Sunday, June 10, 2012

Lelaki tawar 10 dinar beli plak royalti Kelantan


KUALA LUMPUR: Belum sampai dua hari plak asal Sokongan Tuntutan Pendaratan Minyak dan Gas ditandatangani Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, sudah ada individu yang menawarkan harga yang tinggi untuk memilikinya.

Menurut aktivis Gerakan Menuntut Royalti Petroleum Kelantan (Gegar), Mohd Fauzi Mohd Azmi, seorang lelaki menawarkan 10 dinar (RM7,990) untuk membeli plak tersebut sewaktu berkunjung ke gerai pameran Gegar hari ini.

Bagaimanapun kata Fauzi, plak itu tidak akan dijual kepada sesiapa pun kerana mempunyai nilai sejarah bagi rakyat Malaysia khususnya rakyat Kelantan sendiri.

"Plak itu tak akan dijual kepada sesiapa pun kecuali kalau boleh ditukar dengan royalti petroleum rakyat kelantan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau juga berkata, plak tersebut terpaksa disimpan 'di tempat yang selamat' kerana ia mula menarik perhatian pihak-pihak tertentu.

"Pagi tadi saya terima penggilan yang kata dia dari pihak istana, nak ambil plak itu untuk cop mohor sultan.

"Tapi saya hubungi kawan yang bekerja di istana, dia kata tak ada. Kalau ada, istana mesti keluarkan surat terlebih dahulu. Jadi kami risau ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dapatkan plak itu kemudiaan menghancurkannya," katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, Gegar meneruskan usaha mendapatkan tandatangan orang -orang kenamaan dari pelbagai parti politik untuk menyokong usaha NGO itu mendapatkan hak rakyat Kelantan.

"Kita sedang kumpul tandatangan  VIP tak kira aripada Umno, PAS, PKR, DAP atau dari mana-mana pun untuk menadapatkan sokongan mereka.

"Sekarang kita bukan fokus kepada royalti rakyat Kelantan sahaja tapi kita nak hasil minyak didaratkan di Kelantan, bukan di Thailand, bukan di tempat lain." tegasnya.

Kelmarin, Tuanku Sultan Muhammad ke-V  berkenan mencemar duli menandatangani plak Tuntutan Royalti Petroleum itu bersempena Ekspo Pertanian Kelantan 2012 di perkarangan Stadium Sultan Mohamad IV.

No comments: