Tuesday, June 12, 2012

Dewan Rakyat tolak usul bincang isu Scorpene


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berhubung skandal pembelian kapal selam Scorpene.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Pandikar Amin Mulia menolak usul tersebut dalam kamar kerana tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat 23(1)h.

Sebelum itu, Nurul Izzah mengemukakan usul menangguhkan mesyuarat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) bagi mencadangkan supaya Majlis Mesyuarat ditangguhkan dengan tujuan merundingkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai.

Melalui surat yang dikemukakan beliau meminta agar dewan mendesak Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan Malaysia menjelaskan secara terperinci berkenaan dengan isu komisen dan penjualan dokumen rasmi sulit dalam kes Kapal Selam Scorpene.

Menurutnya lagi, pendedahan isu komisen dan penjualan rasmi sulit Kementerian Pertahanan Malaysia mengenai Scorpene kepada Syarikat Pertahanan Perancis seperti yang didakwa oleh Suaram di Bangkok pada 30 Mei yang lepas boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.

"Suatu dokumen yang sulit iaitu penilaian Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) terhadap Scorpene yang akan dibeli oleh kerajaan itu didakwa telah dibeli oleh sebuah Syarikat Pertahanan Perancis.

"Laporan yang didedahkan oleh Peguam Perancis, Joseph Breham yang mewakili NGO Hak Asasi Manusia atau Suaram mendakwa syarikat berkenaan didakwa membayar 36 juta euro (RM142 juta) kepada Terasasi (Hong Kong) Ltd, dikatakan untuk kerja-kerja kejuruteraan komersial," jelasnya pada sidang media di lobi parlimen.

Tambahnya lagi, dokumen rahsia tersebut merupakan satu penilaian untuk tempahan kapal selam berkenaan yang mana ia merupakan laporan yang sangat sulit.

Menurutnya lagi, pendedahan ini perlu diperjelaskan kepada Dewan Rakyat dan juga rakyat bagi memberitahu betapa seriusnya isu itu lebih-lebih lagi melibatkan rahsia pertahanan negara.

"Kita tidak mahu rahsia negara boleh digadaikan begitu sahaja demi kepentingan politik sesetengah pihak.

"Saya mengesa Kerajaan Malaysia menjelaskan secara terperinci peranan syarikat Terasasi yang didakwa menjual rahsia negara kepada syarikat Perancis berhubung urusniaga RM4 bilion untuk membeli kapal selam," katanya.

Nurul Izzah turut menyatakan Dewan Rakyat sebelum ini tidak pernah dimaklumkan berkenaan dengan peranaan Terasasi dan juga peranan yang dimainkan Abdul Razak Baginda dalam transaksi yang melibatkan kertas penilaian Scorpene.

"Perkara ini sepatutnya dibincangkan tetapi saya kecewa kenapa ia ditolak adakah kerana ingin melindungi pihak-pihak tertentu itu," sambung beliau lagi.

No comments: