Thursday, October 25, 2012

Selamat Menjalani Ibadah Korban dan Selamat Manyambut Hari Raya AIDILADHA 1433H.


Penghayatan Hari Wukuf Peringkat Negeri Kelantan.



















Tempoh 1 minggu kepada Soi Lek


200 demo bantah kebiadaban Soi Lek


200 demo bantah Chua Soi Lek di depan Wisma MCA

 
KUALA LUMPUR: Lebih 200 umat Islam hari ini berhimpun secara aman  di hadapan Wisma MCA, Jalan Ampang, bagi membantah kebiadaban Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menghina agama Islam.

Mereka yang terdiri daripada perbagai latar belakang termasuk wakil NGO Islam hadir bagi menyatakan rasa tidak senang mereka dengan sikap MCA yang tidak berhenti-henti menghina agama Islam.

Himpunan hari ini adalah anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Dewan Ulamak PAS Pusat. Ia hanya dirancang semalam oleh mereka dan berkumpul di sana hari ini.

Mereka membawa sepanduk dan poster mengecam tindakan pemimpin MCA itu yang didakwa tidak tahu menjaga sensitiviti umat Islam.

Ianya berikutan kenyataan Soi Lek yang menyerang Islam habis-habisan dan secara berterusan.

Terbaru, beliau mendakwa negara yang melaksanakan hudud adalah negara yang paling tinggi gejala rasuahnya.

Sementara itu, PAS turut menggesa Soi Lek memohon maaf kepada seluruh umat Islam di atas kata-kata penghinaan yang telah dikeluarkan beliau.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad yang turut mengetuai himpunan itu berkata, pihaknya juga akan membawa isu itu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja dalam masa terdekat.

"Kita mendesak supaya MCA memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan kita akan bawa isu ini kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Bagi kami, kalau MCA nak belajar Islam, jangan belajar dengan Umno, tapi belajar dengan PAS," katanya kepada wakil media.

Beliau turut mengecam sekeras-kerasnya kebiadaban Soi Lek yang seolah-olah buta mata dan hati sanggup menghina agama Islam kerana kepentingan politik.

"Allah sudah sebut jangan sekali-kali engkau menghina berhala orang lain, tetapi MCA pula mengajar masyarakat lain supaya biadap kepada Islam," katanya sambil diikuti laungan takbir.

Beliau menyeru orang Melayu agar menolak MCA dan Umno dalam pilihan raya akan datang.

Seramai lima orang dilihat masuk menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil MCA di perkarangan pejabat pergerakan itu.

Selain Ustaz Idris, turut mengiringi semasa penyerahan itu termasuklah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairul Faizi Ahmad Kamil, Exco Pemuda Adram Musa serta Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Turut serta dalam bantahan itu, pengarah, penerbit dan juga pelakon terkenal Adam Hamid serta bekas pelakon terkenal siri Gerak Khas, Abby Abadi.

Sementara itu Khairul Faizi melahirkan kekecewaan apabila rombongan mereka untuk menghantar memorandum kepada Soi Lek hanya diterima oleh Setiausaha Kerja Pemuda MCA.

"Bukan itu sahaja, kami hanya dilayan di hadapan tangga bangunan ini , hari ini beliau sudah buktikan beliau biadap," katanya dalam sidang media selepas selesai berhimpun.

Bahkan katanya, jika MCA tidak memohon maaf kepada umat Islam negara ini dalam masa satu minggu pihaknya akan mengadakan himpunan yang lebih besar dari hari ini.

"Kami sanggup gadai nyawa kami demi Islam," tegasnya sambil menyifatkan MCA parti yang wajar ditolak oleh rakyat dalam PRU-13 kerana mengamalkan sikap perkauman yang melampau.

Himpunan yang berlaku hampir sejam itu turut mencuri perhatian awam dengan laungan takbir, hidup Islam, hancur kezaliman, berulang kali oleh peserta yang hadir.

Rogol: MP DAP pertahan Tok Guru


Selepas Anthony, Guan Eng pula bela TG Nik Aziz

(Anthony Loke mempertahankan TG Nik Aziz di Dewan Rakyat)

KUALA LUMPUR: Selepas Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke menepuk meja di Dewan Rakyat kerana marahkan fitnah MCA terhadap Tuan Guru Nik Aziz, Setiausaha Agung DAP pula mengambil langkah yang sama.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini menyifatkan dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa TG Nik Aziz menggalakkan orang bukan Islam dirogol satu pembohongan besar.

"Ini satu pembohongan besar sama dengan pembohongan Utusan Malaysia apabila mendakwa saya anti-Melayu dan anti-Islam kerana Nik Aziz tidak pernah berkata begitu," kata Lim Guan Eng (gambar) dalam kenyataannya.

Semalam, Anthony Loke dalam ucapannya di Dewan Rakyat mempertikaikan kenyataan Chua Soi Lek yang bersetuju dengan Senator Heng dari MCA bahawa TG Nik Aziz menggalakkan orang Islam merogol wanita bukan Islam.

"Saya rasa ini adalah kenyataan yang paling biadab dari MCA. Chua Soi Lek adalah Presiden MCA yang paling silap dalam perkara ini," kata Anthony Loke, anggota Parlimen Rasah sambil menumbuk meja.

Bagi Lim Guan Eng, MCA adalah versi Cina untuk akhbar Utusan Malaysia yang bertenggek di atas kepalsuan, ketakutan dan kebencian untuk hidup.

"MCA umpama lelaki curang yang mendakwa dirinya bermoral dan bermaruah," kata Lim Guan Eng dalam kenyataannya.

Menurut Lim, fitnah terbaru Chua adalah bahawa kerajaan Pulau Pinang merampas peluang lebih 100,000 keluarga tempatan untuk membeli rumah di kawasan pulau akibat harga hartanah yang melambung.

Dalam tempoh setahun kenaikan harga kondominium/pangsapuri sebanyak 411%, rumah pangsa 339%, rumah kos rendah 157% dan rumah berasingan 103%.

"Ini merupakan fitnah yang tidak masuk akal kerana bagaimanalah harga kondo boleh naik sebanyak 411% dalam tempoh setahun?

"Pulau Pinang sudah tentu mengalami peningkatan harga hartanah paling tinggi di dunia apabila semua orang tahu harga hartanah paling tinggi adalah di Kuala Lumpur dan Johor Bahru yang tinggi dari Pulau Pinang," katanya.

Kelantan juga tangguh pemasangan AES

KOTA BHARU: Bersama-sama negeri Pakatan Rakyat yang lain, Kerajaan Negeri Kelantan juga hari ini memutuskan untuk menangguhkan penggunaan sistem Penguatkuasaan Automatik AES di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Takiyuddin Hassan berkata sehingga kini pihak kerajaan negeri tidak menerima sebarang maklumat dari pemegang konsesi pemasangan Kamera AES tersebut.

“Kita sehingga kini masih lagi belum menerima apa-apa maklumat berkaitan dengan pemasangan Kamera AES ini dan mengikut undang-undang, pihak kerajaan negeri mempunyai hak ke atas jalanraya negeri.

"Oleh itu kita bercadang untuk menangguhkan terlebih dahulu pemasangan kamera tersebut,” ujar beliau.

Takiyuddin berkata demikian selepas mesyuarat Exco hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pagi ini.

Kerajaan negeri juga ujarnya telah mengarahkan Setiusaha Kerajaan Negeri untuk memanggil pihak dari Kementerian Pengangkutan bagi memberi taklimat terlebih dahulu kepada kerajaan negeri dalam hal pemasangan kamera AES tersebut.

Beliau juga berharap pihak konsesi alatan tersebut dapat memberi taklimat terlebih dahulu kepada kerajaan negeri agar ia tidak menimbulkan kekeliruan terhadap rakyat.

“ Memang tidak dinafikan terdapat beberapa pilihan untuk menjaga keselamatan rakyat, namun dengan penggunaan AES ini ia boleh menimbulkan kesulitan kepada rakyat.

"Kita difahamkan alat ini akan dipasang di kawasan 30km/j hingga 70km/j dan kebanyakkannya melibatkan jalan kerajaan negeri” katanya.

Menurut beliau, kerajaan tidak menentang pemasangan kamera AES ini tetapi ia mestilah mempunyai mekanisma terbaik terlebih dahulu dan tidak bersifat menyusahkan rakyat.

Sebelum ini, selain Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah juga membuat pendirian serupa iaitu menangguhkan dahulu pemasangan AES di negeri masing-masing sehingga satu kajian menyeluruh dibuat.

Kerajaan Kedah serah 394 lembu korban


(Menteri Besar menyampaikan replika lembu korban kepada Adun Pengkalan Kundor yang juga anggota Exco, Datuk Phahrolrazi Zawawi untuk diagihkan di kawasan yang diwakilinya.)

ALOR SETAR:
Kerajaan negeri Kedah melalui anak-anak syarikatnya menyumbang 394 ekor lembu bernilai RM1.75 juta untuk dikorbankan semasa Hari raya Aidil Adha ini.

Sumbangan yang dibuat melalui wakil-wakil rakyat itu disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Azizan Razak.

Ia dibuat oleh Azizan dengan cara menyerahkan replika lembu untuk semua wakil penerima lembu korban itu.

Wednesday, October 24, 2012

Perutusan 'Aidiladha 1433 - YAB Tuan Guru Dato' Bentara Setia Hj Nik Abd Aziz bin Nik Mat


Soi Lek: Pemuda PAS desak pendirian Pemuda Umno


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini bertindak menghantar satu surat kepada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan mendesak agar pergerakan pemuda parti itu menyatakan pendirian mereka berhubung dengan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang menghina Islam.
Antara isi kandungan surat tersebut adalah beberapa kenyataan yang pernah diucapkan oleh Chua Soi Lek yang didapati menghina dan merendah-rendahkan Islam.

Menurut Khairul Faizi selaku ketua delegasi DPPM ke ibu pejabat Umno di PWTC menyatakan, kenyataan daripada presiden dan beberapa pimpinan parti komponen di dalam Barisan Nasional itu agak keterlaluan dan melampau.

“Kenyataan beliau itu akan mengundang kemarahan seluruh umat Islam di Malaysia. Kita berasa sedih apabila Presiden Umno sendiri turut mendengar penghinaan tersebut tetapi beliau hanya mendiamkan diri dan tidak berkata apa-apa,” ujar beliau yang juga Setiausaha DPPM.

Beliau juga turut mengingatkan agar Pergerakan Pemuda Umno perlu memberikan pendirian yang jelas berhubung perkara itu.

“Mereka adalah parti yang dominan di dalam Barisan Nasional jadi, mereka perlu memainkan peranan yang besar untuk menentukan hala tuju mereka. Sekiranya mereka hanya mahu berdiam diri dan merasakan isu ini adalah politik daripada pihak pembangkang maka mereka perlu betanggungjawab di hadapan Allah dan terhadap umat Islam seluruhnya.

“Jika mereka gagal menyatakan sikap mereka dengan jelas maka mereka seolah-oah sanggup bersekongkol dengan MCA untuk menghina Islam,” tambah beliau lagi.

Turut serta Penolong Setiausaha 1 dan 3 DPPM, Yusapiza Yaacob dan Khairul Fahmi.

Surat tersebut telah diterima oleh Setiausaha Kerja Pemuda Umno, Mohd Sumali dan akan disampaikan kepada Khairy Jamaluddin.

Teruskan perjuangan Islam selepas saya tiada – TG Nik Aziz


KOTA BHARU: Bagi Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kejayaan paling bererti sepanjang 22 tahun pentadbirannya apabila berjaya mengasingkan wang kerajaan daripada sistem riba.

“Paling cukup bererti bagi saya kerana kita berjaya mengasingkan wang kerajaan negeri daripada sistem riba dengan memindahkan kesemua wang dari bank yang tidak menepati syariat ke Bank Islam.

“Apa yang kita lakukan adalah mengikut garis panduan yang diajar Islam dan bukan pandai-pandai kita berbuat demikian,” katanya di sini.

Ekoran itu kata beliau menyebabkan beberapa wakil dari bank bertemu dengannya untuk menyatakan rasa kecewa berhubung tindakan kerajaan tersebut.

Ketika itu hanya Bank Islam sahaja yang tiada sistem kewangan berunsur riba di negara ini.

Menurutnya bermula dari situlah institusi kewangan lain di negara ini menubuhkan kaunter perbankan Islam sehingga berkembang pesat sekarang.

Begitu juga kata beliau sistem Ar-Rahn sehingga ditiru banyak pihak lain.

Ditanya konsep berkebajikan yang diuar-uarkan, katanya sebelum Kelantan melaksanakan dasar kebajikan, Islam sebenarnya agama berkebajikan.

“Bersesuaian dengan itu kita meneruskan program dan bantuan untuk membantu rakyat. Bantuan baja padi, al-It’aam, dividen Ladang Rakyat, skim Kifaalah, az Ziwaaj dan pelbagai lagi program kebajikan dilaksanakan untuk manfaat rakyat,” ujarnya.

Pada pertemuan itu beliau juga berharap generasi pelapis hari ini meneruskan perjuangan Islam apabila ketiadaannya nanti.

“Pemimpin lain hendaklah sambung dan teruskan perjuangan memarbatkan Islam. Syukur di Kelantan dan di negeri-negeri lain golongan profesional semakin ramai menyertai PAS termasuk juga di Sabah dan Sarawak.

“Ramai yang meninggalkan Umno dan menyertai PAS. Rakyat boleh lihat sendiri apa yang berlaku di Kelantan.

“Saya lebih pentingkan kehidupan yang mewah di akhirat berbanding di dunia sekarang. Saya tanamkan dalam jiwa saya, apabila meninggal dunia nanti saya pasti tanpa meninggalkan sebarang hutang.

“Ini sudah cukup bagi saya. Paling saya takut meninggalkan hutang di kedai runcit atau sebagainya,” katanya.

Tuesday, October 23, 2012

Apa maksud jawatankuasa khas royalti petroleum


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub minta Menteri Kewangan menyatakan apa maksud jawatankuasa khas berhubung isu bayaran royalti hasil petroleum kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Beliau mengemukakan pertanyaan bagi jawab lisan itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan-soalan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli parlimen PAS hari ini seperti di bawah.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang [Marang] minta Menteri Pelajaran menyatakan berapakah bilangan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) yang telah berdaftar dengan Kementerian sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), dan bagaimana pula bentuk bantuan kepada SAR dan SAN yang tidak berdaftar sebagai SABK.

Dr. Che Rosli Che Mat [Hulu Langat] minta Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan apakah status tebatan banjir yang telah dilaksanakan semenjak 2008 hingga kini yang belum dapat mengatasi masalah banjir di Lembah Klang.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Kesihatan menyatakan perkembangan Klinik Satu Malaysia dan masalah yang dihadapi.

Piala Malaysia: Kelantan umum ganjaran Rabu ini


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mengumumkan ganjaran khas untuk pemain bola sepak negeri yang telah berjaya mengharumkan nama negeri ini pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera Malaysia pada 20 Oktober lalu.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika ditemui memberitahu perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat exco Rabu ini dan ianya akan diumumkan selepas mesyuarat itu kepada media.

“Insya Allah, exco yang berkaitan akan membuat pengumuman selepas mesyuarat exco,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily, ketika ditemui di pejabatnya tengah hari tadi bagi mengulas kemenangan berkenaan di samping 22 Tahun Kelantan Meneraju Kemenangan.

Beliau juga turut menyifatkan kemenangan itu juga sebagai hadiah untuk pentadbiran kerajaan Kelantan yang kini genap pada usia 22 tahun setelah kerajaan itu berjaya dibentuk hari ini.

Katanya, sebelum ini kerajaan Kelantan telah memberikan tiket umrah kepada pemain, imbuhan kepada jurulatih ketika itu termasuk sebuah rumah kepada penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

“Orang sudah berbuat budi, kita selaku kerajaan tentu saja akan juga berbudi kepadanya,” ujarnya.

Katanya, Islam memang mengajar hambanya membalas budi serta menyenangkan hati mereka, termasuk orang yang memberikan senyuman.

Beliau juga turut mendapat gambaran bagaimana pasukan Kelantan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi juara pada malam itu demi untuk mengharumkan nama negeri.

“Dalam fikiran saya turut terfikir, sekiranya anak muda berusaha menjuarai perlawasan bola sepak setiap musim, begitu juga dengan royalti yang kini juga dituntut oleh anak muda.

“Saya juga berharap kesungguhan bola sepak yang dikuasai anak muda, akan memberi kejayaan juga pada tuntutan royalti oleh anak muda bersama R,” ujarnya.

“Walaupun saya ni dah berusia, tetapi kegembiraan kerana kemenangan itu tidak dapat saya gambarkan dengan perkataan,” ujarnya.

“Bila dah berusia ni memang tak boleh bermain dah, tetapi sewaktu saya muda dulu memang saya ni kaki bola, sewaktu saya duduk di pondok Jertih, saya bermain bola ditendang oleh kawasan saya, menyebabkan lutut saya sampai sekarang masih bermasalah,” ujarnya.

Pakatan Rakyat bersedia tawan Pahang

KUANTAN: Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) Negeri Pahang 2012 dengan tema ‘Ubah sekarang selamatkan Pahang’ yang berlangsung di sini semalam menzahirkan iltizam untuk menawan negeri Pahang.
Dalam penyataan bersama oleh ketiga-ketiga parti komponen di penghujung konvensyen itu, iltizam ketika-tiga parti itu dicerminkan daripada persetujuan bersama dasar dan polisi yang menguntungkan rakyat di kala kerajaan BN Pahang terbukti gagal mentadbir urus negeri Pahang dengan efisyen, telus dan amanah.

Penyataan yang dibaca oleh Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man itu, memperakui janji untuk menawarkan dasar yang benar-benar berpaksi kepada kebajikan rakyat dalam menguruskan khazanah negeri, menjaga dan melestarikan alam sekitar serta membela masa depan peneroka Felda dan mengembalikan hak-hak Orang Asli.

[Gambar (Dari kiri) Leong, Tuan Ibrahim dan Fauzi menandatangani perisytiharan bersama sambil diperhatikan pimpinan Pakatan.]

Menurut penyataan itu lagi, pendekatan PR berasaskan keadilan dan kesaksamaan kepada semua tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit, juga meraikan partisipasi (penyertaan) wanita dalam pembangunan negeri.

“Menyedari bahawa rakyat negeri Pahang khasnya dan Malaysia keseluruhannya telah ditipu oleh BN selama 55 tahun yang telah menyebabkan kualiti hidup, ekonomi dan integrasi antara kaum-kaum bukan sahaja merudum malah berada di tahap yang kritikal, maka PR Pahang menzahirkan komitmen untuk melakukan islah bagi kesejahteraan serta mengangkat martabat rakyat bagi menikmati keadilan dan kekayaan negeri.

“Demikian itu, kami memberikan komitmen dan aku janji untuk merealisasikan segala tawaran kepada rakyat seperti yang dipersetujui bersama bagi menyelamatkan Pahang,” kata Tuan Ibrahim.

Penyataan bersama tersebut kemudiannya ditandatangani oleh beliau, Ketua Perhubungan PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Pengerusi DAP negeri Leong Ngah Ngah.

Kenyataan tersebut erupakan rumusan dan intipati daripada tiga kertas kerja yang dibentangkan sebelum itu.

Kertas kerja pertama dibentangkan oleh Timbalan Presiden Anak Aris Fezul Ismail berkaitan isu-isu Felda dan diulas oleh Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda dan Orang Asal PKR Haji Suhaimi Said.

Kertas kerja kedua dibentangkan oleh Timbalan Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Tengku Puji berkaitan isu-isu tanah di Pahang, diulas oleh Pengerusi Badan Bertindak Rakyat Pahang Syed Ali Badaruddin Syed Othman dan wakil Orang Asli.

Sementara kertas kerja ketiga berkaitan ekonomi negeri Pahang dibentangkan oleh Ketua DAP Cabang Indera Mahkota Lee Chean Chung dan diulas oleh Ahli jawatankuasa PAS Pahang Hassanuddin Salim.

Seramai 700 perwakilan ketiga-tiga parti dari seluruh Pahang hadir.

Sementara itu Tuan Ibrahim dalam ucapan penggulungannya sebelum itu menyeru semua ahli dan penyokong PR Pahang agar memfokuskan iltizam untuk merampas negeri Pahang daripada BN.

“Justeru jangan terganggu dengan soal-soal remeh-temeh sebaliknya tumpukan kepada isu-isu besar. Selepas daripada itu, rujuklah kepimpinan jika berlaku sebarang permasahan,” katanya.

Najib membisu tanda setuju Chua Soi Lek hina hudud


KUALA LUMPUR: Penghinaan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terhadap hudud membuktikan 'hati perut' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebenarnya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Ketika Presiden MCA itu berucap menghina undang-undang Islam itu, Najib berada di situ kerana selepas ucapan Chua, beliau pula yang berucap untuk merasmikan Perhimpunan Agung MCA itu.

"Tidak sepatah pun Najib cuba memberikan penjelasan dalam ucapan beliau bagi menolak perbuatan Chua menghina hukum hudud," katanya.

Mahfuz menyifatkan tindakan Najib yang memilih untuk membisu dan enggan memberikan penjelasan selepas penghinaan Chua itu membuktikan sikap beliau dan Umno yang bersetuju dengan penghinaan itu.

"Sudah menjadi kesepakatan umum bahawa membisu biasanya bersetuju," kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menyifatkan sikap membisu itu membuktikan betapa buruknya kelakuan Najib "kerana ketagih dan kemaruk sangat undi masyarakat Cina".

"Najib membisu dan enggan memberikan penjelasan walaupun Presiden MCA itu menghina hudud kerana beliau ketagih dan kemaruk sangat undi masyarakat Cina.

"Buruk sungguh kelaku Najib semata-mata kerana hendak memikat undi Cina kepada Barisan Nasional (BN) yang diketuainya," katamya.

Mahfuz bagaimanapun yakin majoriti masyarakat Cina sudah pun membuat keputusan yang tidak boleh diubah lagi untuk menolak BN.

"Tidak kira walau sehebat mana pun Umno, BN, MCA dan Chua dirasuk oleh kemarahan mereka terhadap hudud dan Pakatan Rakyat (PR), majoriti besar masyarakat Cina semakin membuktikan dengan terus terang dan berani bahawa mereka bersama-sama PR," katanya.

Mahfuz juga yakin masyarakat Melayu juga semakin ramai yang menolak BN apabila mereka melihat Umno seolah-olah melantik Chua menjadi mufti mereka.

Hina Islam: Umno subahat demi jaga hati MCA


KUALA LUMPUR: Ulama Umno sepatutnya mengajar Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa menghina hudud adalah menghina Islam kerana ia sebahagian daripada ajaran Islam.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh (gambar) menyatakan demikian sebagai respons kepada ucapan Soi Lek selaku Presiden MCA di Perhimpunan Agung MCA ke-59, kelmarin.

Katanya, Chua nampaknya terus meracau apabila berkata bahawa lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.

“Bahkan dakwaan ini sangat pelik apabila beliau tidak menamakan mana-mana negara dalam ucapannya tersebut untuk menghina hudud,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Begitu juga, jelasnya memperlekehkan hudud adalah sebenarnya memperlekehkan Allah dan Rasul-Nya s.a.w. kerana Allah adalah pencipta undang-undang hudud dan Rasulullah s.a.w. adalah pembawa risalah Islam termasuklah risalah hudud.

Justeru, kata beliau memperlekeh dan menghina hudud adalah bermakna memperlekeh dan menghina pencipta hudud dan pembawa risalahnya.

“Jika Umno begitu marah terhadap pembikinan filem Innocence of Muslims yang menghina Rasulullah s.a.w., Umno juga sepatutnya sangat marah terhadap keceluparan Datuk Seri Chua kerana menghina Rasulullah s.a.w. yang membawa ajaran Hudud.

“Tetapi Umno nampaknya tidak akan menegur Datuk Seri Chua kerana penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w. melalui Hudud menguntungkan politik Barisan Nasional khususnya untuk menarik undi orang Cina,” katanya yang juga Setiausaha Majlis Syura PAS.

Buktinya, kata beliau ucapan Chua tersebut dibuat di hadapan Presiden Umno sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedikit pun tidak menegurnya.

Bahkan, ujarnya ketika sidang media selepas perasmian Perhimpunan Agung tersebut, Datuk Seri Chua berkata "Umno tahu apa yang baik dan buruk dalam melaksanakan sesuatu perkara. Kalau Umno nak laksana hukum itu, sudah lama dilakukan tetapi Umno menghormati pendirian dan kepentingan bangsa lain”.

“Kenyataan seumpama ini menggambarkan bahawa Umno bersubahat menolak hudud demi menjaga hati MCA lebih daripada menjaga hati Rasulullah s.a.w,” katanya lagi.

Hari ini PAS 'cerai' DAP, esok Najib umum PRU

KUANTAN: Ahli-ahli parti dalam Pakatan Rakyat (PR) diingatkan supaya tidak menjadi ‘lidah musuh’ dengan memfokuskan perbezaan pandangan dan titik bengik sebagai keutamaan.


Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, sebaliknya semua anggota parti dan penyokong diminta terus beriltizam memperkemaskan gabungan tersebut kerana perpaduan yang dijalin merupakan senjata paling ampuh untuk menghadapi BN.

“Kalau hari ini PAS ceraikan DAP, besok (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib akan umumkan tarikh pilihan raya umum (PRU) besok. Kalau besok DAP ceraikan PKR, lusa Najib akan umumkan PRU.

“Jadi kita faham kenapa Najib susah sangat nak jumpa tarikh PRU kerana selama ini Umno dan BN boleh hidup dengan pelbagai isu perkauman dan cubaan memecah-belahkan PR. Oleh itu jagalah apa yang kita telah bina sejak 2008.

“Pada masa ini propaganda Umno bagi menggugat keyakinan rakyat ialah dengan menanam persepsi PKR ejen asing, DAP anti Islam, anti Melayu dan PAS pula digambarkan pakai terompah gambar Karpal Singh,” ujarnya.

Tambah Mohamad, meskipun itu itu hanya persepsi yang cuba dipropaganda lambat laun jika diulang-ulang rakyat tidak mustahil akan termakan juga.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvensyen PR Pahang di Dewan Sekilau, dekat sini semalam. Dalam program dihadiri 700 perwakilan ketiga-tiga parti seluruh negeri itu, sebanyak tiga kertas kerja dibentang.

Menurutnya, selain perhimpunan ‘Grand Final’ berkenaan, pelancaran perhimpunan kebangkitan rakyat akan berlangsung di Seremban pada 3 November ini.

“Pada awalnya perhimpunan besar-besaran itu dijangkakan pada 3 November tetapi atas alasan tertentu ia akan diadakan

Sementara itu Mohamad yang juga Pengerusi Lajnah Mobilisasi Demokrasi PAS mengumumkan tarikh 12 Januari 2013 sebagai himpunan sejuta rakyat bagi kesinambungan menagih tuntutan Bersih 3.0 yang belum dilaksanakan.

Manakala 3 November ini akan diadakan pra pelancarannya di Seremban.

Mohamad menambah, pada perhimpunan itu peserta akan memakai baju kuning sebagai tuntutan Pilihan raya bersih dan tuntutan Bersih 3.0, (warna) hijau tuntutan terhadap penjagaan alam sekitar termasuk mengenai projek Lynas, merah menuntut royalti minyak di Kelantan dan oren tuntutan berkaitan isu-isu Felda.

Sebelum itu Naib Presiden PKR Fuziah Salleh dan Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw turut berucap mewakili parti masing-masing.

Pada penghujung program pemimpin ketiga-tiga parti PR Pahang turut menyampaikan pidato dan satu resolusi bersama diambil.

Hudud: MCA hina Islam, bukan serang PAS


SHAH ALAM: MCA sebenarnya telah menghina Islam bukannya PAS dalam soal pelaksanaan hukum hudud, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Malah menurutnya lagi, apa yang dilakukan oleh MCA itu membuktikan kegagalan Umno dalam mendidik MCA untuk menghormati kaum serta agama lain.

"Apa yang dilakukan oleh MCA itu membuktikan kegagalan Umno untuk mendidik MCA agar menghormati agama lain sehinggakan MCA berani bertindakan sedemikian.

"Selain itu juga tindakan MCA itu bukannya menyerang PAS tetapi telah menghina agama Islam dan seluruh orang Melayu di negara ini," jelasnya.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam ucapannya di perhimpunan agung MCA ke-59 telah memberitahu lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.

Malah, beliau yang turut menyatakan DAP berjaya meyakinkan orang bukan Islam bahawa hudud PAS akan mengurangkan jenayah dan rasuah di dalam negara ini adalah satu penipuan besar.

"Menghina hukum hudud bukannya menghina PAS tetapi Chua Soi Lek telah menghina Islam dan kita tidak setuju dengan apa yang telah dilakukan oleh beliau.

"Tetapi kenapa Umno berdiam diri dalam soal ini dan ia seolah-olah Umno sendiri merestui apa yang dilakukan oleh Presiden MCA itu," ujar Mohamad.

Beliau tidak mahu atas tindakan keceluparan pemimpin MCA yang terus menghina Islam akan menyebabkan timbulnya ketegangan agama di negara ini.

"Kita tidak kisah kalau Umno ingin bekerjasama dengan MCA tetapi tindakan Umno membiarkan MCA terus menghina Islam adalah perkara yang tidak boleh dibiarkan," tegasnya.