Thursday, May 10, 2012

Kajian: Majoriti setuju keluarga Shahrizat bayar semula wang NFC

KUALA LUMPUR: Kajian yang dijalankan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati majoriti dari responden bersetuju agar keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memulangkan semula wang Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) kepada kerajaan.

Daripada 2,282 responden, 66 peratus adalah bersetuju agar wang pinjaman RM250 juta dikembalikan, 29 peratus tidak pasti dan hanya 5 peratus tidak bersetuju.

Hasil kajian juga menunjukkan kesemua bangsa bersetuju bahawa isu skandal NFC telah menjejaskan imej Umno dan memberi gambaran parti itu mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Kajian itu merekodkan Melayu 68 peratus bersetuju ianya memberi gambaran Umno mengamalkan rasuah, Cina 80 peratus dan India 45 peratus.

Selain itu, 48 peratus pula bersetuju isu skandal NFC ini sukar diselesaikan kerana Shahrizat merupakan ketua wanita Umno, manakala 13 peratus tidak setuju dan 35 peratus tidak pasti.

Kajian bagi melihat kecenderungan politik menjelang pilihan raya umum ke-13 itu dibuat pada 13 Mac hingga 15 April di seluruh Malaysia.

No comments: