Tuesday, December 04, 2012

13 Mei: Dakwaan Shahrizat melampau, andaian jahat

Shahril (tengah) menunjukkan laporan polis di hadapan balai polis Temerloh.

TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) hari ini membuat laporan polis di sini berhubung kenyataan Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Jalil di perhimpunan agung parti itu yang didakwa bersifat hasutan.

Dalam laporan polis oleh ketuanya, Shahril Azman Abdul Halim, mahu polis memulakan siasatan ke atas Shahrizat berdasarkan peruntukan Kanun Keseksaan ekoran ucapan menghasut beliau ketika merasmikan perhimpunan sayap parti berkenaan di PWTC pada 28 November itu.

Memetik laporan tersebut yang turut disebarkan oleh media-media cetak dan elektronik, Shahrizat berkata jika Umno atau BN tidak lagi berada di tampuk kuasa kestabilan politik (negara ini) akan goyang seterusnya mungkin akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969.

Dalam laporan polis itu, Shahril sebagai seorang warganegara Malaysia, berasa sangat terganggu dengan ucapan tersebut dan berpendapat bahawa ia adalah berniat jahat bagi tujuan mendatangkan rasa takut, rasa tidak selamat, tidak tenteram, ugutan, menghasut dan seterusnya mendatangkan khianat kepada ketenteraman awam.

Justeru beliau membuat laporan bagi polis memulakan siasatan ke atas Shahrizat di bawah mana-mana peruntukan seksyen 500, 503, 504, 505 dan 506 atau mana-man peruntukan undang-undang lain yang relevan atas alasan mengeluarkan kenyataan jahat yang mendatangkan khianat awam serta menggugat ketenteraman ekoran kenyataan beliau.

Sementara itu, Shahril dalam sidang medianya selepas itu menganggap kenyataan bekas menteri yang pernah terpalit dengan skandal lembu kondo  itu, sebagai tuduhan melampau dan andaian jahat jika Pakatan Rakyat (PR) menang.

“Walhal PR telah buktikan negeri yang dikuasai selepas pilihan raya lalu bukan saja aman tanpa rusuhan kaum, malah terus maju sehingga diiktiraf oleh Ketua Audit Negara.

“Sebab itu bagi Pemuda PAS, ugutan Shahrizat ini melambangkan ketakutan parti pemerintah berhadapan pilihan raya akan datang kerana bimbang dihukum rakyat lalu mengugutnya dengan tragedi berdarah 13 Mei,” tegasnya.

Katanya, pada hari ini Pemuda PAS negeri-negeri membuat laporan polis seluruh negara terhadap isu yang sama.

No comments: