Tuesday, May 08, 2012

Rantau Panjang cadang TG Nik Aziz tanding 2 kerusi


RANTAU PANJANG: Agen tempat mengundi (polling agent) PAS dan Pakatan Rakyat perlu memainkan peranan lebih berkesan memandangkan semakin ramai penjawat awam disenaraikan sebagai pengundi pos.

Malah isteri anggota tentera yang tidak ada kaitan dengan aspek keselamatan juga dimasuk dalam senarai pengundi pos.

Bendahari PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah jumlah pengundi pos memberi cabaran besar kepada polling agent.

“Malah perlu juga diawasi kerana peti undi pos disimpan selama tiga hari di bawah jagaan SPR sebelum tarikh mengundi sebenar diadakan di semua kawasan terlibat,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan PAS Rantau Panjang di Pusat Tarbiyah di sini semalam.

Beliau yang juga anggota Parlimen Pengkalan Chepa berkata, polling agent mempunyai tugas paling mencabar sekarang kerana mereka boleh mengesan sebarang penyelewengan dan penipuan di tempat mengundi.

Turut  hadir Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun, Timbalan Yang Dipertua, Datuk Nasruddin Daud dan dan naib, Mohamad Awang.

Abdul Halim juga berkata, PAS perlu memperkemaskan jentera pilihan raya dan mengelakkan membuat janji-janji  untuk menyedapkan hati rakyat semata-mata.

Sementara itu PAS Rantau Panjang melulus usul cawangan Banggul Setol yang mahu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding dua kerusi dalam PRU 13 iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

“Semua perwakilan bersetuju menerima usul tersebut tanpa bahas memandangkan ia selari dengan kehendak parti mengatur strategi menawan Putrajaya,” kata Abdul Fatah.

Manakala Cawangan Tiang Candi mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuh Yayasan Tanah Wakaf Pendidikan bagi membiayai pengajian pelajar-pelajar miskin di pusat pengajian tinggi.

No comments: