Tuesday, December 04, 2012

PAS Perak buat laporan polis terhadap Shahrizat

IPOH: PAS Perak hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini yang berbaur hasutan serta perkauman.

Laporan polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh diketuai oleh Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Zawawi Hassan.

Zawawi ketika ditemui berkata, Shahrizat cuba mengugut serta menakutkan rakyat dengan mengatakan kekhuatiran beliau tragedi 13 Mei 1969 akan berulang kembali jika Umno tidak lagi berkuasa.

Menurutnya, dakwaan tersebut sangat merbahaya dan boleh membangkitkan sentimen perkauman serta kacau bilau di kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum di negara ini.

Katanya, rakyat berasa sangat terganggu dengan ucapan tersebut dan berpendapat ianya berniat jahat untuk menakutkan rakyat untuk menyokong Pakatan Rakyat.

“Beliau sengaja mewujudkan rasa takut, rasa tidak selamat, tidak tenteram di kalangan rakyat Malaysia seterusnya mendatangkan khianat awam kepada ketenteraman masyarakat awam pelbagai kaum di negara Malaysia ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Bagan Serai menjelaskan, dakwaan tersebut ternyata tidak berasas dan ianya dapat dibuktikan setelah Pakatan Rakyat dapat memerintah di beberapa buah negeri dalam keadaan yang aman tenteram.

No comments: