KUALA LUMPUR, 27 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP   Malaysia) memandang serius dakwaan bahawa setiausaha sulit kanan  Timbalan  Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menerima  sogokan.
Dalam laporan yang dikeluarkan oleh media pada hari ini mendakwa  Setiausaha  Sulit kanan TPM, Mohd Shukor Abdul Manan menerima lebih  daripada RM100,000  sebulan.
“Bagi DPP Malaysia, dakwaan seperti ini amat berat dan memerlukan  siasatan  terperinci kerana ia melibatkan integriti dan nama baik  Timbalan Perdana Menteri  Malaysia.
“Dalam hal ini, TPM perlu membersihkan namanya dengan bersikap berani  dan  telus menyiasat secara menyeluruh dakwaan tersebut,” kata ketua  penerangannya,  Riduan Mohd Nor.
Katanya, Muhyiddin tidak perlu menyembunyikan kebenaran sekalipun  kebenaran  itu amat pahit untuk ditelan kerana melibatkan orang  kepercayaan beliau.
Jika benar dakwaan tersebut, ujarnya TPM itu perlu mengambil tindakan tegas  terhadap setiausaha sulit kanannya.
Ini, katanya sebagai suatu hukuman bahawa kedudukan sebagai orang  penting dan  di tempat strategik bukan boleh disalahgunakan untuk  kepentingan peribadi.
Ia juga, tambah beliau sebagai peringatan bahawa amanah bukan suatu  yang  boleh dipandang ringan, melainkan ia perlu ditunaikan dengan  sebaiknya.
Jika dakwaan tersebut pula tidak benar, ujarnya TPM perlu mengambil tindakan  undang-undang terhadap penyebar dakyah tersebut.
Menurtnya lagi, fitnah dan spekulasi tidak boleh dibiarkan berleluasa  oleh  pihak tertentu yang dengki kerana ia boleh menjatuhkan maruah dan  harga diri  seseorang.
Belia berkata, budaya fitnah adalah budaya yang tidak sihat yang boleh  menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara ini.
Katanya, DPP Malaysia mengingatkan bahawa isu rasuah dan  penyelewengan kuasa  merupakan teras terhadap kejayaan atau kegagalan  kepemimpinan negara.
Baginya, pemimpin yang berjaya bukan setakat diukur terhadap prestasi   kerjanya semata-mata, lebih dari itu bagaimana pemimpin tersebut  menunaikan  amanah yang dipikulnya sebaik mungkin.
Ini, ujarnya termasuk mereka yang terlibat secara langsung sebagai pembantu  dan pegawai pemimpin tersebut.
“Seseorang pemimpin akan dianggap gagal sekiranya beliau dan orang  bawahannya  terkait dengan pelbagai skandal yang memburukkan nama beliau  dan parti  pimpinannya meskipun hasil kerjanya cemerlang,” ujarnya.
Katanya, DPP Malaysia percaya rakyat Malaysia inginkan pemimpin  negara yang  benar-benar bersih, jujur dan ikhlas dalam memberikan  sumbangan dan jasa bakti  terhadap rakyat dan negara.
“Sebaliknya rakyat jemu dan benci terhadap pemimpin yang mengharapkan   sokongan rakyat, tetapi akhirnya mengaut keuntungan dan kekayaan untuk   kepentingan diri sendiri,” katanya lagi.
 
 
No comments:
Post a Comment