KUALA LUMPUR, 27 Dis: PAS mempersoal sejak bila Umno  mula menjuarai isu agama apabila cuba menunjukkan keperihatinan mereka  dengan menentang kerajaan Kedah yang mahu merobohkan Surau Salihiah  Kanchot di Alor Setar untuk diganti dengan surau baru ditapak baru.
AJK  PAS Pusat Idris Ahmad berkata, rakyat tidak pernah lupa pengkhianatan  Umno dalam isu perobohan dan penutupan banyak masjid surau sejak parti  itu memerintah negara.
"Kenapa pemimpin Umno seperti (Pengerusi  Badan Perhubungan Umno Kedah) Datok Ahmad Bashah, (Ahli Parlimen Jerlun)  Datuk Mukhriz Mahathir dan (Ketua Umno Bahagian Baling) Datuk Azeez  Abdul Rahim pekak dan bisu ketika kerajaan pimpinan Umno meruntuhkan  masjid Bujal di Kemaman, menutup surau Jubli Perak di Bandar Baru Bangi,  menutup Surau al Rahmah di Seksen 8 Shah Alam, menutup surau di Puchong  Perdana.
"Rakyat tertanya-tanya sejak bila Umno menjadi juara  agama dan hendak membela surau," soalnya dalam satu kenyataan kepada  Harakahdaily.
Katanya dalam isu perobohan surau Salihiah itu,  Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah telah memberi kebenaran, dan pihak  pemaju bersetuju untuk membayar pampasan dan memberi tapak baru kepada  Majlis Agama Islam Kedah (MAIK). 
Namun ujarnya pimpinan Umno  Kedah yang bankrap idea unuk menawan hati rakyat Kedah cuba mengambil  isu surau untuk menjadi modal kempen. 
Beliau melihat isu  tersebut sengaja dimainkan Umno Kedah kerana mereka sedang lemas melihat  kerajaan Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak  berjaya memimpin Kedah dengan cemerlang walaupun terpaksa menanggung  hutang lapuk yang ditinggal BN sebanyak RM2.3 bilion.  
"Contohnya  kebijaksanaan kerajaan Kedah mengurus negeri sehingga pendapatan balak  daripada RM8 juta setahun meningkat RM53 juta. 
"Umno takut  rakyat Kedah  membandingkan kejayaan Pakatan Rakyat dengan pemerintahan  Umno selama 51 yang menindas rakyat, maka Umno cuba  menjadi juara  membela agama, sehingga udang di Kolam Kerpan pun terkejut kerana Umno  sudah bertukar nada," katanya lagi.
Perobohan Surau Salihiah  untuk diganti baru diputus kerajaan negeri ekoran ianya antara bangunan  yang terjejas untuk pembangunan projek Aman Central.
Menteri  Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum ini memaklumkan surau itu  akan dirobohkan selepas semua pembinaan di kawasan itu selesai, dan  kemudian digantikan dengan bangunan baru.
Azizan juga berkata  beliau telah melihat pelan surau yang baru dan apabila surau itu siap  kelak ia dapat menampung sehingga 400 jemaah dalam satu masa.
Bagaimanapun isu itu menjadi modal kempen Umno negeri bagi memburukkan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui PAS.
 
 
No comments:
Post a Comment