Friday, July 22, 2011

Kesan Bersih 2.0 lebih besar – Presiden PAS

TUMPAT, 22 Julai: Tidak lama selepas Bersih 1.0 diadakan pada November 2007, kerajaan Barisan Nasional (BN) menerima kesannya apabila dinafikan majoriti dua pertiga di parlimen pada pilihan raya umum Mac 2008.
Dan kesan gelombang Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu diakui banyak pihak lebih hebat lagi dirasakan.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Bersih 2.0 dirasakan lebih hebat berbanding Bersih 1.0.
”Antaranya penyertaan masyarakat bukan Melayu begitu menggalakkan sekali. Ini merupakan satu gabungan sangat baik.
”Sedangkan kerajaan BN menggunakan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang bersikap fanatik  seperti Perkasa dan kumpulan seni silat.
”Namun akhirnya mereka tidak dapat berhimpun dan terpaksa menarik diri kerana tidak dapat sambutan,” katanya selepas perasmian penutup Ijtimak Pilihan Raya PAS Kelantan di Pantai Geting, petang ini.
Ijtimak sehari itu bermula jam 9 pagi tadi. Kesemua pemimpin PAS dan wakil-wakil rakyat hadir. Perasmian pada sebelah pagi diadakan serentak dengan kuliah perdana oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Dianggar lebih 20,000 hadir pada ijtimak tersebut apabila lokasi tempat perhimpunan penuh dengan kebanjiran pendokong PAS dari seluruh jajahan.
Menurut Presiden PAS, di negeri lain juga perhimpunan rakyat mendapat sambutan baik di majlis-majlis yang diadakan di seluruh tempat.
”Termasuklah himpunan anjuran Bersih 2.0 yang diatur baru-baru ini mendapat sokongan meluas dari seluruh negara di mana mereka sanggup datang berhimpun di Kuala Lumpur.
”Ini menandakan respon yang sangat positif daripada seluruh rakyat, bukan saja daripada penyokong PAS,” katanya.
Ditanya mengenai peguam Perancis, William Bourdon dilaporkan ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) katanya ia menandakan demokrasi di Malaysia ini masih tidak sempurna.
”Sekiranya kerajaan berada di pihak yang benar, kerajaan betul, apa hendak ditakutkan,” ujarnya.
Bourdon dilaporkan ditahan sebaik tiba di KLIA. Semalam beliau berada di Pulau Pinang bercakap tentang isu kontroversi pembelian kapal selam Scorpene didakwa melibatkan sogokan berjuta ringgit.
Menurutnya peguam terbabit dilihat berani mempertahankan kebenaran dan kalau tak salah apa hendak ditakutkan.
Sebelum itu ketibaan Tuan Guru Abdul Hadi yang anggota parlimen Marang ke Pantai Geting menaiki motosikal berkuasa besar dari Pantai Seri Tujuh.
Mengenai sambutan hangat ijtimak tersebut katanya Insya Allah kita yakin PAS dapat mempertahankan negeri ini.
”Selama ini walau pun pilihan raya tidak bersih di seluruh negara, Kelantan boleh bertahan. Operasi mengangkut pengundi dari luar, gunakan duit, macam-macam serta serangan media.
Kelantan mampu bertahan

”Dalam masa 20 tahun kita boleh bertahan. Sambutan diberikan hari ini menandakan komitmen, iltizam jentera-jentera PAS untuk terus bekerja bagi mempertahankan kemenangan di Kelantan ini, InsyaAllah,” katanya.
Mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi mereformasikan demokrasi di Malaysia dan 8 perkara tuntutan Bersih 2.0, beliau mengalu-alukan sebarang langkah supaya membetulkan amalan demokrasi di Malaysia ini.
”Kita sangat-sangat mengalu-alukan cadangan penubuhan itu,” ujarnya.
Mengulas tiada tanda-tanda pimpinan Datuk Seri Najib Razak mahu menerima 8 perkara tuntutan Berih 2.0, beliau berkata sekiranya mahu menjadi pemimpin  bertanggungjawab mesti perubahan dilakukan.
Menurutnya mana-mana pemimpin yang bertahan secara tidak bermoral, jatuh pun juga secara tidak bermoral.
”Lihat seperti apa yang berlaku di Mesir, di Tunisia dan di mana-mana saja di dunia.
”Di Asia Tenggara Marcos dengan Suharto yang memerintah begitu lama dengan revolusi tertutup, akhirnya jagi meletup dan berkaku perubahan.
”Dan kita harap negara kita juga berlaku perubahan dengan cara yang bersopan, pemimpin kena sedar dan insaf,” katanya.
Beliau juga berkata, sekiranya tuntutan mereformasi pilihan raya tidak diterima kerajaan BN, PAS tetap akan menyertai pilihan raya dan menentang sebarang penyelewengan.

Ijtimak Pilihan Raya PAS Kelantan di Pantai Geting







700 mat rempit ikrar pertahan Kelantan

TUMPAT, 22 Julai: Ijtimak Pilihan Raya PAS Kelantan hari ini menyaksikan ikrar seramai 700 anak muda bagi mempertahankan Islam dan kerajaan negeri.
Ramai di kalangan ibu bapa kelihatan terharu di atas semangat anak-anak muda yang begitu lantang berikrar mempertahankan Islam di pentas utama.
Bacaan ikrar diketuai Presiden Minda Evolusi Rempit Anak Muda Kelantan (Merak), Azaizuree Ahmad di hadapan pemimpin PAS dan lebih 20,000 peserta ijtimak yang memenuhi pantai Geting, Pengkalan Kubur.
Dun Pengkalan Kubur dikuasai Umno sejak pilihan raya umum 2004. Pada pilihan raya umum 1990 kawasan itu diwakili calon Hamim, gabungan Angkatan Perpaduan Rakyat.
Anak muda dari pelbagai tempat yang bernaung di bawah Merak datang dengan motosikal menggegarkan kawasan perkelahan.
Mereka berjanji berusaha bersungguh-sungguh sebagai seorang anak muda bersama mengembelingkan perjuangan mempertahankan Islam di Kelantan.
Azaizuree berkata, mereka akan sentiasa bersama-sama memperkasakan kepimpinan Islam dan jemaahnya yang diketuai Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Selain itu sentiasa bersama ahli-ahli jemaah membangunkan Islam di Kelantan. Wahai pimpinan dan ibu bapa bahawa kami semua adalah sebahagian kamu, sebahagian jemaah PAS.
“Kami sama-sama mahu mempertahankan agama suci Islam walau apa jua keadaan senang atau susah, bak kata pepatah membujur lalu melintang patah. Janji kami adalah benar, ikrar kami bukan palsu,” katanya diakhirnya dengan laugan takbir beramai-ramai.
Sebelum itu anggota Merak menerima sijil pelantikan team leader Minda Evolusi Rempit Anak Kelantan yang disampaikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Gimik perasmian ijtimak dilangsungkan apabila Menteri Besar dipakaikan jaket khas oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Selain itu turut diadakan sumbangan kameja T kepada peserta  gusti lengan terbuka  Johor pada 23 Julai ini.
Kejohanan itu akan diadakan di Plaza Ansana Johor Bahru. Peserta terbabit termasuk Rosli Ibrahim, Zawawi Ariffin, Mohd Ropi Ibrahim dan Khusairin Siban.
Penyampaian t-shirt disampaikan anggota parlimen Tumpat, Dato’ Kamaruddin Jaaffar.  Peserta Merak mengibarkan bendera Kelantan, Jalur Gemilang dan Bulan Purnama di motosikal masing-masing.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri, Wan Nik Wan Yusoff berharap setiap jentera termasuk di peringkat cawangan hendaklah meneliti apa yang disampaikan pemimpin pada ijtimak tersebut.
“Ia adalah sebagai panduan bagi menyusun gerak kerja pilihan raya yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” ujarnya.
Timbalan Pesuruhjaya II, Datuk Mohd amar Abdullah menyarankan setiap ahli dan pendokong PAS perlu membeli Harakah sebagai maklumat untuk dihadam oleh mereka.
“Jangan pula beli tetapi dijadikan tempat duduk sahaja. Hadir pada program ceramah sahaja tidak mampu untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai tanpa ada mekanisme lain seperti maklumat yang ada dalam Harakah,” ujarnya.

Wednesday, July 20, 2011

HIMPUNAN ANAK KELANTAN DI PERANTAUAN


Ceramah Umum Di Paloh Rawa






Kelcheff dapat sambutan menggalakkan

KOTA BHARU, 19 Julai: Festival masakan antarbangsa Cheng Ho Kelantan (KelCheff) 2011 yang julung kali diadakan di negara ini mendapat sambutan menggalakkan.
Sejak dirasmi 14 Julai lalu sehingga hari ini dianggar hampir 40,000 pengunjung mengunjungi festival tersebut yang diadakan bersebelahan Bazar Tok Guru.
Selain itu di lokasi berhampiran turut diadakan pameran tamadun Islam yang bertajuk ‘Evolusi Keagungan Warisan dan Kesenian’ bertempat di Dewan Jubli Perak dan Gelanggang Seni.
Pelbagai artifak dan bahan-bahan bersejarah termasuk pedang para sahabat baginda Rasulullah saw dipamerkan. Selain itu peralatan astronomi di zaman awal tamadun manusia.
Pegawai Komunikasi Korporat Kelcheff, Abdullah Suhaimi Mat Yassin berkata, festival makanan antarabangsa itu mendapat sambutan orang ramai termasuk pelancong asing.
”Dinggarkan kira-kira 2,000 orang berada di tapak pesta pada satu-satu masa,” katanya ketika ditemui di tapak festival hari ini.
Pelbagai jenis makanan dan minuman dijual kepada orang ramai yang disediakan peserta dari dalam dan luar negara termasuk China, Turki, Palestin, Indonesia, Thailand dan Kemboja.
Selain itu kerajaan Pulau Pinang dan Kedah juga menyediakan juadah istimewa di tapak festival terbabit.
Abdullah berkata, menu yang disediakan bersesuaian dengan tema ‘makanan’ sempena festival termasuk nasi kerabu, pulut pauh, kebab, roti nan, nasi arab, beriani dan nasi ayam hainan.
Sehubungan itu beliau berharap orang ramai supaya tidak melepaskan peluang mengunjungi KelCheff yang akan berakhir 24 Julai ini.
Di tapak KelCheff juga diadakan demontrasi masakan oleh dua cheff terkemuka iaitu Chef Sabri dan Chef Ismail.
Pada sebelah malam pula diadakan persembahan kebudayaan termasuk dikir barat dan nasyid. Festival itu bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
Malam ini juga akan diadakan ceramah isu semasa di Padang Perdana bersebelahan tapak Kelcheff.

Blogger kesan IC sama tapi 2 nama pemilih

KUALA LUMPUR, 19 Julai: Blogger Mutaligat dalam blognya mutaligat.blogspot.com hari ini mendedahkan penipuan dan penyelewengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam tulisannya Mutaligat menyatakan seorang pengundi yang mempunyai nombor kad pengenalan lama 6830901 yang sama mempunyai 2 nama yang hampir serupa, cuma ejaan yang berlainan.
Yang pertama, Daud Bin Mohd mengundi di Dun Asahan, Parlimen Alor Gajah dan kedua Daud Bin Mohamad mengundi di Dun Bemban, Parlimen Jasin.
"Bagaimana orang yang berlainan mempunyai no kad pengenalan yang sama?" soal beliau.
Pendedahan ini dibuat oleh beliau hasil dari maklumat yang diperolehi dari laman sesawang SPR sendiri.
Mungkinkah beliau ini orang yang sama dan boleh mengundi dua kali. Dun Bemban dan Dun Asahan terletak tidak jauh antara satu sama lain dan memang tidak menjadi masalah untuk orang yang sama mengundi pada hari yang sama.
Pendedahan kedua melibatan seorang pengundi bernama Asia Binti Osman bernombor Kad Pengenalan lama 5962350 yang mempunyai 2 tempat mengundi yang berlainan satu di Dun Taboh Naning dan satu lagi di Dun Ayer Limau kedua-duanya dalam Parlimen Masjid Tanah.
Namanya hanya dibeza dengan perkataan 'Binti' dan satu lagi 'Bt'.
"Inilah penipuan SPR yang tidak boleh disangkal lagi?" soalnya.
Blogger Mutaligat menggesa SPR menjawab segala isu ini yang jelas amat meragukan orang ramai.


 

Tuesday, July 19, 2011

Hiburan: Umno lulus mengapa MCA, Gerakan serang PAS

KUALA LUMPUR, 19 Julai: Pelik bin Ajaib. Itulah kiasan yang paling tepat untuk mereka yang terlibat meluluskan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 tersebut yang kini menyerang PAS.
Sedangkan PAS yang sekadar menunaikan tanggungjawab sebagai kerajaan untuk menguatkuasakan enakmen tersebut untuk membantu umat Islam menumpukan perhatian kepada ibadah semasa bulan Ramadhan.
Sebagai reaksi balas kepada tuduhan bahawa tindakan kerajaan Kedah melaksanakan mempunyai agenda mewujudkan negara Islam, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan bertanyakan kepada pemimpin MCA dan Gerakan, mengapa minda mereka tidak timbul pun soal ada agenda untuk negara Islam ketika Umno membentangkan perkara itu 14 tahun yang lalu.
“Sewaktu enakmen ini diluluskan tentulah kajian telah dibuat, tapi minda MCA dan Gerakan tidak timbul pun soal ada agenda untuk menubuhkan negara Islam,” ujarnya.
Katanya, kalau tindakan kerajaan negeri Kedah dikatakan ada agenda negara Islam, maka Barisan Nasional yang sepatutnya ditujukan tuduhan itu kerana mereka yang meluluskan enakmen tersebut.
Tuan Ibrahim juga turut menimbulkan beberapa persoalan mengenai kenyataan MCA Kedah semalam yang mengakui bahawa Barisan Nasional sememangnya meluluskan enakmen tersebut, tetapi ia tidak dikuatkuasakan.
“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan BN negeri di Kedah pada masa itu tidak pernah melaksanakan dasar-dasar ini yang memberi kesan kepada bukan Islam kerana kerajaan BN negeri mempunyai keyakinan bahawa orang bukan Islam akan mempunyai sikap saling hormat-menghormati cara hidup Islam, yang merupakan teras intipati Barisan Nasional (BN) di bawah 1Malaysia,” kata Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew.
“Adakah MCA sedang mengatakan bahawa mereka menyokong enakmen tersebut diadakan di Kedah kerana dari awal mereka dah tahu Umno tiada niat untuk melaksanakannya, sebelum dan selepas era 1Malaysia?” tanya Tuan Ibrahim.
Menurutnya, sememangnya dari awal itulah cara Umno dan MCA untuk menipu umat Islam di Kedah, dengan memperjuangkan Islam secara zahir, dengan membuat enakmen yang kononnya ingin mewujudkan suasana yang lebih baik untuk Ramadhan tetapi langsung tidak berniat untuk melaksanakannya.
Katanya, kerajaan Kedah kini hanya melaksanakan apa yang telah diluluskan oleh kerajaan Umno BN 14 tahun yang lalu, itupun setelah melihat adanya kelemahan dalam pelaksanaan enakmen tersebut, kerajaan Kedah telah mengambil inisiatif untuk membuat rombakan pelaksanaannya supaya ia boleh diterima baik oleh semua pihak.
Tambahnya, ini bermakna pada zaman Umno, para pengusaha hiburan tidak segan-silu untuk menerima pelanggan umat Islam yang ingin bersuka ria ketika bulan Ramadhan tanpa memahami tanggungjawab sosial untuk mewujudkan suasana yang baik di bulan Ramadhan untuk masyarakat Islam sekitar.
Sekarang di bawah PAS, katanya para pengusaha hiburan sedar mereka mempunyai tanggungjawab untuk memastikan umat Islam tidak memasuki premis mereka dalam membantu kerajaan negeri menggalakkan umat Islam keseluruhan untuk menunaikan ibadah untuk mendapat keredhaan Allah.
Takut istilah negara Islam
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menyifatkan sikap ketakutan terhadap negara Islam sebagai isu yang sentiasa dimomok oleh MCA dan Gerakan bagi menjaga sokongan masyarakat bukan Muslim terhadap mereka.
Dalam hal ini juga, beliau berkata ia jelas menunjukkan sikap dan pemikiran dan permainan politik lama Barisan Nasional yang masih tidak berubah-ubah sedangkan hari ini, maklumat boleh diperolehi dengan senang dan mudah.
Namun, menurutnya sehingga kini kebanyakan umat Islam, kecuali pemimpin-pemimpin Umno yang suka bersekongkol dengan MCA dan Gerakan masih tertanya-tanya apakah yang sangat dikhuatiri oleh mereka dalam agama Islam.
“Dalam 20 tahun PAS membangunkan kerajaan Kelantan secara Islam; apakah benda yang amat menakutkan mereka dalam pentadbiran Islam PAS?
“Apakah yang mereka tidak puas hati? Apakah kerana ada amalan agama dan budaya bukan Muslim terancam di Kelantan?
“Apakah kuil-kuil, tokong-tokong dan gereja-gereja diganggu? Apakah mereka dilarang menjual dan memakan daging khinzir?
“Apakah mereka dianiayai dan sering dikecam secara indirect sebagai kaum pendatang seperti apa yang Umno buat di peringkat persekutuan dan juga negeri?
“Apakah kerana kerajaan Kelantan tidak boleh dirasuah, tidak pemimpin yang suka berat sebelah atau yang suka salah guna kuasa seperti Umno?
“Apakah kerana kesukaran untuk berjudi?” soalnya.
Justeru, ujarnya tengoklah kehidupan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan dan bandingkan dengan kehidupan Menteri-Menteri Besar Umno, termasuk yang sudah tercicir ke mahkamah kerana rasuah.
“Sebenarnya, apa dia yang mereka takut sangat pada pentadbiran Islam PAS?” soal beliau.
Seandainya ditanya apakah yang menakutkan MCA dan Gerakan dengan istilah negara Islam, Tuan Ibrahim berkata beliau sebenarnya yakin apa yang mereka bimbang hanyalah sesuatu yang akan menggambarkan kejahilan mereka terhadap negara Islam, walaupun setelah 54 tahun berkawan dengan Umno yang mengaku dirinya pejuang Islam.
“MCA dan Gerakan yang menakutkan orang lain terhadap istilah negara Islam sendiri tidak mengetahui maksud yang sebenarnya – lebih sedih lagi, di dalam Barisan Nasional, ada orang Islam yang sengaja membiarkan orang bukan Islam untuk terus salah faham mengenai negara Islam yang sebenar,” bidas beliau.
Sebagai manusia, nasihat beliau, kita tidak sepatutnya takut kepada perkara yang kita tidak tahu kerana manusia menjadi musuh kepada apa yang dia tidak mengetahuinya.
“Sebagai seorang Muslim, kita harus menerangkan kepada rakan-rakan kita yang salah-faham dan ketakutan mengenai istilah negara Islam dan bukan membiarkan mereka terus dikelirukan oleh orang yang jahil.
“Istilah negara Islam tidak perlu ditakuti semata-mata kerana tidak tahu – PAS sentiasa berbuka hati untuk menjelaskannya, dan PAS juga menjemput rakyat, terutamanya bukan Muslim yang masih takut dengan istilah negara Islam datang melawat Kelantan dan menghayatinya sendiri konsep pentadbiran ‘Membangun Bersama Islam’ ala-PAS,” pelawa beliau.

Bersih: Hishammuddin jangan berlagak ugut rakyat

KUALA LUMPUR, 19 Julai: PAS mengucapkan tahniah di atas keberanian 11 doktor Hospital Tung Shin yang tidak berganjak daripada pendirian mereka mengatakan bahawa sememangnya polis menembak gas pemedih mata dan air berasid ke pekarangan hospital pada himpunan Bersih 9 Julai lalu.
AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, walaupun pihak polis dan menteri cuba menafikan, namun mereka tetap bertegas sememangnya polis melakukan tindakan itu.
Menurutnya, mereka bersedia untuk memberi keterangan kepada polis pada bila-bila masa mengenai perkara tersebut.
11 orang doktor terdiri daripada Dr Ng Kwee Boon, Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong.
Mereka juga hairan kenapa Lembaga Hospital Tung Shin memaklumkan bahawa insiden pelepasan gas pemedih mata dalam kawasan hospital berkenaan tidak berlaku, sedangkan mereka tidak berada di situ.
“Rakyat tertanya-tanya mana pergi Datuk Seri Hishammuddin Hussein, selaku Menteri Dalam Negeri, beliau mesti mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku, selaku menteri yang menjaga hal ehwal kepolisan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Idris menambah, Hishammuddin tidak boleh melepaskan diri dengan tragedi 9 Julai kerana sikap tidak profesional polis dan keganasan mereka sudah ditonton oleh dunia.
“Hishammuddin mesti dipertanggungjawab, jangan beliau hanya berlagak dengan kuasanya sahaja untuk membuat ugutan kepada rakyat, tetapi tidak mempunyai kebolehan untuk mengurus anak buahnya supaya bertindak secara profesional,” ujarnya.
Beliau berkata, di dalam peperangan pun hospital dan mereka yang terlibat dalm paramedik dilindungi.
“Sedangkan ini hanya himpunan aman, undang-undang mana Hishammuddin ajar polis untuk bertindak sedemikian rupa,” katanya lagi.
Tambahnya, terdapat bukti bergambar yang dirakam memang berlaku tembakan gas pemedih mata dan air berasid di perkarangan Hospital Tung Shin dan Bersalin Cina di Jalan Pudu, bukan hospital di Gaza Palestin.

Pemukiman PAS rangka pendekatan hadapi PRU 13

KUALA LUMPUR 18 Julai: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan, pemukiman yang dibuat oleh PAS telah mempersiapkan PAS menghadapi pilihan raya umum akan datang melalui projek Roadmap to Putrajaya.
"Kita telah berbincang panjang berdasarkan kajian dan perbentangan yang dibuat dan kita gembira sekarang kerana mempunyai fokus yang jelas dalam mempersiapkan diri kita menghadapi PRU ke 13," kata Abdul Hadi dalam wawancara khas dengan Harakah dan Harakahdaily hari ini.
Wawancara itu diadakan selepas pemukiman khas yang diadakan oleh PAS selama dua hari bermula 17 Julai hingga hari ini di sebuah hotel dekat Ampang.
Ia melibatkan semua pimpinan utama PAS khasnya AJK PAS Pusat dengan dipimpin oleh Abdul Hadi sendiri.
Dalam mencapai hasrat ini, katanya, PAS akan melaksanakan dua pendekatan iaitu memulihkan demokrasi dan memecahkan kebuntuan maklumat bagi mempastikan maklumat sampai ke peringkat akar umbi.
"Pertama kini akan gunakan sepenuhnya sumber tenaga manusia yang kita ada dan kedua menggunakan sepenuhnya saluran media alternatif," kata beliau.
PAS, katanya, akan menggunakan sepenuhnya ahlinya yang berjumlah kira-kira satu juta bagi mempastikan maklumat yang hendak di sampaikan PAS sampai ke bawah.
Untuk itu, katanya, PAS akan memperkuatkan jentera di semua peringkat.
"Tentu kita memerlukan tenaga dan wang yang banyak dan yakin ahli kita dapat memberikan sumbangan sewajarnya untuk menjayakan projek ini," kata Abdul Hadi penuh yakin.
Bagi beliau, kejayaan PAS di Kelantan, Kedah dan sebelum ini di Terengganu adalah hasil kekuatan jentera PAS di negeri itu.
"Kita tidak mahu lagi menang hasil dari kelemahan musuh," katanya.
Untuk mencapai hasrat itu juga, katanya, PAS sedang menyusun langkah untuk menggunakan sepenuhnya media alternatif dengan seluas mungkin.
Berhubung dengan media, Abdul Hadi meminta orang Melayu khasnya mencontohi kekuatan media di kalangan orang Cina dan India.
"Media berbahasa Melayu tidak mengembangkan minda tetapi terikat dengan agenda pemimpin BN semata-mata. Sebab itu, isu-isu di kalangan orang Melayu tidak ke mana berbanding dengan isu-isu di kalangan orang Cina," katanya.
Beliau merujuk kepada beberapa isu yang sama di kalangan orang Cina yang sangat berkesan namun ia tidak ke mana apabila berlaku di kalangan orang Melayu.
Misalnya isu kematian Teoh Beng Hock menjadi isu besar tetapi kematian pegawai Kastam, Ahmad Sarbani yang juga jatuh dari bangunan SPRM tidak ke mana.
Begitu juga kematian Allahyarham Baharudin Ahmad tenggelam di celah asap gas pemedih mata yang ditembak ke dalam kawasan hospital Tung Shin.

Facebook: Lebih 200,000 mahu Najib letak jawatan

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Kumpulan rakyat yang majoritinya "majoriti senyap" terus menyatakan pendirian mereka mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Desakan dizahirkan mereka pada laman peminat Facebook yang bertajuk ‘100,000 Rakyat meminta Najib Tun Razak meletak jawatan’ (100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation) yang kini sudah mencecah 202,020 peminat sehingga jam 2.07 petang tadi.

Ketika Harakahdaily membuat liputan perkara ini Julai 11 yang lalu, jumlah peminat telah pun mencecah angka 119,000.

Angka peminat Facebook terus meningkat apabila kerajaan Barisan Nasional meneruskan tindakan mereka memperlekehkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Selepas seminggu, hari ini peminat telah meningkat lebih daripada 80,000 kepada angka 202,020 seperti yang tertera di gambar.

Peminat Facebook yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum dan agama, menulis komen menyeru Najib untuk meletak jawatan ekoran tindakan tidak bertamadun polis dan kerajaan Barisan Nasional dalam menangani perhimpunan aman rakyat itu.

Antara komen itu berbunyi :

Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun,
Sembah Patik Harap DiAmpun,
Khabar Buruk Patik Sembahkan,
Harap Diteliti Dimurka Jangan.

Perdana Menteri menjadi kebencian,
Pasukan Diraja menjadi cacian,
Rakyat mahukan keharmonian dan keadilan,
Mohon Tuanku Terajui Pemerintahan.


Seorang lagi peminat pula berkata tujuan beliau menyokong laman Facebook tersebut adalah untuk memberitahu Najib bahawa rakyat yang tidak dapat menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0 bukan bermaksud mereka tidak menyokong agenda yang dibawa Bersih 2.0.

“Beliau (Najib) berkata ramai rakyat tidak menyertai Bersih 2.0 kerana mereka tidak menghiraukan Bersih 2.0. Sini untuk bagi tahu beliau, tak menyertai tidak bermaksud tidak menyokong,” tulis beliau.

Disebabkan populariti laman tersebut, ramai peminat juga mewujudkan laman-laman lain untuk menuntut perletakan jawatan pemimpin Barisan Nasional yang lain yang lantang mengutuk perhimpunan Bersih 2.0.

Di antaranya ialah laman peminat menuntuk perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein dan juga Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang kesemuanya mengkritik Bersih 2.0 di samping membela polis yang menggunakan kekerasan melampau terhadap para peserta himpunan.

Namun begitu, ketiga-tiga laman tersebut hambar sambutannya jika dibandingkan dengan laman menuntut perletakan jawatan Najib.

Yang paling tinggi hanyalah laman menuntut perletakan jawatan Hishamuddin, itupun hanya dapat mencapai 8 peratus atau 16,244 peminat saja daripada apa yang diterima oleh sepupunya.

Sementara itu, ada pihak yang menamakan dirinya Patriot telah membuka satu laman Facebook menyokong Najib untuk melawan popularati Facebook mendesak peletakan jawatan Najib..

Akan tetapi, sambutannya amat hambar, dengan setakat ini hanya mendapat 9,590 peminat atau 5 peratus sahaja daripada lawan mereka.

Monday, July 18, 2011

Allahyarhamah Dr Lo'Lo selamat dikebumikan



KUALA LUMPUR 18 JULAI : Jenazah Allahyarhamah Dr Lo'Lo Mohd Ghazali selamat disemadikan kira-kira jam 11 pagi ini.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebentar tadi memimpin solat jenazah bersama-sama 500 jemaah di Masjid al-Akram, Datuk Keramat.
Turut kelihatan hadir memberikan penghormatan terakhir, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ahli parlimen Pakatan Rakyat termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Jalil.

Jenazah dikebumikan di Lorong 9, Tanah Perkuburan Datuk Keramat.

Pemergian Dr Lo’ Lo’ sangat dirasai
KUALA LUMPUR, 18 Julai: PAS merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali ke rahmahtullah malam tadi.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemergian beliau sangat dirasai oleh seluruh ahli PAS dan juga rakyat, terutamanya penduduk-penduduk kawasan Titiwangsa yang mengenali beliau, kerana beliau merupakan seorang pejuang yang sangat gigih dalam memperjuangkan cita-cita Islam.
Katanya, ketabahan beliau menghadapi penderitaan kanser yang dihadapinya amat dikagumi sehingga di saat himpunan Bersih 2.0 minggu yang lalu, beliau masih memberikan semangat agar semua turun bagi memperjuangkan sistem pilihanraya yang adil dan bersih.
“Kita doakan agar Allah mencucuri rahmat dan inayah-Nya kepada beliau dan juga kesabaran kepada seluruh anak-anak dan keluarga beliau di atas pemergiannya,” ujarnya.
Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamuha Dr Lo' Lo'.
Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, DMPP amat berasa kehilangan di atas pemergian allahyarhamah yang merupakan ahli Parlimen Titiwangsa itu.
"Bagi pihak Dewan Muslimat,kami amat sedih dengan pemergian allahyarhamah yang amat kami sayangi ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarhamah," kata beliau yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang ketika ditemui di Masjid Al- Akram, Datuk Keramat awal pagi tadi.
Sementara itu, timbalannya, Dr. Siti Mariah Mahmud menyifatkan pemergian bekas ahli jawatankuasa DMPP dan PAS Pusat itu sebagai kehilangan besar dalam perjuangan.
"Saya kehilangan sahabat dan kakak yang saya sayangi dan hormati dalam perjuangan ini," katanya menahan sebak ketika ditemui dalam majlis yang sama.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam tadi setelah bertahun-tahun menghidap kanser paru-paru.
Beberapa pimpinan PAS turut hadir menziarahi jenazah antaranya pengarah pilihan raya PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai dan AJK DMPP, Mastura Mohammad.
Turut kelihatan aktivis Hishamuddin Rais.

Dr. Lo' Lo' meninggal dunia sebentar tadi

KUALA LUMPUR, 17 Julai: Ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali(gambar) menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam ini.

Jenazah beliau kini sedang diusahakan untuk dibawa ke Masjid Al-Akram, Dato Keramat.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof ketika dihubungi Harakahdaily.

Maklumat berkenaan kematian itu juga turut dimuatkan pada laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarga.

Beliau sebelum ini menerima rawatan akibat kanser.

Dalam respons awal, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Allahyarhamuha seorang yang istiqamah berjuang untuk Islam sehingga akhir hayat.

"Saya dimaklumkan oleh keluarga terdekat almarhumah Dr Lo' Lo', MP PAS Titiwangsa tentang pemergian beliau sebentar tadi.

"Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Beliau seorang yang istiqomah berjuang untuk Islam hingga ke saat akhir hayatnya," tulisnya di Facebook.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan pula menyifatkan Allahyarhamah seorang tokoh pejuang Islam yang tabah.

"PAS dan rakyat sebentar tadi kehilangan tokoh pejuang Islam yg tabah apabila sbentar td Dr Lo' Lo' telah kembali ke rahmatillah.. Al Faatiihah." tulisnya di Twitter.
Menurut anak allahyarhamuha, Muhd Fawwaz, jenazah akan diuruskan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat pagi esok.
"Insya allah, akan dikebumikan pada waktu pagi di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat," tulisnya melalui sistem mesej singkat (SMS) kepada Harakahdaily.

Sunday, July 17, 2011

Perkhemahan Perdana Briged Amal Kelantan













Agong seru ambil panduan Quran Hadis

KUALA LUMPUR, 17 Julai: Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong menyeru umat Islam kembali mengambil Al-Quran dan Al-Hadis sebagai sumber penyelesai masalah yang timbul dalam masyarakat.

Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah jika ada perselisihan pendapat dan sukar untuk mencari keputusan, Allah menggariskan agar al-Quran dan al-Sunnah dijadikan tempat rujukan seperti Firman-Nya di dalam Surah An-Nisa.

Baginda menyarankan demikian ketika menyampaikan titah perasmian Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa ke-53 yang bermula malam tadi hingga 23 Julai.

Majlis berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah.

Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong Tuanku, Nur Zahirah turut berangkat.

Majlis itu disiarkan secara langsung melalui radio dan televisyen ke seluruh negara.

"Beta percaya keamanan negara berkait rapat dengan perpaduan ummah, perkara ini ditunjukkan dengan kehancuran empayar-empayar hebat pada masa lampau akibat perlakuan rakyatnya yang tidak bersatu padu malah mengenepikan persefahaman dalam menjaga kemakmuran negara.

"Sesungguhnya Islam melarang umatnya membiarkan perselisihan pendapat, pandangan atau apa-apa keadaan yang akhirnya melemahkan negara.

"Inilah yang ingin beta tekankan supaya kita kembali kepada ajaran Islam sebenar namun harus kita fahami ini bukanlah bermakna Islam menolak perbezaan pendapat kerana Islam mengharuskan kepelbagaian pendapat tentang sesuatu perkara untuk menghasilkan kebaikan," titah baginda.

Pada tahun ini, seramai 81 peserta terdiri daripada 50 qari dan 31 qariah dari 50 negara bakal memperdengarkan bacaan mereka dalam seminggu ini.

Malaysia diwakili oleh qari Amirrahman Abas dan qariah Suraya Abu Hassan yang muncul johan pada majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-54 di Kuching, Sarawak.

Dalam titah itu, baginda juga mengingatkan umat Islam agar menggunakan pendekatan bijaksana dengan mengutamakan rundingan sesama mereka.

"Islam mengajar kita bahawa setiap perselisihan pasti ada penyelesaian manakala penyelesaian yang dicapai hasil daripada pendekatan dengan cara berhemah mengikut cara Rasulullah adalah yang lebih mulia dan terpuji di sisi Allah," tegas baginda lagi.

Tuanku Mizan bertitah untuk itu, umat Islam perlu menghayati perihal Rasulullah SAW yang telah menunjukkan kaedah dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara.

"Hendaklah mengukuhkan persefahaman dan perpaduan warganegara Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan.

“Rasulullah SAW dalam Piagam Madinah mewajibkan semua penduduk Madinah agar menyayangi dan menghormati bumi Madinah," titah baginda.

PAS lancar kempen teruskan memontum Bersih 2.0

KUALA LUMPUR,16 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat akan melancarkan kempen "Ramadhan Bulan Bersih" sebagai meneruskan momentum himpunan Bersih 2.0 yang telah berjaya diadakan 9 Julai lau.

Kempen itu sebagai usaha penerangan ke seluruh negara berhubung tuntutan ke arah sistem pilihan raya yang bersih dan adil, yang akan berlangsung sepanjang Ramadhan yang akan tiba bulan hadapan.

Menurut ketuanya, Nasrudin Hassan, pihaknya akan memulakan siri jelajah ke setiap negeri sejurus bermulanya Ramadhan bagi memberikan penerangan mengenai Bersih 2.0.

Siri jelajah itu akan diteruskan dengan kempen balik kampung sempena Aidilfitri yang turut menjurus kepada penerangan mengenai Bersih 2.0.

"Pemuda PAS terdiri daripada jawatankuasa harian akan menjalankan roadshow ke seluruh negara Ramadhan ini bermula di negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Kedah, Pulau Pinang dan seterusnya Perak.

"Manakala untuk negeri Pantai Timur, kami akan turun sempena sambutan Aidilfitri nanti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Katanya juga, Ramadhan dipilih untuk "Bulan Bersih" selaras dengan kemuliaan bulan itu yang menuntut manusia khususnya umat Islam membersihkan hati dan akhlak.

"Kempen kita merangkumi ceramah dan edaran pelbagai risalah mengenai Bersih agar semua maklumat sampai kepada rakyat," katanya.

Selain itu, DPP juga katanya tetap berpendirian bahawa segala rampasan barangan Bersih 2.0 adalah tidak sah dan menuntut segala barangan yang dirampas dikembalikan semula kepada pemiliknya.

Khidmat Guaman

Sementara itu, beliau mengecam tindakan membuang seorang pelajar sebuah universiti di Mesir, Firdaus Mazlan yang mengajurkan perhimpunan Bersih 2.0 di sana.

Tegasnya, ruang demokrasi yang bebas harus juga diberikan kepada mahasiswa.

"Tindakan buang universiti suatu yang keterlaluan kerana pelajar ini hanya tinggal dua minggu lagi untuk menamatkan pelajaran," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya akan menyediakan khidmat guaman melalui Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham).

"Pihak keluarga boleh menghubungi pengarah Juham untuk tindakan undang-undang dan sesiapa sahaja yang mengalami masalah boleh berbuat demikian," katanya.