Sunday, January 01, 2012

PMUKM bantah polis belasah mahasiswa

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) memandang serius tindakan Federal Reserve Unit (FRU) dalam menangani isu yang berlaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada awal pagi tadi.
 
PMUKM dalam satu kenyataan pagi ini menyelar sekeras-kerasnya tindakan FRU membelasah mahasiswa dalam menyuraikan perhimpunan di UPSI. Pengerusi Bebas, Safwan Anang dilaporkan kritikal dan beberapa mahasiswa lain yang turut tercedera dengan tindakan zalim pihak polis.
 
“Ini merupakan satu tindakan yang tidak wajar kerana secara terang-terangan bertentangan dengan roh Perlembagaan Persekutuan yang sememangnya memberi hak kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat,” tambah kenyataan itu kepada Harakahdaily. 

Sekalipun himpunan itu dilihat sebagai satu perkara yang boleh mengganggu-gugat keselamatan awam, pihak polis tidak sewajarnya menggunakan kekerasan dalam menangani himpunan itu kerana mereka hanya berdepan dengan mahasiswa dan bukannya penjenayah bersenjata.

Tambahnya, tindakan yang diambil pada waktu kejadian seolah-oleh menggambarkan pihak polis terlalu terdesak seolah-olah tiada jalan lain dalam menangani himpunan tersebut. 

Ini sama sekali tidak sesuai dilakukan dalam negara yang mengamalkan demokrasi.
Menurut PMUKM lagi, sikap double standard polis juga terlihat apabila sebelah pihak yang menyokong kerajaan membuat demostrasi di Putrajaya pada 21 Disember baru-baru ini tidak pula dikenakan apa-apa tindakan, sebaliknya kekerasaan diperlakukan kepada mahasiswa yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

“Seharusnya pihak polis menjadi badan yang bertanggungjawab dalam memastikan keharmonian, keadilan, dan kesaksamaan semua pihak khususnya rakyat jelata dan bukannya bertindak di luar peri kemanusiaan,” ujar kenyataan.
Oleh itu, PMUKM mendesak supaya Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar Rabusupaya bertanggungjawab atas tindakan kejam pihak polis terhadap mahasiswa yang berhimpun di UPSI pada awal tahun baru 2012.

No comments: