Monday, January 02, 2012

Insiden UPSI: PAS desak tubuh Suruhanjaya Diraja

KUALA TERENGGANU, 2 Jan: PAS mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat insiden berdarah akibat pihak polis menyurai perhimpunan mahasiswa di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. 

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar) berkata tindakan polis menyurai mahasiswa yang berhimpun membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) pada malam sambutan tahun baru 2012 sangat tidak wajar.
Katanya, suatu siasatan perlu dilakukan segera bagi mencari punca permasalahan hingga berlaku perhimpunan seumpama itu.

Menurutnya, jika perlu ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat insiden tersebut hingga mendatangkan kecederaan parah kepada mahasiswa terbabit.

“Saya minta suatu siasatan dilakukan yang menjurus bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang sedia ada dan bukan siasatan hendak cari siapa salah. 

“Apa puncanya berlaku permasalah (perhimpunan) itu. Jika perlu ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk membuat siasatan.

“Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri mesti bertanggungjawab. Pihak polis mesti bertanggungjawab, Kementerian Pengajian Tinggi mesti bertanggungjawab dan pihak Kementerian Pelajaran sendiri juga mesti bertanggungjawab terhadap insiden ini,” tegasnya kepada Harakahdaily.

Beliau memberi reaksi terhadap insiden Himpunan Kebebasan Akademik di hadapan UPSI yang menyebabkan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Muhammad Safwan Anang patah tulang rusuk serta seorang lagi Amar Rasyidi cedera di kepala.

Suatu tindakan yang tidak sepatutnya apabila pelajar-pelajar yang hendak mempertahankan salah seorang daripada mereka yang hendak diambil tindakan oleh pihak UPSI diberikan layanan yang sebegitu buruk oleh pihak terbabit. 

Menurut Abu Bakar, tindakan tersebut telah menimbulkan keresahan yang sangat besar di kalangan rakyat serta mahasiswa di negara ini.

Katanya, pihak keselamatan terbabit bertindak mengikut arahan pimpinan kerajaan tanpa mempedulikan kepentingan rakyat.

Sepatutnya, kata beliau pihak pasukan keselamatan seperti polis bertindak menjaga kepentingan rakyat dan orang ramai.

“Tidak padan pihak polis hendak berlawan dengan mahasiswa,” ujarnya.

Abu Bakar berkata, pihak polis wajar membuat pertimbangan dengan memberi ruang dan masa kepada pelajar menyuarakan rasa hati mahasiswa. 

Katanya, biarlah mahasiswa menyuarakan rasa hati, berunding serta pihak berkenaan mendengar pendapat dari golongan tersebut.

“Tetapi dengan cara menunjukkan kekuatan, kehebatan dan kekerasan tidak mendatangkan kebaikan untuk rakyat dalam negara ini,” ujarnya.

Beliau yang juga mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun 70-an menyokong kebebasan bersuara mahasiswa serta menghapuskan Auku.

Menurutnya, sejak akta itu diperkenalkan dan dikuatkuasakan hingga sekarang pergerakan mahasiswa menjadi agak ‘lumpuh’.

Ini kerana, katanya mahasiswa dan pensyarah dikongkong Auku yang begitu menekan golongan tersebut.

Sekitar Countdown 2012 kerajaan Selangor Harakahdaily









Penjelasan Jamil Khir tak jawab soalan pokok

KUALA LUMPUR, 1 Jan: PAS mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjelaskan beliau berada di golongan 'asnaf' mana yang membolehkan beliau meminjam wang zakat membayar kos guaman.

AJK PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, penjelasan tersebut sangat ditunggu rakyat ekoran tindakan tersebut didakwa mencetus kekeliruan dikalangan umat Islam.

"Rakyat sedang menunggu penjelasan, asnaf mana yang membolehkan beliau meminjam wang zakat? Apakah kedudukan beliau sebagai Gharimin (orang yang berhutang)? Faqir miskinkah? Fisabilillahkah?,Muallafkah?," soal Idris.

Ketua Audit Negara dalam laporannya sebelum ini mendakwa, bahawa Jamil Khir,  Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain menggunakan wang zakat   sebanyak RM63,650 membiayai kos guaman dalam kes saman qazaf  Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010 pembayaran melalui geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun lalu hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses ‘pelarasan semula’.

Mengulas lanjut, Idris berkata penjelasan Jamil Khir semalam tidak menjawab persoalan utama tersebut.

Sehubungan itu, menteri tersebut tidak berdolak dalih dan membuat penjelasan sebenar kepada rakyat.

"Beliau kena menjelaskan kepada rakyat supaya institusi agama yang memungut wang ini tidak di pandang serong oleh masyarakat. Kita tidak mahu kerana nila setitik , rosak susu sebelanga.

"Beliau tidak perlu mengalih isu kepada tuduhan beliau ubah suai rumah. Tidak mengapa kalau beliau rasa perlu dan itu wangnya. Maklumlah seorang Menteri, mesti tunjuk rumah yang hebat setaraf dengan seorang bergelar Menteri, " katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata jawapan Jamil Khir Baharum bahawa pembayaran kos guaman beliau bersama dua yang lain menggunakan peruntukan kerajaan dan bukannya wang zakat bercanggkah dengan kenyataan pelbagai pihak sebelum ini.

Antaranya bercanggah dengan dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim  dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Kenyataan yang dirujuk itu antaranya:

- Pada 21 Jun lalu, Dr Mashitah Ibrahim mengakui bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat ketika menjawab soalan di Parlimen.

- Pada 21 November lalu, Ambrin mengesahkan bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010 meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010. Namun sekalipun menerima geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun lalu, pembayaran semula kepada wang zakat hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses ‘pelarasan semula’.

Insiden UPSI: Kesemua mahasiswa dibebaskan

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Kesemua mahasiswa yang terlibat dalam Himpunan Kebebasan Akademik (BEBAS) di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) malam tadi dibebaskan petang semalam.

17 mahasiswa ini ditahan kira-kira jam 4 pagi tadi dan dibawa ke balai polis Tanjung Malim untuk disoal siasat, sebelum dibawa ke balai polis Slim River.

Mereka dibantu oleh peguam daripada Lawyer of Liberty (ILF).

Insiden malam itu menyaksikan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik Muhammad Safwan Anang patah tulang rusuk, seorang lagi Amar Rasyidi cedera di kepala manakala 20 mahasiswa ditahan.

Mereka ditahan secara kasar oleh polis ketika sedang mengadakan protes pada Himpunan Kebebasan Akademik (BEBAS) di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) malam itu.

Difahamkan, setakat ini, Safwan masih terlantar di Hospital Slim River.

80,000 sertai Countdown 2012 kerajaan Selangor

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Gandingan dua selebriti hebat dari latar belakang berbeza, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus bersama pelakon, pelawak dan pengacara, Zizan Raja Lawak berjaya menarik kehadiran kira-kira 80, 000 orang ke Program Countdown 2012 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, malam tadi.

Difahamkan, jumlah ini jauh lebih memberangsangkan berbanding jumlah kehadiran ke program "Karnival Sayangi Selangor" dan sambutan malam tahun baru anjuran kerajaan BN di I-City yang dianggarkan sekitar 5,000 sahaja, meskipun dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tinjauan rawak ke laman-laman blog bukan politik hari ini juga mendapati rata-rata penulis mengulas mengenai kemeriahan program malam tadi serta memuat naik gambar-gambar dan video sekitar program.

Antara yang diulas adalah mengenai keserasian Ustaz Azhar dan Zizan sewaktu forum soal jawab agama berlangsung dan petikan gitar oleh Ustaz Azhar sendiri.

Kemeriahan program turut diserikan dengan kehadiran bekas gitaris kumpulan Kamikaze, Shamril Salleh atau Sham Kamikaze yang sudah melakukan penghijrahan, pendakwah bebas, Ustaz Syed Nor Hisham Tuan Padang, juara program realiti tv pencarian imam muda, Imam Muda Ashraff serta selebriti Astro Oasis, Akhil Haiyy.

Rata-rata mereka juga mengharapkan program seperti ini yang menampilkan hiburan mendidik jiwa diteruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan juga negeri-negeri lain.

Ini membuktikan rakyat malaysia khususnya anak muda mula meminati program-program mendidik apatah lagi jika ianya ditampilkan "kena dengan caranya".

Antara pimpinan Pakatan Rakyat Selangor yang hadir malam tadi ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr. Halimah Ali, Haniza Talha dan Yaakob Safari serta Pesuruhjaya PAS Shah Alam, Khalid Samad.

Sunday, January 01, 2012

Insiden UPSI: Hishammuddin, KPN bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengkritik sekeras-kerasnya tindakan pihak keselamatan terhadap mahasiswa yang menyertai himpunan aman di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang ingin menuntut pihak universiti menggugurkan kes Adam Adli dan bantahan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). 
 
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samudin berkata, PKPIM difahamkan mereka yang terlibat dalam dibelasah dan dipukul sehingga menyebabkan Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Muhammad Safwan Anang dan beberapa mahasiswa cedera parah dan luka di badan sementara beberapa pimpinan mahasiswa ditahan oleh pihak polis awal pagi tadi. 

“PKPIM berpandangan tindakan polis termasuk FRU  yang meleraikan mahasiswa secara ganas pada awal pagi ambang tahun baru akan menimbulkan polemik baru yang tidak berkesudahan kerana tindakan seumpama ini  tidak bertepatan dengan hasrat transformasi politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  yang merangkumi langkah-langkah mengukuhkan lagi demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat sesuai  dengan tuntutan generasi mahasiswa hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan. 

Seharusnya, kata beliau sebarang perbezaan pandangan serta kritikan perlu diraikan serta diberikan ruang dengan sebaik-baiknya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, ujarnya PKPIM melihat isu itu juga berkait langsung dengan kelulusan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 kerana kandungannya bercanggah dengan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin serta melindungi hak untuk warganegara mengadakan perhimpunan aman. 

PKPIM juga, katanya memandang berat serta menolak pemusatan kuasa serta budi bicara untuk polis mengenakan apa-apa sekatan dan syarat tambahan yang difikirkan perlu atau sesuai sepertimana yang terdapat alam Fasal 15, di samping kuasa dalam Fasal 21 yang membolehkan polis untuk menggunakan segala kuasa serta kekerasan untuk menyuraikan sesebuah perhimpunan yang telah terbukti di dalam kejadian yang menimpa mahasiswa di UPSI awal pagi tadi. 

“PKPIM merasakan  bahawa bahawa tragedi mahasiswa di ambang 2012 ini sekiranya tidak diselesaikan dengan baik akan membuka ruang lebih banyak ruang untuk sebarang penyalahgunaan kuasa atau budi bicara pihak yang berkenaan akibat dari ketiadaan peruntukan yang jelas untuk mengawal serta menghadkan kuasa serta budi bicara pihak polis dalam mengawal serta menyuraikan sesebuah perhimpunan aman pada masa akan datang,” katanya lagi. 

Justeru, PKPIM mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bertanggungjawab dengan insiden ini dengan tampil memohon maaf dan memberikan penjelasan secara terbuka kepada seluruh mahasiswa dan rakyat demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan hak-hak asasi manusia.

Protes Auku: 17 ditangkap, 2 parah


TANJUNG MALIM, 1 Jan: Himpunan mahasiswa protes Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tadi dicemari insiden keganasan pihak polis yang bertindak memukul mahasiswa ketika cuba meleraikan mereka.

Dalam insiden awal pagi tadi, dua mahasiswa termasuk Timbalan Presiden GAMIS merangkap Pengerusi BEBAS, Safwan Anang Talib dilaporkan cedera parah dibelasah anggota FRU.

Beliau dilapor patah tulang rusuk, patah gigi geraham akibat dipijak anggota polis dan kini didakwa sedang mendapat rawatan di wad kecemasan di Hospital Slim River.

Seorang lagi mahasiswa yang cedera parah, Amar Rasyidi dari Universiti Malaysa (UM) dilaporkan menerima beberapa jahitan di hidungnya yang koyak akibat dipukul.

Selain itu, sekurang-kurangnya 17 mahasiswa lain ditangkap dalam insiden malam tadi dan kini telah dibawa ke balai polis Tanjung Malim.

Antara mereka termasuk pemimpin Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli; dua bekas Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir dan Hilman Idham serta Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Ismath.

Dalam satu respon segera, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan mengutuk keganasan ke atas mahasiswa yang berhimpun secara aman malam tadi.

"Saya beri masa kepada pihak kerajaan dan juga PDRM sehingga jam 12 tengahari ini agar semua tahanan itu dibebaskan.

"Mereka juga mesti mengambil tanggungjawab jika sesuatu yang buruk berlaku kepada mahasiswa khasnya Timbalan Presiden GAMIS yang masih dirawat dalam wad kecemasan di Hospital Slim River," katanya kepada Harakahdaily.

Menyifatkan tindakan tersebut sebagai sungguh zalim dan kejam, Nasruddin juga memeberi amaran, satu himpunan lebih besar akan diadakan bagi mendesak pembebasan mahasiswa tersebut.

"Saya harap seluruh pemuda dari seluruh negara bersedia.

"Jika tidak satu himpunan besar anak muda akan diadakan bagi mendesak pembebasan mahasiswa dan pihak polis yang terlibat melakukan kekasaran ini mestilah disiasat dan diambil tindakan tegas," tegasnya.
Harakahdaily sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden tersebut.

PKR tuntut Hisham, KPN beri penjelasan

KUALA LUMPUR, 1 Jan: PKR mengecam tindakan polis termasuk FRU untuk meleraikan perhimpunan aman mahasiswa di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) secara ganas pada awal pagi ini.

Pengarah komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, difahamkan kira-kira 100 orang mahasiswa berhimpun di hadapan UPSI semalam sebagai bantahan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) serta mendesak UPSI menarik balik tindakan terhadap Adam Adli. 

Adam merupakan mahasiswa UPSI yang mendapat perhatian meluas apabila menggantikan bendera yang tertera gambar PM dengan panji kebebasan akademik. 
 
Pihak polis, termasuk dua trak FRU dan pegawai Cawangan Khas hadir beramai-ramai dan pada 2.30 pagi, bertindak ganas apabila mahasiswa enggan bersurai.

Salah satu mahasiswa tersebut, Muhammad Safwan Anang dipukul oleh lapan orang pegawai polis dan SB sebelum beliau dilarikan oleh rakan-rakannya ke Hospital Slim River. 

Beliau mula-mulanya koma dan mengalami tulang pipi yang patah sebelum beliau akhirnya sedar diri.
Sehingga kini difahamkan kira-kira 17 mahasiswa termasuk Adam Adli telah ditangkap oleh pihak polis..

Pihak mahasiswa turut mendakwa beberapa wartawan yang menunjukkan pas media mereka turut dipukul pihak polis.
“Tindakan polis pada hari ini jauh berbeza dengan tindakan mereka ketika perarakan mahasiswa ke PWTC yang berkesudahan dengan berkibarnya panji kebebasan akademik,” katanya kepada Harakahdaily. 

Justeru, beliau berharap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara dapat segera tampil memberikan penjelasan.

“Keganasan ini membuktikan ucapan Hari Malaysia Perdana Menteri dan agenda transformasinya tidak membawa sebarang makna,” ujarnya.

PMUKM bantah polis belasah mahasiswa

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) memandang serius tindakan Federal Reserve Unit (FRU) dalam menangani isu yang berlaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada awal pagi tadi.
 
PMUKM dalam satu kenyataan pagi ini menyelar sekeras-kerasnya tindakan FRU membelasah mahasiswa dalam menyuraikan perhimpunan di UPSI. Pengerusi Bebas, Safwan Anang dilaporkan kritikal dan beberapa mahasiswa lain yang turut tercedera dengan tindakan zalim pihak polis.
 
“Ini merupakan satu tindakan yang tidak wajar kerana secara terang-terangan bertentangan dengan roh Perlembagaan Persekutuan yang sememangnya memberi hak kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat,” tambah kenyataan itu kepada Harakahdaily. 

Sekalipun himpunan itu dilihat sebagai satu perkara yang boleh mengganggu-gugat keselamatan awam, pihak polis tidak sewajarnya menggunakan kekerasan dalam menangani himpunan itu kerana mereka hanya berdepan dengan mahasiswa dan bukannya penjenayah bersenjata.

Tambahnya, tindakan yang diambil pada waktu kejadian seolah-oleh menggambarkan pihak polis terlalu terdesak seolah-olah tiada jalan lain dalam menangani himpunan tersebut. 

Ini sama sekali tidak sesuai dilakukan dalam negara yang mengamalkan demokrasi.
Menurut PMUKM lagi, sikap double standard polis juga terlihat apabila sebelah pihak yang menyokong kerajaan membuat demostrasi di Putrajaya pada 21 Disember baru-baru ini tidak pula dikenakan apa-apa tindakan, sebaliknya kekerasaan diperlakukan kepada mahasiswa yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

“Seharusnya pihak polis menjadi badan yang bertanggungjawab dalam memastikan keharmonian, keadilan, dan kesaksamaan semua pihak khususnya rakyat jelata dan bukannya bertindak di luar peri kemanusiaan,” ujar kenyataan.
Oleh itu, PMUKM mendesak supaya Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar Rabusupaya bertanggungjawab atas tindakan kejam pihak polis terhadap mahasiswa yang berhimpun di UPSI pada awal tahun baru 2012.