Sunday, May 13, 2012

Muktamar Pemuda PAS Kelantan di bangunan sendiri



(Mohamad Sabu bersama-sama kepimpinan DPPNK bergambar di hadapan bangunan Syabab Point)


KOTA BHARU: Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan kali yang ke 53 pada hari ini mencatat sejarah yang tersendiri apabila buat julung-julung kalinya berjaya dilaksanakan di bangunan sendiri iaitu bangunan Syabab Point yang terletak di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, Kelantan.

Ia dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad bin Sabu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman di dalam ucapannya mengimbau kembali sejarah pembelian bangunan ini daripada bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim yang menghadapi banyak halangan khususnya daripada pihak UMNO Bahagian Kota Bharu.

Namun berkat usaha bersungguh-sungguh termasuklah pembelian syarikat Umbak Baru Sdn Bhd, akhirnya usaha ini menjadi kenyataan apabila ia diserahkan secara rasmi kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan pada 20 Oktober 2010 iaitu genap 20 tahun pentadbiran kerajaan PAS di negeri Kelantan Darul Naim.


"Ini merupakan detik yang perlu dirakamkan dan diingati oleh semua pemuda pendokong perjuangan Islam di mana kejayaan mendapatkan bangunan yang asalnya dimiliki oleh UMNO Bahagian Kota Bharu yang turut merupakan satu kemenangan moral kepada kita.

"Jika di Barat, banyak gereja bertukar menjadi masjid merupakan kemenangan kepada Islam, maka di Malaysia, kejayaan memiliki bangunan Umno ini merupakan satu kejayaan kepada perjuangan Islam," katanya.

Manakala Mohamad bin Sabu pula di dalam ucapannya mengimbau kembali sejarah perjuangan pemuda PAS ketika zaman kejatuhan kerajaan Kelantan apda tahun 1978 sehinggalah pada saat ini ketika saat-saat kemenangan dilihat semakin hampir.

Beliau juga tidak lupa untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan yang berjaya mengadakan muktamar di bangunan sendiri pada hari ini.

No comments: