Wednesday, December 12, 2012

Rakyat Kelantan perlu serius laksana Islam – ulama Syria


KOTA BHARU: Ulama terkenal Syria, Syeikh Muhammad Ali as-Sobuuni melahirkan rasa bimbang akan diturun bala oleh Allah Taala apabila ada orang Islam yang membisu terhadap perkara-perkara batil.

“Kalau kita diam di atas perkara batil yang berlaku di hadapan mata kita dibimbangi Allah akan menurunkan bala ke atas kita.

“Oleh itu rakyat Kelantan hendaklah bekerja bersungguh-sungguh untuk melaksanakan hukum Islam. Apabila hukum tersebut dilaksanakan Allah Taala akan menurunkan rahmat,” katanya pada program solat hajat dan ceramah perdana di Putik malam tadi.

Program berkenaan dianjur Dewan Pemuda PAS Kelantan. Hadir sama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman.

Program bermula solat Isyak berjemaah kemudian diikuti solat hajat.

Syeikh Muhammad Ali yang juga pengarang tafsir Sofwah At-Tafasir turut meluahkan rasa sedih apabila ada negara umat Islam yang membisu terhadap kekejaman yang berlaku di Syria sekarang.

Katanya, seluruh dunia membisu biar pun lebih 200,000 rakyat Syria menjadi mangsa korban kerangkusan Bashar Hafez al-Assad bagi mempertahankan kuasanya.

“Maka tidak hairanlah umat Islam di Syria sekarang hanya mengharap pertolongan Allah Taala. Namun kita yakin orang yang melakukan kezaliman akan ditimpa bala,” ujarnya.

Oleh itu beliau mengajak umat Islam di seluruh dunia membantu rakyat Syria dengan apa sahaja yang termampu dilakukan.

Sebaik selesai program berkenaan orang ramai bersesak-sesak meluru ke pentas utama bagi menghulur sumbangan kepada ulama terbabit

Ucapannya dalam bahasa Arab sambil duduk di kerusi disebabkan keuzuran diterjemahkan Ustaz Nazmi Karim dari Selangor.

Beliau berada dua hari di Kelantan dalam siri jelajah bagi mendedahkan isu mengenai Syria.

Semalam beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri. Dan hari ini beliau diundang ke Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Nilam Puri.

No comments: