Sunday, June 10, 2012

Pengerusi PTPTN bohong, ikut telunjuk Umno

SHAH ALAM: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Faekah Hussin menyifatkan Pengerusi  PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berbohong berhubung alasan penarikan balik pembekuan pinjaman kepada Unisel dan Kuis.

Menurutnya, alasan bahawa pembekuan pinjaman terhadap pelajar kedua-dua IPTS itu ditarik balik kerana tahu kononnya kerajaan negeri tidak mampu memberi bantuan kewangan adalah penuh emosi dan 'kurang cerdik'.

Ini kerana, kerajaan negeri telah mengumumkan  skim bantuan khas untuk pelajar yang  teraniaya oleh pembekuan tersebut.

"Malang bagi Pengerusi PTPTN, selepas menurut perintah Menteri kini terpaksa menjilat semula keputusan itu dan membuat kenyataan berbohong kononnya Kerajaan Selangor tidak mampu memberi pendidikan percuma kepada pelajar.

"Apa yang jelas kenyataan tersebut menunjukkan beliau membenarkan dirinya diperangkap oleh pemimpin tertinggi Umno BN yang sekarang terpaksa membuat "U turn"; tidak sampai 24 jam pembekuan pinjaman diumumkan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa Unisel akan mencairkan aset yang dimilikki IPTS itu bagi membantu mahasiswa yang tertindas ekoran pembekuan pinjaman oleh PTPTN.

Aset tersebut merupakan hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM dengan anggaran nilai RM30 juta.

Mengulas lanjut Faekah berkata, seluruh episod ini sebenarnya suatu amaran kepada penjawat awam agar tidak dengan membabi buta menurut arahan ahli politik dan menjaga integriti mereka.

Pada masa sama, beliau menggesa Menteri Umno agar tidak memperkudakan pegawai kerajaan dan berhenti mengamalkan “bersembunyi di celah kain seorang kakitangan awam”.

No comments: