yeow mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang menuju ke arah Islamisasi apabila menaikkan peruntukan hal ehwal agama Islam sebanyak 300 peratus.

"Lim lebih takut kepada PAS. Mereka hanya menang satu kerusi di Pulau Pinang, kenapa mereka perlu takut (kepada PAS) seperti ini?" katanya dalam satu majlis makan malam anjuran MCA di Bagan – kawasan parlimen yang diwakili Lim Guan Eng (gambar) – pada Isnin lepas.

Ia disiarkan oleh sebuah akhbar Cina baru-baru ini.

Ekoran laporan itu, Lim Guan Eng menolak laporan sebegitu dan menyifatkan ia sebagai kenyataan resis, lapor Malaysiakini.

"Ini adalah satu sentimen rasis yang sangat jahat kerana ia memberi gambaran bahawa hak orang bukan Melayu atau bukan Islam dipinggirkan".

Lim berkata kenyataan daripada pemimpin BN itu tidak akan disiarkan dalam akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia yang dimiliki Umno.

Sebaliknya, akhbar tersebut (Utusan), akan menggambar beliau sebagai "anti-Melayu dan anti-Islam", kata Lim.

"Bagaimanapun, dalam akhbar berbahasa Cina, kita dituduh anti-bukan Melayu dan anti-bukan Islam," kata Lim yang juga setiausaha agung DAP dalam satu sidang media semalam.

"Jika Umno dan Gerakan atau MCA di pentas sama, mereka tidak tahu apa untuk dikata, mereka akan berdiam diri.

"Apabila Umno meruntuhkan satu tokong Hindu di Prai, Gerakan dan MCA juga berdiam diri. Dalam hal ini, nampaknya Umno akan berdiam diri".

Mengulas kenyataan Teng berhubung isu peruntukan untuk majlis agama Islam yang lebih kecil di bawah Koh, Lim berkata setiausaha agung Gerakan itu mengakui hakikan bahawa masyarakat berkenaan kurang diberi perhatian.

"Kita peruntuk dana mengikut keperluan, terutama untuk golongan yang dipinggirkan oleh pentadbiran sebelum ini, memandangkan wang tersebut tidak masuk ke poket rakyat tetapi poket mereka sendiri," kata Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Wednesday, December 05, 2012

Najib tidak rasa beliau Perdana Menteri

Tuan Ibrahim menunjukkan lambang ‘gunting’ sebagai respons kepada cabaran Adnan yang sanggup dipotong telinga jika DAP menang di Bentong.

TEMERLOH: PAS berpendapat ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini tidak menggambarkan beliau seorang Perdana Menteri sebaliknya hanya pemimpin sebuah parti perkauman yang mengajak kepada perpecahan.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jika beliau sedar sebagai seorang Perdana Menteri sudah pasti tidak akan terikut-ikut dengan perwakilan dengan begitu emosional menyerang Pakatan Rakyat (PR).

“Jika diteliti ucapan Najib bermula daripada ucapan dasar hinggalah kepada penggulungan, penuh dengan emosi, serangan peribadi, semangat perkauman dan mempergunakan agama.

“Jika perwakilan yang berbahas dengan nada emosional seperti itu kita faham, tetapi Najib tidak sepatutnya terikut-ikut dengan rentak perwakilan sehingga dia terlupa sebagai seorang Perdana Menteri.

“Cuba ambil contoh Presiden PAS (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) berucap dalam muktamar, walaupun macam-macam dibahaskan oleh perwakilan akhirnya Tuan Guru akan mengajak rakyat kepada perpaduan,” katanya dalam sidang media di pejabat PAS Pahang hari ini.

Turut hadir Ketua PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Tengku Puji serta pimpinan negeri ketiga-tiga parti.

Tuan Ibrahim berkata, kesimpulan yang dibuat Najib hanyalah lahir daripada rasa tertekan menghadapi pilihan raya.

Ketika berucap pada penggulungan, Najib berkata “satu undi untuk PKR bermaksud satu undi untuk kerosakan akidah dan kerosakan umat. Satu undi untuk PAS bermakna satu undi untuk perpecahan. Satu undi untuk DAP bermakna satu undi penindasan bangsa tercinta. Sebaliknya satu undi untuk Umno dan BN adalah satu undi untuk keselamatan akidah orang Islam. Satu undi untuk BN, satu undi untuk perpaduan dan kekuatan umat. Satu undi untuk BN, satu undi pembelaan bangsa Malaysia.

Jelas Tuan Ibrahim, barangkali Najib tidak diberitahu trend golongan muda di bawah 40 tahun yang mewakili 52 peratus penduduk negara ini, adalah menolak parti dan politik bersifat perkauman.

“Jadi apa gunanya beliau meminta maaf kepada rakyat Malaysia sebelum itu, dalam perhimpunan yang sama, sedangkan terus menyalakan api dendam dan kebencian walaupun kewujudan PAS, PKR dan DAP lahir daripada amalan demokrasi?” soalnya.

Sementara itu Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, PR mensasarkan kehadiran 40,000 rakyat dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang (HKRP) pada 9 Disember ini di Kerdau.

Katanya, komitmen ini penting bagi merealisasikan perubahan rakyat di negeri ini ke arah pemerintahan yang lebih baik dan membela rakyat.

Fauzi pula berkata, HKRP ini penting kerana melambangkan perubahan rakyat di peringkat bawah dan mesti dilakukan apabila di peringkat kepimpinan atasan (kerajaan) tidak mahu berubah.

Katanya, rakyat sendiri sudah melihat kepincangan kerajaan negeri dengan penyelewengan, salah guna kuasa dan salah urus tadbir sehingga tidak ada apa-apa kebaikan lagi melainkan terpaksa ditukar kerajaan baru.

Dalam pada itu, Tengku Zulpuri berkata, DAP sudah bersiap sedia menggalas cabaran untuk merampas Parlimen Bentong daripada BN dalam pilihan raya akan datang.

“Kita pandang serius cabaran (Menteri Besar Pahang Datuk Seri) Adnan Yaakob yang sanggup dipotong telinga dan terjun Sungai Pahang jika DAP menang di Bentong,” tegasnya.

Isu Adnan sanggup dipotong telinga jika DAP menang di Bentong, hangat diperkatakan apabila beliau menyebut ‘tawaran’ itu kepada pemberita semasa Pau di PWTC.

Namun keesokan harinya beliau berdolak-dalik mengatakan ‘sanggup potong telinga’ itu hanyalah satu kiasan.

Kelantan sasar rumah mampu milik semua jajahan


GUA MUSANG: Kerajaan negeri tetap berusaha bagi membolehkan rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri, biar pun disisih daripada mendapat peruntukan membina rumah awam kos rendah sejak 1990.

(Datuk Ahmad Yakob berucap di Gua Musang)

Antara usaha dilakukan termasuk membina rumah mampu milik bagi membantu rakyat mendiami kediaman sendiri yang lebih selesa.

Rumah mampu milik pertama dilaksanakan di Labok Machang lebih setahun lalu. Projek berkenaan sekarang diperluaskan ke jajahan lain.

Usaha tersebut kini turut dibantu anak syarikat kerajaan negeri, Tunjong Development Corporation Sdn Bhd (TDC) bagi membina rumah jenis berkenaan di Kelantan.

TDC melaksanakan projek usahasama dengan ML Synergy Sdn Bhd. Syarikat berkenaan diterajui anak Kelantan yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri pembinaan. TDC pula syarikat milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, projek terbabit akan dibangunkan di kawasan seluas 62 ekar di Mukim Pulai, Daerah Galas.

Katanya, rumah mampu milik yang akan dibina meliputi 30 peratus daripada keseluruhan projek tersebut.

“Sebanyak 123 unit rumah mampu milik bakal dibina daripada 410 unit bangunan di kawasan berkenaan.

“Walaupun kurang menarik berbanding projek-projek lain dari segi keuntungan, namun konsep cross subsidy di antara pembangunan komersial dan bercampur ia berupaya menampung kerugian yang ditanggung.

“Rumah mampu milik harga jualan dihadkan sehingga RM100,000 seunit. Harganya lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya pada majlis pecah tanah projek tersebut baru-baru ini.

Perasmiannya disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Ceramah Merdeka Rakyat kecoh, seorang cedera

(Cedera dibahu akibat tusukan benda tajam)

GOMBAK: Majlis ceramah Jelajah Merdeka Rakyat dekat sini kecoh dan seorang petugas luka dibahu akibat tusukan benda tajam.

Ia berlaku apabila sekumpulan pemuda Umno Gombak dikatakan merempuh tempat ceramah Merdeka Rakyat itu.

Menurut Adun Batu Caves, Amirudin Shari,  Pemuda Umno yang diketuai oleh Ketua Pemuda Umno Gombak dan exco Pemuda Pusat cuba rempuh untuk menghalang ceramah itu.

(Pemuda Umno cuba menganggu ceramah Merdeka Rakyat di Gombak)

Menurut beliau, batu juga dilemparkan ke tengah orang ramai yang menyertai ceramah itu.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) juga kelihatan di kawasan ceramah itu.

Walaupun diganggu, orang ramai tetap datang untuk mendengar ucapan para pemimpin Pakatan Rakyat.















(Anggota FRU yang dikerah untuk mengawal keadaan)


(Sebahagian orang ramai yang mahu mendengar ceramah tetapi diganggu)

Kembara Oren Selamatkan Felda di T’ganu 7-8 Dis

Shalahuddin Jaafar (kanan) dan Noraza Muda menunjukkan poster Kembara Oren Selamatkan Felda pada sidang media hari ini.

KUALA TERENGGANU: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan menganjurkan konvoi Kembara Oren Selamatkan Felda peringkat Negeri Terengganu pada 7 hingga 8 Disember ini.

Pengerusi Anak Terengganu, Shalahuddin Jaafar berkata program konvoi Kembara Oren Selamatkan Felda akan bermula di Kemaman dan berakhir di Besut.

Menurutnya, peserta konvoi sebanyak 30 buah kenderaan pacuan empat roda 4x4 akan berkumpul di Dataran Ketengah Jaya bersama lebih 200 warga Felda Kertih 5, 6, 4 dan 1.

“Kami (Anak) mempelawa kepada anak-anak peneroka Felda yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda 4x4 untuk menyertai program Kembara Oren Selamatkan Felda dari Kemaman hingga ke Besut.

“(Kembara Oren) Ini akan diketuai oleh Pengerusi Anak, Mazlan Aliman dengan mengadakan program gempur dan mengedar risalah untuk selamatkan warga Felda,” ujarnya pada satu sidang media di Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, rombongan konvoi akan bergabung pula dengan para peserta di Felda Kertih 2 dan 3 sebelum meneruskan perjalanan ke Dungun.

Selepas itu, kata beliau sejumlah 60 buah kenderaan pacuan empat roda yang diiringi 20 buah motosikal cup akan tiba di Felda Jerangau, di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Besi, Dungun.

Menurutnya, peserta konvoi Kembara Oren menjadi lebih besar apabila tiba di Felda Bukit Bading, di Dun Ajil Hulu Terengganu berjumlah 90 buah kenderaan 4x4 tersebut.

Kemuncaknya, kata Shalahuddin, jumlah peserta konvoi tersebut semakin besar dengan penyertaan lebih 110 buah kenderaan pacuan empat roda tiba di Masjid Felda Selasih, Setiu.

“Kami (Anak) dijangka sampai di Masjid Felda Selasih untuk solat asar dengan jumlah peserta lebih 110 buah kenderaan 4x4 sebelum bertolak lagi ke Felda Tenang di Hulu Besut.

“Pada malamnya, diadakan Ceramah Kembara Oren Selamatkan Felda di Felda Tenang, Hulu Besut untuk memberi pendedahan kepada warga masyarakat Felda di negeri ini,” ujarnya.

Harakah dimaklumkan, antara pemidato ceramah tersebut iaitu Pengerusi Anak, Mazlan Aliman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Muhyidin Abdul Rashid, Penaung Mampat, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim, Shalahuddin Jaafar (Pengerusi Anak Terengganu), Presiden NGO Waris, Haji Roslan Ismail dan Pengerusi NGO Royalti Terengganu, Mohd Fauzi Abu Samah.

Setiausaha Anak Terengganu, Noraza Muda berkata Anak Terengganu perlu membuat sesuatu tindakan bagi menyedarkan warga Felda mengenai bahaya FGVH.

Katanya, para peneroka perlu mengetahui kedudukan Felda berisiko jika saham Felda (FGVH) terus merudum jatuh.

“Kita (Anak) rasakan perlu buat sesuatu untuk menyedarkan masyarakat di Felda seluruh negeri Terengganu ini. Felda dalam bahaya jika saham FGVH terus rendah dan jatuh merudum.

“Mereka (peneroka) perlu tahu risiko dari kejatuhan saham FGVH yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia hari ini,” jelasnya.

Menurut beliau, di Terengganu terdapat sejumlah 21 buah tanah rancangan Felda yang mempunyai penerokanya.

Manakala, katanya Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Terengganu mempunyai tujuh cawangan di negeri ini dengan keahlian lebih 700 orang.

Tambahnya lagi, antara cawangan Anak di Terengganu iaitu di Felda Kertih 5 & 6, Felda Kertih 1 & 2, Felda Kertih 4, Felda Jerangau, Felda Bukit Bading, Felda Chalok, Felda Tenang.

Tuesday, December 04, 2012

Tawaran mega untuk rakyat Pahang 9 Dis


TEMERLOH: Pakatan Rakyat (PR) Pahang akan membuat pengisytiharan tawaran mega untuk rakyat negeri ini jika diberi mandat memerintah pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang (HKRP), 9 Disember ini.
 
Menurut pengarah program Dr Hamzah Jaafar, dalam program pra Perhimpunan Sejuta Rakyat itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengisytiharkan tawaran Kerajaan Pusat untuk Rakyat Pahang.

Manakala ketiga-tiga pemimpin negeri iaitu Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah pula akan mengisytiharkan tawaran Kerajaan PR Pahang untuk rakyat negeri ini.

“Perisytiharan ini adalah suatu yang amat istimewa untuk warga Pahang kerana ia berkait rapat dengan keperluan dan tuntutan hidup mereka yang tidak diselesaikan oleh Kerajaan BN selama ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Turut hadir Pengerusi Biro Pendidikan PKR Pusat, Abbas Awang, Naib Pengerusi DAP Pahang Koh Boon Heng serta pimpinan ketiga-tiga parti peringkat negeri.

Dr Hamzah berkata, dalam program HKRP Tapak Kompleks PAS Pahang di Kerdau nanti, hadirin akan dapat mendengar ucapan bekas Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia yang juga bekas Pengerusi syarikat televisyen Media Prima, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin yang menyertai PAS di Johor kelmarin.

Tambahnya HKRP akan disemarakkan oleh konvoi 500 penunggang motosikal berkuasa tinggi seawal jam 11 pagi dari Jerantut ke tapak himpunan. Di tapak program, akan disediakan dengan pameran sejarah perjuangan ketiga-tiga parti.

“Pada sebelah petang anak muda akan dihiburkan dengan persembahan santai artis-artis Bob Lokman, ALI XPDC dan Dayangku Intan.

“Kemuncaknya ialah pidato pemimpin daripada ketiga-tiga parti iaitu Anwar, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang,” ujarnya.

Dr Hamzah berkata, wakil-wakil NGO Anak, Hijau, Anti-Lynas, Bersih, Kerabat, Orang Asal Cameron Highland, Save Bukit Koman dan Royalti akan turut diberi laluan berucap.

“Pihak penganjur sangat yakin himpunan ini akan melakar sejarah baru dalam arena politik tanah air, khususnya di Pahang dengan kebangkitan rakyat yang secara jelas menolak segala bentuk dan sifat salah laku serta gagal urus tadbir negeri dan urusan rakyat,” katanya

Umum nama bakal PM selepas penamaan calon


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali (gambar) mencadangkan agar Pakatan Rakyat mengumumkan nama bakal Perdana Menteri dari Pakatan Rakyat selepas penamaan calon pilihan raya umum nanti.

"Waktu paling sesuai diumumkan secara rasmi siapa bakal Perdana Menteri ialah selepas penamaan calon, supaya rakyat ada 'clear choice' selepas itu," katanya dalam pertemuan eksklusif bersama Harakahdaily dan Harakah di Pejabat Harakah hari ini.

Cadangannya itu bagaimanapun katanya terletak kepada budi bicara pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

Jelasnya, cadangan itu akan memberi semangat kepada penyokong Pakatan Rakyat untuk bekerja memenangkan calon masing-masing dalam pilihan raya umum nanti.

"Kerana untuk jadi Perdana Menteri mesti bertanding dalam PRU-13 dan mesti menang. Jadi selepas penamaan calon kita sudah ada nama bakal perdana menteri," katanya.

Namun katanya, soal siapa jadi Perdana Menteri bagi Pakatan Rakyat nanti akan ditentukan oleh pimpinan tertinggi apabila sampai masanya.

"Walaupun pada waktu ini secara rasmi belum diputuskan siapa, saya lihat ia tidak ada masalah sebab tidak ada perebutan di dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Majlis Makan Malam Jentera Pilihanraya DPPKM Bersama Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia













Merayu: Najib minta maaf, Mahathir menangis


KUALA LUMPUR: Taktik meminta maaf adalah taktik baru Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih merayu supaya rakyat sekali lagi memilih BN di dalam PRU13 nanti.
“Kalau dulu Tun Mahathir menangis untuk menarik simpati.

“Apakah tidak cukup 55 tahun rakyat beri amanah kepada Umno BN?” tanya AJK PAS Pusat, Idris Ahmad dalam satu kenyataan.

Justeru, ujrnya Najib perlu ingat bahawa pengundi sekarang adalah pengundi bermaklumat dan mereka mahu kerajaan yang telus dan amanah.

Katanya, ketika Najib meminta mandat dan memohon maaf,  longgokan masalah yang dihadapi oleh rakyat tidak diselesaikan.

Antaranya, kata beliau hutang negara tahun 2012 berjumlah RM502 bilion, meningkat 107.4 % sejak lapan tahun (2004), seramai 10,200 graduan pendidikan masih tidak ada penempatan di samping 8,000 lulusan jururawat tidak ada kerja sementara 1,118 juruterbang yang berlesen tidak ada kapal terbang untuk dibawa.

“Apa khabar wang RM40 juta yang diberi kepada Musa Aman oleh Michael Chia untuk tabung Umno Sabah, isu NFC masih tidak berkesudahan, pendedahan Tan Sri Musa Hassan yang mengatakan tugas polis diganggu oleh menteri, rakyat lagi sakit hati,” katanya.

Beliau menambah, rakyat tidak boleh berdiam diri untuk membiarkan BN merosakkan masa depan negara, justeru Umno BN perlu dihukum untuk menamatkan keangkuhan mereka.

Katanya, kedaulatan rakyat dan kesejahteraan negara tidak akan  tercapai jika pemimpin dan BN masih berkuasa.

Menurutnya, pencapaian kerajaan Pakatan Rakyat terbukti di pandangan mata rakyat mampu mentadbir kerajaan pusat walau pun terpaksa berdepan dengan berbagai halangan.

“Ini meyakinkan lagi Umno tidak boleh dimaafkan untuk kali ini,” tegasnya.

Berperanglah dengan Deepak dahulu sebelum PR


KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berperanglah dahulu dengan Deepak Jaikishan sebelum berperang dengan Pakatan Rakyat (PR), kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Pergi bawa Umno dia berperang dengan Deepak dulu, dah menang dengan Deepak baru datang berperang dengan kita (PR).

"Kalau dengan Deepak pun tak boleh menang perang dan tak berani jawab sepatah pun, tak usahlah cakap lebih-lebih nak berperang dengan PR," katanya.

Dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno, Najib mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap PR dengan laungan slogan anti-PR.

Deepak kini dilihat memerangi Najib dengan pelbagai tuduhan terutama tuduhan yang amat jelas berkaitan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Deepak bukan memerangi ketua Umno cawangan tetapi Presiden Umno yang juga Perdana Menteri.

"Tentulah beliau mempunyai asas yang sangat kuat untuk berbuat demikian," kata Mohamad.

Beliau juga menyifatkan isu yang berlaku kini bukan isu Najib semata-mata tetapi isu yang melibatkan keburukan Umno yang sekaligus menjejaskan nama baik negara.

"Bukan isu serangan Deepak terhadap Najib sahaja tetapi ia juga mempunyai kaitan yang rapat dengan pendedahan (bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri) Musa Hassan bahawa (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) campur tangan dalam siasatan polis.

"Campur tangan dalam siasatan polis bermakna Umno melalui menterinya menafikan keadilan untuk rakyat.

"Jika Umno menang lagi, tidak ada jaminan menteri Umno tidak campur tangan dalam siasatan polis terhadap tuduhan Deepak ke atas Najib," kata Mohamad.

Beliau berkata, kalau konstabel polis sekalipun yang membuat pendedahan, rakyat perlu mengambil kira dan memastikan kebenarannya.

"Ini bukan OCPD Baling yang buat pendehan, ini pendedahan bekas Ketua Poilis Negara.

"Lebih dari itu, ini bukan pertama kali dia mendedahkan campur tangan menteri Umno dalam siasatan polis," kata beliau.

Meskipun demikian, kata Mohamad, Hishammuddin hanya menepis pendedahan Musa itu dengan mendakwa semua itu bertujuan untuk mengalihkan tumpuan ahli-ahli Umno dalam perhimpunan agung mereka.

"Itu jawapan tipu tanpa asas.

"Dalam kes Deepak membisu, dalam kes Musa pula menipu," katanya lagi.

13 Mei: Dakwaan Shahrizat melampau, andaian jahat

Shahril (tengah) menunjukkan laporan polis di hadapan balai polis Temerloh.

TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) hari ini membuat laporan polis di sini berhubung kenyataan Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Jalil di perhimpunan agung parti itu yang didakwa bersifat hasutan.

Dalam laporan polis oleh ketuanya, Shahril Azman Abdul Halim, mahu polis memulakan siasatan ke atas Shahrizat berdasarkan peruntukan Kanun Keseksaan ekoran ucapan menghasut beliau ketika merasmikan perhimpunan sayap parti berkenaan di PWTC pada 28 November itu.

Memetik laporan tersebut yang turut disebarkan oleh media-media cetak dan elektronik, Shahrizat berkata jika Umno atau BN tidak lagi berada di tampuk kuasa kestabilan politik (negara ini) akan goyang seterusnya mungkin akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969.

Dalam laporan polis itu, Shahril sebagai seorang warganegara Malaysia, berasa sangat terganggu dengan ucapan tersebut dan berpendapat bahawa ia adalah berniat jahat bagi tujuan mendatangkan rasa takut, rasa tidak selamat, tidak tenteram, ugutan, menghasut dan seterusnya mendatangkan khianat kepada ketenteraman awam.

Justeru beliau membuat laporan bagi polis memulakan siasatan ke atas Shahrizat di bawah mana-mana peruntukan seksyen 500, 503, 504, 505 dan 506 atau mana-man peruntukan undang-undang lain yang relevan atas alasan mengeluarkan kenyataan jahat yang mendatangkan khianat awam serta menggugat ketenteraman ekoran kenyataan beliau.

Sementara itu, Shahril dalam sidang medianya selepas itu menganggap kenyataan bekas menteri yang pernah terpalit dengan skandal lembu kondo  itu, sebagai tuduhan melampau dan andaian jahat jika Pakatan Rakyat (PR) menang.

“Walhal PR telah buktikan negeri yang dikuasai selepas pilihan raya lalu bukan saja aman tanpa rusuhan kaum, malah terus maju sehingga diiktiraf oleh Ketua Audit Negara.

“Sebab itu bagi Pemuda PAS, ugutan Shahrizat ini melambangkan ketakutan parti pemerintah berhadapan pilihan raya akan datang kerana bimbang dihukum rakyat lalu mengugutnya dengan tragedi berdarah 13 Mei,” tegasnya.

Katanya, pada hari ini Pemuda PAS negeri-negeri membuat laporan polis seluruh negara terhadap isu yang sama.

PAS Perak buat laporan polis terhadap Shahrizat

IPOH: PAS Perak hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini yang berbaur hasutan serta perkauman.

Laporan polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh diketuai oleh Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Zawawi Hassan.

Zawawi ketika ditemui berkata, Shahrizat cuba mengugut serta menakutkan rakyat dengan mengatakan kekhuatiran beliau tragedi 13 Mei 1969 akan berulang kembali jika Umno tidak lagi berkuasa.

Menurutnya, dakwaan tersebut sangat merbahaya dan boleh membangkitkan sentimen perkauman serta kacau bilau di kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum di negara ini.

Katanya, rakyat berasa sangat terganggu dengan ucapan tersebut dan berpendapat ianya berniat jahat untuk menakutkan rakyat untuk menyokong Pakatan Rakyat.

“Beliau sengaja mewujudkan rasa takut, rasa tidak selamat, tidak tenteram di kalangan rakyat Malaysia seterusnya mendatangkan khianat awam kepada ketenteraman masyarakat awam pelbagai kaum di negara Malaysia ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Bagan Serai menjelaskan, dakwaan tersebut ternyata tidak berasas dan ianya dapat dibuktikan setelah Pakatan Rakyat dapat memerintah di beberapa buah negeri dalam keadaan yang aman tenteram.

Umno benar-benar habis modal – Presiden PAS


KOTA BHARU: Umno dianggap benar-benar kehabisan modal apabila hampir keseluruhan ucapan dasar dan penangguhan Presiden pada Perhimpunan Agung parti itu menghentam pemimpin Pakatan Rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, nampak sangat Umno seperti kehabisan modal bagi membincangkan masalah dalaman parti itu.

“Mereka sudah tidak ada modal lagi. Kalau kita perhatikan hampir keseluruhan ucapan pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini memperlekehkan orang lain.

“Inilah saban kali kita saksikan setiap kali Perhimpunan Agung Umno berlangsung. Sudah tidak ada modal lagi,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah sempena Kongres Dunia Islam di Balai Islam di sini malam tadi.

Perhimpunan Agung Umno kali ke-66 yang berakhir Sabtu lalu menyaksikan Presiden, Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin-pemimpin Umno menghentam pemimpin Pakatan Rakyat.

Malah Najib pada ucapan penangguhan yang dianggap sebagai ikrar Umno mendakwa satu undi kepada PKR akan membawa kepada kerosakan akidah dan umat, undi PAS untuk perpecahan, manakala undi DAP membawa kepada penindasan.

Ustaz Abdul Hadi juga berkata, Umno pun nampaknya sudah pandai membaca doa pada perhimpunan parti mereka.

Menurutnya sebelum ini Umno memperlekehkan doa dibaca pemimpin PAS, namun sekarang mereka sendiri pun membaca doa.

Ketika berucap sebelum itu katanya, Islam perlu kembali semula untuk pimpin dunia selepas banyak ideologi lain terbukti gagal menangani kehidupan umat manusia.

“Hanya Islam sahaja yang menerangkan segala aspek dalam kehidupan umat manusia. Sekarang anak-anak yang pernah mendapat didikan daripada barat pun bangkit mempertahankan Islam.

“Islam tetap bangkit biar pun cuba dihalang. Kita runtuhkan jahiliah untuk tukar kepada kerajaan yang adil.

“Umno nampak seperti mahu kekal sehingga kiamat,” katanya. Sebelum itu ceramah disampaikan Naib Presiden Institut Pemikiran Islam, Sheikh Dr Ahmed Totonji dan wakil Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Anang Sharifuddin.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

Kongres Dunia Islam 2012 berlangsung 1 hingga 5 Disember ini bertempat di Hotel Grand Riverview membabitkan pembentangan 70 kertas kerja dari dalam dan luar negara.

Sunday, December 02, 2012

Datuk Rahman Maidin umum sertai PAS

(Rahman menyerahkan borang PAS kepada Ustaz Hadi malam tadi)

BATU PAHAT: Bekas Pengerusi konglomerat media negara, MRCB, Datuk Abdul Rahman Maidin mengumumkan pernyertaannya ke dalam PAS malam tadi.

Beliau yang juga bekas Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mengumumkan penyertaan itu bersama tiga lagi bekas pegawai kanan kerajaan dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Johor malam tadi.

Turut serta adalah bekas Pengarah Eksekutif Felda Plantation Haji Mohd Sais Joned.

(Haji Mohd Sais menyerahkan borang kepada Ustaz Hadi dengan diperhatikan Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz)


Dua lagi adalah masing-masing bekas Pengarah Pelajaran Johor Hj Ramlan Sariman dan Timbalan Pengarah institur Perguruan Batu Pahat Haji Nasir Abdullah.
Kesemua mereka menyerahkan borang meyertai PAS kepada presiden parti itu Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan disaksikan hampir 30,000 hadirin.


(Haji Ramlan serahkan borang)

Penyertaan mereka ini yang semuanya pegawai-pegawai tinggi kerajaan, dilihat satu lagi tamparan hebat kepada Umno yang baru sahaja selesai bersidang hari ini.

Tekanan juga pastinya dirasai Felda yang diterajui Tan Sri Isa Samad, yang kini sedang terpalit dengan pelbagai masalah khususnya isu penyenaraian Felda Global Venture Holding Bhd (FGVH).

Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman ketika mengulas kemasukan Mohd Sais ke dalam PAS berkata, ianya satu kekuatan baru kepada NGO itu untuk terus mendedahkan segala kepincangan yang sedang berlaku dalam Felda ketika ini.

"Penyertaan bekas pegawai kanan Felda ini akan lebih menguatkan perjuangan kita untuk terus membetulkan kepincangan dan salah urus Felda pada waktu ini," katanya.


(Gambar: Haji Nasir)

Turut hadir dalam himpunan di Dataran Rakyat, Parit Haji Salleh Ros, Parit Raja, di sini malam ini termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw.

Selain mereka, turut hadir Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dan pemimpin PKR, DAP di peringkat negeri.

3 selebriti sertai Bicara Selebriti ke-7


(Bergambar kenangan dengan Tuan Guru Nik Aziz)

KOTA BHARU: Tiga selebriti terkenal tanah air termasuk seorangnya dari Indonesa aktres Ketika Cinta Bertasbih, Meyda Safira, menjayakan Bicara Selebriti Ke-7 malam tadi.

Dua orang lagi, Ustaz Azhar Idrus, pakar motivasi anak muda dan pelakon Heliza Helmi yang bakal dimoderatorkan oleh Amin Idris.

Buat julungkalinya sejarah program selebriti, ianya diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, berbanding sebelum ini diadakan di Balai Islam, KTC dan KB Mall.

Sempena kunjungan selebriti ini, mereka sempat mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Ahmad Yaacob di JKR 10, petang semalam.

Tuan Guru melahirkan rasa syukur kerana golongan artis semakin ramai mendekati Islam.

Pada masa yang sama juga beliau bersyukur kerana menerima undangan kerajaan Kelantan untuk menghadiri program berbentuk ilmu untuk dikongsi bersama.

Sementara itu, Meyda melahirkan rasa syukur kerana diberi kesempatan untuk hadir di Kelantan yang juga merupakan kunjungan pertama ke negara ini.

Baginya jemputan itu suatu yang mengejutkan kerana tidak dijangkakan akan menerima undangan yang sama sebagaimana sahabat yang lain sebelum ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur bangat, terima kasih kerana sudi mengundang saya,”ujarnya ketika ditemui selepas sesi pertemuan dengan Tuan Guru.

Ribuan di Himpunan Kebangkitan Rakyat Johor


BATU PAHAT: Ribuan rakyat Johor kini memenuhi Dataran Rakyat, Parit Haji Salleh Ros, Parit Raja, di sini sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Johor malam ini.

Biarpun program malam ini bertembung dengan siaran langsung bola sepak piala AFF Suzuki 2012 antara Malaysia dengan Indonesia, namun kehadiran yang ramai malam ini menunjukkan semangat perubahan politik rakyat negeri ini.
Program malam ini bermula dengan ucapan wakil-wakil badan bukan kerajaan NGO yang memperjuangkan hak rakyat.

(Gambar: Mohamad Sabu menerima limau sebagai gimik perasmian.)

Ianya termasuk NGO Anti-PPSMI, Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Gerakan Mansuh ISA (GMI), Hak Air Untuk Semua (Haus), Gabungan Menuntut Royalti Kelantan 'R', Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak), Gabungan menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), NGO Pengerang, serta NGO alam sekitar dan Anti Lynas.



Pada malam ini Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang dijangka hadir.

Mereka dijangka memberikan ucapan penutup sekaligus menjawab beberapa tuduhan Umno sepanjang perhimpunan agung parti itu yang berakhir hari ini.

Sedang berada dipentas ketika ini Pengarah Program Mohamad Sabu yang juga timbalan presiden PAS, Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, Pesurhjaya PAS Johor Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dan pemimpin PKR, DAP di peringkat negeri.

Terdahulu program malam ini dibuka dengan pertunjukan tarian singa dan kemudian dirasmikan pembukaannya oleh Mohamad Sabu.