Thursday, August 16, 2012

Perutusan Hari Raya 1433H (2012) Dewan Pemuda PAS Machang


Hargai guru SAR, pimpinan negeri beri sumbangan raya

PERMATANG PAUH: Seramai 260 orang Guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) menerima saguhati sempena Hari Raya Aidil Fitri dari pimpinan kerajaan negeri.

Majlis penyerahan tersebut diadakan di perkarangan Masjid Jamek Kubang, Bukit Mertajam disempurnakan Timbalan Ketua Menteri 1. Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Datuk Saleh Man.

Selain mereka turut menyumbangkan hamper, beras dan wang ringgit ialah Exco Agama dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Malek Kasim.

Selain guru SAR, majlis semalam turut meraikan golongan miskin dengan pemberian hamper dan beras serta wang ringgit.

Rata-rata guru yang dtemui merasai syukur kerana adanya bantuan tersebut dapat meringankan bebanan mereka.

Saleh Man berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai jasa guru-guru SAR dan berharap agar mereka meneruskan usaha mereka mendidik anak bangsa menjadi insan yang bertaqwa sekaligus menjadi pewaris kepimpinan yang cemerlang di mas depan.

"Sumbangan ini sebagai penghargaan daripada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat atas usaha mereka yang tidak jemu mendidik anak bangsa.

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Hubungan dengan PAS, DAP kafir mu’ahid


KUALA LUMPUR: Dalam konteks Malaysia, ahli-ahli DAP merupakan rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan negara yang menetapkan antaranya Islam sebagai agama Persekutuan.

Justeru, melabelkan DAP sebagai kafir harbi, iaitu istilah bagi bukan Islam di luar negara umat Islam, yang menentang secara bersenjata negara yang diperintah oleh umat Islam, adalah salah dan sangat tidak tepat serta menzalimi hak kerakyatan mereka.

Demikian dijelaskan Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat,Dr Khairuddin Razali (gambar) dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, dalam konteks hubungan antara PAS yang menetapkan dasarnya al-Quran dan Sunnah dengan DAP yang mengikat janji sepakat atas nama Pakatan Rakyat, maka ahli-ahli DAP yang bukan Islam boleh dikategorikan sebagai kafir mu'ahid, iaitu istilah bagi bukan Islam yang berikat janji dengan orang Islam.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Dalam konteks Malaysia, ahli-ahli DAP merupakan rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan negara yang menetapkan antaranya Islam sebagai agama Persekutuan.

DAP juga tidak menentang Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama bagi Malaysia dengan memberontak secara bersenjata.

Oleh itu, DAP merupakan  warga negara Malaysia yang taat.

Melabelkan DAP sebagai kafir harbi, iaitu istilah bagi bukan Islam di luar negara umat Islam, yang menentang secara bersenjata negara yang diperintah oleh umat Islam, adalah salah dan sangat tidak tepat serta menzalimi hak kerakyatan mereka.

Dalam konteks hubungan antara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang menetapkan dasarnya al-Quran dan Sunnah dengan DAP yang mengikat janji sepakat atas nama Pakatan Rakyat, maka ahli-ahli DAP yang bukan Islam boleh dikategorikan sebagai kafir mu'ahid, iaitu istilah bagi bukan Islam yang berikat janji dengan orang Islam.

Malah ikatan janji antara PAS dan DAP ialah untuk menentang sebarang bentuk penyelewengan pengurusan negara, menentang kezaliman polisi-polisi pemerintahan negara, mempertahankan perlembagaan Malaysia yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Oleh itu, menyokong calon-calon pilihan raya DAP di kalangan bukan Islam yang bersepakat mengikat janji dengan Parti Islam Se-Malaysia dalam PRU13 nanti adalah tidak haram, malah ia bertepatan dengan prinsip siyasah syar’iyyah yang bermatlamat menolak dan menentang sebarang kezaliman dan penyalahgunaan kuasa dan menegakkan kebenaran.

Pakatan Rakyat telah bersepakat dan berjanji setia untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia khususnya dalam 4 perkara, antaranya Islam sebagai agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-raja Melayu, hak Istimewa Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Oleh pakatan antara PAS, DAP dan PKR ini menepati dan selaras dengan tuntutan Islam yang menganjurkan sebarang kerjasama atas dasar kebajikan dan taqwa.

Perutusan Hari Raya Aidilfitri Tuan Guru Nik Aziz


114A: Lagi bukti Najib "PM terburu-buru"


KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan untuk mengkaji semula Akta Keterangan 1950 (Seksyen 114A) merupakan satu kejayaan kepada kempen yang dijalankan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), semalam.

Hasrat yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bagi membuktikan kononnya beliau mendahulukan rakyat, sepertimana yang sering diucapkan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berkata kempen yang disertai berpuluh-puluh laman web itu menunjukkan kerajaan sering meminda akta secara terburu-buru tanpa meneliti secara keseluruhan.

Sebelum ini banyak juga perkara yang dumum Najib untuk dilaksanakan terburu-buru namun terpaksa menarik balik selepas mendapat bantahan banyak pihak.

Ia termasuklah dalam isu Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan Perjanjian Tukar Saham MAS-AirAsia yang akhirnya dibatalkan biarpun telah menelan kos yang besar.

Semalam, CIJ melancarkan kempen bantahan dalam talian, yang dikenali sebagai Hari Tegah Siar Internet, yang disifatkan akan mendedahkan pengguna Internet yang tidak bersalah kepada risiko penganiayaan.

Kempen ini banyak dibincangkan di laman web rangkaian sosial dan telah mendapat liputan meluas daripada organisasi berita antarabangsa.

R desak JPM keluar laporan kewangan wang ehsan

KOTA BHARU: Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini mengeluarkan iklan khas bagi menjelaskan ke mana wang ehsan dibelanjakan yang berjumlah RM61.8 juta sehingga 31 Julai 2012.

Berdasar kepada iklan yang disiarkan dua akhbar harian daripada jumlah tersebut agihan yang dibuat sebanyak RM41.4 juta. Ini bermakna sebanyak RM20.4 juta belum lagi diagih.

Iklan khas tersebut dikeluarkan kemugkinan menjawab surat dan memorandum dihantar anak-anak muda yang bernaung di bawah Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti – R) baru-baru ini.

Presiden R, Nazri Deraman (gambar atas) berkata, sepatutnya pihak terbabit menjawab secara rasmi surat dihantar R mengenai laporan kewangan yang diaudit pada 2010, 2011 dan sehingga 31 Julai 2012.

“Biar pun penjelasan diberi namun masih menimbulkan banyak keraguan di mana kemungkinan penerima yang tidak disebut dalam iklan menjadi sasaran untuk mendapatkan wang ehsan.

“Ini kerana banyak agihan wang ehsan dilaporkan media sebelum ini dibuat melalui Ketua-ketua Bahagian Umno. Lagi pun Pengerusi Jawatankuasa Wang Ehsan ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin,” katanya di sini.

Menurutnya berdasar kepada senario pengagihan wang ehsan sebelum ini ternyata Umno terbabit secara langsung.

“Jadi kami anak muda mahu tahu siapakah penerima sebenar wang ehsan tersebut dan bagaimana pemilihannya dibuat.

“Selain itu kenapa Awang Adek dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa Wang Ehsan dan bukan Pengarah JPP Kelantan,” katanya.

Nazri juga berkata, persoalan juga timbul di mana sebelum ini Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan wang ehsan diterima sebanyak RM61.8 juta.

Sedangkan katanya, Awang Adek pula umumkan melalui kenyataan media wang ehsan diterima sebanyak RM24 juta setahun, dan ini bermakna berjumlah RM72 juta sejak 2010.

“Jadi ke mana perginya lebih RM10 juta lagi. Kami khuatir berlaku ketirisan atau kebocoran. Inilah rakyat Kelantan hendak tahu,” kata Nazri.

Sehubungan itu katanya, sekiranya pihak terbabit tidak menjawab secara telus penerimaan dan agihan wang ehsan, pihaknya akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat ini.

260 pesakit di hospital terima hamper wakil rakyat


TANAH MERAH: Menjelang lebaran tidak lama lagi, 260 pesakit di Hospital Tanah Merah dapat menyembuyikan rasa sedih dan sayu seketika kerana dikunjungi wakil-wakil rakyat semalam.

Lawatan anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Adun Gual Ipoh, Wan Yusuf Wan Mustafa dan Penyelia Dun Bukit Bunga, Suply Abdul Razak dapat melegakan perasaan mereka.

Rombongan wakil rakyat juga disertai Muslimat PAS Tanah Merah, pemuda dan penghulu-penghulu. Kehadiran  mereka diiringi pegawai hospital terbabit.

Setiap pesakit menerima hamper sebagai buah tangan, pengubat duka ketika menjalani rawatan di hospital.

Pada kunjungan itu Abdul Fattah juga menyumbangkan kerusi roda kepada seorang warga emas, Zaharah Abdul Rashid, 75, yang terlantar sakit. Beliau berasal dari Kampung Pondok Lama Tanah Merah.

Mereka juga mengunjungi wad kanak-kanak sambil menghulur buah tangan di samping bermesra dengan pesakit dan keluarga mereka.

“Acara ini merupakan aktiviti rutin bagi setiap wakil rakyat di Kelantan. Melalui kunjungan ini diharap dapat melahirkan perasaan gembira pesakit ketika mereka sedang terlantar sakit.

“Malah Islam amat menuntut umatnya menziarahi orang sakit dan mendoakan kesejahteraan buat mereka,” katanya ketika ditemui selepas itu.

Hari ini Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota-anggota Exco melawat pesakit di Hospital Raja Peremuan Zainab II.

24 kanak-kanak istimewa diraikan menjelang Aidil Fitri



(Zailah bergambar kenangan dengan kanak-kanak istimewa di Sekolah Pendidikan Khas AsSyakirin pagi tadi)

RANTAU PANJANG: 24 kanak-kanak istimewa mendapat perhatian khas dari anggota Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Zailah Yusof pagi ini.

Zailah telah berkunjung ke sekolah mereka, Sekolah Pendidikan Khas AsSyakirin Rantau Panjang pagi ini bagi bertemu mereka menjelang Aidil Fitri ini.

Mereka diberikan hamper dan duit raya sempena kunjungan itu.

Bagi Zailah, beliau menjalankan tugas ini sebagai menunaikan tanggungjawab untuk menceriakan kanak-kanak istimewa ini.

(Zailah menyampaikan bantuan kepada penduduk miskin di kampung Chicha)

Semalam, Zailah telah mengunjungi orang-orang tua dan miskin di Kampung Chicha dekat sini bagi menyampai bantuan kepada mereka.

Bantuan berupa beras, tepung, gula dan lain-lain diberikan bagi meringankan beban mereka menjelang Aidil Fitri ini.

Pelajar hanya 25 tetapi dapat RM2 juta

KOTA BHARU: Dengan memiliki hanya 25 pelajar lelaki, Madrasah Al-Najmiah atau Pondok Geting mendapat sumbangan RM2 juta dari Jabatan Pembangunan Persekutuan semalam, 14 Ogos.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad.

Minggu lalu akhbar Umno membuat kekecohan apabila menyiarkan kenyataan Abdullah Sa`amah kononnya haram mengundi DAP kerana mereka 'kafir harbi'.

Ekoran itu, pelbagai bantahan dibuat ke atas akhbar Umno itu khasnya Abdullah Sa'amah.

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya misalnya berpendapat bahawa kerajaan yang bermaruah tidak akan membiarkan pihak yang mencabar kuasa mereka seperti tindakan mengisytiharkan perang dengan menggelar golongan tertentu sebagai "kafir harbi".

Katanya, pandangan bahawa haram bagi umat Islam menyokong DAP yang diutarakan guru pondok, Abdullah Sa'amah itu juga merupakan pendapat "ketinggalan zaman dan bersifat kebudak-budakan"

Namun, tanda tanya mengenai kenyataan itu seolah-olah terjawab semalam apabila Pengerusi Umno Kelantan menyampaikan cek RM2 juta kepada pondok itu.


(Mustapa menyampaikan sumbangan RM2 juta kepada Pondok Geting)

Pondok ini dinamakan Madrasah Al-Najmiah. Ia diasaskan pada tahun 1983M oleh Abdullah bin Sa`amah.

Ia terletak kira-kira 40 km dari Bandar Kota Bharu dan hanya kira-kira 1 km dari jalan besar Pengkalan Kubor - Kota bharu.

Pengerusi pentadbir pondok ini adalah Haji Abdullah bin Sa`amah.

Antara kemudahan di pondok ini Madrasa, elektrik, air, kolah air, rumah tetamu dan 18 buah pondok untuk pelajar.

Wednesday, August 15, 2012

Pemuda PAS Ktan minta Nasharuddin lepas MP Bachok


(Nasharudin bersama Presiden Umno dan beberapa pemimpin Arab di Mekah)

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) meminta bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyatakan pendiriannya dengan jelas samada masih ingin bersama PAS atau membawa haluan yang bertentangan dengan kehendak parti.

"Jika beliau sudah tidak berminat bersama-sama dengan PAS, amatlah wajar untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok daripada terus menerus mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat Bachok di dalam PRU12 yang lalu," kata Setiausahanya, Mohd Nuri Mat Yaacob dalam kenyataannya yang dihantar kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Nasharudin  yang dikeluarkan oleh beliau seperti yang tersiar di dalam Buletin Utama TV3 hari ini di mana beliau mencadangkan agar PAS keluar dari Pakatan Rakyat jika DAP menentang hudud.

Beliau juga dilihat bersama-sama dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak di Mekah sedangkan pada awal Ramadhan lalu beliau telah pergi ke sana.

"DPPNK melihat cadangan beliau tersebut hanyalah mengulangi hujah-hujah yang diratib oleh pemimpin-pemimpin Umno selama ini.

"Sedangkan semua pihak sedia maklum bahawa kerajaan pusat yang ditunjangi oleh Umno dan BN lah yang sebenarnya menghalang pelaksanaan hudud di Kelantan selama ini," kata Nuri dalam kenyataannya.

Ditambah dengan sikap beliau yang dilihat pro Umno sejak kebelakangan ini, DPPNK melihat amat wajar untuk beliau membuat pengisytiharan rasmi adakah beliau masih setia bersama PAS atau sebaliknya.

"Jika beliau sudah tidak berminat bersama-sama dengan PAS, amatlah wajar untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok daripada terus menerus mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat Bachok di dalam PRU12 yang lalu," katanya.

Bagi DPPNK, katanya, PAS sedikitpun tidak rugi jika individu seperti beliau mengangkat kaki meninggalkan parti.

Makan Colek Dan Majlis Penyampaian Sumbangan DPPKM
















Ramai rasai Umno meniti di benteng akhir

KETEREH: Peristiwa yang berlaku sekarang di mana semakin ramai menyertai PAS dan Pakatan Rakyat sebenarnya pernah terjadi ketika Nabi Muhammad saw berjaya membuka kota Mekah.

Ketika itu berbondong-bondong orang Musyrikin Mekah memeluk Islam kerana mereka melihat Islam sudah berada di ambang kemenangan dan dapat memerintah negeri.

Speaker Dun Kelantan, Datuk Nassaruddin Daud (gambar) berkata, begitu juga dengan suasana yang berlaku sekarang, di mana ramai melihat PAS dan Pakatan Rakyat sudah berada di ambang kemenangan pada pilihan raya ke-13.

“Sekarang semua golongan menyertai PAS termasuk mantan pegawai tertinggi polis, tentera, pegawai tadbir, ahli korporat, artis bahkan menteri kabinet,” katanya ketika menyampaikan tazkirah Ramadan di Masjid Al-Mukarabbin, Kampung Bechah Kura, Peringat kelmarin.

Nassurudin yang juga Adun Meranti berkata, Umno sekarang terpaksa mencipta helah dengan memberi gambaran buruk terhadap PAS, PKR dan DAP.

Katanya terbaru mereka mengatakan mengundi DAP haram kerana DAP menentang pelaksanaan hudud.

“Kalau DAP menentang hudud munasabah kerana mereka bukan Islam, tapi bagaimana dengan Umno yang menentang hudud sedangkan mereka orang Islam.

“Hukum  hudud diwajibkan  ke atas orang Islam sahaja sementara bukan Islam  tidak tertakluk kepada hukum tersebut,” katanya.

Sementara itu pegawai penyelidik bidang politik di Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Muhamad Zainal Abidin Hussin berkata, sudah tidak ada lagi parti yang menang sejak zaman kemerdekaan terus kekal berkuasa di dunia sekarang kecuali Umno.

Katanya, Umno terpaksa melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kuasa, biar pun nasibnya sudah tidak menyebelahi mereka sekarang.

"Masa untuk Umno sudah luput, jadi mereka terpaksa mencuba pelbagai ramuan awek muda kononnya untuk menyambung jangka hayat. Ramuan itu antaranya wang ringgit dan undi pos," ujarnya.

PRU13: Najib tertekan, perisik lapor peralihan kuasa


KUALA LUMPUR: PAS melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus berada dalam keadaan tertekan untuk membuat pengumuman pembubaran parlimen bagi menghadapi Pilihanraya Imum ke-13 (PRU13).

Kenyataan tersebut disuarakan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) apabila 'task force' rasmi yang terdiri daripada perisikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut melaporkan akan berlaku peralihan kuasa pada PRU13 nanti.

"Melihat kepada apa yang berlaku sekarang pada senario politik negara, Najib terus berada dalam keadaan tertekan untuk membuat pengumuman pembubaran parlimen bagi mengadakan PRU13.

"Tekanan itu lebih teruk lagi apabila laporan dari perisik rasmi kerajaan yang telah menyatakan rakyat telah menunjuk sikap tidak selesa mereka kepada kerajaan, malah menjangkakan akan ada perubahan kuasa," jelasnya sewaktu majlis berbuka puasa di sebuah hotel semalam.

Mahfuz yang turut menjangkakan Najib akan mengadakan pilihanraya pada awal tahun hadapan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Katanya lagi, faktor kesuntukkan masa iaitu sambutan kemerdekaan, musim haji dan juga peperiksaan kepada pelajar-pelajar sekolah juga antara sebab utama PRU13 dibawa ke tahun hadapan.

"Sudah pasti pilihanraya tidak akan diadakan pada musim haji kerana rakyat negara ini akan keluar untuk menunaikan haji dan begitu juga musim peperiksaan yang mana ibubapa akan lebih tumpukan kepada peperiksaan anak mereka.

"Jika Najib ingin mengadakan pada musim peperiksaan ia akan menimbulkan kemarahan kepada ibubapa, malah peglibatan guru-guru dalam menguruskan peperiksaan juga akan turut terganggu," sambungnya.

Menurutnya, kerajaan akan menggunakan sebaik mungkin belanjawan 2013 yang akan dibentangkan pada sesi parlimen akan datang.

"Sokongan rakyat sudah semakain menurun dan saya pasti Najib akan menggunakan sepenuhnya kelebihan senjata terakhir mereka pada belanjawan kali ini untuk menarik undi rakyat.

"Apatah lagi senario perubahan yang besar akan berlaku di Sabah, Najib dijangka bertindak luar biasa kepada rakyat di sana.

Sebelum itu, menurut laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin  yang telah keluar BN dan mengisytiharkan sokongan kepada Pakatan Rakyat turut mendakwa tiga lagi ahli parlimen BN akan lompat parti selepas Hari Raya.

Menurut Lajim lagi, seramai 18 daripada 35 ahli jawatankuasa Umno bahagian Beaufort menuruti langkahnya meletak jawatan dan mempromosi Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang menyokong Pakatan.

Tuesday, August 14, 2012

Pemuda PAS rai anak yatim mangsa tragedi Takbai


(Anggota rombongan bergambar dengan anak-anak yatim mangsa Tragedi Takbai)

TAKBAI (Thailand): Peristiwa pembunuhan dan kekejaman terhadap umat Islam Takbai masih segar lagi di ingatan umat Islam serantau dan anak yatim yang ditinggal terus menderita hingga kini.

Peristiwa yang berlaku itu hanya dipisahkan sebatang sungai antara bandai Takbai, Thailand dan Pengkalan Kubur di Tumpat.

Walaupun dikala ini umat Islam di Rohingya sedang diratah oleh junta Burma, kesan dan penderitaan balu dan anak-anak yatim Takbai tidak dilupakan.

(Raja Ahmad memberikan ucapan di majlis bersejarah ini)

Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dengan kerjasama beberapa NGO tempatan telah pergi menziarahi anak-anak yatim yang kehilang ibu dan ayah di asrama anak yatim Takbai minggu lalu.

Berbekalkan kiriman doa dan baju raya, makanan dan sedikit wang, satu majlis penyerahan sumbangan kepada anak anak yatim telah diadakah pada 5 Ogos yang lalu.

Rombongan ini diketuai oleh Naib  Ketua Pemudanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob bersama jentera lajnahnya yang turut serta.

Mereka adalah Timbalan Pengerusi, Ir Haji Ariffahmi, Ustaz Hakim selaku Setiausaha 2, Dr Rosli Ahlani Kader selaku Ketua Unit ParaMedic, Fariz Irwan Datuk Mustafa selaku Ketua Unit Guaman dan Ustaz Mohd Yaser selaku Ketua Unit Perbekalan Lajnah Antarabangsa.

Majlis turut dihadiri oleh Datuk Bandar Takbai yang baru dilantik selepas pilihanraya bandaran, Nawawi Tara.

Nawawi dalam ucapannya mengucapkan ribuan terima kasih kepada DPPM kerana cakna terhadap anak anak yatim magsa kekejaman Takbai.

Disamping itu Penasihat AYATA (Asrama Anak Yatim Takbai) Ustaz Wan Mohammad juga melahirkan rasa syukur dan gembiranya diatas ingatan dan inisiatif Lajnah Antarabangsa DPPM ini.

Sesungguhnya kunjungan Dewan Pemuda pada kali sedikit sebanyak meringankan sedikit bebanan AYATA dan mampu menceriakan anak anak yatim untuk berhari raya dengan baju baru dan makanan yang berkhasiat.

Dalam ucapan berasingan, Dr Raja Ahmad Iskandar mengingatkan anak-anak yatim dan hadirin yang hadir agar menjadikan ramadhan sebagai penguat semangat dan motivasi untuk terus maju dan berjaya.

Dengan menjadikan hikmah perang Badar dimana tentera umat Islam sedikit dan serba kekurangan tapi mampu menewaskan tentera musrikin begitulah hikmah kepada masyarakat Islam Thailand.

Walaupun minoriti tapi mampu untuk menjadi ummah dan rakyat yang berjaya dan maju dengan menjadikan Islam sebagai panduan hidup dan kerjaya.

Seramai 164 anak anak yatim Takbai dibekalkan sepasang baju raya, duit raya dan sedikit makanan.

Sejumlah RM40000 di salurkan kepada AYATA utntuk pengurusan anak anak yatim dari sudut akademik, kabajikan dan penginapan.

Wang hasil kutipan orang ramai itu disampaikan oleh Dr Raja Ahamd kepada Penasihat AYATA sendiri, Ustaz Wan Mohammad.

PAS, Ustaz Azhar Idrus dan artis

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia begitu komited dalam usaha menyampaikan dakwah di kalangan penggiat-penggiat seni tanah air dan juga anak-anak muda.

Komitmen ini secara jelas ditonjolkan melalui program usrah Musika yang menghimpunkan para artis dan selebriti tanah air dalam satu majlis ilmu.

Semalam Usrah Musika membuat kelainan apabila membawa para pendakwah bebas untuk menjawab setiap persoalan daripada para artis khususnya berkaitan agama.

“Kita tidak pernah menafikan sumbangan dari penggiat seni bahkan terkadangnya mereka menterjemahkan pendidikan kepada masyarakat dalam satu medium yang lebih mudah diterima oleh masyarakat.

"Sebab itu kita mahu mendekati mereka dan memberikan khidmat nasihat di samping merapatkan jurang di antara agamawan dan juga para artis ini”, kata Syed Abdul Kadir yang merupakan naqib bagi Usrah Musika.

Majlis berbuka puasa Musika kali ini turut dihadiri hampir 20 orang artis dan lebih 10 tokoh yang terkenal termasuk ahli politik.

Antaranya Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahudin Ayub, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah, Datuk Tuan Ibrahim, Nasrudin Hassan dan Nik Abduh.

Majlis turut dimeriahkan dengan tokoh pendakwa bebas seperti Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Syed Nur Hisyam.

Sambutan daripada artis juga sangat menggalakkan. Antara yang hadir adalah artis-artis dari kumpulan nasyid, Abby Abadi, Bob Lokman, Leman Raja Lawak, Farah Asyikin, Noryn Aziz dan ramai lagi.

Maklum balas daripada artis juga sangat positif kerana mereka merasakan program seperti ini dapat membantu mereka mendapatkan pandangan dan jawapan berhubung masalah khususnya berkaitan agama.

“Matlamat kita dalam Musika adalah untuk menyediakan satu ruang kepada para artis untuk lebih mengenali Islam.

"Sebenarnya mereka juga ingin mendalami agama mereka dan mereka mahu mendekati ustaz-ustaz atau ustazah-ustazah," katanya lagi.

Menurut beliau juga, usrah Musika ini juga akan diadakan pada setiap bulan. Para artis adalah dijemput untuk saling bertukar pandangan, maklumat dan ilmu.

PAS akan beri ruang kepada artis - Salahuddin


KUALA LUMPUR: Lebih 30 artis menyertai usrah bersama Dewan Pemuda PAS Malaysia yang diketuai Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi di majlis berbuka puasa di sebuah restoran di Wangsa Maju semalam.


Majlis tersebut turut dihadiri Ustaz Azhar Idrus, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.



Majlis bermula jam 6 petang dengan diskusi ringan pemimpin PAS, Ustaz Azhar bersama artis-artis.

Nasrudin yang ditemui Harakahdaily berkata majlis itu bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dengan para artis sambil mendapatkan pandangan dan menyatakan harapan mereka kepada PAS.

“Ia juga untuk membuka ruang kepada para artis untuk bertanyakan soalan kepada pemimpin PAS,” katanya.

Dalam majlis itu, Salahuddin mengakui sehingga kini PAS masih tidak mempunyai dokumen bertulis mengenai dasar hiburan seperti yang telah dibuat pada konsep Negara Berkebajikan.

“PAS masih baru dalam bidang ini. Yang ada cuma contoh di Kelantan yang kita dah memimpin selama 20 tahun, di Kedah kita masih baru,” kata beliau semasa menjawab soalan seorang peserta yang mempersoalkan mengapa PAS seolah-olah mempunyai dasar hiburan yang berbeza di Kedah dan Kelantan.

(Antara artis wanita yang hadir.)

Salahuddin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata PAS akan menerbitkan dasar hiburannya tersendiri dalam masa terdekat.

“Jaminan saya PAS akan beri ruang yang secukupnya kepada artis-artis bergerak dan zero-in pada bidang-bidang khas untuk artis menggunakan kemahiran mereka,” kata beliau.

Sementara itu, Harakahdaily juga sempat meninjau keadaan kesihatan saudara Bob Lokman yang menjalani angioplasti baru-baru ini.

“Satu saluran sumbat sedikit… Alhamdulilah sihat. Doktor masih perlu check, minggu depan check paru-paru pula,” katanya.

Selepas berbuka, Nasrudin mengadakan usrah bersama exco DPPM manakala Tuan Ibrahim pula menyampaikan kuliah dan bertarawih bersama artis-artis.

Ramai juga yang mengambil kesempatan untuk bergambar dengan Ustaz Azhar Idrus.

YB ADUN Kemuning Turun Padang Ke Pasar Isnin, Machang





Rumah Terbuka Aidilfitri Mahasiswa Kelantan 2012


Monday, August 13, 2012

Pemuda PAS kumpul RM50,000 dari profesional muda


SHAH ALAM: Sejumlah RM50,000 berjaya disumbangkan oleh para profesional muda PAS  yang  berhimpun dan mengikuti program ‘Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya’ Sabtu lepas.

Program yang bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Seksyen 7, Shah Alam itu berjaya menghimpunkan 600 orang profesional muda.

Di samping  lebih 500 peserta di kalangan muslimin dan muslimat yang hadir berhimpun di Shah Alam, program penuh bersejarah ini turut diikuti oleh hampir 100 peserta di luar negara, Sabah dan Sarawak  secara ‘live video-conferencing’.

Antaranya dari Dublin, Manchester, Lancaster, Dubai, Miri, Bintulu, dan Kota Kinabalu, di samping saluran ‘live audio- streaming’ yang diikuti secara langsung di lebih 50 lokasi serata dunia.

Bertemakan agenda “Maknakan Kemenangan”, program ini dilihat amat bertepatan dengan iklim politik negara semasa yang menatijahkan kesedaran dan kebangkitan rakyat, khususnya kelompok anak muda, yang mengharapkan bentuk bernegara dan bermasyarakat yang lebih baik di Malaysia.

Pemuda PAS melihat PRU-13 bakal menyaksikan pertembungan pilihanraya paling sengit dalam sejarah Malaysia, tatkala BN mahu merampas kembali majoriti 2/3 di parlimen.

Di samping lanskap politik semasa yang tidak menentu, khususnya peranan pihak media yang rancak memainkan sentimen perkauman di kalangan masyarakat, pertambahan komposisi pengundi muda yang dianggarkan mencecah 52% jika parlimen dibubarkan pada suku pertama 2013 juga memberikan makna yang besar.

Di dalam ucapan perasmian, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi menyeru seluruh profesional muda membina kepakaran demi agenda mengisi kemenangan pasca PRU-13.

Beliau merujuk kejayaan teman-teman profesional muda di kalangan Ikhwanul Muslimin berjaya memastikan peralihan kuasa di bumi Mesir pasca regim Hosni Mubarak berjalan dengan baik mengikut acuan Islam.

Ustaz Nasrudin Hassan turut mengingatkan profesional muda yang hadir bahawa PRU-13 ini bakal menjadi medan pertembungan polisi oleh setiap parti politik yang bertanding untuk mengemukakan gagasan dasar dan program yang mampu menarik sokongan pengundi.

Ia memberikan fokus kepada memperbaiki masalah sosio-ekonomi rakyat  bawahan di samping kebimbangan terhadap dayatahan ekonomi negara yang menanggung beban hutang yang kian meningkat, hasil daripada pemborosan dan salah urus tadbir kewangan oleh pemimpin negara.
Justeru, golongan profesional muda perlu mempersiapkan diri dalam menggalas agenda penting ini, kata Nasrudin.

Beliau menambah, agenda pembaharuan ini, yang boleh dibahagikan kepada aspek  penambahbaikan (corrective) dan penyusunan-semula (restructuring), sudah pasti menuntut kepada komitmen dan kepakaran dari semua peringkat penggubal dasar dan pelaksana polisi, khususnya di kalangan profesional muda.

Beliau turut melahirkan rasa bangga di atas penganjuran program ini, dan dengan penuh yakin menzahirkan bahawa Pemuda PAS dan Ameerah bersedia melahirkan generasi muda yang terbaik.

Berdasarkan sambutan yang di luar jangka, Pemuda PAS sudah mengatur tindakan selanjutnya hasil daripada Xpresi ini, antaranya mengemaskini kumpulan pakar (expert group) di kalangan profesional muda.

Ia bakal dibuat secara lebih sistematik, penyaluran kepakaran profesional muda untuk Pimpinan dan Ahli Parlimen PAS, serta penganjuran diskusi serta wacana polisi dalam agenda mempersiapkan anak muda mengisi dan memakna kemenangan di Putrajaya, insyaAllah.

Ekoran kejayaan mereka menyumbangkan RM500,000 untuk PAS, ia dilihat sebagai manifestasi kebersamaan profesional muda dalam menjayakan misi PAS dan Pakatan Rakyat menuju Putrajaya, seterusnya sebagai simbol kebersamaan profesional muda dalam agenda Membangun Negara Berkebajikan kelak.

Rata-rata peserta yang ditemui teruja dan berpuasa hati dengan mutu penganjuran dan pengisian Xpresi Profesional Muda ini.

Saudara Ir Nazim Khir yang merupakan jurutera bertauliah berkata, “Walaupun pendirian politik kami tidak dapat dizahirkan atas faktor amalan demokrasi yang tidak sihat di Malaysia, namun ia tidak pernah melunturkan semangat dan tekad kami untuk memberi sumbangan berdasarkan kepakaran masing-masing dalam agenda membina masyarakat dan negara yang lebih sejahtera.”

Pandangan beliau turut disokong Dr Ghazali Abdullah yang merupakan seorang pakar perubatan yang menyebut, “Program ini berjaya memberi peluang kepada profesional muda yang berjiwa besar berinteraksi secara ‘menegak’  (vertikal ) untuk meluahkan pandangan, idea dan kritikan terhadap pimpinan pemuda dan pusat, di samping ruang interaksi ‘mendatar’ (horizontal) untuk kami profesional muda ini, saling berkenalan membina jaringan (networking) dari profesion yang pelbagai.”

Di akhir Xpresi tersebut, para profesional muda melafazkan ikrar sokongan demi menjayakan misi kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU13, seterusnya berjanji untuk berperanan aktif dalam usaha mengisi dan memakna kemenangan, selaras dengan agenda membangun Negara Berkebajikan.


Tokoh-tokoh


Bersempena program ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia berbesar hati mengiktiraf sumbangan dan jasa tokoh-tokoh profesional tanahair di atas kepakaran dalam profesion yang diceburi di samping menghargai jasa dan bakti besar yang ditabur terhadap agama dan negara.

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Tn Hj Mohamad Sabu. Anugerah – anugerah tersebut adalah:

Anugerah Tokoh Profesional Muda - dianugerahkan kepada  Dr Sufyan Hassan bagi menghargai kepakaran dan jasa beliau dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan gagasan polisi negara;

Anugerah Tokoh Profesional Harapan  - dianugerahkan kepada Dr Syed Khalid yang telah menempa nama dalam bidang perubatan dan sukarelawan, dalam dan luar negara.

Anugerah Tokoh Profesional Antarabangsa - dianugerahkan kepada Ir Jufri Bade di atas kejayaan  beliau menempa kepakaran di bumi Eropah dan peranan beliau dalam membina komuniti rakyat Malaysia di Eropah.

Anugerah Tokoh Profesional Terbilang – dianugerahkan kepada Almarhum Tan Sri Professor Ameritus Ahmad Ibrahim di atas sumbangan besar beliau yang terpahat dalam sejarah perundangan dan dasar pentadbiran negara, di samping jasa beliau dalam bidang pendidikan dan kemasyarakatan yang tiada tandingan.

Anugerah Tokoh Profesional Tarbiah – dianugerahkan kepada Almarhum Tuan Guru Datuk Yahya Othman di atas usaha gigih dan jasa beliau yang amat besar dalam mendidik, mengasuh dan mentarbiah generasi dai’e yang bertebaran di Malaysia dan seluruh dunia

Di dalam ucapan penutup,  Haji Mohamad Sabu menyeru para profesional muda, mempersiapkan diri dengan ilmu dan kepakaran dalam menjayakan misi mencapai kemenangan dalam PRU13 dan seterusnya memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha mengisi kemenangan mengikut acuan Negara Berkebajikan.

Beliau turut memuji Pemuda PAS di atas penganjuran program yang sangat baik ini, dan melahirkan keyakinan beliau bahwa PAS mempunyai masa depan yang sangat cerah, hasil dokongan generasi muda yang punyai idealism, kepakaran dan tekad untuk membangun Negara Berkebajikan.

Mahkamah tolak saman Umno Selangor terhadap Harakah


SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membuat keputusan menolak saman yang dibuat oleh Umno Selangor berhubung penerbitan satu artikel dalam akhbar Harakah yang didakwa memfitnah parti itu.

Hakim Datuk Ahmad Zaki Husin membuat keputusan tersebut setelah meneliti peruntukan yang terkandung di dalam Seksyen 9C Akta Pertubuhan.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang mengatakan, hanya penama yang dimasukkan dalam daftar pertubuhan sahaja berhak menyaman atau disaman oleh mana-mana pihak terhadap pertubuhan berkenaan.

Mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Datuk Abdul Rauf Jusof, Setiausaha Kerja Umno Pusat iaitu penjawat awam Umno
adalah penama yang berdaftar sebagai pendaftar pertubuhan dan hanya beliau yang berhak membuat pendakwaan.

Hakim juga turut memutuskan kedua-dua pihak menanggung kos masing-masing.

Plantif iaitu Setiausaha Pehubungan Umno Negeri Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed menamakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd, penyunting akhbar tersebut Ahmad Lutfi Othman dan wartawannya, Khairul Azlam Mohamad sebagai defendan.

Mustafa yang ditemui di lobi mahkamah menyatakan kes saman telah selesai dan ia berlangsung dalam masa yang singkat.

"Terima kasih kepada barisan peguam yang mengendalikan kes ini dan apa yang kita ketahui tadi ia telah selesai dengan baik.

"Hakim telah menolak permohonan dari Umno terhadap tindakan saman itu, syukur segalanya telah selesai," jelasnya.

Peguam yang mewakil defendan adalah Asmuni Awi, Zulhazmi Shariff dan Dr Dzulkarnain Lukman manakala plantif pula diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Turut hadir di mahkamah hari ini adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Dalam saman itu, Mohd Zin menuntut semua defendan membayar ganti rugi RM10 juta termasuk ganti rugi keterlaluan atau teladan untuk libel dan faedah empat peratus setahun.

Saman tersebut dibuat berhubung serbuan Jabatan  Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, pada 3 Ogos lalu.