PERMATANG PAUH, 25 April: Selain mempamerkan kekuatan tenaga para pemuda PAS juga perlu mempunyai kegigihan otak berfikir bagaimana mahu membawa pemuda Malaysia ke satu tahap yang membanggakan, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi (gambar).
Barisan Nasional (BN) tambahnya, tidak ada kekuatan untuk memimpin pemuda ke arah itu kerana kepimpinanya terdedah dengan rasuah, suka menyeleweng, tidak tahan dugaan bahkan menjadi Pak Turut ketika memperkatakan sesuatu itu yang ada kepentingan BN.
Dewan Pemuda PAS, Angkatan Muda KeAdilan (AMK) dan Dapsy dari DAP adalah pilihan tepat untuk anak muda sekiranya mahu memilih parti mana sebagai wadah perjuangan tidak lagi Umno atau pemuda BN yang dilihat amat penat dan memerlukan rehat.
"Kekuatan tenaga sememangnya perlu pada pemuda. Selain itu kita juga perlukan otak yang cerdik untuk mencari bagaimana untuk meranapkan Umno dan BN sebab keupayaan mereka untuk mendidik anak muda agak kontang sekarang ini, " tegasnya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang kali ke 31 di Dewan Komplek An Nadhoh, Penanti semalam.
Umno dan BN sudah kehilangan taji untuk berentap di arena politik tanah air secara sihat maka untuk memastikan kekuasaan terus berada digengaman mereka terpaksa gunakan bahan lain yang boleh melukakan pihak lawan.
Bagi mereka luka sudah cukup untuk merencatkan perjuangan Pakatan Rakyat.
Justeru itu, kepimpinan pemuda di semua peringkat wajar mendahului isu yang melanda negara agar rakyat dapat merasai peranan yang dimainkan.
Sikap curi tulang dalam perjuangan katanya, tetap berdosa kerana membiarkan orang lain ke medan bertempur manakala diri sendiri berpeluk tubuh menonton TV di rumah bersama anak dan isteri.
"Curi tulang dalam perjuangan jangan dijadikan amalan. Ada sesetengah orang bila kalah dalam pemilihan dah berpeluk tubuh di rumah, boikot program padahal mereka yang tewas boleh berperanan dengan cara lain untuk membantu mengatasi kelemahan yang sedia ada, " tambah beliau pada muktamar bertemakan 'Murnikan Perjuangan, Maknakan Kemenangan'.
Pandangan pemuda juga mesti tajam membaca politik pihak musuh tambahan lagi pemuda BN cuba melaksanakan plan pembaharuan menjelang tarikh pilhanraya umum akan datang.
Muktamar yang berlangsung itu akhirnya mengekalkan dua muka lama iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah dan timbalanya, Helmi Haron manakala Nor Azman Ishak yang turut menang tanpa bertanding sebelum ini adalah Pengarah Jabatan Amal Negeri.
No comments:
Post a Comment