KUALA LUMPUR, 27 Dis: PKR hari ini menafikan pihaknya  terlibat  dalam penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta  semua  anggota parti itu berkumpul pada 9 Januari 2012 ini di Mahkamah  Tinggi  Jalan Duta Kuala Lumpur dan mengajak untuk mencetuskan huru-hara  di  Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari  ini, Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution berkata, SMS itu menggunakan  namanya dengan mendakwa beliau telah mengeluarkan suatu surat  pekeliling mengarahkan semua ahli parti hadir.
"Saya menafikan  sekeras-kerasnya bahawa terdapat arahan seperti ini, yang saya yakin  merupakan satu lagi fitnah jahat Umno yang sememangnya sedang semakin  gentar dengan kebangkitan rakyat menentang kezaliman dan kekejaman  mereka yang terus rakus merompak dan menyeleweng harta rakyat dan  negara.
"Wajar dinyatakan juga bahawa sifat jahat memfitnah,  membohong dan menyebarkan berita palsu serta usaha memporak-perandakan  keamanan rakyat Malaysia kini telah menjadi semakin sebati dan lumrah  dalam setiap nafas dan gerak nyawa Umno.
Sehubungan itu, beliau  meminta orang ramai, anggota PKR dan penyokong-penyokong gerakan  reformasi yang akan keluar beramai-ramai pada 9 Januari nanti bagi  menunjukkan sokongan kepada Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim  supaya berhimpun secara aman dan mematuhi arahan petugas-petugas serta  tidak terpengaruh dan terjebak dengan tindakan provokatif golongan yang  tidak bertanggungjawab pada hari berkenaan.
 
 
No comments:
Post a Comment