Wednesday, May 02, 2012

PAS tidak tolak mungkin Bersih 4.0


HULU TERENGGANU, 1 Mei: PAS tidak menolak kemungkinan dan bersedia menghadapi himpunan Bersih 4.0 jika kerajaan gagal membuat perubahan daripada kejayaan penganjuran Bersih 3.0 pada 28 April lalu.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan jika kerajaan tidak membuat perubahan sebagaimana tuntutan Bersih 3.0, tidak mustahil Bersih 4.0 akan diadakan lagi.

Menurutnya, tuntutan Bersih 3.0 agar kerajaan membuat perubahan dengan kebebasan media dilaksanakan, tidak ada penipuan dalam pilihan raya, bersihkan daftar pemilih dan sebagainya.

“Kita tengok dulu Bersih 3.0 sama ada kerajaan buat perubahan atau tidak. Jika kerajaan tidak buat perubahan, media tidak bebas, pilihan raya tipu lagi, daftar pemilih tidak bersih, kita akan buat lagi.

“Celup dakwat pun belum tentu lagi, dakwat jenis mana kita tidak tahu lagi. Ketua-ketua pengarang yang cuba hendak bebas akan dipecat dan dilantik yang ikut arahan sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) kali ke-43, di Dewan Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (Kudqi), Kubang Lembek, Manir, hari ini.

Ketika menjawab dakwaan kerajaan bahawa peserta Bersih 3.0 bertindak ‘ganas’ beliau mahu siasatan secara rapi dan adil dilakukan bagi mencari pihak bertanggungjawab.

Katanya, demonstrasi di negara ini cuba dibendung, disekat dan dikawal dengan kawalan-kawalan yang boleh mengongkong bukan kawalan yang boleh meluahkan rasa dengan bebas.

“Kerajaan kena siasat siapa bertanggungjawab. Minta siasatan itu secara adil dan hakim juga kena adil. Kebebasan kuasa itu kena ada antara badan kehakiman dengan eksekutif. Ini penting dalam sistem demokrasi,” tegasnya.

Bersih 3.0: Pemimpin Umno tuding jari sesama sendiri


KUALA LUMPUR, 1 Mei: Himpunan Bersih 3.0 mengakibatkan Umno semakin pening dan kini sibuk dengan pesta menuding jari antara satu sama lain, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Yang paling pening ialah (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein)," katanya.

Menurut Mohamad, sebelum himpunan Bersih 3.0 itu, menteri tersebut menuduh beliau dan Ahli Jawatankuasa Bersih, Hishamudin Rais mengajak mereka yang berhimpun supaya masuk ke dalam Dataran Merdeka.

"Sedangkan yang sebenarnya kami ditugaskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Bersih supaya berpesan kepada orang ramai terutama anak-anak muda yang berhimpun di sekitar kawasan itu supaya jangan memasuki Dataran Merdeka," katanya.

Selepas himpunan Bersih pula, kata Mohamad, Hishammuddin mendakwa pula bahawa tindakan polis merampas kamera wartawan adalah sebahagian dari garis panduan operasi polis (SOP).

"Selepas itu, Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) beritahu bahawa bahawa tindakan polis merampas kamera dan rakaman wartawan yang membuat liputan perhimpunan Bersih 3.0 itu bukan sebahagian daripada garis panduan operasi polis SOP.

"Satu negara nampak menteri itu pening teruk. Saya nasihatkan dia pergi berehat ke Bahamas," katanya.

Beliau berkata, maklumat yang diterimanya menunjukkan Hishammuddin menjadi sasaran kemarahan kedua-dua pihak.

"Penyokong PR (Pakatan Rakyat) marah kepadanya sebab berdendam sangat terhadap kekejaman polis terhadap mereka.

"Puak Umno pula marah menteri itu kerana mereka kata dia gagal hadapi Bersih 3.0 yang meranapkan lagi  imej (Datuk Seri) Najib (Tun Razak)," katanya.

Menurut Mohamad, beliau diberitahu oleh mereka yang rapat dengan sumber dalaman Umno bahawa para pemimpin parti itu kini saling menuding jari kepada satu sama lain.

Bersih 3.0 menyebabkan imej Umno makin jatuh merudum, katanya, sebab itulah mereka salah menyalah sesama sendiri.

"Sejauh mana saya tak dapat pastikan tetapi saya juga diberitahu oleh orang-orang yang rapat dengan seorang bekas menteri kanan bahawa (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sekarang marah sungguh kepada Najib.

"Sumber itu yang rapat dengan bekas menteri yang masih lagi di dalam Umno itu mendakwa Dr Mahathir menyifatkan Najib lembik.

"Orang kalau dah marah kepada satu sama lain, kita tak perlu hasut dah," katanya 

Menurut Mohamad, semua itu berlaku kerana mereka menyedari bahawa jumlah pengundi Melayu yang menolak Umno secara umumnya tidak berganjak.

"Di kalangan pengundi Cina pula, memang diketahui umum mereka menolak BN (Barisan Nasional) terutama Umno.

"Selepas Bersih 3.0, walaupun bergurau, saya dengar mereka kata dari 10 pengundi Cina, 9.5 tak akan undi," katanya.

Beliau yakin, Bersih 3.0 seperti lorong tanah perkuburan kepada Umno dan BN.

Fitnah jahat bersiri menjelang PRU13 - Azmin


Saya mengecam sekeras-kerasnya fitnah yang ditohmah ke atas diri saya bertujuan untuk mengaibkan saya dan keluarga. Fitnah jelek ini disebarkan oleh media yang dikuasai Umno yang memetik sumber blog pro Umno.

Fitnah ini memaparkan seorang lelaki yang mereka tohmah sebagai saya bersama seorang wanita di dalam tandas. Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut. Ianya adalah fitnah ulangan menggunakan modus operandi yang sama yang digunakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya amat kesal memandangkan tindakan ini adalah fitnah bersiri terhadap saya dan keluarga selepas fitnah jijik ke atas isteri dan anak saya, disusuli dengan dakwaan pemilikan saham kemudiannya saya dituduh menghina Raja-Raja Melayu dan baru-baru ini saya ditohmah mencetuskan provokasi dalam Himpunan Aman Bersih 3.0.

Sebelum ini saya dan isteri serta anak kecil saya telahpun melakukan ujian DNA sebanyak dua kali dalam bulan Julai 1998. Kedua-dua keputusan ujian tersebut menempelak fitnah ke atas saya, isteri dan keluarga. Hasil ujian jelas menyebut serta mengesahkan saya dan isteri merupakan 'biological parent' kepada anak kami. Ujian DNA tersebut sekaligus memelihara maruah saya dan keluarga.

'The results from all three genetic loci show that the donor of blood specimen marked 'X' (putative father) is the biological father of the donor of the blood specimen marked 'Y' (child). '

Namun Umno masih mengulangi fitnah kejam tersebut sepanjang 14 tahun ini walaupun bukti sudah jelas lagi nyata bahawa tuduhan mereka terhadap saya dan keluarga merupakan pembohongan semata-mata.

Setelah kesemua fitnah tidak berjaya, mereka mengulangi skrip usang fitnah seks yang memualkan untuk mengaib dan mematahkan semangat saya. Fitnah jahat seperti ini diulang- ulang untuk membentuk persepsi rakyat terhadap maruah dan kredibiliti saya menjelang pilihan raya. Munculnya fitnah ini tatkala Umno dihimpit krisis keyakinan dan menjadi sasaran kemarahan rakyat selepas perhimpunan BERSIH adalah untuk mengalih pandangan rakyat dari isu sebenar iaitu isu penipuan pilihan raya dan penyelewengan dana awam.

Saya ingin menegaskan bahawa saya tetap tuntas dengan perjuangan membawa obor reformasi demi rakyat.

Saya menyeru kepada pimpinan Umno supaya menghentikan budaya politik fitnah yang boleh menghancurkan negara dan masyarakat. Saya akan terus bersama-sama pimpinan KEADILAN dan Pakatan Rakyat untuk menjana perubahan dan membawa kemenangan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

Pengerusi SPR letak jawatan atau Bersih 4.0


PUTRAJAYA, 30 April: PAS mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletak jawatan segera jika tidak berdepan Bersih 4.0.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sewaktu pada penyerahan memorandum kepada SPR petang tadi menyatakan tempoh diberikan selam tiga puluh hari untuk mereka meletakkan jawatan.

"Kita mendesak agar kedua-dua mereka meletak jawatan segera, tempoh tiga puluh hari diberikan kepada mereka jika tidak kemungkinan Bersih 4.0 akan diadakan," jelasnya di lobi Pejabat SPR, petang tadi.

Tambahnya, segala keputusan akan dilakukan oleh pihak Jawatankuasa Pemandu Bersih dan setiap apa yang diputuskan, PAS akan menyokong sepenuhnya.

Menurutnya lagi, sistem pilihan raya adalah mekanisme yang utama untuk merealisasikan demokrasi di negara kita, ia merupakan asas kepada pemilihan dan penubuhan kerajaan.

"SPR perlu menjalankan tugas dan memantau pilihan rara secara tidak berpihak dan neutral, adalah amat penting bagi SPR menjadi bebas dan tidak berpihak supaya SPR dapat memenangi keyakinan orang awam terhadap peranan dan fungsinya.

"Malangnya walaupun selepas lebih lima dekad negara kita merdeka, perjalanan dan sistem pilihan raya di negara kita terus berjalan dengan tempang, tidak telus dan penuh keyakinan," katanya.

Malah lebih parah lagi, katanya kedua-duanya yang berada dalam SPR dilihat telah memihak dan menjadi alat serta 'kuda tunggangan' Umno-Barisan Nasional.

"SPR juga dilihat terus gagal menasihati kerajaan Umno-Barisan Nasional bagi mengemukakan penambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu seperti di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

"Begitu juga dengan persoalan akses media yang bebas dan adil, apabila melihat saban hari media milik kerajaan seperti RTM dan Bernama tidak langsung memberi liputan positif dan ruang kepada pemimpin pembangkang di negara ini," sambung beliau lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Penggerak Mobilisasi Demokrasi (PAS) menegaskan bahawa berpegang kepada prinsip kepercayaan awam adalah syarat tonggak dalam kriteria perlantikan anggota SPR supaya bebas dan tidak memihak kepada sesiapa.

"Badan Pengerak Mobilisasi Demokrasi dengan ini menuntut dan mendesak kedua-dua mereka segera meletakkan jawatan secara bermaruah agar kita dapat mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kewibawaan peranan dan fungsi intitusi SPR itu sendiri.

"Langkah ini adalah jalan terbaik untuk mereka menyelamatkan demokrasi di negara kita lebih-lebih lagi pada ketika Malaysia akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang," tambah beliau lagi.

Sementara itu, memorandum yang diserahkan beliau diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said.

Turut hadir waktu penyerahan memorandum tersebut adalah Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Muhd Yusoff, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Mohd Sany Hamzan dari Dewan Pemuda PAS Malaysia.