Thursday, April 04, 2013

Rakyat sambut bubar Parlimen macam nak raya


TEMERLOH: Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melihat keghairahan rakyat menyambut pembubaran parlimen yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kali ini luar biasa.

“Seluruh rakyat sambut pengumuman bubar parlimen seperti nak sambut raya, semuanya kerana rakyat dah tunggu hampir dua tahun, sedangkan media kawalan Umno setiap hari memainkan isu politik dan pilihan raya,” katanya ketika berceramah di atas treler Negara Kebajikan PAS yang sampai ke bandar Temerloh petang tadi.

Hari ini merupakan hari ketiga jelajah treler berkenaan selepas ke Raub, Bentong, Jerantut, Maran, Bandar Jengka, Lanchang dan bersebelahan terminal bas ekspres petang ini sebelum bertolak ke Bera.

Lebih 1,000 mendengar amanat pemimpin bersempena pembubaran parlimen hari ini.

Turut berucap Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hasan, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri Pahang, Abdul Majid Hasan, Yang Dipertua PAS Kawasan, Md Jusoh Darus, Ketua Muslimat PAS Pahang, Salamiah Mohd Nor, Adun Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamad dan Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, Pakatan Rakyat (PR) memasuki pilihan raya kali ini dengan cukup bersedia.

“Tidak terjangkau kita akan membariskan calon-calon bekas pegawai tinggi tentera, pegawai tinggi kerajaan,  pegawai tinggi Felda dan artis.

“Justeru marilah kita bekerja keras kerana rakyat nak tengok janji-janji yang  PR tawarkan terlaksana demi kebajikan yang tunggu-tunggu selama ini,” katanya.

No comments: