Sunday, June 10, 2012

Beku PTPTN: Umno tunjuk lagak tak kena tempat


KUALA LUMPUR: BN dilihat sengaja menunjukkan kuasanya apabila mencabar kerajaan negeri Selangor berhubung isu pembekuan PTPTN terhadap pelajar Unisel.

Bagaimanapun, tindakan itu hanya menunjukkan sikap sombong dan angkuh BN kerana cabaran itu dibuat tidak kena pada masa dan tempatnya.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, berkata cabaran itu tidak kena pada tempatnya memandangkan tanggungjawab memberi pendidikan terletak kepada kerajaan pusat.

"Ini bukan masa untuk cabar atau menguji kerajaan negeri Selangor. Ia hanya menyusahkan bukan sahaja pelajar, tetapi ramai pihak.

"Kalau betul hendak minta kerajaan negeri tanggung pendidikan, jangan ambil cukai dari Selangor," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau lagi, biarpun PTPTN menarik semula pembekuan pinjaman tabung itu, pelajar tidak perlu berterima kasih kerana ia merupakan hak pelajar terbabit.

Malah, katanya kerajaan sewajarnya tidak perlu bertindak membekukan pinjaman tersebut kepada pelajar baru Unisel hanya kerana berbeza fahaman politik.

Selain itu, beliau berkata dasar federalisme tidak diamalkan di negara kita menjadikan kerajaan BN sering mengamalkan dasar diskriminasi dan pilih kasih terhadap mana-mana negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

"Dalam isu royalti, Terengganu dan Kelantan telah disisihkan. Sekarang, mereka cuba buat kepada Selangor pula. Mereka mengamalkan kezaliman dalam tindak-tanduk mereka," tegas beliau lagi.

Awal minggu ini, PTPTN dengan disokong Menteri Pengajian Tinggi dan Timblan Perdana Menteri bertindak membekukan pinjaman pelajar baru Unisel dan meminta kerajaan negeri Selangor membuktikan keupayaan memberikan pendidikan percuma kepada pelajar-pelajar terbabit.

Bagaimanapun, tindakan tersebut ditarik balik hari ini selepas mendapat pelbagai kritikan yang merasakan tindakan tersebut tidak wajar.

No comments: