Tuesday, May 15, 2012

Kafir: Mohon maaf atau tindakan lebih keras


KUALA LUMPUR, 14 Mei: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerahkan satu memorandum bantahan kepada pihak New Straits Times Press kerana telah mengeluarkan artikel yang bertajuk Nik Aziz is father of kafir.

“Tok Guru adalah seorang tokoh agama dan beliau adalah pemimpin utama parti. Selain itu, beliau juga merupakan pemerintah rakyat Kelantan.

“Artikel-artikel seperti ini hanya mendorong kemarahan daripada rakyat Kelantan khususnya dan amnya semua rakyat Malaysia yang menyokong Tok Guru,” kata Ketua DPPM, Nasrudin Hassan (gambar) pada sidang media di hadapan pejabat Balai Berita New Straits Times Press [M] Berhad pagi tadi.

Justeru, beliau menasihatkan kepada semua wartawan dan media untuk menjaga etika kewartawanan dan penulisan satu-satu berita agar tidak mencetuskan isu-isu seperti itu hanya kerana untuk melariskan jualan akhbar sahaja.

“Kita mahu NSTP atau mana-mana media untuk menjaga etika kewartawanan mahupun penulisan berita agar tidak timbul isu-isu seperti ini yang hanya akan melahirkan ketidakpercayaan rakyat Malaysia pada media sebab tidak profesional, tiada kualiti dan integriti,” ujar beliau.

Beliau juga mengingatkan agar NST dapat memohon maaf dan menarik semula artikel terbabit dalam tempoh 24 jam.

“Oleh itu, kami mendesak agar NST memohon maaf di atas penyiaran berita tersebut dalam tempoh 24 jam selepas memorandum ini diserahkan.

"Sekiranya ia tidak dilakukan maka kami akan mengambil tindakan yang lebih keras selepas ini,” tegasnya.

Turut menyertai beliau ialah timbalannya, Nik Mohamad Abduh, Setiausaha, Khairul Faizi dan Kamaruzaman Mohamad, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Rombongan itu disambut baik oleh pihak NST dan memorandum tersebut telah diterima oleh Wan Abdillah Wan Nawi selaku Ketua Bahagian Pemasaran Korporat yang mewakili Abdul Jalil Hamid, iaitu Ketua Kumpulan Editor News Straits Times Press (M) Berhad.

No comments: