Wednesday, May 16, 2012

Janji 2004 belum dikota, Awang Adek buat janji baru

KOTA BHARU: Janji 2004 belum ditunai dan sekarang membuat janji lagi. Inilah gaya politik Datuk Dr Awang Adek Hussin yang pernah menguar-uarkan dirinya sebagai calon Menteri Besar Kelantan pada kempen pilihan raya umum lalu.

Kali ini Ketua Umno Bachok itu mahu memasuhkan yuran pengajian dan mempertingkatkan sekolah agama rakyat (SAR) pula.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, rakyat Kelantan tidak pernah lupa kezaliman Umno/BN terhadap sekolah agama sebelum ini.

“Jangan nak bermuka-muka dan berlagak baik semata-mata nak mendapat sokongan rakyat Kelantan menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

“Tun Dr Mahahtir pernah menyekat segala bantuan kepada SAR sehingga banyak sekolah agama ditutup akibat masalah kewangan. Isu berkenaan masih lagi sedar dalam ingatan rakyat Kelantan,” katanya di sini.

Beliau juga melahirkan rasa  kesal kenyataan politik mirip peras ugut pemimpin Umno terhadap rakyat Kelantan.

“Kalau ikhlas nak bantu rakyat Kelantan, kenapa perlu letak syarat mesti bantu Umno rampas Kelantan dahulu?

“Inilah demokrasi songsang amalan pimpinan Umno Kelantan. Rakyat masih ingat, Umnolah yang memusuhi sekolah agama dan pernah mendakwa tempat melatih pengganas,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi.

Pada kempen pilihan raya umum 2004 Awang menjanjikan Bachok Baru dan pembangunan pesat yang lengkap dengan pelabuhan serta hospital.

Malah pada kempen tersebut juga beliau mahu menjadikan Pantai Irama sebagai tempat persembahan kebudayaan setiap minggu. Selepas menang ketika itu segala manifestonya hilang begitu sahaja.

No comments: