Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa dukacita dengan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan bahawa bakal
menantunya Daniyar Nazarbayev terlibat dengan penipuan.
Ini ekoran pendedahan dokumen oleh mahkamah Amerika Syarikat mengenai
Daniyar yang didakwa menipu bapa tirinya seunit kondominium bernilai
AS$20 juta (RM62 juta) dan memasuki Universiti Columbia menggunakan
dokumen palsu.
Jika benar dakwaan ini, DPPM merasa sedih kerana PM Malaysia begitu
banyak diaibkan di peringkat antarabangsa. Sudahlah diri beliau
dikaitkan dengan skandal rasuah pembelian kapal selam Scorpene bernilai
RM 3.1 bilion ringgit, bakal menantunya pula kini dituduh menipu.
Seolah-olah PM Malaysia mempunyai terlalu ramai musuh dari dalam dan
luar negara dan semua pihak yang memusuhinya mahu sangat beliau
tersungkur jatuh sebelum PRU ke 13 sehingakan satu demi satu masalah
peribadi beliau dan ahli keluarganya dibongkarkan.
DPPM merasakan Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri yang paling
banyak mencipta kontroversi peribadi terutama dalam keluarganya. Seperti
perumpamaan Melayu, ‘bapa borek, anak rintik’, beliau seperti turut mengheret sama ahli keluarga beliau dalam pelbagai skandal yang dihadapinya.
DPPM juga meminta supaya PM berhati-hati dalam segenap aspek kerana
dirinya dan keluarganya sentiasa menjadi fokus media dan pengamal
politik. Jangan pula nanti, banyak lagi pekung yang terdedah melibatkan
peribadi beliau dan ahli keluarganya.
DPPM tidak berharap, beliau dijatuhkan kerana isu-isu remeh dan
peribadi yang disebabkan kegagalan beliau mengawal kehidupan
keluarganya.
Justeru, DPPM menasihatkan PM supaya menyiasat dengan teliti latar
belakang bakal menantunya supaya beliau tidak menyesal di kemudian hari.
Ini menepati dengan kehendak syariat Islam yang meminta ibu bapa
bersikap teliti dalam memilih pasangan hidup anak-anak mereka.
Dalam keadaan belum diijabkabulkan, bakal menantunya sudah menghadapi
pelbagai dakwaan, adakah Datuk Seri Najib mampu memastikan menantu
beliau tidak bermasalah dan mampu memberikan kebahagiaan kepada anaknya
selepas perkahwinan mereka nanti.
DPPM percaya, Pakatan Rakyat akan berpolitik secara sihat dan matang
dan akan menentang beliau dalam PRU ke 13 dengan penuh maruah, bukan
secara politik kotor yang mengaibkan peribadi beliau sebagaimana yang
dilakukan pemimpin parti beliau terhadap pemimpin Pakatan Rakyat seperti
yang berlaku sekarang.
No comments:
Post a Comment