KOTA BHARU, 12 Dis: Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa menolak andaian peguam, nama Faisal Rohban dan Mohd Faisal Mohd Rohban Ahmad adalah orang berlainan.
Beliau berkata, blogger terbabit yang menggunakan nama Ruang Bicara Faisal (RBF) adalah orang yang sama biar pun memaparkan nama berlainan dalam blognya.
Sebelum itu peguam Adly Abdul Manas mewakili Mohd Faisal cuba menimbulkan keraguan tersebut pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.
Ketika awal perbicaraan Adly membantah peguam plaintif, Hisham Fauzi mahu memanggil semula saksi pertama dan kedua kes saman Husam terhadap blogger terbabit.
Bagaimanapun Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan peguam plaintif memanggil semula saksi pertama, Husam dan saksi kedua Mohd Syahfarin Ali Rajkumar Abdullah, 40 pada prosiding berkenaan.
Hisham turut dibantu peguam Zainal Abidin Mustafa dan Hazalawati.
Faisal dalam blognya ruangbicarafaisal.blogspot.com pada 3 Oktober 2009 menulis rencana berunsur fitnah terhadap Husam yang bertajuk, “Husam dan Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta.”
Husam dalam pernyataan tuntutannya menjelaskan artikel disiarkan dalam blog defendan adalah menggelirukan dan bermaksud memberi gambaran buruk serta tidak benar terhadapnya.
Ekoran itu plaintif melalui peguam mengemukakan notis menuntut defendan memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi.
Husam menuntut defendan memohon maaf secara bertulis tanpa syarat kepadanya, menyiar permohonan maaf dalam blognya, mengiklan permohonan maaf dalam akhbar harian utama, membayar ganti rugi RM500,000.
Selain itu gantirugi teladan, gantirugi melampau, punitif, injuksi menghalang defendan atau agen mengulangi penerbitan kenyataan tersebut.
Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata, pada awalnya tulisan memfitnahnya turut dipetik dalam banyak blog proUmno yang juga memuatkan gambar Faisal. Bagaimanapun selepas fail saman dikemukakan Husam memberitahu gambar Faisal dihilangkan dalam blognya dan milik group Umno.
Bagaimanapun hakim menegur peguam defendan kerana cuba menimbulkan kekeliruan mengenai siapa sebenarnya pemilik blog terbabit.
Mohd Syahfarin ketika tampil di kandang saksi bagi kali kedua juga memberitahu mahkamah, beliau cam penulis blog terbabit dan ada dalam mahkamah.
Pihak plaintif juga akan memanggil seorang lagi saksi, Dr Ahmad Sharwan Mohd Sidek yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II. Perbicaraan bersambung pagi esok.
No comments:
Post a Comment