Wednesday, May 16, 2012

Sudah lama PAS tunggu muzakarah – TG Nik Aziz

KOTA BHARU: Sepatutnya setiap isu yang timbul di kalangan umat Islam diselesaikan secara muzakarah bagi mendapat gambaran lebih jelas dan bukan pandangan sebelah pihak sahaja.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, isu muzakarah sebenarnya berlaku sejak PAS diketuai Dato’ Asri Muda lagi.

“Tapi sampai sekarang isu itu tidak pernah selesai. Hanya sibuk sahaja sebut fasal muzakarah tapi tidak pernah buat.

“Jadi dalam keadaan sekarang ini paling sesuai membincangkan tentang isu kenapa ada orang hendak tolak Islam,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Sebelum ini Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan perjuangan PAS kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan agama Islam demi kuasa dan politik.

Oleh itu beliau mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan mempertimbangkan diadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran PAS menggunakan perkataan Islam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, muzakarah merupakan fitrah manusia sejak usia kecil lagi.

“Bertengkar juga dinamakan muzakarah ketika kita kecil. Bertengkar dan berbalah itu sama sahaja, erti masing-masing mahu berhujah.

“Soal muzakarah memang PAS hendak lama dah dengan Umno atau sesiapa sahaja. Saya ingat sejak saya baru balik belajar dari Mesir lagi.

“Tetapi sampai sekarang tak jadi. Saya memang setuju muzakarah sebab itu sudah menjadi fitrah manusia,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain beliau meminta rakyat tidak pedulikan tentang tarikh pilihan raya kerana ia tetap akan berlaku juga.

“Sama juga seperti tarikh mati. Tak tahu tapi mati tetap berlaku. Lepas mati itu syurga ke neraka. Begitu juga selepas pilihan raya kerajaan Islam atau toghut.

“Tarikh pilihan raya usah fikir siang atau malam, yang penting mati esok syurga ke neraka sebab ia bergantung kepada aktiviti kita di dunia sekarang,” katanya.

Jadi kata beliau rakyat negara ini hendaklah memastikan kerajaan yang ada di bumi berdasarkan syariat Islam.

Beliau berkata, Kelantan sudah 22 tahun bergerak atas dasar Islam dan mendapat sokongan padu pelbagai pihak.

No comments: