Thursday, December 13, 2012

Kelantan hadiah RM60,000 kepada persatuan ragbi


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menghadiahkan RM60,000 kepada Persatuan Ragbi Kelantan di atas kejayaan mencul juara Piala Agong tiga tahun berturut-turut bermula 2010.

Cek berkenaan disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kepada Timbalan Yang Dipertua persatuan itu, Hanafi Abdul Rahman, di bilik mesyuarat Menteri Besar semalam.

Turut hadir pada majlis itu, naib-naib pengerusi persatuan itu, Mohd Nor Alias dan Mohd Roslan Mohd Nor termasuk setiausaha, Ahmad Nasri Salleh.

Tuan Guru berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan kepada aktiviti sukan di negeri itu selagi tidak bercanggah dengan dasar dan syariat Islam.

Katanya, apa yang penting usaha mempopularkan sukan ragbi perlu dipergiatkan agar standing dengan acara sukan lain.

“Di Eropah sukan ragbi begitu masyhur dan kita harap ianya turut berlaku perkara yang sama di negara ini khususnya Kelantan.

“Semoga kita bukan sahaja popular dengan sukan bola sepak, tetapi juga sukan ragbi,” ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood.

Kelantan tangguh kuatkuasa syarat kedai gunting rambut

(Dr Fadzli, Takiyudin dan Anuar Tan dalam sidang media hari ini)

KOTA BHARU: Semua penguatkuasaan syarat-syarat Lesen Kedai Gunting Rambut MPKB yang berkaitan dengan Orang Bukan Islam ditangguhkan sementara sehingga satu kajian dan penilaian dibuat semula.

Penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Ke Atas Orang Bukan Islam yang telah diguna pakai sejak tahun 1991 itu ditangguhkan serta merta hari ini selepas mesyuarat exco bersetuju untuk berbuat demikian.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata penangguhan itu mengambil kira pandangan hasil perjumpaan wakil kerajaan negeri dengan pemimpin organisasi yang dianggotai masyarakat bukan Islam baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat exco yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tengahari tadi.

Katanya, kerajaan negeri sebelum inipun  membuat dasar berhubung perkara itu pada tahun 1991 selepas diadakan perbindangan, perbincangan dan pandangan umum.

Peraturan dibuat ketika itu ekoran dari penyalahgunaan kedai gunting rambut unisex sebagai pusat aktiviti tidak sihat termasuk pelacuran di Kelantan.

“Hasil perbincangan akhirnya penguatkuasaan syarat-syarat kedai gunting rambut misalnya dibuat setelah ianya dipersetujui.

“Bagaimanapun, pada tahun ini selepas 21 tahun ianya berjalan, isu yang melibatkan perkara yang sama timbul semula, maka cara yang kita buat sama juga, iaitu perundingan,”ujarnya.

Sambungnya, sebelum keputusan kerajaan negeri diambil hari ini, perbincangan dengan pimpinan organisasi masyarakat bukan Islam diadakan untuk mendapatkan gambaran atau hasrat mereka.

Pertubuhan Gabungan Tionghwa Kelantan dan Dewan Perniagaan Cina Kelantan turut hadir baru-baru ini yang diwakili oleh pemimpin mereka.

“Selain itu juga kita turut mendapat pandangan dari pelbagai pihak, iaitu pihak kedua dan ketiga juga,”ujarnya.

Sambungnya, perkara itu dilaporkan dalam mesyuarat exco hari ini dan akhirnya keputusan telah diambil untuk diistiharkan keputusan kepada mereka berkenaan melalui dua orang lagi wakil anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Tawaran 6+3: Rakyat Pahang alu-alukan lot rumah


TEMERLOH: Tawaran Pakatan Rakyat (PR) Pahang untuk menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat negeri ini kepada yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman, disambut gembira oleh rakyat yang ditemui.


Bagi mereka, inilah masa yang sesuai untuk PR melaksanakan keperluan asas rakyat itu jika memenangi Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang setelah isu pemberian lot tanah dan rumah dijadikan modal kempen Umno dan BN setiap kali PRU.

Mereka berpendapat, sedangkan Pahang memiliki tanah yang luas tetapi rakyatnya pula masih ramai yang tidak mempunyai rumah dan tanah.

Pemberian lot tanah serta menstruktur semula Kampung-kampung Baru dan Kampung Tersusun, termasuk dalam ‘Tawaran 6+3’ yang diumumkan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang di Kerdau, 9 Disember lalu.

Bagi Saifuddin Kamarudin, 35, dari Mentakab, menganggap tawaran PR itu tepat pada masanya dan amat bersetuju kerana beliau sendiri belum mempunyai tanah dan masih tinggal di rumah sewa.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, di kampungnya masih ramai yang menyewa hingga ke usia tua gara-gara tanah pusaka berkongsi adik beradik. Sedangkan rumah merupakan keperluan asas, tanpa rumah merempatlah jadinya.

“Memang lot-lot rumah ini penting, kalau orang susah nak buat rumah rakyat miskin (PPRT) atau rumah mesra rakyat pun perlukan tanah sendiri.

“Inilah masalah kerajaan tak mahu tolong. Yang peliknya tiap-tiap kali dekat PRU, orang Umno datang minta kad pengenalan. Kononnya nak bagi lot tanah. Lama sangat dah kami penduduk kampung kena tipu.

“Jadi tepatlah pada masanya kerajaan PR nanti sediakan lot tanah, kerajaan pusat seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar boleh bantu bina rumah. Dengan itu nampak cantik dah gabungan Pusat dan negeri untuk segera penuhi kebajikan rakyat,” katanya.

Saifuddin percaya, jika keperluan rumah dan tanah dibantu oleh kerajaan, langkah itu cepat mengeluarkan orang Melayu daripada garis kemiskinan. Kerana ketiadaan rumah berkait rapat dengan kemiskinan bangsa Melayu selama ini.

Hasanal Bolkiah Hasan Basri, 28, berkata tawaran PR Pahang itu akan menyebabkan generasi muda sepertinya akan memilih PR dalam PRU akan datang demi kebajikan dan survival mereka pada masa depan.

“Orang baru kawin seperti saya bukan senang untuk membeli rumah sekarang, bagi yang bergaji di bawah RM3,000 tak mampu nak memiliki rumah yang agak selesa.

“Sebab itu apabila saya berbual-bual dengan kawan-kawan yang tidak berparti, ramai yang mengatakan tawaran PR di luar jangkaan mereka dan mereka begitu teruja dengan tawaran itu.

“Di kampung-kampung pula bukannya mudah untuk memiliki tanah kosong. Banyak tanah yang diusahakan atas nama belia tetapi akhirnya diluluskan kepada kelompok tertentu menyebabkan golongan muda kecewa,” katanya.

Hasanal menganggap, tawaran pertama daripada enam tawaran yang diumumkan Tuan Ibrahim itu banyak membuka mata golongan muda sepetinya kerana selama ini tawaran Umno selama ini hanyalah setakat yang remeh-temeh sedangkan PR menjanjikan lot rumah sebagai jaminan masa depan.

Sementara itu, Fauzi Omar, 63, dari Felda Lakum, Lanchang tawaran kerajaan PR untuk menstruktur semula kampung-kampung baru dan kampung tersusun, amat bersesuaian demi membina semula penghidupan yang sempurna kepada masyarakat.

“Kalau kita lihat keadaan kampung baru sekarang tidak dilengkapi prasarana memuaskan dan bersesak-sesak tetapi mereka tatap membayar cukai kepada kerajaan. Sebab itu kedudukan mereka mesti distruktur semula.

“Lagipun, kalau kerajaan sediakan kawasan penempatan tersusun, kawasan itu akan maju dengan dan akhirnya menjadi bandar. Sekali gus akan meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penganalisis ekonomi Pahang Syed Ali Badarudin Othman, mengalu-alukan tawan kedua PR Pahang iaitu ‘menyelesaikan permohonan tanah yang sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat’.

Katanya, janji tersebut boleh dilaksanakan jika diamalkan kaedah pengurusan tanah yang cekap dan cepat, berbanding dengan karenah birokrasi di pejabat-pejabat tanah sekarang.

“Bayangkan untuk rakyat yang memohon tanah bagi mendapatkan satu kelulusan, mereka terpaksa menempuh antara 20 ke 30 meja di pejabat tanah, PTG dan SUK. Untuk pelupusan tanah kerajaan memakan masa antara 10 hingga 20 tahun.

“Kenapa lambat sedangkan permohonan tanah tidak perlu masa yang lama kerana kriteria dan prosedur melalui format permohonan sudah menggambarkan kelayakan seseorang pemohon serta sudah ada sistem maklumat mengenai status tanah,” katanya.

Syed Ali juga mengalu-alukan tawaran keempat PR bagi memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada kepada lot perumahan atau bangunan.

Katanya, sistem yang dipakai kerajaan BN sekarang, bukan sahaja menimbulkan  masalah besar kepada rakyat yang berurusan, malah firma-firma guaman juga mengeluh kerana tidak dapat meneruskan urusannya terlalu bersifat birokrasi.

“Saya cadangkan kepada kerajaan PR nanti menggunakan kuasa di bawah Seksyen 12 Kanun Tanah Negara supaya urusan tukar syarat tanah juga memadai di luluskan peringkat pentadbir tanah daerah.

“Jika kerajaan cekap hasil pendapatan daripada tanah juga meningkat seiring dengan pembangunan semasa. Kita perlu ingat, sebarang urusniaga melibatkan hartanah adalah berbayar. Itu merupakan pendapatan kerajaan. Sekiranya budaya birokrasi ini dikekalkan, kutipan hasil negeri terus tidak berkembang,” katanya.

Royalti: Saman kedua menanti Petronas - Husam


PENGKALAN CHEPA: Kerajaan Kelantan memberi tempoh selama 15 hari kepada Petronas bagi menjelaskan mengapa royalti 5 peratus gagal diberi terus kepada kerajaan negeri.

Anggota Exco, Datuk Husam Musa berkata, berdasar kenyataan Presiden Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas sebelum ini jelas menggambarkan Petronas membayar 5 peratus bahagian Kelantan kepada kerajaan persekutuan.

“Sebaliknya kerajaan pusat tidak menyerah pembayaran itu kepada Kelantan. Selain itu tidak juga memasuk dalam Akaun Wang Yang Disatukan kerajaan persekutuan seperti kehendak Akta Tatacara Kewangan 1957.

“Selain itu kerajaan pusat juga membelanjakan wang itu tanpa sebarang kelulusan Parlimen seperti kehendak akta terbabit,” katanya pada program solat hajat dan ceramah perdana di Putik malam tadi.

Shamsul Azhar dalam kenyataan sebelum ini dilaporkan berkata, bayaran royalti minyak kepada negeri pengeluar sumber itu terletak kepada kerajaan persekutuan.

Sedangkan kata Husam, Kelantan hanya mengikat perjanjian petroleum pada 1975 dengan Petronas serta tiada sebarang perjanjian antara negeri ini dan kerajaan Malaysia.

Menurutnya pada perjanjian itu, Petronas berjanji membayar secara langsung kepada Kelantan 5 peratus bayaran tunai dua kali setiap tahun pengeluaran bermula.

“Kenapa Petronas tidak membayar langsung kepada Kelantan tetapi sebaliknya menyerah kepada pihak ketiga, kerajaan persekutuan.

“Pembayaran Petronas 5 peratus adalah hak Kelantan dan ini bermakna satu tindakan jenayah pecah amanah dilakukan Petronas,” katanya.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan berkata, notis kepada Petronas dihantar Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.

Kata beliau sekiranya Petronas tidak menjawab surat tersebut dalam tempoh ditetapkan, satu lagi saman akan dikemukakan terhadap agensi berkenaan.

Beliau juga mencadangkan supaya diwujudkan akaun bersama melibatkan jumlah royalti yang sepatutnya dibayar kepada Kelantan kini berjumlah lebih RM10 bilion.

Kata beliau sekiranya Petronas menang dalam perbicaraan dalam kes saman sekarang, wang tersebut boleh menjadi milik mereka.

“Namun sekiranya Kelantan menang wang tersebut akan menjadi milik kerajaan dan rakyat Kelantan,” ujarnya.

Beliau juga mendesak Ketua Audit Negara menyiasat akaun Petronas bagi mendapat gambaran lanjut mengenai jumlah royalti yang sepatutnya dibayar kepada Kelantan.

Husam turut mengulangi Petronas dikerah menyiapkan pembinaan menara berkembar Kuala Lumpur City Centre melibatkan perbelanjaan RM5 bilion.

“Namun anehnya selepas siap Petronas diarah pula membayar sewa ruang pejabatnya di KLCC kepada seorang jutawan yang mempunyai hubungan rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bekas perdana menteri terbabit betul-betul perah susu daripada Petronas,” katanya.

Wednesday, December 12, 2012

Rakyat Kelantan perlu serius laksana Islam – ulama Syria


KOTA BHARU: Ulama terkenal Syria, Syeikh Muhammad Ali as-Sobuuni melahirkan rasa bimbang akan diturun bala oleh Allah Taala apabila ada orang Islam yang membisu terhadap perkara-perkara batil.

“Kalau kita diam di atas perkara batil yang berlaku di hadapan mata kita dibimbangi Allah akan menurunkan bala ke atas kita.

“Oleh itu rakyat Kelantan hendaklah bekerja bersungguh-sungguh untuk melaksanakan hukum Islam. Apabila hukum tersebut dilaksanakan Allah Taala akan menurunkan rahmat,” katanya pada program solat hajat dan ceramah perdana di Putik malam tadi.

Program berkenaan dianjur Dewan Pemuda PAS Kelantan. Hadir sama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman.

Program bermula solat Isyak berjemaah kemudian diikuti solat hajat.

Syeikh Muhammad Ali yang juga pengarang tafsir Sofwah At-Tafasir turut meluahkan rasa sedih apabila ada negara umat Islam yang membisu terhadap kekejaman yang berlaku di Syria sekarang.

Katanya, seluruh dunia membisu biar pun lebih 200,000 rakyat Syria menjadi mangsa korban kerangkusan Bashar Hafez al-Assad bagi mempertahankan kuasanya.

“Maka tidak hairanlah umat Islam di Syria sekarang hanya mengharap pertolongan Allah Taala. Namun kita yakin orang yang melakukan kezaliman akan ditimpa bala,” ujarnya.

Oleh itu beliau mengajak umat Islam di seluruh dunia membantu rakyat Syria dengan apa sahaja yang termampu dilakukan.

Sebaik selesai program berkenaan orang ramai bersesak-sesak meluru ke pentas utama bagi menghulur sumbangan kepada ulama terbabit

Ucapannya dalam bahasa Arab sambil duduk di kerusi disebabkan keuzuran diterjemahkan Ustaz Nazmi Karim dari Selangor.

Beliau berada dua hari di Kelantan dalam siri jelajah bagi mendedahkan isu mengenai Syria.

Semalam beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri. Dan hari ini beliau diundang ke Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Nilam Puri.

'Kita lawan Umno, tapi Umno jadi pengadil'


PUTRAJAYA: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu pemuda Umno memegang jawatan dalam suruhanjaya itu.

Ianya merujuk kes Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Kinabatangan, Aksyah Nasrah yang turut memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Sabah.

Memorandum itu antara lain mahu SPR bertindak profesional membersihkan suruhanjaya itu dari dikaitkan dengan parti politik tertentu apatah lagi selaku pengendali dan 'orang tengah' dalam pilihan raya.

Penyerahan itu diketuai Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan kepada Timbalan Setiausaha (Pilihan raya) SPR, Datuk Noordin Che Ngah selepas pertemuan kira-kira 20 minit di pejabat suruhanjaya itu di sini hari ini. (Gambar)

Turut serta dalam pertemuan itu Timbalan Ketua Pemuda Nik Mohd Abduh Nik Aziz, Exco Adram Musa serta Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu.

"Bagi kita selaku parti yang menyertai pilihan raya, sudah tentu kita risau. Kalau dia (Aksyah) ahli biasa tidak apa, tapi ini pemimpin Umno.

"Kita nak berlawan dengan Umno dalam pilihan raya, tiba-tiba orang Umno yang menjadi 'pengadil'," kata Nasruddin.

Beliau turut menjelaskan, memorandum hari ini juga sebagai makluman awal kepada SPR agar menyiasat kemungkinan banyak lagi kes serupa membabitkan pepimpin kanan Umno yang terlibat memegang jawatan dalam suruhanjaya itu.

"Jika benar kes ini, SPR kena ambik tindakan sekurang-kurangnya individu terlibat perlu resign dalam SPR jika dia masih mahu kekal dalam Umno," katanya.

Sementara itu, Noordin dalam responsnya memberi jaminan bahawa SPR akan menyiasat kes itu.

SPR juga jelasnya, sedang membuat semakan berhubung perkara yang berbangkit itu di peringkat Sabah.

"Pengerusi SPR akan mengeluarkan kenyataan khusus tentang hal ini nanti," katanya.

Felda saman, Mazlan sedia ke mahkamah


KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mempertahankan dakwaan bahawa Felda menjual minyak sawit mentah kepada syarikat Israel.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga tidak akan memohon maaf, menarik balik dan menawarkan pampasan setimpal kepada Felda seperti yang diminta Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Samad.

"Kalau Felda minta saya minta maaf dalam masa 14 hari, saya tak akan buat begitu.

"Saya tak akan berganjak dari dakwaan saya dan saya bersedia dengan bukti lengkap untuk dibawa ke mahkamah," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Felda pada semalam dan kelmarin menghantar notis tuntutan kepada Mazlan, akhbar Harakah dan Suara Keadilan.

Dalam notis tersebut, Felda memberi tempoh 14 hari kepada pihak terbabit untuk memohon maaf, menarik balik kenyataan itu dan menawarkan pampasan yang setimpal kepada Felda di atas tindakan mereka.

Jika pihak terbabit gagal berbuat demikian, Felda akan mengarahkan pihak peguam meneruskan tindakan undang-undang terhadap mereka.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, tindakan tersebut menunjukkan Felda berada dalam keadaan terdesak.

"Ini hanya menampakkan Felda terdesak sehingga mengambil tindakan undnag-undang sedangkan kita ada bukti.

"Saya juga berasa lucu dengan kenyataan Isa Samad bahawa invois yang saya dedahkan itu berkaitan getah, bukan kelapa sawit.

"Bagaimana dia seorang pengerusi tidak tahu urusan jual beli yang dilakukan Felda," katanya.

Solat Hajat & Ceramah Perdana Di PUTIK.



























MCA tidak ada moral benchmark - Mustafa


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali hari ini menyifatkan MCA tidak mempunyai angka rujukan (benchmark) yang jelas dalam isu moral di negara ini.

Atas dasar itulah, MCA tidak kesah dengan apa-apa isu moral di negara ini.

Beliau mengulas tindakan MCA yang selalu menjadikan isu kawalan moral di negara ini sebagai menganggu hak-hak bukan Islam.

Mustafa mengulas apa yang berlaku di Kota Bharu apabila dua pasangan orang bukan Islam di saman oleh pihak berkuasa tempatan adalah tidak tepat sebagaimana digambarkan oleh akhbar MCA, The Star.

Akhbar The Star melapurkan tindakan kedua-dua pasangan itu sebagai berkhalwat padahal apa yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan adalah bertindak ke atas Indecent behaviour (kelakuan tidak senonoh) di tempat awam.

"Indecent behaviour ini ada. Tapi apa benchmark yang kita nak pakai? Yang dipakai di DBKL ialah bercumbu di tempat awam.

"Di Barat, mungkin kissing (bercium) boleh, tapi kalau telanjang tak boleh. Nak berlari dengan tak ada pakaian, itu saya rasa salah di Barat.

"MCA apa dia? MCA saya tak pakai benchmark MCA ini. Sebab MCA tak ada benchmark. Sebab pemimpin dia buat teruk daripada itu pun ok. MCA tak ada morale benchmark. Itu MCA," kata Mustafa dalam sidang medianya hari ini yang sangat tidak berpuashati dengan laporan media MCA, The Star.

Agak teruk sikit

Dalam sidang medianya itu juga, Mustafa juga berkata beliau mendapat "cerita kelakuan sebenar" mengenai individu yang disaman pihak berkuasa tempatan Kelantan sehingga mencetus sensasi di media sejak minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan kelakuan individu berkenaan ketika ditanya pemberita dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

"Yang ini (individu terbabit) mungkin agak teruk sikit. Saya tak nak cerita kelakuan sebenar walaupun telah diceritakan kepada saya," katanya.

Tambahnya, kes itu juga bukan tindakan pertama yang dikenakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ke atas orang bukan Islam di negeri itu.

Katanya, sebelum ini juga terdapat kes denda ke atas individu bukan Islam bagi kesalahan berkelakuan tidak sopan.

"Saya dah periksa di Kelantan, bukan semua yang diberi begini (saman). Banyak kes yang diberi nasihat.

"Cuma MPKB belum ambil langkah saman (kes sebelum ini). Mereka guna budi bicara. Sebelum ini ada kes. Tapi mereka bayar kompaun. Jadi isu ini disensasikan sahaja," katanya lagi.

Umno sabotaj iklan gergasi kerajaan negeri?

GUA MUSANG: Usaha kerajaan negeri membantu masyarakat Orang Asli dengan meluluskan tanah rezab dan rancangan pembangunan untuk mereka tidak disenangi pihak tertentu.

Sebelum ini kerajaan negeri mewartakan kawasan rezab Orang Asli bagi mengelakkan kawasan tersebut diceroboh dan menjaminkan masa hadapan mereka.

Bagaimanapun usaha tersebut tidak disenangi pihak tertentu dipercayai ada kaitan dengan Umno apabila merosakkan iklan gergasi mengenai cadangan pembangunan masyarakat Orang Asli di Pos Jedip, Lojing.

Iklan tersebut memaparkan prasarana yang akan dibina untuk manfaat Orang Asli bersama gambar Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim.

Dua iklan gergasi tersebut dipasang berhampiran dengan Masjid Keputeraaan, sedang dalam pembinaan di Jajahan Kecil Lojing.

Dan iklan kedua dipasang berhampiran simpang tiga jalan Lojing-Gua Musang-Kuala Betis. Iklan berkenaan dipasang Tabung Amanah Tok Kenali  pada akhir November lalu.

Pengurusnya, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani berkata, setiap satu papan iklan tersebut bersaiz 20 x 40 kaki melibatkan kos lebih RM10,000 dipasang bagi memaparkan program pembangunan yang akan dilaksanakan di Pos Jedip.

Katanya, Tabung Amanah Tok Kenali diberi peranan memastikan kebajikan masyarakat terbabit termasuk kawasan yang akan dibangunkan kepada Orang Asli.

“Kita cuba gambarkan usaha-usaha tersebut dalam dua papan iklan gergasi yang dipasang di dua lokasi di lebuh raya Gua Musang-Simpang Pulai.

“Bagaimanapun apa yang kerajaan negeri lakukan tidak disenangi pihak tertentu sehingga mereka mengoyakkan papan iklan berkenaan hanya seminggu selepas dipasang,” katanya di sini.

Program K 10 Anak Perantauan Dun Temangan