Thursday, April 04, 2013

Bubar Parlimen tingkat semangat petugas PAS


TEMERLOH: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan akan membawa aspirasi parti dan manifesto Pakatan Rakyat dalam mendekati para pengundi di kawasan Parlimen Temerloh.
Ini berikutan beliau telah diamanahkan oleh PAS untuk bertanding di Parlimen Temerloh pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Selain aspirasi parti dan manifesto Pakatan Rakyat, beliau turut merungkaikan serta memperjelaskan dokumen Negara Berkebajikan untuk pengetahuan seluruh rakyat.

"Selain daripada agenda utama PAS dan Pakatan Rakyat, saya juga akan meninjau isu-isu yang berkaitan dengan penduduk tempatan dan kita akan melihat bagaimana kita boleh selesaikan," katanya kepada Harakahdaily sewaktu program jelajah Negara Berkebajikan di Temerloh petang semalam.

Katanya lagi, jentera PAS telah berada pada peringkat akhir.

"Jentera kita sebenarnya telah bersedia untuk menghadapi pilihanraya bila-bila masa sahaja sejak dari tahun lepas lagi,” ujarnya.

Beliau menambah, dengan pembubaran parlimen yang diumumkan semalam telah menaikkan semangat petugas dan jentera parti untuk bekerja 24 jam.

Menurutnya, prinsip kerja yang dilakukan secara berpasukan iaitu gandingan PAS, PKR dan DAP akan menjadikan gerak kerja lebih mantap.

"Saya percaya gandingan ini akan menjadikan yang terbaik dalam kita menghadapi Barisan Nasional (BN).

"Kita mempunyai peluang yang tinggi untuk mencapai kemenangan terutamanya momentum anak muda dan juga kaum bukan Melayu yang terus memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat," kata beliau lagi.

Beliau pasti, siapa jua persaingnya pada pilihan raya nanti bukan satu masalah yang besar kerana gerak kerja serta sokongan dari semua lapisan masyarakat akan memberikan kemenangan kepada Pakatan Rakyat nanti.

No comments: