Friday, April 29, 2011

NUKILAN BUAT DSAI - FITNAH MEHNAH PERJUANGAN

26 Jamadil Awal 1432 H | 29 April 2011

Saya tak tahu apa yg nak dikata dan nak diluahkan apabila mengenangkan akibat yang sedang ditanggung oleh DSAI dan keluarga. 11 tahun beliau diaibkan dan satu demi satu tuduhan dikenakan ke atas beliau, dan keluarga semata-mata kerana beliau berada di pihak pembangkang.

Andainya ia berada di pihak BN, tentulah ia akan dilayan macam tiada apa yang berlaku. Lihat saja Presiden MCA yg mengaku melakukan aksi tak bermoral, langsung tak disiasat dan tiada sebarang dakwaan pun. Demikian juga Razak Baginda, tiada rayuan dibuat dan beliau kini bebas lepas.

Tekanan ini bukan perkara baru dalam sejarah dunia. Firaun pernah melakukannya ke atas Nabi Musa dan pengikutnya yg beriman. Bahkan tukang sihir Firaun yg asalnya adalah petugas yang berusaha untuk menjatuhkan Nabi Musa, ia dilayan, disanjung tetapi bilamana tukang sihir melihat kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa mereka kemudiannya beriman dengan Allah. Maka bermulalah penentangan dan penindasan sehingga mereka disalib pada kayu salib, mereka diseksa dengan kaki tangan mereka dipotong secara bersilang. Firaun menyeksa mereka dan setelah segala rayuan dan tangisan tidak dipedulikan, akhirnya yang keluar dari mulut mereka ialah "Hukumlah apa yg kamu ingin lakukan, kerana kamu hanya berkuasa di dunia ini sahaja".

Kini Anwar secara peribadi menjadi mangsa tuduhan. Beliau belum tentu bersalah tetapi kini bukan mahkamah diminta untuk buat keputusan sebaliknya media membuat tayangan, blog memainkan sentimen dan akhbar perdana membentuk minda pembaca agar menjadi hakim dalam perkara yg telah dirancang, disusun dan diedit agar sesuai dengan kehendak pemimpin BN. Mereka mengambil pendekatan agama (bersumpah) dalam perkara yang salah, agar dengannya rakyat yakin.

Bagaimana nantinya kalau dibuktikan bahawa ia bukan sebagaimana yang dituduh? Keaiban telah berlaku, dan ada yang bertanya, "Kalau betul, bagaimana?"

Saya berpegang kepada kaedah asas bahawa sesuatu tuduhan pada peringkat awal adalah tidak benar, melainkan dibuktikan benar. Maknanya dalam keadaan sekarang ia berada pada tahap tidak benar. Kenapa diaibkan sebegitu. Kerana 'kalau benar' akan dibuktikan kemudian.

Bagaimana pula yang membuat tuduhan sanggup bersumpah? Saya ingin agar kita lihat siapa yg membawa wanita itu, siapa yang sedia bilik, siapa yg merakam, siapa yang ada bersama waktu kejadian dan melihat kemungkaran itu. Apakah orang begini boleh menggunakan nama Allah untuk bersumpah, minta Allah agar buktikan?

Dia sepatutnya menentang kemungkaran sebelum berlaku, mencegahnya bukan menyediakannya. Kalau dia seorang Islam dia harus faham bahawa dia mesti bertindak menyekat kemungkaran, bukan memberi ruang dan menyediakan agar berlaku kemungkaran. Kepada saya siapa yg melakukan itu, kalaupun tidak dapat dibuktikan di dunia nanti, di Akhirat akan terbukti jua!

Kepada DSAI dan keluarga, saya menyeru agar bersabar di atas ujian berat ini, dan ambil kaedah yang Rasulullah s.a.w sarankan : "Jangan kamu cuba lawan gelombang waktu tengah-tengah membuak, jangan lari kerana orang akan membenarkannya, dan sabarlah sehingga Allah membersihkannya".

Peristiwa fitnah ke atas Aisyah dan Safwan berlanjutan sehingga 40 hari baru Allah turunkan ayat membersihkan Aisyah, sedangkan Allah boleh menyegerakan ayatnya. Namun para mufassurin menjelaskan sengaja Allah membiarkan 40 hari agar zahir siapa munafik, siapa nuknib, siapa pembela, siapa musuh dan siapa sebenarnya sahabat.

Dekatkan diri kepada Allah kerana Allah Maha mendengar rayuan hambaNya. Wassalam

Bagusnya jika Najib umum royalti hak rakyat T’ganu

KUALA TERENGGANU, 29 April: Alangkah bagusnya pada akhir sesi lawatan kerja Datuk Seri Mohd Najib Razak ke negeri ini mengumumkan bahawa royalti adalah hak rakyat Terengganu dan rakyat seharusnya menikmati hak mereka dengan sebaik mungkin.
Sehubungan itu, Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri ke Terengganu, esok.
Pengerusi Mampat, Mohamad Fauzi Abu Samah percaya kedatangan Najib adalah bukti komitmen dan kesungguhan beliau dalam melaksanakan apa yang dikatakan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
Katanya, kesungguhan yang ditunjukkan tersebut bukan sekadar datang menjenguk, tetapi katanya mahu mendengar suara akar umbi rakyat di Terengganu, khususnya di Pekan Batu Enam, di Manir, Kuala Terengganu dan golongan muda melalui pertemuan dengan rakan Facebook yang dijadualkan pada petang hari tersebut.
Untuk itu, katanya Mampat mewakili suara rakyat Terengganu bagi semua golongan mengambil kesempatan di atas keprihatinan Najib mendengar rintihan rakyat Terengganu untuk mengembalikan semula ‘hak dan maruah’ mereka yang telah dinafikan selama 11 tahun.
“Kembalikan royalti kami kerana ianya adalah lambang ‘hak dan maruah’ kami yang telah dinodai’
“Dalam kesempatan ini juga, Mampat ingin mengingatkan rakyat Terengganu umumnya dan kepimpinan Terengganu pada hari ini tentang janji-janji yang pernah disebutkan Najib berkenaan royalti minyak Terengganu,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Untuk makluman perdana menteri, katanya pada 13 Disember 2010 lalu, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan bahawa Mac 2011 adalah tarikh yang diberikan kerajaan pusat untuk membayar kembali royalti sepenuhnya setelah perundingan dilaksanakan olehnya.
Namun, ujarnya sehingga hari ini tiada sebarang khabar berita mengenainya walaupun bulan Mei 2011 menjelang tiba.
“Ini adalah janji kali keempat yang pernah diberikan. Rakyat Terengganu tidak akan lupa janji-janji yang telah dibuat oleh pimpinan Pusat untuk mengembalikan royalti kami,” katanya.
Beliau turut mengimbau kembali jalinan janji yang pernah diberikan kepada rakyat Terengganu sebelum ini.
Katanya, pada 14 Jun 2008, Perdana Menteri pada masa itu iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) mengumumkan bahawa royalti akan dikembalikan kepada rakyat Terengganu di mana pengumuman itu dibuat di Hotel Primula.
Tambahnya, rakyat Terengganu tidak pernah lupa bagaimana Ahmad Said dan rakyat Terengganu ditipu oleh Najib apabila menerima replika cek pada 13 Disember 2008 berjumlah RM408.6 juta yang dikatakan bayaran royalti minyak separuh kedua 2008.
Dalam majlis berkenaan, katanya Najib menyebut seolah-olah selepas ini semua wang royalti akan dimasukkan terus ke akaun kerajaan negeri.
Bagaimanapun, ujarnya hakikat sebenar tidak berlaku seperti yang dinyatakan.
Selain itu, katanya pada 13 Disember 2010 lalu, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, Ahmad telah mengumumkan bahawa Mac 2011 adalah tarikh yang diberikan kerajaan pusat untuk membayar kembali royalti sepenuhnya setelah perundingan dilaksanakan oleh pihak menteri besar itu.
“Atas kesedaran yang sama, Mampat menyeru semua pihak sama ada kerajaan negeri, mahupun rakyat Terengganu untuk terus bertanyakan hak rakyat Terengganu ini yang seolah-olah sengaja cuba dilupakan,” katanya.
Beliau menambah, jika peluang sebaik kedatangan Najib itu tidak digunakan, Mampat percaya ruang lain yang ada sangatlah terbatas, hendak diharapkan respons pada laman Facebook Najib, sudah tentu ia seumpama mimpi sahaja.
Untuk makluman, jelasnya sehingga Mac 2011 yang lalu, genap sudah 11 tahun Kerajaan Pusat menafikan hak rakyat Terengganu menikmati royalti Minyak.
“Rakyat Terengganu sudah terlalu letih menunggu buah yang tidak gugur. Jangan nanti sehingga rakyat terpaksa menjolok buah yang tidak gugur tersebut dengan cara yang lebih keras.
“Cukup-cukuplah penghinaan yang kami terima, cukup-cukuplah janji-janji kosong yang kami terima, cukup-cukuplah mencuri hak rakyat Terengganu,” katanya.

Monday, April 25, 2011

Pemuda perlu perkuat minda bawa perubahan

PERMATANG PAUH, 25 April: Selain mempamerkan kekuatan tenaga para pemuda PAS juga perlu mempunyai kegigihan otak berfikir bagaimana mahu  membawa pemuda Malaysia  ke satu tahap yang membanggakan, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi (gambar).

Barisan Nasional (BN) tambahnya, tidak ada kekuatan untuk memimpin pemuda ke arah itu kerana kepimpinanya terdedah dengan rasuah, suka menyeleweng, tidak tahan dugaan bahkan menjadi Pak Turut ketika memperkatakan sesuatu itu yang ada kepentingan BN.

Dewan Pemuda PAS, Angkatan Muda KeAdilan (AMK) dan Dapsy dari DAP adalah pilihan tepat untuk anak muda sekiranya mahu memilih parti mana sebagai wadah perjuangan tidak lagi Umno atau pemuda BN yang dilihat amat penat dan memerlukan rehat.

"Kekuatan tenaga sememangnya perlu pada pemuda.  Selain itu kita juga perlukan otak yang cerdik untuk mencari bagaimana untuk meranapkan Umno dan BN sebab keupayaan mereka untuk mendidik anak muda agak kontang sekarang ini, " tegasnya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang kali ke 31 di Dewan Komplek An Nadhoh, Penanti semalam.

Umno dan BN sudah kehilangan taji untuk berentap di arena politik tanah air secara sihat maka untuk memastikan kekuasaan terus berada digengaman mereka terpaksa gunakan bahan lain yang boleh melukakan pihak lawan.

Bagi mereka luka sudah cukup untuk merencatkan perjuangan Pakatan Rakyat.

Justeru itu, kepimpinan pemuda di semua peringkat wajar mendahului isu yang melanda negara agar rakyat dapat merasai peranan yang dimainkan.

Sikap curi tulang dalam perjuangan katanya, tetap berdosa kerana membiarkan orang lain ke medan bertempur manakala diri sendiri berpeluk tubuh menonton TV di rumah bersama anak dan isteri.

"Curi tulang dalam perjuangan jangan dijadikan amalan.  Ada sesetengah orang bila kalah dalam pemilihan dah berpeluk tubuh di rumah, boikot program padahal mereka yang tewas boleh berperanan dengan cara lain untuk membantu mengatasi kelemahan yang sedia ada, " tambah beliau pada muktamar bertemakan 'Murnikan Perjuangan, Maknakan Kemenangan'.

Pandangan pemuda juga mesti tajam membaca politik pihak musuh tambahan lagi pemuda BN cuba melaksanakan plan pembaharuan menjelang tarikh pilhanraya umum akan datang.

Muktamar yang berlangsung itu akhirnya mengekalkan dua muka lama iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah dan timbalanya, Helmi Haron manakala Nor Azman Ishak yang turut menang tanpa bertanding sebelum ini adalah Pengarah Jabatan Amal Negeri.

Ceramah Perdana Ubah Sekarang di Stadium Mini Pasir Mas

KOTA BHARU, 25 April: Angkatan Muda PKR dengan kerjasama Pemuda PAS Kelantan akan menganjurkan siri ceramah perdana Pakatan Rakyat pada 28 April di Stadium Mini Pasir Mas, Kelantan dengan tema “Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia, Tolak Fitnah." 

Penceramah utama yang diraikan adalah YAB Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan), di samping Salahuddin Ayub (Ahli Parlimen Kubang Kerian), Ustaz Abd Latif (Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan), Mohamad Zaki Ibrahim (S/U PAS Kelantan merangkap Timbalan Speaker DUN Kelantan),  Shamsul Iskandar (Ketua AMK Pusat) dan Yusmadi (Ahli Parlimen Balik Pulau).

Penganjur menjangkakan ribuan rakyat Kelantan akan memenuhi kawasan Stadium Mini Pasir Mas, memandangkan “mood” rakyat hari ini yang menolak pemerintahan BN khususnya rakyat Sarawak.

Ceramah ini adalah julung kali diadakan selepas pemilihan pimpinan baru AMK Kelantan dan merupakan permulaan kepada siri jelajah AMK Kelantan. Tujuan jelajah ini adalah untuk menjawab segala fitnah yang sebarkan oleh UMNO keatas Dato Seri Anwar Ibrahim, kata Rusdi Mohd Zain, Ketua Penerangan AMK Kelantan.

Antara isu-isunya fitnah II (Liwat) keatas DSAI, fitnah III (fitnah video lucah) dan penerangan buku jingga. Rakyat Kelantan yang prihatin dijemput bersama-sama menyatakan sokongan kepada perjuangan Pakatan Rakyat.

Pemuda PAS perlu kerap turun padang

PULAU PINANG, 25 April: Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Yusni Mat Piah meminta semua anggota dewan itu sesi ini kerap turun padang bagi menceriakan program kemasyarakatan.

Sebelum ini, katanya walaupun terdapatnya program demikian tetapi masih belum kuat terpahat di hati masyarakat tentang peranan Dewan Pemuda itu sendiri. 
Katanya, banyak program yang dilaksanakan kurang pendedahan sehingga ada orang belum mengenali kepimpinan apatah lagi ahli jawatankuasa yang diamanahkan mengetuai lajnah.

Kali ini, semua gerak kerja mesti diperhalusi mempunyai strategi dan jauhkan pertelingkahan kecil yang boleh memberi ruang untuk musuh memecah belahkan dalaman parti.

"Sesi depan kita wajar kerap turun padang mendekati masyarakat kerana ia adalah perkara wajib sebagai pemimpin. Dulu bukan tiada tetapi masih kurang memadai," tambahnya ketika berucap pada muktamar dewan itu kali ke-31 yang diadakan di Dewan Kompleks An Nahdhoh, Penanti semalam.
Muktamar bertemakan 'Murnikan Perjuangan, Maknakan Kemenangan' dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi.

Sebagai anggota Dewan Pemuda, katanya seseorang pemimpin itu kena belajar menghadapi tekanan dengan cekap dan pantas selari dengan kemelut sekarang yang mahukan perubahan yang mendadak untuk bersama mengecapi kemenangan yang mutlak pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Unit Amal dan Pasti jelas berjaya meneroka satu fenomena baru dalam masyarakat sehingga sudah dikenali ramai. 
Namun yang kurang menonjol ialah lajnah-lajnah yang boleh menjadi tautan masyarakat yang sudah muak terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Kita akui Pasti dan Unit Amal dah menampakan kejayaan tetapi yang kurang menyerlah ialah lajnah-lajnah.  Kali ini lajnah akan diperkemaskan, dijitukan dan diperbaharui sesuai dengan slogan PAS 'Anak Muda Geng Kita'," tegas beliau.
Muktamar Dewan Pemuda PAS negeri mengekalkan jawatan ketua dan timbalannya, Ustaz Yusni Mat Piah dan Helmi Haron manakala naibnya, Nor Azman Ishak adalah muka baru.
Ketiga-tiganya menang tanpa bertanding.

Ia juga menyaksikan 10 orang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa sesi 2011 -2013 mereka ialah Reduan Ramli, Hasbul Nizar, Shanaz Asri, Ahmad Taufiq, Zamadi Omar, Afnan Hamimi, Asri Haron, Shafirol Rozali, Fahmi Ahmad dan Faruq. 

Kali ini menyaksikan beberapa anugerah disampaikan antaranya, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) diperolehi oleh 'PASTI Intanku' dari Permatang Tok Gelam dari Parlimen Tasek Gelugor, Jabatan Amal terbaik dimenangi oleh Unit Amal Kepala Batas, Dewan Pemuda PAS Kawasan terbaik juga dimenangi oleh Kepala Batas, Tokoh Terbaik Negeri, Abdullah Saad dan Tokoh Khas diberikan kepada Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri, Mohd Noor Harun.

Turut hadir dalam muktamar tersebut ialah Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Amir Ghazali, Naib Ketua AMK Negeri, Syed Mikail Rizal Aidid serta wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS Pulau Pinang, Siva

Beri kebebasan sepenuhnya bukan di bibir sahaja

KUALA LUMPUR, 25 April: PAS mahu kerajaan memberikan kebebasan sepenuhnya kepada penulis blog Pakatan Rakyat untuk menulis mengenai sesuatu isu berdasarkan fakta.

Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim berkata, PAS yakin penulis blog Pakatan Rakyat sentiasa menulis berdasarkan fakta, bukan menabur fitnah seperti yang dilakukan penulis blog pro Umno BN.

"Sekiranya kebebasan diberikan sepenuhnya kepada kami para blogger, blogger pro Pakatan sentiasa mengeluarkan kenyataan dengan fakta, bukannya mengfitnah seperti yang dikatakan (Datuk Seri) Najib (Razak)," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan tidak pernah takut dengan kehadiran penulis blog, malah sebaliknya ingin menjadi sebahagian daripada mereka serta mengetahui pandangan mereka, termasuk yang bersifat membina.

Najib berkata demikian dalam ucaptama beliau pada Persidangan Penulis-penulis Blog Rantau Malaysia-Asean Pertama di ibu negara, semalam.

Khalil yang juga ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak mengalukan-alukan kenyataan itu namun hairan dengan beberapa tindakan yang pernah dikenakan kepada blog-blog Pakatan Rakyat yang mengkritik kerajaan namun tidak pula mengenakan tindakan kepada penulis blog Umno BN yang hebat menabur fitnah kepada Pakatan Rakyat.

"Saya mengalu-alukan kenyataan pihak kerajaan yang tidak pernah takut dengan kehadiran penulis blog namun saya begitu saya hairan dengan tindakan yang pernah dikenakan kepada kes beberapa orang penulis blog  pro Pakatan sedangkan dalam kes blogger pro Umno masih bebas mengfitnah pimpinan (Pakatan) tanpa tindakan yang sewajarnya dari pihak berwajib," katanya.

Beliau juga menyifatkan kenyataan itu sebagai "manis di mulut" namun realitinya kerajaan menggunakan pelbagai agensi penguatkuasa untuk menakutkan dan bertindak kepada blog pro Pakatan.

"Saya lihat kenyataan Najib itu  sebagai manis dimulut namun penuh dendam kesumat dan yang akan kena nanti adalah blog pro Pakatan.

"Ini ialah kenyataan yang cuba melunakkan blog yang tidak mesra BN," katanya.

Namun tegasnya, tindakan menakut-nakutkan penulis blog Pakatan Rakyat tidak melemahkan semangat mereka untuk terus menyebarkan maklumat yang benar.

"Namun saya lihat ianya tidak akan menghentikan tindakan kami untuk bersama rakyat Malaysia yang dahagakan maklumat yang sebenar," katanya.

Mac lalu, seorang seorang blogger pro-Pakatan Rakyat, yang dikenali sebagai Hanief ditahan polis dan komputer ribanya dirampas.

Tangkapan itu turut disertai pegawai Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Hanief terkenal di kalangan penyokong Pakatan Rakyat dan rakyat marhaen berikutan sentuhan krevitivitinya dalam mengupas isu politik tanah air melalui youtube. 

PAS mesti terus maju ke depan - Husam

GOMBAK, 25 April:Pendekatan lunak PAS dengan semua organisasi masyarakat sebelum ini telah membawa PAS ke satu era baru di mana semua pihak menerima PAS dengan baik, kata Datuk Husam Musa.

Justeru itu tegasnya, pimpinan dan ahli PAS jangan mengambil sikap mundur ke belakang setelah berjaya menawan hati sebahagian besar rakyat dan pengundi mutakhir yang memberikan sokongan dan dokongan mereka.
(Gambar kanan: Husam berucap merasmikan mesyuarat agung PAS kawasan Batu)

Bagi beliau, pendekatan ini adalah kesinambungan warisan perjuangan yang pernah dibawa Baginda Nabi Muhammad SAW.

Husam yang juga AJK PAS Pusat berkata, dengan menggunakan pendekatan itu, terdapat ramai dalam kalangan anggota organisasi masyarakat dapat menerima Nabi dan begitu juga  dengan gerak kerja dakwah dan politik PAS.

Husam yang juga Exco Kerajaan Kelantan berkata, hasil awal sudah dapat dikecapi sehingga kini dengan pembentukan Pakatan Rakyat (Pakatan), perjuangan untuk menegakkan keadilan telah diterima oleh masyarakat terbanyak.

Menurutnya, paling jelas di dalam keputusan pilihan raya ke 12 (PRU12) lalu memperlihatkan kecenderungan nyata dan jelas dengan memberikan sokongan dan undi mereka kepada parti-parti teras yang hari ini berada dalam Pakatan.

"Jika PAS mundur kembali, sudah pasti tindakan itu bakal mengelirukan rakyat dan pengundi," tegasnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Batu kali 26, di sini pagi tadi.

YDP kawasan Batu, Cikgu Ishak Surin mengkisahkan semula sedikit sebanyak bagaimana perjuangan rakyat yang disertainya dalam usaha menuntut kemerdekaan negara dahulu.

PAS Batu telah membuat satu pembaharuan di mana dalam acara pra-perasmian, diadakan slot pidato khas yang disampaikan oleh pimpinan NGO dan bukan PAS dalam usaha mendekatkan hubungan sesama aktivis masyarakat.

Sesi pidato itu melibatkan tetamu khas Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw, Naib Presiden Keadilan yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Naib Presiden PRM, Koh Swee Yong, Setiausaha Agung PSM, Arutcelvan dan tokoh NGO Jerit, Kohila.

Timbalan Pesurujaya PAS Wilayah, Ustaz Dr Mohd Ali Jamil pula melancarkan tujuh cawangan baru PAS dalam kawasan Batu dan menyerahkan bendera lambang perjuangan bergerak terus kepada mereka.

Tetamu lain yang hadir adalah bekas Menteri Tanah dan Wilayah, Datuk Dr Tan Kee Kwong, Setiausaha GMP, Hasni Abbas, YDP Jim Batu, Hassan Unir, wakil Gerakan Mansuhkan ISA, Aliza Jaafar, wakil Jabatan Pilihan raya Negeri (JPN) Wilayah Persekutuan, Zakaria Aziz dan Penulis Terkenal Negara, Haji Subky Latif.

Pengerusi Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Pusat yang juga bekas calon PAS dalam pilihan raya kecil Dun Tenang, Cikgu Normala Sudirman turut hadir dan berucap mengenai isu penindasan minda dan perasaan terhadap golongan pendidik di negara ini.

Dalam mesyuarat itu, tiada sebarang pencalonan jawatan untuk pimpinan Pusat kerana diserahkan kepada kebijaksanaan Jawatankuasa PAS Kawasan Batu yang baharu dipilih.

Sementara itu, Haji Subky telah diberikan Anugerah Jasa Baktimu Dikenang (gambar atas) memandangkan penglibatan besar, kuat dan mendalam beliau sejak PAS belum dikenali hingga kini terus menulis dalam usaha mengambangkan pengaruh perjuangan Islam dalam negara ini. 

Sunday, April 24, 2011

Parti bukan sendirian berhad, urus secara jamaah

SHAH ALAM, 24 April: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man(gambar) berkata, parti hendaklah diurus secara jamaah dan bukannya seperti syarikat sendirian berhad apatah lagi sebagai syarikat anak beranak.
Menurutnya, PAS telah mengisytiharkan matlamat perjuangannya kepada seluruh rakyat Malaysia dan mereka telah melihat dan meyakininya.
Tegasnya, pimpinan PAS tetap menggerakkan parti untuk terus komited bersama Pakatan Rakyat yang mengorak langkah lebih jauh dalam arena politik negara.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS itu juga mengingatkan ahli-ahli agar buang sikap 'tiada masa dengan Allah nanti Allah tiada masa dengan kita', lazimi Al-Quran, tahajjud dan puasa sunat serta berusaha agar kelemahan yang diketahui tidak terus dikekalkan.
Beliau menambah, kemenangan kali kedua di Selangor dalam pilihan raya umum (PRU) 13 akan datang bagi menjamin segala usaha politik dan dakwah Islam masakini dapat diteruskan.
Menurutnya, keadaan sekarang amat cantik di pandangan mata di mana masjid berjaya dimakmurkan dengan segala aktiviti mendidik anggota masyarakat.
"Kerana itu, harapan agar segala usaha dapat dilakukan sebaiknya bagi memastikan segala kegiatan dan usaha ke arah kebaikan dapat dijayakan dengan sebaiknya.
"Ingatlah Allah sedang menguji anda semua di Selangor ini, pasti tidak sama keadaannya sebelum menang dengan suasana selepas memegang tampuk kerajaan," tegasnya.
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang berucap demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Shah Alam ke 24 di TTDI Jaya, dekat sini pagi tadi.
Beliau berkata, pemimpin baik adalah mereka yang terus berpandangan jauh ke hadapan namun sesekali hendaklah menoleh ke belakang melihat kemampuan ahli-ahlinya.
Mereka, ujarnya, jangan terlalu laju sehingga tidak mampu dikejar ahli dan jangan pula terlalu lambat sehingga kaki mereka dipijak.
"Semua ahli mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri, seumpama binaan batu-bata, mestilah disusun dengan baik, yang terlebih bakar, jangan diletakkan di hadapan kerana boleh merosakkan pandangan tetapi letaklah di bahagian pengukuhan tiang binaan," tegasnya penuh berkias.
Sementara itu, ketika berucap dalam majlis sama, Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, jika musuh dapat merampas semula Selangor, mereka pasti akan melakukan sekatan lebih teruk daripada sebelum ini.
Menurutnya, kemenangan PAS di banyak kawasan termasuk Shah Alam dalam PRU 12 pada Mac 2008 adalah hasil pendirian dan sokongan banyak pihak termasuk bukan Islam dan Melayu.
Kerana itu, jelasnya, gerak kerja selepas ini mestilah menjurus ke arah mendekatkan mereka termasuk semua anggota masyarakat lain bagi  memahamkan mereka perjuangan dan matlanat PAS dalam memberi dan memelihara hak dan tuntutan semua pihak termasuk bukan Islam.

Anwar, Husam dalam seminar Muqasid

KOTA BHARU, 24 April: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Tabung Amanah Tok Kenali (TATOK) akan mengadakan seminar pemikiran Islam semasa berkaitan Maqasid Syar’iyyah yang akan diadakan di Balai Islam Lundang.

Seminar tersebut akan diadakan pada 30 April 2011 bersamaan 26 Jamadilawal 1432H bermula jam 2.00 petang.

Ahli-ahli panel terdiri daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR, Datuk Husam bin Musa, Exco Kelantan dan Dr. Muhammad Nur Manuty, Pensyarah KUIS yang juga Ketua Penerangan PKR.

Manakala Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula akan menyempurnakan majlis perasmian penutup yang dijangka berakhir pada jam 5.00 petang.

Moderator seminar ini Dr. Mohamed Fadzli Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Kerajaan Negeri kelantan.

Pengarah TATOK, Mohd Khir Abdul Ghani berkata, seminar ini diadakan bagi memberi kefahaman kepada rakyat tentang matlamat Syariah.

“Peserta dianggarkan lebih 1500 orang terdiri daripada pimpinan masyarakat, badan-badan NGO, pelajar-pelajar IPT dan DHPP Kelantan serta para aktivis daripada pelbagai bangsa tanpa mengira fahaman politik turut turut dialu-alukan,

“Tujuan diadakan seminar untuk memberi gambaran jelas tentang konsep Maqasid Syar’iyyah dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia yang meliputi asas-asas kehidupan manusia untuk seluruh masyarakat yang berbilang kaum," katanya.

Pada jam 9.00 malam pula akan diadakan ceramah penjelasan isu-isu semasa yang dianjurkan pihak Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan di Padang Majlis Daerah Machang. 

Penceramah ialah Nik Abdul Aziz, Anwar, Husam dan Anthony Loke, Ketua Pemuda DAP.

MCA minta pulau Utusan, apa kata Pemuda Umno

KOTA BHARU, 24 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) mencabar Pergerakan Pemuda Umno untuk menyatakan pendirian terhadap gesaan Timbalan ketua publisiti MCA, Loh Seng Kok agar akhbar lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia dipulaukan oleh rakyat Malaysia. 

Gesaan ini dilaporkan oleh laman web berita dalam talian Malaysiakini pada 23 April 2011. 
Ini ekoran rencana yang ditulis oleh Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan minggu lepas yang mencadangkan agar digerakkan kempen ‘1Melayu, 1Bumi’.

Pemuda PAS Kelantan, kata Ketua Penerangannya Ahmad Fadhli Shaari, menyanggah kenyataan Presiden UMNO bahawa cadangan tersebut merupakan cadangan peribadi penulis dan tidak ada kaitan dengan kerajaan. 

Hakikatnya, kata beliau, Utusan Malaysia merupakan lidah rasmi Umno dan sebarang tulisan yang tersiar di dalamnya khususnya yang berkaitan dengan sidang pengarangnya sendiri harus dipikul tanggungjawabnya oleh Umno.

Justeru, Fadhli (gambar) berkata, Pemuda PAS Kelantan melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh MCA merupakan satu cabaran kepada Umno yang mengaku memperjuangkan bangsa Melayu. 

"Jika selama ini mereka sering menuduh bahawa PAS telah menjadi kuda tunggangan DAP, maka hari ini apabila MCA secara terang menyelar lidah rasmi Umno, adakah Umno berani untuk bersuara?" katanya dalam satu kenyataan.

Pemuda PAS Kelantan beranggapan, sekiranya Umno khususnya Pergerakan Pemudanya hanya diam membisu, bererti mereka sendiri sudah merelakan diri menjadi kuda tunggangan MCA.

"Sepatutnya, pada masa inilah Pemuda UMNO perlu menunjukkan kejantanan mereka tampil ke hadapan membela suara rasmi mereka yang dianggap pembela bangsa Melayu selama ini," katanya.

Hakikatnya, kata Fadhli, seruan Utusan Malaysia itu hanyalah mengulangi pendirian politik perkauman yang diamalkan oleh Umno selama ini. 

Pemuda PAS Kelantan katanya yakin, masyarakat Malaysia semakin menyedari permainan politik yang merbahaya ini dan akan menolak politik perkauman yang diamalkan oleh Umno dana rakan-rakan parti politik di dalam komponen Barisan Nasional. 

2 Tok Guru aset umat Islam, bukan sekadar PAS

PASIR PUTEH, 24 April: Dua tokoh utama PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disifatkan aset penting umat Islam, malah untuk seluruh rakyat bukan sekadar kalangan orang PAS semata-mata.
"Nilai mereka berdua dalam memandu seluruh rakyat keluar dari kerenah dan fitnah musuh terlalu besar dan tidak perlu dipertikaikan sesiapa," kata AJK PAS Pusat, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin.
Kegigihan dan keputusan tepat mereka, kata beliau menyebabkan perancangan-perancangan Umno merosakkan Islam dan rakyat negara ini dapat ditepis dengan baik.
"Sejak Umno menggunakan khidmat nasihat APCO (yang dikaitkan dengan Yahudi) dan merencana pelbagai taktik untuk merosakkan PAS dan Islam, kita amat bertuah kerana kedua-dua pemimpin ini terus komited mempertahankan kesucian Islam dan harapan rakyat," kata beliau di majlis pemimpin bersama rakyat yang diadakan di dewan utama Majlis Daerah ini, petang kelmarin.
Menurutnya, meskipun kedua-dua tokoh ini amat tinggi pengetahuan mereka tentang Islam dan pelbagai ilmu lain, mereka sentiasa berbincang dan mengambil pandangan semua pihak dalam memutuskan setiap perkara.
"Dalam jawatankuasa pusat (PAS) kami kerapkali terpaksa melanjutkan perbincangan hingga pukul tiga, empat pagi kerana mereka mahu semua pandangan di dengar sebelum satu keputusan dibuat demi kebaikan umat dan rakyat," tegas beliau yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang.
Beliau meminta ahli-ahli PAS dan rakan-rakan yang mahu bersama memperjuangkan keadilan dan keselamatan menggunakan segala ruang untuk memberikan sokongan besar kepada tokoh seumpama ini yang tujuan hidup mereka semata-mata mencari redha Allah dan mengharap kesejahteraan rakyat.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Ustaz Muhammad Husain dalam ucapannya memberi amaran kepada Umno supaya menghentikan kegiatan tidak bermoral dengan memfitnah dan menyebarkan berita-berita palsu yang mengelirukan orang ramai.
"Di peringkat nasional, rakyat sudah muak dengan fitnah hodoh seperti diperlakukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga anak-anak kecil kebingunan dengan apa yang dilaporkan di media.
"Di Pasir Puteh ini, media digunakan untuk menyebar berita palsu kononnya berduyun-duyun ahli PAS masuk Umno," katanya.
Di sebelah pagi telah diadakan mesyauarat agung muslimat PAS kawasan Pasir Puteh di tempat yang sama.
"Pagi ini kita adakan masyuarat (agung) muslimat di sini, perwakilan yang hadir hampir 600, ini membuktikan segala dakwaan bahawa  orang kawasan ini begitu ramai masuk Umno satu pembohongan," ujar beliau.

Fokus jatuhkan BN, bukan pemimpin PAS- Husam

KUALA LUMPUR, 23 April: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Husam Musa menegaskan bahawa PAS perlu fokus dalam usaha menumbangkan BN bukannya menjatuhkan kepimpinan PAS sedia ada.

Katanya, kepimpinan parti yang diterajui Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih diperlukan dan Abdul Hadi sendiri adalah paling layak menerajui PAS buat masa ini.

“Isu presiden dicabar atau tidak, kita tidak perlu memberi respons secara berlebihan, nanti orang akan kata presiden kita ada masalah. Tapi sebenarnya tidak ada... yang nak jatuhkan Hadi adalah Barisan Nasional bukan PAS,” katanya.

Beliau yang juga Bekas Naib Presiden PAS berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan PAS kawasan Batu di sini hari ini.

Tambahnya, apa yang penting kepada PAS sekarang adalah proses "penyegaran" semula dengan dibawa elemen-elemen baru yang boleh memperkukuhkan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Justeru kata beliau, usaha yang perlu diberi perhatian ialah sasaran menjatuhkan Barisan Nasional (BN), bukannya Abdul Hadi selaku salah seorang pemimpin Pakatan Rakyat.

Abdul Hadi juga disifatkannya sebagai "terbukti" layak untuk terus menyandang jawatan Presiden kerana sudah menghadapi banyak cabaran.

“Cuma apa yang diperlukan PAS adalah ia harus disegarkan semula, bukan bermaksud ganti orang sedia ada tapi disegarkan dengan melakukan transformasi, elemen-elemen baru dalam parti... mungkin boleh dapatkan penasihat dari golongan profesional untuk bantu memperkuatkan PAS,” kata beliau.

Sebelum ini PAS kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan beliau bertanding jawatan Presiden PAS pada Muktamar parti itu yang akan diadakan 3 hingga 5 Mei ini.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya menyatakan kepada Abdul Hadi untuk terus menerajui kepimpinan PAS.