(Anthony Loke mempertahankan TG Nik Aziz di Dewan Rakyat)
KUALA LUMPUR: Selepas Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke menepuk meja di Dewan Rakyat kerana marahkan fitnah MCA terhadap Tuan Guru Nik Aziz, Setiausaha Agung DAP pula mengambil langkah yang sama.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini menyifatkan dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa TG Nik Aziz menggalakkan orang bukan Islam dirogol satu pembohongan besar.
"Ini satu pembohongan besar sama dengan pembohongan Utusan Malaysia apabila mendakwa saya anti-Melayu dan anti-Islam kerana Nik Aziz tidak pernah berkata begitu," kata Lim Guan Eng (gambar) dalam kenyataannya.
Semalam, Anthony Loke dalam ucapannya di Dewan Rakyat mempertikaikan kenyataan Chua Soi Lek yang bersetuju dengan Senator Heng dari MCA bahawa TG Nik Aziz menggalakkan orang Islam merogol wanita bukan Islam.
"Saya rasa ini adalah kenyataan yang paling biadab dari MCA. Chua Soi Lek adalah Presiden MCA yang paling silap dalam perkara ini," kata Anthony Loke, anggota Parlimen Rasah sambil menumbuk meja.
Bagi Lim Guan Eng, MCA adalah versi Cina untuk akhbar Utusan Malaysia yang bertenggek di atas kepalsuan, ketakutan dan kebencian untuk hidup.
"MCA umpama lelaki curang yang mendakwa dirinya bermoral dan bermaruah," kata Lim Guan Eng dalam kenyataannya.
Menurut Lim, fitnah terbaru Chua adalah bahawa kerajaan Pulau Pinang merampas peluang lebih 100,000 keluarga tempatan untuk membeli rumah di kawasan pulau akibat harga hartanah yang melambung.
Dalam tempoh setahun kenaikan harga kondominium/pangsapuri sebanyak 411%, rumah pangsa 339%, rumah kos rendah 157% dan rumah berasingan 103%.
"Ini merupakan fitnah yang tidak masuk akal kerana bagaimanalah harga kondo boleh naik sebanyak 411% dalam tempoh setahun?
"Pulau Pinang sudah tentu mengalami peningkatan harga hartanah paling tinggi di dunia apabila semua orang tahu harga hartanah paling tinggi adalah di Kuala Lumpur dan Johor Bahru yang tinggi dari Pulau Pinang," katanya.
No comments:
Post a Comment