KUALA TERENGGANU, 2 Jan:  PAS mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat insiden  berdarah akibat pihak polis menyurai perhimpunan mahasiswa di hadapan  Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar)  berkata tindakan polis menyurai mahasiswa yang berhimpun membantah Akta  Universiti dan Kolej Universiti (Auku) pada malam sambutan tahun baru  2012 sangat tidak wajar.
Katanya, suatu siasatan perlu dilakukan segera bagi mencari punca permasalahan hingga berlaku perhimpunan seumpama itu.
Menurutnya,  jika perlu ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat insiden  tersebut hingga mendatangkan kecederaan parah kepada mahasiswa terbabit.
“Saya  minta suatu siasatan dilakukan yang menjurus bagaimana hendak  menyelesaikan masalah yang sedia ada dan bukan siasatan hendak cari  siapa salah. 
“Apa puncanya berlaku permasalah (perhimpunan) itu. Jika perlu ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk membuat siasatan.
“Ketua  Polis Negara dan Ketua Polis Negeri mesti bertanggungjawab. Pihak polis  mesti bertanggungjawab, Kementerian Pengajian Tinggi mesti  bertanggungjawab dan pihak Kementerian Pelajaran sendiri juga mesti  bertanggungjawab terhadap insiden ini,” tegasnya kepada Harakahdaily.
Beliau  memberi reaksi terhadap insiden Himpunan Kebebasan Akademik di hadapan  UPSI yang menyebabkan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik  (Bebas) Muhammad Safwan Anang patah tulang rusuk serta seorang lagi Amar  Rasyidi cedera di kepala.
Suatu  tindakan yang tidak sepatutnya apabila pelajar-pelajar yang hendak  mempertahankan salah seorang daripada mereka yang hendak diambil  tindakan oleh pihak UPSI diberikan layanan yang sebegitu buruk oleh  pihak terbabit. 
Menurut  Abu Bakar, tindakan tersebut telah menimbulkan keresahan yang sangat  besar di kalangan rakyat serta mahasiswa di negara ini.
Katanya, pihak keselamatan terbabit bertindak mengikut arahan pimpinan kerajaan tanpa mempedulikan kepentingan rakyat.
Sepatutnya, kata beliau pihak pasukan keselamatan seperti polis bertindak menjaga kepentingan rakyat dan orang ramai.
 “Tidak padan pihak polis hendak berlawan dengan mahasiswa,” ujarnya.
Abu  Bakar berkata, pihak polis wajar membuat pertimbangan dengan memberi  ruang dan masa kepada pelajar menyuarakan rasa hati mahasiswa. 
Katanya, biarlah mahasiswa menyuarakan rasa hati, berunding serta pihak berkenaan mendengar pendapat dari golongan tersebut.
  “Tetapi dengan cara menunjukkan kekuatan, kehebatan dan kekerasan tidak  mendatangkan kebaikan untuk rakyat dalam negara ini,” ujarnya.
Beliau  yang juga mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam  (PMFPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun 70-an menyokong  kebebasan bersuara mahasiswa serta menghapuskan Auku.
Menurutnya, sejak akta itu diperkenalkan dan dikuatkuasakan hingga sekarang pergerakan mahasiswa menjadi agak ‘lumpuh’.
No comments:
Post a Comment