KOTA BHARU: Rakyat Kelantan masih lagi mengingati
aksi ganas kumpulan samseng yang dinamakan Pemuda Tahan Lasak digunakan
Umno bagi menghalang kemaraaan PAS di Kelantan.
Kumpulan samseng tersebut digunakan secara meluas terutamanya di
Rantau Panjang sehingga mereka menghalang penduduk mahu keluar mengundi
dengan membakar sebuah jambatan.
Penduduk veteran di kampung tersebut memberitahu mereka terpaksa
dikawal anggota tentera untuk balik daripada mengundi di Gual Periuk
pada 1969.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata,
situasi yang pernah berlaku di sini pada 1960-an kini seperti mahu
dihidupkan kembali pihak terbabit.
“PAS ada banyak pengalaman pada 1969 apabila Umno dalam keadaan
hampir kalah pilihan raya mereka mencetuskan budaya samseng bagi
mewujudkan suasana takut dalam kalangan rkayat.
“Tanda-tanda Umno kehilangan kuasa semakin jelas sehingga mereka
melakukan sesuatu seperti orang hilang pedoman. Mereka terlalu takut
dengan kekalahan.
“Rakyat mesti menolak parti yang mengamalkan budaya politik samseng
termasuk mengganggu ceramah-ceramah Pakatan Rakyat,” katanya di sini.
Malam semalam sekumpulan samseng yang sebahagiannya membawa bendera
BN dilaporkan mengganggu ceramah Pakatan di Dataran Sharuddin, Batu 8
Gombak sehingga ada penyokong parti yang cedera.
Mohd Amar yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, sindrom
takut dan rimas Umno terbawa-bawa kepada Perdana Menteri Dato’ Seri
Najib Abdul Razak sehingga was-was bagi mengisytiharkan pilihan raya
umum ke-13.
“Ini perkara luar biasa yang berlaku di negara kita sekarang. Ia
menimbulkan persoalan besar kepada masyarakat. Tak pernah berlaku dalam
sejarah Malaysia pilihan raya lewat macam ini,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment