Tuesday, May 08, 2012

Majlis Syura PAS sedang teliti senarai calon


IPOH: Proses pemilihan calon PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 hampir selesai dan kini berada diperingkat akhir.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sehingga kini hampir kesemua calon di semua kerusi yang ditandingi PAS sudah disenaraikan.

Menurutnya juga, Majlis Syura sudah pun meneliti senarai nama yang dikemukakan di setiap negeri sebelum diputuskan oleh peringkat tertinggi parti itu.

“Boleh dikatakan hampir selesai, kita akan berbincang bersama Majlis Syura dalam masa terdekat sebelum diputuskan jawatankuasa,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen PAS Perak Kali Ke-16 di Hotel Hillcity Ipoh, semalam.

Katanya, setiap kawasan telah menghantar sekurang-kurangnya dua nama dan ianya dipersetujui oleh Majlis Syura.

“Kami akan mengisytiharkan calon selepas parlimen dibubarkan kelak,” ujarnya.

Mengenai pembahagian kerusi, Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga berkata, setakat ini semuanya berjalan de­ngan lancar dan cuma ada satu dua negeri yang masih dalam perbincangan akhir.

“Tiada masalah besar dalam pembahagian kerusi ini, ianya dalam proses perbincangan dan akan selesai tidak lama lagi,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai manifesto Pakatan Rakyat, beliau berkata gabungan tiga parti sudah pun menyiapkannya dan hanya akan diumumkan menjelang pilihan raya.

Ini kerana katanya, kebiasaannya Umno akan meniru manifesto Pakatan Rakyat seperti yang terjadi kepada Buku Jingga.

Sementara itu, beliau menggesa kepada jentera seluruh jentera parti di seluruh negara untuk mengibarkan bendera parti bagi membina semangat dan momentum dalam suasana bahang pilihanraya yang semakin hampir.

No comments: