Sunday, May 13, 2012

Anak muda bergabung tentang gejala jenayah


KOTA BHARU: Anak muda yang prihatin terhadap isu-isu berkaitan jenayah kini bergabung membentuk sebuah badan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Benteng Negara Dari Jenayah (Benar Malaysia).

Matlamatnya memperkukuhkan Benar Malaysia sebagai “smart partner” yang kritikal, kreatif dan konstruktif membantu mana-mana pihak membanteras gejala jenayah.

Pengerusi bersama, Firdaus Jaafar berkata, Benar Malaysia juga berusaha mendidik dan memberi kefahaman secara menyeluruh kepada masyarakat tentang bahaya jenayah.

“Selain itu menjalankan kajian-kajian strategis berkaitan kegiatan bagi menangani gejala jenayah,” katanya selepas pelancaran Benar Malaysia peringkat kebangsaan di Medan Ilmu semalam.

Pelancaran disempurnakan Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud. Pada malam sebelumnya program jelajah pertama Benar Malaysia di Tanah Merah dirasmikan anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Seorang lagi pengerusi bersama Benar Malaysia iaitu Naib Ketua AMK Pusat, Nazree Yunus. Anggota sekretariat iaitu Ramlan Roes, Kamarul Nizam, Pendi Malek, Yuzi Azhar, Fadhil Othman dan Nkamariyah Hamzah.

Benar Malaysia ditubuh pada April lalu merupakan sebuah NGO yang berjuang menentang gejala jenayah di negara ini.

Firdaus yang juga anggota parlimen Jerai berkata, jenayah bukan sekadar tertumpu kepada mencuri, samun, merogol dan sebagainya sebaliknya merangkumi semua kegiatan manusia termasuk politik, ekonomi dan kemasyarakatan.

Kata beliau juga Kelantan dipilih sebagai tapak pelancarannya kerana kadar jenayah di negeri ini kecil berbanding negeri-negeri lain.

No comments: