Wednesday, May 16, 2012

Mufti jangan hanya jaga periuk nasi sahaja


KOTA BHARU: Sepatutnya Mufti Perak mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membincang isu kerajaan Pakatan Rakyat dirampas menggunakan cara kudeta dan bukan melalui saluran demokrasi.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan, Abdullah Abdul Razak (gambar) berkata, mufti sebagai seorang yang disegani dalam masyarakat tidak sepatutnya membisu kerana ia melibatkan imej sesebuah negeri.

“Ini benda besar dan bukannya mengulang tayang isu lama mahu mendesak kerajaan menghapuskan perkataan Islam yang ada pada PAS.

“Kerajaan Perak yang ada hari ini lahir melalui rampasan kuasa. Kita hendak tahu apakah tindakan itu halal atau haram di sisi Islam,” katanya di sini.

Baru-baru ini mufti itu mendakwa perjuangan PAS kini menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan agama Islam demi kuasa dan kerusi politik.

Abdullah berkata, Mufti Perak nampaknya selesa memilih isu-isu tertentu bagi memenangkan Umno dan bukan memikirkan isu lebih serius.

“Bagaimana dengan isu memberikan kerakyatan kepada pendatang asing yang dilihat ramai sebagai tindakan kerajaan mengkhianati rakyat sendiri.

“Adakah menyokong tindakan yang merampas hak peribumi itu halal atau haram.  Mufti janganlah nampak sangat kecederungan sehingga memperlihatkan tidak mengikuti perkembangan semasa yang berlaku,” ujarnya.

Paling dibimbangi kata beliau rakyat nampak mufti yang ada di negara ini hanya hendak jaga periuk nasi sahaja dan bukan berjuang mendaulatkan Islam.

No comments: