Sunday, March 31, 2013

Jangan terlalu fokus tarikh PRU13 - Mustafa


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) diseru untuk fokus kembali kepada kerja-kerja pilihanraya dan langkah BN seterusnya, terutamanya dari segi menciplak manifesto PR daripada meneka tarikh Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13).

“PRU13 akan diadakan, seperti ibu mengandung cukup 10 bulan, anak akan dilahirkan jua. Jangan fokus kepada tarikh (Datuk Seri) Najib (Razak) nak bubar parlimen. Fokus kepada apa yang BN bakal buat menjelang PRU13 ini,” tegur Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Mustafa berkata Najib berkemungkinan melengahkan pilihanraya untuk menciplak sebanyak mungkin janji-janji yang ada dalam manifesto PR.

Hari ini, akhbar MCA The Star melaporkan bahawa sumber dalaman menyatakan bahawa Najib bakal menunaikan umrah pada 3 April.

Dalam pada itu, Mustafa berkata pilihanraya umum akan diadakan pada hari terakhir Negeri Sembilan perlu mengadakan pilihanraya iaitu 25 Mei.

“Najib juga akan hadir Asean Summit di Brunei pada 24 dan 25 April sebagai Perdana Menteri penuh dan bukannya Perdana Menteri kerajaan sementara. Beliau akan membubarkan parlimen selepas itu, dijangkakan 27 April,” kata Mustafa ketika ditanya Harakahdaily.

“Tapi usah fokus pada permainan Najib pada tarikh pembubaran sehinggakan segala isu-isu rakyat dilupakan. Hati-hati pada taktik lawan dan jangan biar mereka melekakan kita,” tambahnya lagi.

Harakahdaily juga menerima ura-ura bahawa BN sedang mencari alasan supaya rakyat berhenti daripada berhajat berlaku pertukaran kerajaan, termasuk menciplak tawaran PR seperti mengumumkan penurunan harga minyak sewaktu kempen pilihanraya, penurunan harga kereta dan juga mengumumkan penghapusan hutang PTPTN.

Kemudian, BN akan mewar-warkan pada rakyat bahawa segala tawaran penting PR sudahpun dilaksana, maka tiada perlunya untuk menukar kerajaan lagi.

No comments: