Wednesday, June 13, 2012

Munajat Perdana


Pemuda PAS sasar bentuk kepimpinan berintegriti


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia telah dikunjungi oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) yang diwakili oleh Mohd Ismail Abd. Jalil selaku Pengarah Sektor Politik IIM dan penolongnya Fison Hamdi Ahmad kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Kehadiran wakil dari IIM adalah hasil dari pertemuan pertama Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan pihak IIM dahulu.

Pertemuan tersebut adalah bertujuan untuk mengadakan satu program bersama IIM untuk membina pimpinan pemuda yang berintegriti.

“Kami berbincang dengan pihak IIM untuk mengadakan satu program bersama yang bertujuan untuk menerapkan integriti dalam Pemuda PAS Malaysia itu sendiri,” ulas Setiausaha DPPM, Khairul Faizi.

Katanya, DPPM mensasarkan untuk membentuk lapisan pimpinan pemuda PAS yang memiliki nilai integriti dalam kehidupannya dalam apa jua status dan platform yang dipegang oleh mereka.

“Kami menyambut baik kerjasama seperti ini dan menantikan keputusannya dalam waktu yang terdekat,” jelas beliau.

Beliau turut ditemani oleh selaku Penolong Setiausaha 2 dan 3 DPPM, Ustaz Syed Kadir dan Yusapiza.

Adakah Najib mahu pasti menantu tidak bermasalah?

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa dukacita dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan bahawa bakal menantunya Daniyar Nazarbayev terlibat dengan penipuan.

Ini ekoran pendedahan dokumen oleh mahkamah Amerika Syarikat mengenai Daniyar yang didakwa menipu bapa tirinya seunit kondominium bernilai AS$20 juta (RM62 juta) dan memasuki Universiti Columbia menggunakan dokumen palsu.

Jika benar dakwaan ini, DPPM merasa sedih kerana PM Malaysia begitu banyak diaibkan di peringkat antarabangsa. Sudahlah diri beliau dikaitkan dengan skandal rasuah pembelian kapal selam Scorpene  bernilai RM 3.1 bilion ringgit, bakal menantunya pula kini dituduh menipu.  Seolah-olah PM Malaysia mempunyai terlalu ramai musuh dari dalam dan luar negara dan semua pihak yang memusuhinya mahu sangat beliau tersungkur jatuh sebelum PRU ke 13 sehingakan satu demi satu masalah peribadi beliau dan ahli keluarganya dibongkarkan.

DPPM merasakan Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri yang paling banyak mencipta kontroversi peribadi terutama dalam keluarganya. Seperti perumpamaan Melayu, ‘bapa borek, anak rintik’, beliau seperti turut mengheret sama ahli keluarga beliau dalam pelbagai skandal yang dihadapinya.

DPPM juga meminta supaya PM berhati-hati dalam segenap aspek kerana dirinya dan keluarganya sentiasa menjadi fokus media dan pengamal politik. Jangan pula nanti, banyak lagi pekung yang terdedah melibatkan peribadi beliau dan ahli keluarganya.

DPPM tidak berharap, beliau dijatuhkan kerana isu-isu remeh dan peribadi yang disebabkan kegagalan beliau mengawal kehidupan keluarganya.

Justeru, DPPM menasihatkan PM supaya menyiasat dengan teliti latar belakang bakal menantunya supaya beliau tidak menyesal di kemudian hari. Ini menepati dengan kehendak syariat Islam yang meminta ibu bapa bersikap teliti dalam memilih pasangan hidup anak-anak mereka.

Dalam keadaan belum diijabkabulkan, bakal menantunya sudah menghadapi pelbagai dakwaan, adakah Datuk Seri Najib mampu memastikan menantu beliau tidak bermasalah dan mampu memberikan kebahagiaan kepada anaknya selepas perkahwinan mereka nanti.

DPPM percaya, Pakatan Rakyat akan berpolitik secara sihat dan matang dan akan menentang beliau dalam PRU ke 13 dengan penuh maruah, bukan secara politik kotor yang mengaibkan peribadi beliau sebagaimana yang dilakukan pemimpin parti beliau terhadap pemimpin Pakatan Rakyat seperti yang berlaku sekarang.

Tahniah...

Najib tanggung dosa umat Islam jika PRU musim haji


KUALA LUMPUR, 12 Jun: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang bertanggungjawab ke atas dosa umat Islam di Malaysia sekiranya pilihanraya umum ke 13 diadakan pada musim haji tahun ini, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Mat Sabu berkata demikian sebagai menyokong kata-kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang menyeru ahli-ahli PAS yang terlibat secara langsung dengan jentera parti iaitu calon-calon, wakil calon, pengarah pilihan raya dan mereka yang terlibat secara langsung dengan jentera parti untuk menangguhkan ibadah haji tahun ini sekiranya Najib begitu tidak sensitif untuk mengadakan PRU13 di musim haji untuk meningkatkan peluang menangnya.

“Najib yang berkuasa untuk membubarkan parlimen bukan Datuk Tuan. Apa susah sangat nak umum tarikh PRU13? Umumlah sahaja,” kata Mat Sabu kepada Harakahdaily.

Mat Sabu berkata kalau betul PRU13 akan di musim haji untuk kemenangan BN, Najib yang perlu menanggung dosa umat Islam yang menangguhkan ibadah haji untuk PRU13.

Beliau berkata semua pihak mendesak Najib mengumumkan tarikh PRU13 dengan lebih awal supaya mudah untuk rakyat merancang membuat persediaan yang perlu.

“Kalau buat musim haji, sudah tentu orang yang terlibat terus PRU13 akan tangguh, calon tunai haji, siapa yang kempen? Yang paksa mereka tangguh itu Najib sebab buat PRU13 musim haji,” tegas beliau.

Sebelum itu, Tuan Ibrahim menggesa Najib memberi jaminan tidak akan membubarkan parlimen dan mengadakan PRU13 pada musim haji tahun ini.

Kata beliau, Perdana Menteri sepatutnya boleh mengumumkan tarikh pilihan raya dan tidak perlu berteka-teki kepada rakyat.

"Kita mahukan jaminan Perdana Menteri agar pilihan raya tidak diadakan pada musim haji tahun ini. Sebaik-baiknya kerajaan elak untuk adakan pada tarikh tersebut," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan arahan penangguhan untuk menunaikan haji lebih tertumpu kepada calon-calon, wakil calon, pengarah pilihan raya dan mereka yang terlibat secara langsung dengan jentera parti dan bukan semua ahli.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menegaskan bahawa menjatuhkan kerajaan yang penuh rasuah dan zalim juga merupakan satu kewajipan kepada umat Islam.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, turut menyokong desakan Tuan Ibrahim agar kerajaan memberi jaminan agar pilihan raya tidak diadakan pada musim haji.

"Terpulang kepada Najib untuk menetapkan bila tarikh pilihan raya.  Tapi kita mohon jaminan daripada beliau supaya ia tidak diadakan pada musim haji.  Selesai masalah," komen ringkas beliau, hari ini.

Ini, tegasnya bagi membolehkan para pengundi yang beragama Islam menunaikan hak mereka di dalam sistem demokrasi.

Tanah rizab Melayu dimiliki keluarga pemimpin MCA


KOTA BHARU: Lot 305 Seksyen 1 Bandar Tumpat merupakan tanah rizab Melayu, tetapi anehnya mengapa pula dalam geran tertera nama bekas pemimpin BN, Datuk Foo Chow Yong.

Sedangkan kawasan itu diduduki penduduk Melayu sebelum air bah merah (sekitar 1925) iaitu ketika Kelantan berada di bawah pemerintahan Siam.

Namun generasi ketiga yang mendiami lot berkenaan sekarang diarah berpindah kerana cucu kepada Chow Yong dikatakan mahu membangunkan kawasan itu.

Inilah nasib yang menimpa 39 penduduk Kampung Masjid yang terletak di tengah-tengah pekan Tumpat. Di situlah mereka membesar dan menumpang berteduh dengan membina kediaman sendiri.

Dan setiap tahun sejak belum merdeka mereka membayar sewa sebanyak RM1 kepada wakil tuan tanah. Bayaran akhir pada 2007 antara RM10 hingga RM70 setahun, bergantung kepada saiz rumah.

Resit bayaran sewa itu masih disimpan sehingga ke hari ini, sebagai bukti mereka dibenarkan menumpang di atas tanah berkenaan.

Pada Mac lalu mereka menerima surat peguam yang mengarah mengosongkan tanah tersebut, tanpa sebarang perbincangan dibuat.

Jurucakap kumpulan penduduk terbabit, Azizah Ibrahim, 57 memberitahu penduduk begitu hairan tanah yang mereka duduki sejak berpuluh tahun lalu boleh bertukar menjadi milik pemimpin politik MCA.

“Datuk nenek kami memberitahu kalau hendak baiki rumah kena minta izin dengan tuan tanah dahulu. Begitu juga kalau hendak tebang pokok kelapa kena bayar antara RM50 hingga RM100 sebatang sebagai ganti rugi.

“Saya difahamkan lot 305 dikeluarkan geran atas nama Foo Chow Yong pada 1981 di atas tanah rezab Melayu yang didiami penduduk Melayu,” katanya ketika ditemui selepas berbincang masalah tersebut di pejabat peguam Hisham Fauzi di sini petang semalam.

Beliau bersama 38 lagi pemilik rumah di lot 305 datang beramai-ramai bagi menandatangani surat pelantikan peguam bagi mengendalikan kes berkenaan.

Pada 1981 Kelantan diperintah kerajaan Barisan Nasional (BN). Ada penduduk merumuskan geran dikeluarkan dengan mudah kepada pemimpin MCA terbabit kerana beliau juga merupakan anggota Exco kerajaan negeri ketika itu.

Semasa pilihanraya awal 1980-an, Chow Yong calon tunggal MCA menang di kerusi DUN Sungai Keladi, Kota Bharu kemudian dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri.

Difahamkan dengan kedudukan sebagai wakil rakyat memudahkan pemimpin terbabit mengambil kesempatan memiliki tanah diduduki penduduk kampung.

Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim berkata, kemungkinan pemimpin terbabit menggunakan kedudukannya sebagai anggota Exco mendapatkan tanah bagi kepentingan peribadi dan keluarga tidak dapat dinafikan.

Azizah juga berharap kerajaan negeri dan pihak istana campur tangan bagi menyelesaikan masalah tersebut kerana kehidupan mereka terumbang ambing sekarang.

Tiada pilihan raya musim haji, selesai masalah

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan tidak akan membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya umum ke-13 pada musim haji tahun ini.

Ia bagi memastikan jemaah haji yang terpilih dapat menunaikan ibadah haji dengan lebih tenang dan selesa, tanpa dipinggirkan hak mereka untuk mengundi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Perdana Menteri sepatutnya boleh mengumumkan tarikh pilihan raya dan tidak perlu berteka-teki kepada rakyat.

"Kita mahukan jaminan Perdana Menteri agar pilihan raya tidak diadakan pada musim haji tahun ini. Sebaik-baiknya kerajaan elak untuk adakan pada tarikh tersebut," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan arahan penangguhan untuk menunaikan haji yang dikeluarkan sebelum ini khusus kepada ahli-ahli PAS yang terlibat secara langsung dengan jentera parti, bukannya kepada semua ahli.

Katanya, arahan itu lebih tertumpu kepada calon-calon, wakil calon, pengarah pilihan raya dan mereka yang terlibat secara langsung dengan jentera parti.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menegaskan bahawa menjatuhkan kerajaan yang penuh rasuah dan zalim juga merupakan satu kewajipan kepada umat Islam.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, turut menyokong desakan Tuan Ibrahim agar kerajaan memberi jaminan agar pilihan raya tidak diadakan pada musim haji.

"Terpulang kepada Najib untuk menetapkan bila tarikh pilihan raya.  Tapi kita mohon jaminan daripada beliau supaya ia tidak diadakan pada musim haji.  Selesai masalah," komen ringkas beliau, hari ini.

Ini, tegasnya bagi membolehkan para pengundi yang beragama Islam menunaikan hak mereka di dalam sistem demokrasi.

Tuesday, June 12, 2012

Bapa kafir: Rahim Noor, NST disaman RM10 juta


KOTA BHARU: Gara-gara mengeluarkan kenyataan menuduh Menteri Besar Kelantan sebagai bapa kafir, kini bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor berdepan dengan tuntutan saman sebanyak RM10 juta.

Saman tersebut difailkan melalui Tetuan Hisham Fauzi & Associates pada 31 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.  Dan sebutannya akan diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu 15 Julai depan.
Saman tersebut difailkan Nik Aziz melalui Tetuan Hisham Fauzi & Associates pada 31 Mei lalu dan akan diserahkan kepada semua defendan terbabit dalam masa terdekat ini.

Selain Rahim, enam lagi defendan yang dinamakan ialah NST, ketua editornya, Abdul Jalil Hamid dan wartawannya iaitu Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean, Nik Amran Abdullah dan pengarang NST Syed Nadzri Syed Harun.

Saman itu dibuat ekoran kegagalan kedua dua pihak memohon maaf dan menarik balik tuduhan terhadapnya sebagai “bapa kafir” dalam tempoh yang diberikan.

"Defendan-defendan secara bersama/berasingan telah bertanggungjawab menulis dan menyebabkan tersiarnya sebuah artikel di muka surat 6 di dalam akhbar New Straits Times, yang bertajuk 'NIK AZIZ IS FATHER OF KAFIR’ yang diterbitkan pada hari Selasa 08 Mei 2012, yang mana artikel tersebut secara jelas menyebut secara langsung berita yang tidak benar dan tidak berasas yang dikaitkan dengan Plaintif," tulis writ saman tersebut.

Rahim dalam kenyataannya melalui akhbar New Straits Times pada 8 Mei lalu menyebut “Nik Aziz is father of kafir”.

Ekoran itu Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan memberi tempoh 24 jam kepada Rahim bagi menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka.

Bagaimanapun bekas ketua polis yang kontroversi itu gagal menarik balik kenyataan tersebut. Keengganan Rahim menyebabkan pelbagai pihak tampil membuat laporan polis dan demontrasi membantah kenyataannya.

Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat akan diwakili pasukan peguam diketuai Hanipa Maidin dengan dibantu Hisham Fauzi, Aminudin Zulkepli, Hatman Abdullah, Abdul Rasyid Yah dan Hilmi Abdullah.

Saman juga dikemukakan terhadap enam lagi pihak iaitu tiga wartawan NST yang terbabit menulis berita berkenaan, Pengarang Urusan Kumpulan NST, penyunting kumpulan NST dan syarikat NST.

Menteri Besar dalam pernyataan tuntutan mahu defendan-defendan menarik balik berita fitnah yang disiarkan NST pada 8 Mei lalu.

Selain itu permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif dengan mengiklankan permohonan maaf tersebut semuka penuh dalam akhbar Utusan Malaysia atau Berita Harian.

Turut dituntut ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif.

Injunksi juga dikemukakan bagi menghalang defendan-defendan memberi komen, mengulangi atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan yang berunsur fitnah terhadap plaintif.

Dalam afidavitnya Menteri Besar berkata, tulisan tersebut bermaksud menuduh dan memfitnahnya sebagai “bapa kafir” menggunakan agama untuk mengelirukan umat Islam.

Tulisan tersebut juga disifatkan memberikan gambaran yang buruk terhadap plaintif.

Majlis Makan Tengahari









Kelantan benarkan balik qari wanita sertai tilawah



(Anuar Ghazali menerima hadiah dari MB Kelantan)

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan akan memberi laluan semula kepada qari wanita (qariah) untuk menyertai tilawah membaca Al- Quran bermula tahun depan.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz (gambar) berkata, ketika ia disekat 22 tahun lalu, ia hanya disekat sementara bukannya diharamkan.

Langkah ini, katanya diambil memandangkan banyak hasrat disampaikan melalui pertemuan dan surat agar membenarkan ianya diadakan semula "akhirnya ikatan sekatan itu dibuka semula bermula tahun hadapan."

Beliau berkata, kebenaran ini diberikan berdasarkan pendekatan serupa yang diambil Rasulullah dalam isu menziarahi kubur.

"Ketika itu, ada yang menangis, jilat kubur, cium dan lain-lain lagi," katanya.

Begitu juga di Kelantan, peringkat awal dahulu masyarakat tidak begitu berpegang pada syariat khususnya dalam menjaga aurat, berpakaian menjolok mata hingga tidak ada perbezaan lelaki dan wanita.

Sedangkan Allah jadikan ianya berbeza antara lelaki dan wanita, katanya.

"Kini banyak dah tutup aurat, amalan hidup juga berbeza banding dulu," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas majlis makan tengahari bersama MB untuk meraikan johan tilawah Al-quran peringkat kebangsaan Anuar Ghazali.

Anuar yang mewakili Kelantan menjadi johan dalam tilawah itu dengan mendapat pencapaian tertinggi iaitu 93.6 peratus dan juga johan paling muda, 36 tahun.

Beliau bakal mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Ketika ditanya, tidakkah ia bakal menjadi isu, Nik Aziz menjawab, Kelantan sudah sentiasa menjadi isu dan tidak putus-putus.

"Lagipun dulu hanya kita sekat bukan haram terus," katanya.

Bersih 3.0: Menteri KDN patut tanggung kerugian


Kalau Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein bersama polis bijak membaca keadaan dan pandai menguruskan keselamatan awam negara tidak mengalami kerugian sebanyak RM1.8 juta dalam tempoh hanya beberapa jam saja. Tetapi kerana Hishammuddin dan pasukan polis tidak bijak menyebabkan wang sepatutnya boleh digunakan untuk membeli uniform baru polis hangus begitu sahaja.
Kerugian wang negara sebanyak RM1.8 juga itu kerana digunakan untuk mengawal himpunan Bersih 3.0 baru-baru ini. Jumlah itu tentulah untuk membayar gas pemedih mata yang digunakan untuk menyuraikan himpunan dan juga tanggungan-tanggungan lain termasuk membayar rawatan anggota polis cedera dalam himpunan berkenaan.

Angka itu dikeluarkan hari ini oleh kementerian dalam negeri di parlimen bagi menjelaskan pertanyaan wakil rakyat DAP Batu Gajah (Fong Po Kuan).

Dalam kejadian itu kementerian dalam negeri memberi tahu sebanyak 909 kelongsong gas pemedih mata digunakan pada himpunan pada 28 April itu di mana jumlah tersebut tiga kali ganda daripada yang digunakan dalam perhimpunan Bersih 2.0 tahun lepas. Jumlah ini mengesahkan bahawa Bersih 3.0 lebih hebat dan ramai berbanding dengan kehadiran pada Bersih 1.0 dan Bersih 2.0.

Turut sama dijelaskan sebanyak 58 lagi jenis gas yang dibaling dengan tangan terhadap para himpunan. (Cis... kepada polis jahat).

Barang kali wajar kalau mana-mana parti bakal membentuk kerajaan di masa akan datang tidak melantik orang-orang yang tidak bijak ataupun kurang akal dalam menyelesaikan apa juga isu membabitkan rakyat kerana disebabkan kelemahan itu kerajaan terpaksa mengalami kerugian. Bayangkan kalau menteri dalam negeri dan juga perdana menteri gentleman membenarkan himpunan itu berlangsung secara aman negara tidak mengalami kerugian sebanyak itu dan wang RM1.8 juga boleh diagihkan untuk perkara lebih berfaedah.

Sebenarnya kalau hendak dihitung jumlah kerugian itu bukan saja bagi kerajaan tetapi peserta juga mengalami kerugian sama. Betapa tidak beratus buah telefon bimbit, kamera, kereta, motosikal juga mengalami kemusnahan disebabkan kerakusan polis.  Semasa peserta himpunan lari bercelidar disebabkan amukan polis, berbagai peralatan peribadi termasuk dompet, beg tangan, gedget, kasut, selipar dan pelbagai peralatan IT bertaburan di  jalanan.

Semoga untuk masa akan datang kejadian seperti itu (yang boleh dilakukan dengan baik) tidak diurus dengan rakus semata-mata kerana kerajaan UBN ingin memberi gambaran kepada umum yang himpunan Bersih jahat. Kini orang ramai dapat menilai sendiri siapa yang selama ini mengkhianati harta benda negara ataupun membelanjakan wang negara di tempat tidak wajar dan mengetahui apakah punca dan di mana kelemahannya. -

967 gas pemedih mata dilepaskan pada Bersih 3.0


KUALA LUMPUR: Sebanyak 967 butir gas pemedih mata telah dilepaskan dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Jumlah itu lebih tiga kali ganda berbanding dalam perhimpunan Bersih 2.0, iaitu sebanyak 262 butir.

Tembakan yang dilepaskan dalam Bersih 3.0 itu termasuk 909 butir 'shell tear smoke' dan 58 butir 'grenade tear smoke'.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussin dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan.

Dalam jawapan itu, Hishammuddin turut memberitahu kerajaan telah menanggung kos keseluruhan sebanyak RM1.8 juta akibat daripada penganjuran perhimpunan itu.

Fong Po Kuan dalam soalan lisannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh anggota yang bertugas, perbelanjaan pada hari tersebut.

Sementara itu, Hishammuddin memandang serius sebarang pelanggaran Peraturan sedia ada (SOP) yang telah ditetapkan dan dua anggota polis telahpun didakwa di mahkamah.

"Sekiranya terdapat mana-mana anggota keselamatan terbukti bersalah melanggar SOP yang telah disediakan, tindakan undang-undnag akan tetap diambil terhadap anggota berkenaan," katanya.

Padang rosak teruk gara-gara program PM


GUA MUSANG: Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) kini menanggung kos kira-kira RM200,000 kerana padang tempat berlangsung program dihadiri Datuk Seri Najib Razak rosak teruk.

Dan akibat kerosakan itu padang milik MDGM tersebut tidak lagi dapat digunakan untuk sebarang aktiviti sukan sehingga sekarang.

Pada awal April lalu Perdana Menteri datang ke Gua Musang merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia yang diadakan di padang berhampiran Pusat Sivik.

Lebih malang lagi Kesedar dan Kementerian Penerangan merupakan penganjur program difahamkan masih membisu sehingga sekarang biar pun notis peringatan dihantar MDGM.

Ahli Majlis MDGM, Amran Abdullah berkata, majlis daerah membenarkan penggunaan padang tersebut selepas dimohon Kesedar.

Bagaimanapun katanya, pihak penganjur tidak menghormati kebenaran yang diberi dan menggali lubang bagi mendirikan khemah besar sehingga menyebabkan padang rosak teruk.

“Isu ini sudah dibincang di peringkat ahli majlis bersama Yang Dipertua. Mesyuarat memutuskan Kesedar perlu menanggung kos kerosakan padang.

“Namun tuntutan awal yang dibuat tidak dihiraukan. Oleh itu kami bersetuju menghantar tuntutan sebanyak RM200,000 bagi menampung kos kerja-kerja membaiki kerosakan padang,” katanya di sini.