Saturday, December 10, 2011

ABM mara ke Suku Akhir Piala Tok Guru

PENGKALAN CHEPA, 9.Dis – Kegagalan pertahanan Parlimen Pasir Puteh mengawal beberapa pemain penyerang Akademi Bolasepak Melayu Kelantan(ABM) menjadi alasan kukuh untuk ABM membolosi kubu pertahanan Pasir Puteh.
Biarpun permainan yang agak seimbang di awal perlawanan dengan beberapa kali serangan dibuat oleh kedua-dua pasukan, namun kelincahan penyerang ABM Muhammad Saiful Amri yang memakai Jersi No 14 telah berjaya membolosi tiga pemain pertahanan Pasir Puteh dan menghasilkan jaringan pertama bagi ABM diminit ke 26.
Perlawanan kali ini juga turut menyaksikan dua kad kuning dilayangkan oleh Pengadil Che Bustaman Jaafar terhadap dua pemain dari Akademi Bolasepak Melayu Kelantan.
Barisan Pemain ABM bersama Pengurusan Pasukan
Serangan pertama dari ABM tidak sahaja dapat menjejaskan mutu permainan pasukan Pasir Puteh malah dalam masa dua minit selepas itu satu lagi serangan mengejut dari bahagian kiri gawang gol Pasir Puteh, menyaksikan wira ABM Muhammad saiful Amri berjaya menendang kencang dan menembusi penjaga gol dan menjadikan perlawanan semakin rancak sehingga berakhir masa pertama dengan menyaksikan dua gol tanpa balas berpihak kepada ABM.
Perlawanan di masa kedua turut menyaksikan beberapa serangan menarik dari kedua-dua pasukan, namun sikap berhati-hati pemain dari ABM dengan mengawal penuh barisan pertahanan berjaya menyekat serangan dari Pasir Puteh.
Dengan Kemenangan mata penuh 2 – 0, ABM akan bertemu Pasukan Pilihan Kota Bharu pada 23.Dis bertempat di Padang Mini Penjara jam 9 pagi.

No comments: