Tuesday, December 04, 2012

Berperanglah dengan Deepak dahulu sebelum PR


KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berperanglah dahulu dengan Deepak Jaikishan sebelum berperang dengan Pakatan Rakyat (PR), kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Pergi bawa Umno dia berperang dengan Deepak dulu, dah menang dengan Deepak baru datang berperang dengan kita (PR).

"Kalau dengan Deepak pun tak boleh menang perang dan tak berani jawab sepatah pun, tak usahlah cakap lebih-lebih nak berperang dengan PR," katanya.

Dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno, Najib mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap PR dengan laungan slogan anti-PR.

Deepak kini dilihat memerangi Najib dengan pelbagai tuduhan terutama tuduhan yang amat jelas berkaitan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Deepak bukan memerangi ketua Umno cawangan tetapi Presiden Umno yang juga Perdana Menteri.

"Tentulah beliau mempunyai asas yang sangat kuat untuk berbuat demikian," kata Mohamad.

Beliau juga menyifatkan isu yang berlaku kini bukan isu Najib semata-mata tetapi isu yang melibatkan keburukan Umno yang sekaligus menjejaskan nama baik negara.

"Bukan isu serangan Deepak terhadap Najib sahaja tetapi ia juga mempunyai kaitan yang rapat dengan pendedahan (bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri) Musa Hassan bahawa (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) campur tangan dalam siasatan polis.

"Campur tangan dalam siasatan polis bermakna Umno melalui menterinya menafikan keadilan untuk rakyat.

"Jika Umno menang lagi, tidak ada jaminan menteri Umno tidak campur tangan dalam siasatan polis terhadap tuduhan Deepak ke atas Najib," kata Mohamad.

Beliau berkata, kalau konstabel polis sekalipun yang membuat pendedahan, rakyat perlu mengambil kira dan memastikan kebenarannya.

"Ini bukan OCPD Baling yang buat pendehan, ini pendedahan bekas Ketua Poilis Negara.

"Lebih dari itu, ini bukan pertama kali dia mendedahkan campur tangan menteri Umno dalam siasatan polis," kata beliau.

Meskipun demikian, kata Mohamad, Hishammuddin hanya menepis pendedahan Musa itu dengan mendakwa semua itu bertujuan untuk mengalihkan tumpuan ahli-ahli Umno dalam perhimpunan agung mereka.

"Itu jawapan tipu tanpa asas.

"Dalam kes Deepak membisu, dalam kes Musa pula menipu," katanya lagi.

No comments: