Saturday, December 10, 2011

Tendangan Jauh pemain Machang hancurkan Tumpat

PENGKALAN CHEPA, 9.Dis – Harapan Naib Johan tahun lepas Tumpat untuk beraksi di peringkat akhir merebut Piala Tok Guru 2011 gagal setelah kedua-dua jaringan kencang hasil sepakan percuma yang diperolehi pasukan Machang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Tumpat.
Biarpun saingan hebat diberikan oleh Tumpat terhadap Machang, namun ia tidak mematahkan semangan pemain dari Machang untuk menyerang balas setiap serangan yang dilakukan oleh Tumpat.
Kehebatan penjaga gol Machang telah menafikan setiap serangan dari penyerang Tumpat dan diminit ke 24 pemain yang memakai jersi no 9 dari Machang M.Shahadan M.Afandi berjaya memperolehi sepakan percuma dari jarak 35 meter untuk membolosi gol Tumpat.
Masa pertama banyak dipersiakan oleh Tumpat setelah barisan penyerangnya gagal menjaringkan gol biarpun sentiasa mendapat peluang.
Serangan bertali arus dari Machang sekali lagi menyaksikan jaringan gol dari jarak 45 meter yang dilakukan oleh penyerang berjersi no 12 Mohd Mzi Zulkifli diminit ke 55.
Machang layak ke Suku Akhir
Perlawanan yang diadili Derani Yusof kali ini turut menyaksikan layangan kad kuning terhadap pemain dari Tumpat Mohammad Faiza Othman.
Kejayaan Machang menumpas Tumpat kali ini telah membawa mereka untuk bertemu diantara Kubang Kerian atau Ketereh yang akan beraksi petang esok jam 5 petang bertempat di Padang Mini Penjara pada pertemuan suku akhir pada 24.Dis.

Ambil tindakan ‘buat hudud pun tak jadi apa’

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Pihak berkuasa agama di negara ini digesa segera bertindak terhadap pihak yang bertanggungjawab menerbit dan menyiarkan sebuah drama pendek di Youtube yang secara terang-terangan menghina hukum Allah.

Drama pendek bertajuk 'Lagi Hudud PAS' itu didakwa telah menghina hukum hudud dengan cuba memberi gambaran hudud bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah malah menjadikan masalah lebih teruk.

"DPPM (Dewan Pemuda PAS Malaysia) mengharapkan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan wajar kepada mereka termasuk ke atas pemilik akaun kawasaki9722 yang menyiarkan filem tersebut.

"Filem ini tidak menguntungkan sesiapa malah mengundang kebencian ramai," kata ketua dewan itu Nasruddin Hassan kepada Harakahdaily.

Mengikut maklumat yang direkodkan, drama dengan tajuk 'Lagi Hudud PAS' itu yang berdurasi 5 minit 34 saat dimuat naik sejak 21 November lalu oleh pemilik akaun bernama kawasaki9722.

Sehingga berita ini ditulis, drama itu telah ditonton oleh 10,123 pengguna dengan catatan 94 dari mereka menekan like dan 4,395 dislike.

Menggunakan lima pelakon Islam dan tiga bukan Islam, dialog drama ini antara lain menyentuh isu HIV tertinggi di Kelantan sambil memperlekeh hudud yang mahu dilaksanakan kerajaan negeri yang dipimpin PAS.

Malah mereka juga mendakwa ibu tunggal di Kelantan paling ramai dan rakyat negeri itu juga paling ramai bekerja di tempat-tempat maksiat.

Dalam dialog itu juga turut menyebut "Buat hudud pun tak jadi apa" lalu disambung seorang lagi dengan berkata "makin teruk ada la".

Sebelum ini negara kecoh dengan kenyataan Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu, Kamal Saidin dan Presiden MCA, Chua Soi Lek yang mempersenda hukum Allah SWT dalam Majlis Wacana Hudud di Wisma MCA baru-baru ini sedang beliau tiada autoriti untuk bercakap mengenai hukum Islam.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ust Fathul Bari selaku Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Umno sebagai salah seorang panel.

Belum pun reda dengan isu itu, umat Islam sekali lagi dicabar dengan penghinaan hukum Allah melalui drama pendek tersebut.

Apa yang dikesalkan kata Nasruddin, kebebasan berkarya digunakan untuk menghina hukum Allah SWT sedang mereka tanpa segan silu menikmati segala macam kemudahan, keselesaan dan nikmat anugerah Allah SWT di atas muka bumi ini.

"Pelaku yang mendalangi penghinaan terancang terhadap hukum Allah SWT sedang berdepan dengan  satu tanggungjawab yang sangat berat.

"Saya terlebih dahulu mewakili DPPM mengharapkan dalang dan para pelakon muslimnya bertaubat kepada Allah SWT dan kembali ke pangkalan jalan," katanya.

ABM mara ke Suku Akhir Piala Tok Guru

PENGKALAN CHEPA, 9.Dis – Kegagalan pertahanan Parlimen Pasir Puteh mengawal beberapa pemain penyerang Akademi Bolasepak Melayu Kelantan(ABM) menjadi alasan kukuh untuk ABM membolosi kubu pertahanan Pasir Puteh.
Biarpun permainan yang agak seimbang di awal perlawanan dengan beberapa kali serangan dibuat oleh kedua-dua pasukan, namun kelincahan penyerang ABM Muhammad Saiful Amri yang memakai Jersi No 14 telah berjaya membolosi tiga pemain pertahanan Pasir Puteh dan menghasilkan jaringan pertama bagi ABM diminit ke 26.
Perlawanan kali ini juga turut menyaksikan dua kad kuning dilayangkan oleh Pengadil Che Bustaman Jaafar terhadap dua pemain dari Akademi Bolasepak Melayu Kelantan.
Barisan Pemain ABM bersama Pengurusan Pasukan
Serangan pertama dari ABM tidak sahaja dapat menjejaskan mutu permainan pasukan Pasir Puteh malah dalam masa dua minit selepas itu satu lagi serangan mengejut dari bahagian kiri gawang gol Pasir Puteh, menyaksikan wira ABM Muhammad saiful Amri berjaya menendang kencang dan menembusi penjaga gol dan menjadikan perlawanan semakin rancak sehingga berakhir masa pertama dengan menyaksikan dua gol tanpa balas berpihak kepada ABM.
Perlawanan di masa kedua turut menyaksikan beberapa serangan menarik dari kedua-dua pasukan, namun sikap berhati-hati pemain dari ABM dengan mengawal penuh barisan pertahanan berjaya menyekat serangan dari Pasir Puteh.
Dengan Kemenangan mata penuh 2 – 0, ABM akan bertemu Pasukan Pilihan Kota Bharu pada 23.Dis bertempat di Padang Mini Penjara jam 9 pagi.

‘Saya lawan Mahathir, nak turut dia macam mana’

KOTA BHARU, 9 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa Umno bertindak secara ‘songsang' semasa memimpin orang Melayu di negara ini apabila menolak Islam dari dasar parti.
Ini, katanya menyebabkan Umno gagal memimpin orang Melayu.
Beliau yang juga Menteri Besar menegaskan Islam adalah agama yang syumul dan lengkap, justeru hendaklah dijadikan dasar dalam memimpin parti oleh orang Melayu termasuk Umno.
“Orang Melayu beragama Islam, dan Islam itu sendiri agama yang syumul dan lengkap, namun tiba-tiba ditolak oleh pemimpin Umno menyebabkan orang Melayu enggan mengikutinya.
“Kini Umno melaung Melayu bersat’, tetapi bersatu untuk apa, untuk Melayu atau untuk Islam?
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi tadi.
Mengulas saranan Mahathir supaya beliau bersara dari politik, Mursyidul Am PAS itu berkata, beliau melawan mantan Presiden Umno itu sejak awal lagi.
“Saya melawan daripada awal sampai ke akhir, nak turut dia macam mana oleh kerana saya melawan dia.
“Siapa suruh dia berhenti, dan sewaktu dia berhenti dahulu, dia bagi tahu dia tidak boleh memimpin orang Melayu, bahkan tidak berjaya memimpin orang Melayu.
“Saya jawab sendiri, saya kata dah mu tarik ‘songsang’ orang Melayu, sedangkan orang Melayu beragama Islam dan Islam itu pula lengkap.
"Islam sempurna, tiba-tiba dia (Mahathir) tolak Islam dari dasar partinya, buat pandai-pandai dia.  Mana boleh orang Melayu nak turut dia,” ujarnya.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menghadiri Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sempena pembukaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini menasihatkan Tuan Guru Nik Aziz supaya segera bersara daripada arena politik memandangkan Menteri Besar Kelantan itu sudah terlalu lama menyandang jawatan tersebut.
Tuan Guru Nik Aziz menegaskan hasrat untuk terus bertanding pada Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU-13) nanti tidak berubah.
“Dah orang nak kepada saya, nak buat lagu mana, apa saya boleh buat,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Negeri Dr Mohd Fadhli  Hassan ketika mengulas isu itu menegaskan Umno tidak berhak langsung mengulas isu itu.
“Bagi kita, apa saja Tok Guru kata, bahkan selagi Tok Guru ada, kita mahukan Tok Guru memimpin kita.
“Ini adalah hak ahli PAS, sesungguhnya selagi mana Tok Guru ada, kita nak Tok Guru yang memimpin PAS,” tegasnya.
Selepas menya,paikan kuliah mingguan pagi tadi, Tuan Guru turut melancarkan risalah Suara PAS Kelantan, Purnama yang diterbitkan Lajnah Penerangan PAS Negeri.

Thursday, December 08, 2011

Kenapa PAS Tidak Bergabung Dengan UMNO

Soalan keempat dari mahasiswa yang tidak sempat dijawab sewaktu Forum di UIAM bersama Ust Fathul Bari Mat Jahya dan Dr. Roslan Mohd Nor tempohari. Soalan itu berbunyi : Kenapa PAS Tidak boleh bergabung dengan UMNO.

Jawapannya :
 
1. Penyatuan secara asasnya adalah suci malah dituntut. Tiada siapa yang mahu berpecah dan berpisah tanpa sebarang sebab atau alasan yang kukuh.
 
2. Namun .... sungguhpun Islam menggalakkan malah menyuruh supaya ummatnya bersatu padu, Islam meletakkan syarat serta garis panduan yang jelas bagaimana penyatuan itu wajar dilakukan atau sebaliknya. Antaranya Firman Allah:
 
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Wahai orang - orang yang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar - benar taqwa dan jangan kamu mati melainkan kamu tunduk menyerah diri kepada Allah swt. dan berpegang teguhlah kamu dengan Tali Allah dan jangan sekali - kali kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika dulunya kamu saling bermusuhan maka Allah telah menyatukan hati - hati kamu, lalu dengan nikmat Allah itu kamu bersaudara sedang kamu telah berada di jurang api neraka, lantas Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah dijelaskan oleh Allah kepada kamu ayat - ayatNya, mudah - mudahan kamu beroleh petunjuk.
Surah Aali Imran 103

3. Ayat di atas jelas meletakkan syarat utama untuk tidak berpecah belah ialah berpegang teguh dengan Tali Allah iaitu Al Quran atau Al Islam bukan bangsa atau warna kulit jauh sekali harta benda, pengaruh dan pangkat. Lantaran penyatuan manusia adalah melibatkan penyatuan hati dan hati tidak boleh dijinakkan dengan harta benda dunia. Firman Allah swt :

وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا مَّآ أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dialah [Allah] yang telah menyatukan antara hati - hati mereka. sekiranya engkau membelanjakan keseluruhan apa yang ada di atas muka bumi ini, nescaya engkau tidak boleh menyatukan hati - hati mereka akan tetapi Allah swt telah menyatukan antara mereka sesungguhnya Ia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Surah al Anfaal 63

4. Islam adalah asas penyatuan. Tanpa Islam bagaimana mungkin penyatuan itu boleh direalisasikan. Sementara kebajikan dan taqwa pula menjadi objektif utama kepada penyatuan yang dianjurkan oleh syariah. Firman Allah swt :

 ۘ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

dan bertolong bantulah kamu dalam perkara yang membawa kepada kebajikan dan taqwa dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara yang mengundang dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah swt sesungguhnya balasan Allah sangat dahsyat.
Surah al Maaidah 2

5. Ayat di atas pula bukan sahaja menyuruh kita bertolong bantu, bekerja sama dan bersatu padu untuk melakukan amal kebajikan dan bertaqwa kepada Allah [ dengan melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah swt dan meninggalkan apa jua yang telah dilarang oleh Allah swt.] tetapi nas di atas juga melarang sebarang kerjasama dan penyatuan yang menumbuhkan bibit dosa serta menyuburkan permusuhan sesama ummat manusia.

6. Demikian asas yang perlu difahami oleh semua mengenai konsep perpaduan. Apabila ditanya mengenai penggabungan antara PAS dan UMNO, maka saya harap semua dari kalangan kita merujuk kepada prinsip dan konsep yang telah saya jelaskan di atas dengan jujur dan adil.

7. ...... pun begitu, untuk aman, damai, sejahtera, harmoni dan sebagainya buat masa ini, jika UMNO mahu terus kekal dengan dasar partinya hari ini, maka  PAS dan UMNO terus menjadi parti yang berbeza lalu wujudkan suasana check and balance.

8. Keperluan utamanya ialah kematangan dalam berpolitik. Elakkan politik fitnah dan adu domba. Begitu juga dengan politik dedah aib dan politik caci maki. Sebaliknya amalkan politik yang diperkaya dengan akhlak. Politik berteraskan hujjah dan fakta. Politik yang matang dan berhikmah.

9. Saya mengharapkan generasi muda hari ini boleh memulakan politik jenis ini. Politik baru ke arah masa depan negara dan ummah yang lebih bertamadun. Hentikan persengketaan dengan menamatkan pencabulan dan penindasan. 

10. Sebagai satu contoh mudah, Kerajaan persekutuan yang ditulang belakangkan oleh UMNO mestilah mengembalikan semula royalti minyak yang menjadi hak rakyat Terengganu dan Kelantan kerana ini antara punca persengketaan antara UMNO dan PAS. Lebih klasik, persengketaan antara PAS dan UMNO ialah pada perbedaan dasar dan manhaj perjuangan. Maka janganlah UMNO mempersendakan hasrat PAS untuk melaksanakan syariat Islam khasnya di Kelantan.

PRU13: Kerusi PAS, PKR di Kelantan kekal

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, antara PAS dan PKR di Kelantan selesai sepenuhnya.

Mengesahkan perkara itu Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (gambar) berkata, kedua-dua parti masing-masing telah bersetuju untuk mengekalkan 'status quo' seperti PRU ke-12 pada 2008 lalu.

"Ya, kita sudah selesai dengan kedua-dua parti bersetuju untuk kekalkan status quo seperti sebelum ini.

"Kita (PAS) setuju dan PKR pun setuju," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, keputusan yang dicapai kira-kira dua bulan lalu itu juga bersetuju untuk mengekalkan kerusi kawasan bertanding masing-masing seperti mana 2008 tanpa sebarang perubahan.

"Dari sudut kawasan bertanding juga kita setuju kekal dan tiada perubahan," katanya lagi sambil memberitahu keputusan itu sudah dimaklumkan kepada Pakatan Rakyat di peringkat Pusat,

Pada PRU 2008, PAS bertanding di 51 kerusi iaitu 11 kerusi Parlimen dan 40 kerusi Dun, manakala PKR pula bertanding di lapan kerusi iaitu tiga Parlimen dan lima Dun.

13 kerusi parlimen yang ditandingi PAS adalah, Kuala Krai, Gua Musang, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kubang Kerian, Bachok, Pasir Puteh, Tumpat, Pengkalan Chepa dan Jeli.

Kerusi Dun pula adalah Kelaboran, Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Kijang, Chempaka, Panchor, Tanjung Mas, Kota Lama, Bunut Payong, Tendong, Pengkalan Pasir, Chetok, Meranti, Gual Periok, Bukit Tuku, Salor, Pasir Tumboh, Demit, Tawang, Perupok, Jelawat, Melor, Kadok, Kok Lanas, Bukit Panau, Gual Ipoh, Kemahang, Selising, Limbongan, Semerak, Gaal, Pulai Chondong, Temangan, Kemuning, Bukit Bunga, Air Lanas, Mengkebang, Manik Urai, Dabong dan Galas.

Kerusi Parlimen bagi PKR pula adalah Tanah Merah, Ketereh dan Machang, manakala Dun pula adalah Paloh, Nenggiri, Guchil, Pengkalan Kubor dan Kuala Balah.

Selain Kelantan, Pakatan Rakyat Selangor juga sebelum ini memaklumkan telah selesai pembahagian kerusi di negeri itu.

Ketiga-tiga komponen parti iaitu PAS, PKR dan DAP juga masing-masing bersetuju mengekalkan jumlah kerusi mengikut pilihan raya umum yang lalu.

'Roboh tembok penjara': Azmin dipanggil polis

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Dipercayai berkaitan dengan kenyataan "PKR akan merobohkan tembok penjara jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan", Azmin Ali telah diminta hadir memberi keterangannya kepada polis.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR itu dilaporkan mendapat panggilan telefon kira-kira jam 1.20 petang tadi dari seorang pegawai polis yang meminta beliau menghadirkan diri ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Difahamkan, Azmin kini dalam perjalanan ke Sarawak untuk program Ceramah Perdana yang dianjurkan bersama pimpinan Pakatan Rakyat negeri itu serta menghadiri inkuiri awam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung reformasi pilihan raya.

Pegawai Khas kepada Azmin, Hilman Idham berkata pihak polis tidak memberikan sebab kenapa Ahli parlimen Gombak itu perlu hadir memberi keterangan.

Beliau juga memaklumkan, Azmin masih belum membuat sebarang keputusan dan berkemungkinan akan memanggil pihak polis tersebut mengambil keterangan di Kuala Lumpur.

Semasa berucap di Kongres Nasional PKR di Johor, 25 November lalu, Azmin dilaporkan berkata PKR akan "merobohkan tembok penjara" jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Namun pada program Rapat Rakyat di Shah Alam Ahad lalu, Azmin turut membuat penjelasan terhadap kenyataan kontroversinya itu.

Katanya, 'tembok penjara' yang dimaksudkannya dalam ucapan di Johor itu adalah 'segala halangan' yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu untuk memenjarakan Anwar yang juga ketua umum PKR.

Wednesday, December 07, 2011

Pemuda PAS Kelantan siap hadapi PRU 13


KOTA BHARU, 6.Dis – Pemuda PAS Kelantan sedia gempur mana-mana kubu umno di negeri ini walaupun kebelakangan ini pelbagai isu dibawa oleh mereka namun ia tidak menggusarkan pemuda PAS negeri ini.

Ketua Pemuda PAS Kelantan Abdul Latiff Abd Rahman menjelaskan pelbagai program telah dijalankan di seluruh pelusuk negeri dan diadakan oleh pemuda peringkat kawasan dan dibantu oleh pemuda negeri.

Menurut Abdul Latiff lagi walaupun umno Kelantan menggunakan pendekatan berasaskan BN-Pilihan anak muda, namun ia dianggap sebagai retorik politik umno semata-mata dan ini menggambarkan pihak mereka sedar akan kekuatan golongan muda di negeri ini dalam PRU nanti.

Beliau ditemui media ketika mengadakan sidang akhbar berkenaan program “Maghri Pakat Ggateh D’Kuala Krai bertempat di Pejabat Urusetia Belia dan Sukan negeri yang mewakil exco sukan semalam.

Pemuda PAS Kelantan mengambil lima pendekatan bagi mendekati golongan muda iaitu mengadakan gotong royong di seluruh kawasan, mengadakan ziarah dan cakna masyarakat, Mesra di Kedai Kopi, Pentas Pemuda dan Bekwoh Anak Muda.

Melalui program ini, pemuda PAS negeri mendapat kerjasama sepenuhnya dari PAS Kawasan dan sehingga kini ia mendapat sokongan penuh dari kalangan pemuda.

Pemuda PAS di seluruh negeri juga telah bersiap sedia dan kini sudah ada beberapa kawasan membuka bilik gerakan serta Unit Peti Undi(UPU) dan ini menggambarkan kesungguhan pemuda PAS negeri untuk mempertahankan Kelantan.

Menyentuh soal pemilihan calon dari kalangan pemuda, Abdul Latiff berkata sememangnya setiap kali adanya PRU, beberapa nama dari kalangan pemuda negeri akan diangkat untuk penelitian pimpinan PAS negeri dan begitu juga dalam menghadapi PRU 13 ini, pihaknya juga telah mengemukakan senarai nama calon dari kalangan pemuda.

“ Pemuda PAS telah menghantar senarai lengkap nama calon dari kalangan pimpinan Pemuda untuk dinilai oleh pimpinan dan kita sedia akur kepada apa-apa keputusan yang dibuat bagi persiapan PRU 13 nanti”ujar beliau.

Wacana Perdana

Pemuda pastikan sejarah 2004 tidak berulang

KOTA BHARU, 6 Dis: Pemuda PAS Kelantan bersiap sedia menggempur kubu Umno bagi memastikan sejarah pilihan raya umum 2004 tidak berulang semula.

Ketuanya Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, sehingga kini sudah ada beberapa Pemuda kawasan membuka bilik gerakan sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Katanya, ia menggambarkan kesungguhan pemuda PAS mempertahankan Kelantan bagi mengelakkan peristiwa 2004 berulang kembali apabila Umno/BN mendapat lonjatan besar.

Ketika itu BN mendapat 21 kerusi Dun berbanding 24 PAS. Bagaimanapun pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir BN mendapat tambahan satu lagi kerusi.

Abdul Latiff berkata, pelbagai program dijalankan Pemuda PAS negeri dengan dibantu pemuda kawasan mendapat sambutan begitu menggalakkan.

”Misalnya programk pemuda masuk kampung di Dun Bukit Bunga mendapat sambutan luar jangka apabila ramai anak muda datang mengebarkan bendera Bulan Purnama,” katanya pada sidang akhbar program “Maghri Pakat Ggateh D’Kuala Krai di sini kelmarin.

Abdul Latiff yang juga Adun Mengkebang berkata, Pemuda PAS Kelantan menggunakan lima pendekatan bagi mendekati golongan muda iaitu program gotong royong, ziarah dan cakna masyarakat, mesra kedai kopi, pentas Pemuda serta Bekwoh Anak Muda.

Kata beliau program tersebut mendapat sokongan padu anak-anak muda yang menggambarkan sokongan mereka tidak berubah kepada PAS dan Pakatan Rakyat seperti 2008.

Ditanya calon di kalangan pemuda, Abdul Latiff berkata, senarai nama sudah disiapkan untuk diangkat kepada Badan Perhubungan Negeri.

“Pemuda PAS tidak ketandusan calon yang berwibawa untuk diketengahkan. Bagaimanapun segala keputusan akan ditentukan pimpinan negeri dan pusat,” ujar beliau.

Sementara itu dalam perkembangan lain katanya, program “Maghri Pakat Ggateh” anjuran Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO akan diperluaskan ke jajahan Kuala Krai.

Beliau berkata, program itu meliputi tiga Dun akan diadakan 10 Dismber ini bermula di Padang Taman Chintawangsa berhampiran Tasik Krai.

Katanya penyertaan terbuka kepada orang ramai menggunakan pelbagai jenis basikal termasuk klasik, Fixie, Mountain Bike dan sebagainya.

“Kita akan mengayuh basikal sejauh 31 km dengan merentasi laluan berbukit melalui Jalan Batu Balai-Mengkebang-Simpang Tiga Sungai Pahi-Temalir-Belangga dan kembali ke TamanChintawangsa,” katanya.

Ceramah Anak Muda

Nik Aziz bertanding tamparan buat Umno Kelantan

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyokong penuh kenyataan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan untuk terus bertanding di dalam pilihan raya umum yang akan datang.

“Kenyataan YAB Tuan Guru ini telah menjadi satu ‘tamparan’ kepada Umno Kelantan yang mengharapkan supaya Tuan Guru mengundur diri daripada arena politik,” ujar ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) kepada Harakahdaily.
Katanya, Pemuda PAS negeri turut mengucapkan terima kasih kepada Tuan Guru di atas kesediaan beliau untuk terus meminpin PAS Kelantan di dalam menghadapi Umno Kelantan.

Sesungguhnya, tegas beliau semangat dan iltizam Tuan Guru akan menjadi azimat dan kekuatan kepada seluruh jentera parti di semua peringkat untuk mempastikan Umno dan Barisan Nasional terus tumbang di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Katanya, pihaknya juga membidas perwakilan Umno di dalam perhimpunan agung Umno baru-baru ini yang menyamakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz seperti Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lama memerintah.

“Untuk makluman kepada seluruh ahli Umno dan Barisan Nasional, Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah diminta oleh seluruh rakyat untuk berhenti bukan sekadar terlalu lama memerintah tetapi memerintah dengan penuh kezaliman, penipuan dan mengutamakan ahli keluarga semata-mata berbanding Tuan Guru memerintah penuh dengan rasa tawadduk dan rendah diri kepada Allah sehingga rakyat cukup sayang dan cintakan pemerintahan Tuan Guru,” jelasnya.

Sememangnya, kata beliau Umno Kelantan kini semakin berasa tertekan dengan keputusan Tuan Guru Mursyidul Am PAS itu untuk terus bertanding di dalam pilihan raya kerana ‘aura’ Tuan Guru belum dapat ditandingi oleh mana-mana pimpinan Umno Kelantan.

Dengan itu juga, ujarnya hasrat Umno Kelantan untuk menumbangkan Kerajaan PAS akan menjadi ‘angan-angan yang tidak berkesudahan’.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dengan ini juga mendoakan semoga YAB Tuan Guru akan terus diberikan kekuatan dan kesihatan untuk terus memimpin PAS Kelantan menumbangkan Umno Kelantan secara total di dalam pilihanraya umum yang akan datang dan terus memimpin rakyat Kelantan dengan pemerintahan yang berasaskan Islam,” ujarnya lagi.

Gerhana: Najib ugut minda rakyat

KUALA LUMNPUR, 6 Dis: Negara terus dilanda ‘gerhana’ dan rakyat akan berada dalam kegelapan seperti sekarang jika masih terus memilih BN dalam PRU ke-13 nanti.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) melahirkan kekesalan di atas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi amaran masa depan orang Melayu akan ‘gerhana’ jika Barisan Nasional (BN) pimpinannya tidak lagi kekal berkuasa dalam pilihanraya umum ke 13.

“Bagi DPP Malaysia, kenyataan ini berunsur ugutan terhadap rakyat Malaysia agar jangan mengundi selain Barisan Nasional dalam PRU ke 13 nanti,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor kepada Hasrakahdaily.

Katanya, DPP Malaysia beranggapan PM merasa terlalu takut sehingga sanggup memberi amaran terhadap rakyat Malaysia.

Tambahnya, Najib cuba memberi gambaran bahawa hanya BN layak memerintah, dan jika Pakatan Rakyat memerintah, negara akan musnah dan porak peranda.

Bagi DPP Malaysia, ujarnya mungkin PM telah terlupa bahawa Pakatan Rakyat sekarang ini memerintah kerajaan negeri Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan dan pernah mentadbir Perak.

Katanya lagi, tidak ada satu pun negeri yang diperintah oleh Pakatan rakyat mengalami ‘gerhana’ seperti yang didakwa beliau.

Malah, jelasnya prestasi kerajaan Pakatan Rakyat jauh meninggalkan negeri-negeri pimpinan Barisan Nasional.

Menurutnya, dalam masa yang singkat kerajaan Selangor berjaya buktikan kemampuan mereka dengan mendapat keuntungan RM1.1 bilion dan menjadi rekod kewangan paling baik dalam tempoh 28 tahun, manakala Pulau Pinang berjaya menempatkan diri sebagai negeri terbaik dari sudut pengurusan kewangan.

Kedah pula, ujarnya berjaya mengurangkan defisit hutang yang ditanggung bertahun-tahun lamanya dan kini sedang pesat membangun di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak manakala Kelantan pula berjaya mengekalkan prestasi sebagai negeri yang bebas dari rasuah meskipun telah memerintah selama 20 tahun disamping terus cemerlang dengan kejayaan-kejayaan yang diraih.

Sebaliknya, kata beliau era kepimpinan Najib merupakan zaman paling hitam dalam sejarah negara.
“Indeks Presepsi Rasuah mencatat kemerosotan untuk tiga tahun berturut-turut, berlakunya ketirisan serta penyelewengan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010, serta pelbagai skandal pemimpin besar negara seperti Projek Feedlot dan kondominium mewah, pemborosan projek besar negara dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau menambah, DPP Malaysia turut kesal kerana PM mempersoalkan adakah maruah Islam dan orang Melayu terbela jika Pakatan Rakyat memerintah.

Justeru, ujar Riduan PM sepatutnya bertanya kepada dirinya sendiri dan melihat kepada kepemimpinannya, adakah beliau sendiri membela orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Sedangkan, ujarnya nasib Kampung Baru yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Melayu turut tergadai di bawah kepimpinannya, hukum Islam tidak dilaksanakan malah menjadi bahan cemuhan seperti yang berlaku dalam forum terbaru anjuran MCA,mengapa pula Najib tidak perlu menaruh prasangka buruk terhadap Pakatan Rakyat.

Monday, December 05, 2011

Soi Lek jangan undang kemarahan umat Islam

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) meminta Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menutup mulut dan jangan bercakap mengenai Islam jika tidak mengetahuinya secara betul dan tepat.

“Jika tidak, beliau ‘menembak’ sesuka hati tanpa fakta yang benar mengenai Islam,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

DPP Malaysia merujuk kepada sebuah forum bertajuk ‘Hudud dan implikasinya terhadap bukan Islam di Malaysia’ di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur pada hari semalam.
DPP Malaysia, kata Riduan merasa Dr Chua Soi Lek amat biadap kerana mempertikai agama Islam yang merupakan agama rasmi di negara ini.

“Beliau tidak berhak bercakap mengenai Islam di dalam forum tersebut kerana beliau tidak tahu mengenai Islam,” katanya.

Katanya, jika ada wakil umat Islam yang turut hadir sebagai panel daripada Umno, ini tidak memberi gambaran beliau boleh bercakap apa sahaja mengenai Islam.

Sepatutnya, kata Riduan Soi Lek menyentuh mengenai usaha beliau bagi membela bangsa kaum Tionghua di negara ini, serta bagaimana mahu mengembalikan sokongan masyarakat Tionghua kepada MCA, bukan bercakap mengenai Islam.

Bagi DPP Malaysia, tegasnya isu Hudud atau hukum Islam tidak wajar dibincangkan secara terbuka oleh masyarakat bukan Islam kerana ia boleh mencetus polemik yang lebih besar.

“Isu hukum Islam sepatutnya dibincangkan secara ilmiah oleh mereka yang berkelayakan dan melibatkan semua pihak, barulah isu ini mendapat penjelasan secara betul dan menyeluruh,” tegasnya.

Tambahnya, alasan pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara berhadapan dengan ‘kemusnahan diri’ jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia adalah alasan yang tidak boleh diterima sama sekali.

DPP Malaysia menjelaskan, hakikatnya jika hukum Islam terlaksana di Malaysia, pelabur pasti akan datang ke Malaysia kerana matlamat undang-undang Islam meletakkan keadilan dan keselamatan kepada semua rakyat di negara ini.

Secara logiknya, kata beliau jika keadilan dan keselamatan rakyat terkawal, pasti pelabur akan berani datang ke Malaysia kerana hak dan keselamatan mereka dijamin.

DPP Malaysia juga menyangkal dakwaan Dr Chua bahawa sistem perundangan Islam tidak adil kepada semua pihak khususnya wanita.

DPP Malaysia, ujarnya mempersoalkan dari manakah rujukan beliau sehingga mendakwa syariat Islam tidak adil khususnya kepada wanita.

“DPP Malaysia yakin, jika beliau mendapat maklumat dan fakta yang sebenarnya, pasti beliau tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“DPP Malaysia menegaskan hukum Islam menjaga hak semua rakyat khususnya kaum wanita,” katanya lagi.
Dengan pelaksanaan hukum Islam, jelasnya sudah tentu kehormatan wanita akan terjaga di mana pelacuran, perzinaan, rogol, liwat, menuduh berzina dan liwat, dan lain-lain lagi tidak akan berlaku secara berleluasa seperti sekarang ini.

Oleh itu, tegasnya DPP Malaysia meminta Dr Chua tidak lagi bercakap atau mengeluarkan kenyataan mengenai Islam jika tidak mahu mengundang kemarahan umat Islam.

Katanya, DPP Malaysia sanggup bersemuka dengan beliau bagi memberikan penjelasan menyeluruh jika beliau mahu mendalami pengetahuan mengenai Islam.

“Jangan kerana mahu meraih undi kaum Tionghua, undi Umno pula menyusut kerana umat Islam terlalu marah dengan beliau sehingga menghukum Umno pula,” ujarnya.

Selak kain, singsing lengan bukan cara Islam

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menganggap Perhimpunan Agung Umno yang berakhir semalam gagal mencapai objektif untuk memuhasabah parti sendiri sebaliknya lebih banyak memburuk-burukkan parti lawan.

Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, apa yang lebih malang, perhimpunan yang dilihat gah dengan liputan media arus perdana itu berlangsung ketika rakyat bergelut dengan kepayahan hidup akibat salah guna kuasa dan salah urus tadbir kerajaan Umno BN.

"Persidangan Umno khususnya Wanita Umno gagal mencapai objektif murni sesuatu mesyuarat agung iaitu membuat muhasabah, berlapang dada dengan teguran, merancang ke arah pembaikan ke arah kesempurnaan," kata beliau dalam satu kenyataan.

Menyentuh mengenai kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat jalil yang ingin "menyingsing lengan dan "menyelak kain" dan melepaskan geram kepada  Pakatan Rakyat, beliau menyifatkannya sebagai tidak mempertahankan maruah Islam.

"Muslimat PAS akan terus mendoakan hidayah daripada Allah SWT kepada semua Orang Melayu khususnya Wanita Islam di dalam Umno, agar menjadikan Islam sebagai dasar dan panduan Hidup serta matlamat utama kehidupan mahupun perjuangan mereka

"Singsing lengan, selak kain, hilang kawalan, mengamuk dan seumpamanya hanya membuktikan sebenarnya tidak mempertahankan maruah Islam," katanya.

Menurutnya juga, DMPP tidak gentar dengan kenyataan Shahrizat untuk menggerakkan 1.3 juta ahlinya untuk menggempur rakyat dalam pilihan raya umum ke-13.

"Insya Allah jangankan 1.3 juta ahli Wanita Umno itu digerakkan sepenuhnya kononnya untuk menggempur rakyat dalam PRU13  bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional, hatta dengan segala penipuan serta kekotoran sistem pilihan raya yang ada pun, Muslimat PAS sudah siap siaga," katanya.

Ia, ujarnya termasuk peranan jentera penerangan DMPP yang telah mengambil "posisi tempur" masing-masing untuk menghadapi segala propaganda Umno BN.

Sunday, December 04, 2011

Ggateh Basikal di Kuala Krai

Jadual Perlawanan Kejohanan Bola Sepak Piala Tok Guru 2011

Piala Tok Guru – Kota Bharu menang bergaya.



PENGKALAN CHEPA, 3.Dis – Kejohanan Bolasepak Piala Tok Guru 2011 memasuki hari kedua menyaksikan perlawanan antara Kota Bharu menentang Rantau Panjang dengan berkesudahan kemenangan berpihak kepada Kota Bharu 3, Rantau Panjang 0.

Sementara itu perlawanan petang tadi juga menyaksikan satu perlawanan bersih kerana ketiadaan kad kuning dilayangkan oleh pengadil Mohd Azrul Mohd Amir.

Jaringan pertama Kota Bharu oleh Muhammad Suhaimi Yusof diminit ke 23 ternyata merancakkan perlawanan dan serangan bertubi-tubi dilakukan oleh pihak Rantau Panjang namun ia gagal menyamakan kedudukan.

Masa pertama juga semakin menekankan Rantau Panjang setelah sekali lagi Mohd Suhaimi yang memakai jersi no 8 berjaya menumpaskan penjaga gol lawan di minit ke 31.



Perlawanan merebut piala berperestij di Kelantan ini juga turut menarik perhatian Kapten The Red Warriors Badri Radzi atau lebih dikenali panggilan Piya untuk menyaksikan sendiri perlawanan yang membawa kemenangan terhadap Kota Bharu.

Rantau Panjang yang semakin tertekan tidak berputus asa di masa kedua dengan melakukkan beberapa serangan namun ia gagal menembusi kubu pertahanan Kota Bharu dan dengan kelekaan pemain, sekali lagi gawang gol Rantau Panjang dibolosi dengan tendangan menarik dari Mohd Juzali Dzulkarnain diminit ke 71 membawa Kota Bharu berada dalam keadaan selesa.

Piala Tok Guru – Tanah Merah gigit jari dan Gua Musang hampakan Jeli

Kegagalan memenafaatkan masa pertama oleh pasukan Tanah Merah ketika menentang Pasir Mas bagi perlawanan pertama dalam Kejohanan merebut Piala Tok Guru 2011 mengakibatkan pasukan yang mewakili Parlimen Tanah Merah itu pulang dalam keadaan hampa.

Kemenangan selesa Pasukan Pasir Mas dengan jaringan 3 gol tanpa balas membolehkannya memasuki Peringkat Suku Akhir pertengahan bulan ini.

Padang yang basah akibat hujan lebat malam tadi dan pagi ini tidak menghalang Pasir Mas mendapat jaringan pertama pada minit ke 49 oleh Ahmad Razi Abdullah dan diikuti dua jaringan pada minit terakhir oleh Mohd Faridzuan Md Zonkifli pada minit ke 80 dan 81.

Namun dalam perlawanan awal pagi ini juga telah menyaksikan 5 kad kuning yang dilayankan oleh pengadil Che Bustaman Jaafar iaitu dua bagi Tanah Merah dan tiga bagi Pasir Mas.

Kerancakan Kejohanan Bolasepak merebut Piala Tok Guru semakin meriah, diatas semangat kesukanan yang ditunjukkan dua perlawanan hari jumaat lalu iaitu antara Pasir Mas bertemu Tanah Merah dan Gua Musang menentang Jeli.

Gua Musang yang mula mengganas setelah memasuki separuh masa kedua berjaya menembusi gawang Jeli pada minit ke 42 setelah pemain nombor 9 Mohd Hafizan Azman berjaya menjaringkan gol pertama untuk Parlimen Gua Musang.

Namun tujuh minit kemudian Jeli berjaya menyamakan kedudukan jaringan gol setelah Mohd Azizi Mat Suri menendang kencang menewaskan penjaga gol Gua Musang.


Perlawanan kali ini juga menyaksikan pengadil perlawanan Che Bustaman Jaafar melayankan dua kad Kuning untuk pasukan Jeli sementara Gua Musang mempamerkan permainan bersih sehingga ke akhir perlawanan.

Harapan Jeli untuk mempertahankan gawang gol dari dibolosi Gua Musang hampa apabila pemain gantian Mohd Basaruddin Che Ali yang masuk pada minit ke 56 berjaya menewaskan penjaga gol Jeli pada minit ke 63 dan menyaksikan kesudahan perlawanan Gua Musang 2, Jeli 1.

Gua Musang yang berjaya memasuki Suku Akhir akan bertemu Pasir Mas pada 17.Dis ( Sabtu ) yang dijangka akan bermain di Padang Mini Penjara, Pengkalan Chepa.

Najib tinggal transformasi, ambil kembali perkauman

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Perhimpunan Agung Umno yang berakhir semalam memperlihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa mengikut rentak timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin membawa politik perkauman dan kebencian.

AJK PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad ketika diminta mengulas keseluruhan ucapan Najib sepanjang perhimpunan itu berkata, segala tranformasi yang dicanang perdana menteri itu sebelum ini, tenggelam dalam laugan perkauman parti itu sepanjang perhimpunan tersebut.

"Akhirnya Najib kembali mengambil garis yang sama seperti Muhyiddin iaitu garis perkauman dengan memainkan 'politic of fear' seperti zaman kuno.

"(Beliau) kembali menggunakan strategi menakutkan orang Melayu dengan menjadikan DAP sebagai momokan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Menurutnya lagi, rakyat khususnya bukan Melayu tentunya kecewa dengan pendekatan Najib yang ditunjukkan dalam perhimpunan Umno itu.

Najib yang sebelum ini ujarnya berdegar-degar dengan slogan tranformasi politik, liberalisasi dan inklusif, kini musnah sekelip mata dalam perhimpunan Umno itu.

"Rakyat tertanya-tanya mana transformasi Najib yang dia mahu bawa dahulu. Beliau kini semakin tajam perkauman dan dah jadi Melayu 'totok'.

"Najib perlu tahu bukan semua Melayu boleh ditakutkan. Hanya Melayu Umno sahaja boleh ditakutkan dengan perkauman seperti itu," katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly mahu rakyat menilai sikap pemimpin Umno itu dan mahu membezakan dengan apa yang dibawa oleh PAS dan Pakatan Rakyat.

"Ini berbeza dengan PAS, yang membawa mesej keadilan Islam untuk semua, membawa mesej kasih sayang antara kaum, sedangkan mereka (Umno) pula bercakap tentang perkauman dan kebencian," katanya.

Muhyiddin jahil konsep Negara Berkebajikan

KUALA LUMPUR, 3 Dis: Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kononnya pemimpin-pemimpin PAS tidak tahu tentang konsep Negara Berkebajikan, jelas bertujuan untuk menyembunyikan kejahilannya sendiri yang sebenarnya tidak tahu perkara itu.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, realiti itu tidak perlu disembunyikan lagi oleh Muhyiddin kerana dakwaan beliau itu ternyata tidak berasas.

Menurut beliau, para pemimpin PAS telah pun menunjukkan contoh konsep Negara Berkebajikan sejak PAS berjaya memerintah Kelantan 21 tahun lalu yang kini turut diikuti di negeri-negeri lain yang berada di bawah Pakatan Rakyat.

Katanya, sekiranya pemimpin-pemimpin PAS tidak tahu tentang konsep Negara Berkebajikan, tidak mungkin mereka bercakap mengenainya dan berkemampuan melaksanakannya seperti yang telah ditunjukkan di Kelantan.

"Dia yang tak reti. Bukan pemimpin-pemimpin PAS yang tak tahu. Kalau pemimpin pemimpin-pemimpin PAS tak tahu macam mana boleh dilaksanakan di Kelantan," katanya ketika ditemui di sini.

Muhyiddin ketika berucap merasmikan perhimpunan agung Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Malaysia pada perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, 29 November lalu berkata, pemimpin-pemimpin PAS hanya sekadar tahu menyebut tentang Negara Berkebajikan tetapi sebenarnya tidak tahu tentang konsep sebenar Negara Berkebajikan.

Realiti itu didakwa berbeza dengan pemimpin-pemimpin Umno yang bukan sekadar tahu perkara itu, tetapi telah melaksanakannya sejak memerintah negara berpuluh tahun lalu.

Menurut Mohamad Sabu, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dibuat oleh Muhyiddin kerana ia tidak mungkin berkemampuan mempengaruhi orang ramai, melainkan hanya akan memalukan dirinya sendiri sahaja yang terbukti jahil tentang konsep Negara Berkebajikan yang sebenar. 

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, katanya, pernah membuat kenyataan seperti itu dan membandingkannya dengan langkah-langkah yang telah dilakukan oleh Kerajaan BN tentang sekelumit bantuan kebajikan yang diberikan kepada rakyat menerusi agensi-agensi kerajaan.

"Tetapi langkah-langkah yang dibuat oleh Kerajaan BN itu masih jauh dengan konsep Negara Berkebajikan sebenar. Untuk mengetahuinya, Muhyiddin perlu menelitinya dengan mendalam dengan apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan PAS di Kelantan," katanya.

Antaranya contoh yang telah ditunjukkan di Kelantan, tambahnya, dengan memberikan cuti 2 hari kepada kakitangan kerajaan yang kemudiannya turut diikuti di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

"Langkah Kerajaan PAS Kelantan memberikan cuti 2 hari kepada kakitangan kerajaan itu pada mulanya dikritik dan ditentang hebat oleh Umno BN, tetapi kemudian Kerajaan BN sendiri juga turut mengikutinya.

"Selain itu, di Kelantan juga turut dilaksanakan skim takaful, bantuan kepada ibu tunggal dan lain-lain bantuan kepada rakyat, manakala segala urusan kerajaan dengan rakyat pula dipermudahkan," katanya.

Itu, katanya, hanyalah sebahagian sahaja dari langkah yang telah dilaksanakan di Kelantan, manakala sebahagian contoh di Selangor pula dengan sebahagian pemberian bekalan air percuma.

"Di Pulau Pinang pula, diberikan RM100 kepada setiap anak negeri itu yang baru lahir sebagai sebahagian bantuan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang kepada rakyat di negeri itu," jelasnya. 

Kerajaan PAS Kelantan, tegasnya, walaupun miskin, tetapi tetap berkemampuan melaksanakan segala tanggungjawabnya dengan baik, ekoran kefahaman para pemimpin PAS sendiri tentang konsep Negara Berkebajikan.

"Kini, banyak langkah yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan PAS Kelantan itu yang pada mulanya dikritik dan ditentang hebat oleh Umno BN, tetapi telah ditiru satu demi satu oleh Kerajaan BN.

"Jadi siapa sebenarnya yang tak tahu tentang konsep Negara Berkebajikan? Ternyata bukan para pemimpin PAS yang tak tahu, tetapi Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Umno sendiri yang jahil mengenainya," ujar beliau.

Desak Nik Aziz undur bukti Umno Kelantan takut

KUALA LUMPUR, 3 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan mendakwa desakan perwakilan Umno Kelantan, Mohd Afandi Yusoff agar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berundur membayangkan ketakutan Umno kepada Menteri Besar Kelantan itu.

Ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata ianya juga menunjukkan betapa Umno gerun untuk berhadapan dengan kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz sehingga terpaksa membuat desakan tersebut.

"Kita ingin bertanya kepada perwakilan Umno Kelantan ini, atas dasar apakah Menteri Besar Kelantan diminta berundur? Jika atas faktor umur, tidakkah mereka yang terpalit dengan rasuah dan penyelewengan serta jauh lebih muda dari Nik Aziz lebih layak untuk berundur?

"Tidakkah Mohd Afandi membaca Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mengesahkan pelbagai ketirisan dalam perbelanjaan duit kerajaan yang berlaku di bawah pentadbiran individu yang kononnya lebih muda,"soalnya.

Menurut beliau lagi, tindakan Afandi membandingkan Tuan Guru dengan Tun Mahathir Muhammad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah berundur membayangkan kejahilannya terhadap sejarah Umni sendiri.

Menurutnya, kedua-dua bekas perdana menteri itu berundur bukan atas desakan pembangkang tetapi atas desakan dalaman Umno sendiri setelah mereka gagal menunjukkan prestasi baik dalam pilihanraya.

"Tun Mahathir berundur setelah sokongan Melayu kepada Umno merosot dalam pilihanraya umum 1999 dan Tun Abdullah berundur setelah Barisan Nasional gagal mendapat dua pertiga majoriti di dalam parlimen dalam pilihanraya umum 2008.

"Adapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz, semakin disayangi dan disanjungi oleh rakyat Kelantan berbanding dengan Afandi sendiri yang pernah kalah kepada seorang calon wanita di dalam pilihanraya umum 2008 untuk kerusi parlimen Rantau Panjang," katanya.

Justeru, beliau berkata desakan Umno Kelantan tidak perlu dilayan oleh kepimpinan kerajaan negeri.

Apa yang perlu ujarnya ialah meneruskan fokus ke arah membangunkan negeri Kelantan di bawah payung syariat.

"Adapun desakan Umno Kelantan itu tidaklah ubah seperti jurulatih pasukan bola sepak sebelah lawan yang merayu-rayu agar dibuang pemain penyerang utama sebelah sini yang dibimbangi akan menjaringkan gol setelah mereka sendiri pun terkial-kial untuk mencari penjaga gol," ujarnya.

Fidlot: Kenyataan polis tak mampu selamatkan Umno

KUALA LUMPUR, 3 Dis: Percubaan polis untuk menghalang huru hara di dalam Umno berikutan kontroversi Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) tidak akan berjaya, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"(Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri) Khalid (Abu Bakar) dakwa tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam penggunaan dana untuk NFC.

"Kenyataan Khalid itu mungkin menyelamatkan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan (Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) yang berhempas pulas membela projek suami (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil) itu dari menghadapi huru hara dalam perhimpunan agung Umno serta dipersoalkan oleh perwakilan-perwakilan yang berlakon kononnya mahu ketelusan dan amalan yang bersih dalam pemberian projek itu.

"Tetapi ia tidak mungkin menyelamatkan Umno dari menghadapi huru hara yang lebih besar lagi selepas ini," katanya.

Menurut Mahfuz, masalah terbesar yang dihadapi bukannya ketegasan ahli-ahli Umno kepada prinsip menentang kronisme, penyalahgunaan kuasa atau amalan yang tidak bersih dalam pemberian mana-mana projek.

"Semua itu mereka tidak peduli dan tidak pernah ambil peduli. Huru hara akan berlaku kerana semakin ramai ahli Umno yang akan mempersoalkan mengapa pemimpin tertinggi atau keluarga mereka mendapat habuan yang banyak sedangkan mereka hanya mendapat tulang-tulang sahaja.

"Tak mungkin boleh berpuas hati dengan sedikit suapan yang dihulurkan ketika pemilihan parti itu.

"Tentu mereka juga mahu habuan besar seperti keluarga Shahrizat kerana bagi mereka, mereka dan keluarga mereka juga berkerja keras dan berhak mendapat apa yang dinikmati oleh keluarga Shahrizat," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Begitu juga dengan ahli-ahli Umno yang mendapat upah lima enam puluh ringgit memasang poster ketika pilihan raya, mereka juga teringin hendak mendapat habuan besar seperti dinikmati keluarga Ketua Wanita Umno, kata Mahfuz.

"Ahli-ahli Umno juga tentu boleh berfikir, itu habuan untuk keluarga Sharizat, bagaimana pula dengan pemimpin Umno lain dan keluarga mereka?

"Sebab itulah huru hara yang ditumbulkan oleh lembu fidlot itu besar kemungkinan akan berpanjangan dan semakin buruk.

"Bila keluarga Sharizat daat habuan besar, tidak ada jaminan para penyokong (Tan Sri) Rafidah (Aziz) yang ditewaskan oleh Shahrizat dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Wanita Umno sebelum ini akan berdiam diri," katanya lagi.

Beliau juga mempersoalkan dakwaan Khalid kononnya tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam penggunaan dana untuk NFC.

"Khalid dan (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) sendiri berkata siasatan terhadap projek NFC masih diteruskan.

"Kalau masih disiasat bagaimana pula boleh mendakwa tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam penggunaan dana untuk NFC?" kata Mahfuz sambil menyatakan beliau merasa sangat kasihan melihat Khalid berusaha sungguh-sunguh memberi penjelasan dalam kes yang melibatkan para pemimpin Umno itu.

"Khalid tentu mahu menjadi Ketua Polis Negara," katanya lagi sambil tersenyum.