KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
dijangka memfail saman terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim
Noor ekoran kegagalan menarik balik tuduhan terhadapnya sebagai “bapa
kafir”.
Semalam Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan
memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan dan memohon
maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Kelantan.
Pengerusi lajnah terbabit, Hisham Fauzi berkata, selepas peluang yang
diberi untuk menarik balik kenyataan dan memohon maaf tidak
dimanfaatkan, maka tindakan mahkamah perlu diambil.
“Tindakan saman juga akan dikenakan terhadap NST yang menyiarkan
kenyataan bekas Ketua Polis Negara terbabit kerana belum melakukan
pembetulan.
“Saman itu dibuat atas nama Menteri Besar sendiri. Kita juga sudah
berbincang dengan pasukan peguam Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia PAS
Pusat,” katanya di sini.
Bekas Ketua Polis Negara terbabit dalam kenyataan seperti dilapor
sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam melabelkan Tuan Guru Nik Abdul
Aziz sebagai “bapa kafir” kerana dianggap mengelirukan umat Islam
berhubung kenyataan wajib menyokong Bersih 3.0.
Sebelum ini Menteri Besar Kelantan meminta rakyat keluar
beramai-ramai pada himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu sebagai
membantah ketidakadilan dan kewujudan daftar pemilih yang meragukan.
Hisham berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan undang-undang
ekoran peluang diberi semalam tidak dimanfaat sepenuhnya Rahim.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Pemuda PAS Tanah Merah
membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Polis Negara terbabit di Ibu
Pejabat Polis Daerah hari ini.
Laporan berkenaan dibuat Mohd Darulhisham Kamaludin mewakili Pemuda
PAS Tanah Merah. Hampir 100 pemuda PAS Tanah dan AMK hadir bagi memberi
sokongan, turut hadir anggota Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani.
Petang semalam laporan serupa dibuat Pemuda PAS Pasir Puteh.
Manakala Pemuda PAS Negeri Kelantan mengutuk sekeras-kerasnya
kenyataan Rahim dan menyifatkan bekas ketua polis itu seperti hilang
kewarasan dan pertimbangan akal.
Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, sindrom hilang akal dan
kewarasan seperti itu bukan perkara baru kerana Rahim pernah disabitkan
kesalahan kerana menumbuk Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa bekas timbalan
perdana menteri itu ditahan pada 1998.
“Jika pada masa itu beliau masih Ketua Polis Negara boleh hilang
pertimbangan, maka tidak menjadi perkara pelik sekiranya kehilangan
pertimbangannya berulang kembali.
“Dalam hal ini mungkin Rahim tidak dapat membezakan istilah wajib
yang disebut Tuan Guru Nik Aziz dan perbezaannya dengan wajib syarie di
sisi agama.
“Wajib yang disebut Menteri Besar bukanlah bererti bahawa jika tidak
dilakukan jatuh kepada hukum haram tetapi hanyalah sebagai gesaan kepada
rakyat menuntut pilihanraya yang adil,” katanya.
No comments:
Post a Comment