Friday, June 04, 2010

MB, ribuan rakyat solat hajat bantah kekejaman Israel






KOTA BHARU, 4 Jun: Ribuan rakyat Kelantan menunaikan solat hajat yang diimamkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai membantah keganasan tentera Israel terhadap umat Islam di Palestin.Solat hajat diadakan di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV pagi tadi turut disertai wakil Palestin, Abdul Hadi HJ Junaidi. Turut kelihatan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, anggota-anggota Exco dan Datuk Mohd Amar Abdullah dan Dr Mohamad Fadzli Hassan serta wakil-wakil rakyat.

Biar pun cahaya matahari panas memancar di atas kepala, orang ramai tidak menghiraukan dan tetap berdiri menunaikan solat bagi memohon kepada Allah Taala melindungi umat Islam yang sedang ditindas di Gaza.

Sebelum itu ribuan yang hadir sejak jam 8.30 pagi mendengar kuliah khas mengenai Palestin yang disampaikan Mohd Amar.

Kehadiran penduduk tempatan yang memenuhi segenap ruang Dataran Stadium kerana simpati terhadap konvoi kemanusiaan pelbagai negara yang diserang tentera Israel ketika membawa bekalan makanan ke Gaza Isnin lalu.

Ekoran serangan itu sembilan rakyat Turki yang menaiki kapal Mavi Marmara milik negara terbabit menjadi korban.

Seramai 12 rakyat Malaysia turut bersama misi kemanusiaan tersebut yang datang daripada 40 negara.Berikutan tindakan tersebut kerajaan Turki di bawah Tayyed Erdogan memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu.

Kerajaan Turki memberi beberapa syarat untuk memulih semula hubungan diplomatik iaitu membayar sejumlah pampasan kepada keluarga sukarelawan yang terbunuh, Israel perlu memohon maaf kepada dunia.

Selain itu mereka yang terbabit dengan jenayah hendaklah dihadapkan ke Mahkamah Antarabangsa.Perkara itu didedahkan Abdul Hadi ketika berucap di ribuan rakyat Kelantan.
Menteri Besar berkata, kaum Yahudi tidak ada belas kasihan kepada kaum lain kerana menganggap kononnya mereka sebagai anak Tuhan.

”Pegangan yang salah itu menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja terhadap orang lain.”Namun hairannya kezaliman yang serupa juga pernah berlaku di negara ini apabila Ustaz Ibrahim Libya bersama beberapa pengikut ditembak mati di Memali.

”Begitu juga tindakan kerajaan menangkap ulama dengan mengurungkan mereka dalam bilik gelap di Kem Tahanan di Batu Gajah. Ini adalah sebahagian tindakan tidak berperikemanusiaan yang turut berlaku di negara ini,” katanya diikuti laungan takbir orang ramai.
Pada ucapan itu beliau juga menjelaskan kekeliruan sesetengah pihak yang mendakwa tidak ada parti Islam pada zaman Rasulullah saw.

Pelbagai sepanduk mengutuk serangan ganas Yahudi dijulang anak-anak muda yang membantah keganasan Zionis Israel terhadap umat Islam di Palestin. Tabung Cakna Palestin juga dibuka bagi sumbangan orang ramai. Program itu berakhir kira-kira jam 10.45 pagi

Wednesday, June 02, 2010

Kuliah khas bantah Yahudi 4 Jun

KOTA BHARU, 2 Jun: Kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk mengadakan kuliah khas pagi Jumaat, 4 Jun ini berkaitan tindakan ganas dan tidak bertamadun rejim Israel ke atas konvoi kemanusiaan Gaza, Isnin lalu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kuliah mingguan itu akan diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV dan akan turut diadakan solat hajat serta bacaan Qunut Nazilah di tempat yang sama.

“Saya berharap kerjasama semua pihak, muslimin dan muslimat agar dapat hadir beramai-ramai sebagai tanda kita mengutuk tindakan zalim Israel dan sama-sama memanjatkan doa kepada Allah demi keselamatan, keamanan dan kesejahteraan umat Islam dari kerakusan Yahudi Israel ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Majls Agama Islam Kelantan turut disarankan agar mengarahkan semua masjid dapat menunaikan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah serta menyediakan teks khutbah khusus bagi mengutuk kekejaman Israel, Jumaat ini.

Beliau turut membidas tindakan terkutuk tersebut sambil menyeru agar seluruh ulama di dunia ini bangkit menunaikan solat hajat dan memohon pertolongan Allah SWT demi menyelamatkan umat Islam dan rakyat Palestin termasuk di Gaza.

Nik Abdul Aziz juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangs-Bangsa Bersatu (PBB) agar memberi teguran keras terhadap rejim itu.

“Saya menyeru agar OIC dan negara Islam turut menyertai bantahan ini bagi membuktikan kesungguhan membela nasib rakyat Palestin,” ujar beliau.